Wednesday, January 22, 2025

SYIRIA 15: KINCIR AIR BANDAR HAMA

 Oleh kerana banyak perkara yang agak janggal dan melibatkan keselamatan di Syiria berbeza dengan negara lain saya meminta Ustaz Solahuddin untuk berjalan bersama kami ke beberapa bandar lain di Syiria. Faktor keselamatan menjadi perkara utama dalam perjalanan kami.

Risau juga kalau melanggar undang-undang di Syiria ini secara tidak sedar. Kalau di negara lain mungkin kami boleh bayar saman  tapi tidak di Syiria. Kesalahan dan pelanggaran undang-undang dihukum penjara tanpa boleh bincang. 


Alhamdulillah Ustaz Solahuddin bersetuju untuk membawa kami jalan ke Bandar Hama dan Juga Halab. Kami juga merancang untuk sampai ke al Lazikiyyah (Lattakia) bandar tepi laut yang amat indah pemandangannya.

Awal pagi lagi kami kami berempat dan Ustaz Solahuddin keluar dari rumah menaiki bas bandar Homs. Perjalanan ke Homs menaiki bas mengambil masa setengah jam. Di Homs kami hanya berjalan-jalan mengelilingi bandar melihat suasana bandar lama di Syiria. Terdapat beberapa tempat bersejarah seperti kubu dan juga masjid. Kami solat Zohor di Masjid Khalid al Walid dan kemudiannya makan di sebuah restoran. Kami makan nasi ayam panggang dan juga sejenis kuih ‘Basbousa’.

Selepas zohor kami berjalan ke stesyen bas untuk menyambung perjalanan ke Bandar Hama. Perjalan ke Hama hanya sekejap saja tak sampai sejam. Di sini Ustaz Solahuddin membawa kami ke kawasan Kincir air tradisional yang terletak di sepanjang Sungai Orontes yang menjadi mercutanda bandar Hama.

Kincir air ini dikenali sebagai "Norias" (النوّارات) dan merupakan alat yang digunakan untuk mengangkat air dari sungai untuk pengairan tanah pertanian di kawasan tersebut. Kincir-kincir air ini adalah simbol tradisi pertanian di Hama dan telah ada selama berabad-abad. Terdapat lebih dari 17 buah kincir air besar di sepanjang sungai yang menghiasi pemandangan bandar ini.

Norias di Hama merupakan contoh warisan teknologi purba yang sangat penting dalam sejarah pertanian di kawasan tersebut. Walaupun sesetengah kincir telah rosak atau tidak berfungsi sepenuhnya, mereka tetap menjadi daya tarikan utama bagi pelancong dan simbol kebudayaan yang kuat bagi penduduk Hama dan Syria secara keseluruhan.

Ketika kami sedang menikmati pemandangan kincir air dan sungai Orntos saya mendengar satu suara menyapa kami.

“ Kamu semua dari mana?” Asalnya dia menyapa kami dalam bahasa Inggeris. Tapi saya membalasnya dalam bahasa Arab. Dia terkejut dengan jawapan saya. Lebih-lebih lagi saya menggunakan lahjah syamiyah atau loghat negara Syam.

“Ana min Meleiyzia. Enta syuu esmak?”

 Saya bertanya namanya. Nama dia Mahmoud. Dia adalah sorang pelajar universiti di Bandar Homs. Patutlah dia pandai berbahasa Inggeris. Saya banyak bertanya kepada beliau tentang sejarah Hama dan juga tentang Syiria.

Apabila saya bertanya pasal kerajaan dan juga politik beliau mengelak untuk mejawab. Hanya sepatah jawapan dia.

“Haza ma dakhalni ana”.

 Ini saya tak ada kaitan.. itu jawapan dia. Memang Isu kerajaan dan politik amat sensitif. Saya menghormati pendirian si Mahmoud. Saya teringat pantang larang berada di Syiria.

Mahmoud membawa kami berjalan sekitar Sungai Orontes dan melihat kincir air yang amat klasik. Kemudia Mahmoud membawa kami menziarahi Pusara tokoh sejarah Syiria Ismail Abu Ali al Fida seorang tokoh sejarah dan juga geografi zaman al Ayyubi. Tokoh ini tidak dikenali ramai kerana bukannya tokoh besar sejarah. 

DI Bandar Hama ini kami berpisah dengan Ustaz Farid dan Ustaz Zahari. Mereka berdua ingin ke bandar lain untuk bertemu dengan kawan lama Ustaz Farid. Jadi saya, Yusof dan Ustaz Solahuddin akan meneruskan perjalanan ke Bandar Halab petang nanti.

 

No comments: