Kami telah sampai ke masjid tersebut sekitar jam 11 pagi dan
kuliah sebelum jumaat sudah bermula. Masjid sudah penuh dengan ahli jamaah
pencinta ilmu. Kami sudah tidak dapat masuk kedalam masjid. Hanya mampu masuk
ke beranda sahaja. Itupun terpaksa berhimpit dan bersesak dengan jemaah lain.
Para jemaah khusyuk mendengar mutiara ilmu yang disampaikan
oleh Dr Said Ramadhan al Bouti yang disampaikan dengan begitu jelas dan bahasa
yang tersusun. Amat mudah untuk difahami oleh pendengar dan juga oleh kami
sebagai bukan penutur bahasa Arab.
Dr Said Ramadhan al Bouti bukannya berbangsa Arab. Beliau
adalah berbangsa Kurdish sama dengan Solahuddin al Ayyubi. Beliau dilahirkan di
Turkey dan dibesarkan di Damsyik selepas keluarganya berpindah dari Turkey semasa
zaman pemerintahan Mustafa kamal Ataturk yang amat keras terhadap agama Islam.
Di Syiria Dr Said telah dibesarkan dengan bimbingan ulamak
besar di Syiria. Dia mendalami bahasa Arab dan al Quran dengan amat tekun
sekali dan menguasai pelbagai disiplin ilmu Islam seperti Usuluddin, Fiqh,
Mantiq sirah dan sebagainya. Dia menjadi rujukan penting masyarakat ketika umur
masih muda. Beliau menyambung pengajian Phd di Universiti al Azhar pada tahun
1965. Beliau adalah Professor dalam bidang akidah dan sirah di Universiti Damsyik
tempat Ustaz Solahuddin belajar.
Selepas kuliah lebih
kurang 15 minit sebelum waktu zohor. Saya, Ustaz Solahuddin dan rakan-rakan
lain tidak berganjak ditempat kami sebagaimana para jamaah yang lain terus
menunggu untuk khutbah dan solat jumaat. Khutbah jumaat juga disampaikan oleh
Dr Said Ramadhan.
Selepas selesai solat jumaat terdapat pengumuman oleh bilal
untuk solat Zohor 4 rakaat. Saya merasa pelik dan janggal namun hanya mengikut saja
sebagaimana para jamaah yang lain. Saya lihat mereka seolah bersedia dan biasa
dengan solat zohor sejurus selepas solat Jumaat.
Usai solat saya bertanya kepada Ustaz Solahuddin.
“Eh, kenapa solat zohor semula selepas solat Jumaat?”.
“Banyak masjid sekitar Dimasyq ni buat begini. Ini kerana
masjid di sini amat dekat antara satu sama lain dalam qaryah yang sama.
Mengikut pandangan mazhab Syafei hanya satu masjid saja dalam satu qaryah yang
sah solat jumaat. Itu dikira masjid mana yang selesai awal. Susah nak pastikan
masjid mana yang selesai solat Jumaat paling awal. Jadi Dr Said membuat
keputusan untuk solat zohor sejurus selepas solat Jumaat sebagai langkah
berjaga-jaga.” Ustaz Solah menerangkan kedudukan hukum dengan panjang lebar.
Inilah kali pertama saya tahu tentang pandangan ini. Di
Jordan walaupun masjid berdekatan dan saling boleh dengar antara satu sama lain
kerana dalam satu qaryah yang sama tidak mengambil kaedah ini kerana mengikut pandangan
Mazhab Hanafi yang lebih ringan dalam hukum solat jumaat ini.
Alhamdulillah. Hari ini dapat merasai pengalaman manis
mendengar kuliah Dr Said Ramadhan al Bouti secara langsung. Sebelum ini hanya
dapat mendegar kuliah beliau dari rakaman kaset dan juga melalui televisyen.
Ilmu yang baru juga ialah tentang solat zohor sejurus selepas solat Jumaat. Negara Syiria berpegang kepada mazhab Al
Syafie sebagai mazhab rasmi negara jadi banyak persamaan amalan antara negara
kita Malaysia dan juga Syiria.
Selepas solat kami makan aiskrim yang dijual di perkarangan
masjid dan kemudianya mencari restoran untuk makan tengahhari.
No comments:
Post a Comment