Kelas bahasa Arab di SMK Elopura hanya diajar untuk pelajar menengah rendah sahaja iaitu tingkatan 1, 2 dan tiga. Setiap tingkatan hanya satu kelas sahaja yang akan membelajari bahasa Arab. Saya telah diberi tanggungjawab untuk mengajar pelajar tingkatan 3A. Bilangan pelajar adalah sekitar 27 orang. Saya tidak ingat jumlah yang sebenar.
Sudah menjadi amalan saya selepas melakukan set induksi, langkah pertama yang saya buat ialah mengulangkaji pelajaran lepas sekitar 5 minit. Saya akan bertanyakan soalan terbuka kepada semua pelajar. Siapa yang pertama kali menjawab akan dapat hadiah. Ada ketika saya hanya memberi peneguhan positif saja dengan memberi pujian dan tepuk tangan sahaja. Adakala saya memberi hadiah kecil seperti gula-gula atau sekeping biskut.
Saya tidak pernah merotan dan memukul pelajar kerana saya
percaya bahawa dengan pendidikan secara motivasi akan memberi rangsangan dan
semangat kepada pelajar untuk belajar dengan rajin dan bersungguh-sungguh.
Selepas beberapa bulan saya perhatikan hanya pelajar sama
sahaja yang menjawab. Ada beberapa orang pelajar tidak pernah mengangkat tangan
untuk menjawab. Apabila saya mengemukakan soalan tertutup dengan menyebut
namanya pun dia tidak mampu menjawab. Saya hanya sekadar menasihati pelajar ini
agar lebih bersungguh belajar dengan memeberi perhatian di dalam kelas dan juga
rajin mengulangkaji pelajaran di rumah.
Namun satu hari ketika waktu rehat saya di datangi oleh tiga
orang pelajar saya dari kelas 3 A.
“Ustaz! Kamu ada mahu cakap dengan Ustaz bolehkan?”.
“Ya, kenapa? Silakan.”
Saya mengadap mereka bertiga memberi perhatian apa yang mereka ingin maklumkan pada saya.
“Kami rasa cara ustaz mengajar kami tu tak berkesan lah.
Ustaz selalu bagi hadiah dan pujian saja. Orang yang sama lah yanag dapat. Kami
ni tak akan dapat lah peluang nak dapat hadiah tu.” Terang Fidah.
Saya baru perasan bahawa mereka bertiga ini antara pelajar
yang pasif dalam kelas. Tidak pernah mengangkat tangan untuk menjawab dan jika
ditanya pun, tidak boleh menjawab dengan betul. Markah dalam penilaian dan
ujian pun memang selalu rendah.
Mereka bertiga ini antara nama dalam senarai saya tidak dicadangkan untuk mendaftar bahasa Arab
untuk peperiksaan PMR nanti. Sistem pada masa itu jika sesiapa yang gagal satu
mata pelajaran akan dikira gagal PMR. Pengetua menasihatkan saya agar membuat
strategi dengan memilih pelajar yang dijamin lulus untuk mendaftar bahasa Arab.
“Jadi, jika kaedah saya saya salah, apa cara mengajar
yang kamu mahu?.
Soal saya kepada mereka bertiga.
“Ustaz kena rotan kami. Kami ni sudah biasa bah dengan
rotan. Dari sekolah rendah lagi guru-guru kami guna rotan jak. Kalau di rotan
kami akan belajar dan ulangkaji. Kalau tidak kami ni macam ndak ada apa-apa.”
Adilah pula menjawab bagi pihak rakannya.
“Aik peliknya kamu ni. Biasanya pelajar ndak mahu dirotan.
Kamu pula datang minta di rotan. Tak pernah dibuat orang.”
“Kami sanggup dirotan ustaz. Kami bertiga sudah janji
untuk menerima hukuman rotan jika kami tak dapat menjawab soalan ustaz. Kami
janji ustaz. Nanti ustaz akan tengok perubahan kami”. Jamilah pula bersuara.
Aduh pelik juga mereka ini. Saya menerima cadangan mereka
dan berjanji akan mengikut cadangan mereka. Hanya mereka bertiga akan dirotan
jika tidak boleh menjawab. Manakala pelajar lain tidak akan dirotan. Mereka
tidak boleh irihati sebab ini adalah permintaan mereka sendiri.
Petang itu saya ke bandar Sandakan mencari rotan kecil untuk
memenuhi permintaan pelajar pelik saya. Dalam hati saya tertanya-tanya dan kurang
yakin bahawa kaedah ini akan berkesan. Oleh kerana ini adalah permintaan mereka
saya akan cuba membuat pemerhatian dan analisan
tentang kaedah rotan ini pada mereka bertiga.
** Nama yang digunakan bukanlah nama sebenar.
No comments:
Post a Comment