Showing posts with label pendidikan. Show all posts
Showing posts with label pendidikan. Show all posts

Monday, December 09, 2024

KEMPEN MEMBUGAR IMAN DI SMKE

 Kali pertama saya mendengar nama SMK Elopura (Bestari) adalah ketika menerima surat penempatan sekolah  ketika kami di hotel  di Kota Kinabali. Saya di tempatkan di SMK Elopuran (B) dan isteri saya di SMKA Sandakan.  Pada awalnya cuak juga apabila mendapat sekolah yang berasingan. Sudah terbayang di fikiran akan timbul  beberapa halangan  untuk menyusun kehidupan seharian nanti.



Rupanya SMKE dan SMKA Sandakan hanya bersebelahan . Hanya pagar yang memisahkan antara dua sekolah ini. SMKE adalah sebuah sekolah harian dan  merupakan sebuah sekolah terpilih untuk projek BESTARI di peringkat kebangsaan. Banyak kelebihan disekolah ini dari aspek kelengkapan IT   pada masa itu berbanding dengan sekolah lain.

Banyak kenangan  saya di sekolah ini. Sekolah ini lah yan g berjaya menyedarkan diri saya tentang  mulianya kerjaya guru. Pada asalnya saya hanya sekadar ingin bekerja untuk menghabiskan  kontrak KPM kerana menghantar saya belajar di Jordan dengan biasiswa. Selepas beberapa peristiwa yang saya alami saya dapat melihat bahawa hikmah dan kebijaksaan Allah yang telah mengatur perjalanan hidup saya.  Tidak semestinya yang kita suka itu baik dan tidak semestinya yang kita benci  itu buruk.

Sepanjang saya berkhidmat di SMK Elopura banyak inisiatif dan program yang saya rancang dan terancang sebenarnya dilakukan .Inisiatif ini saya boleh namakan sebagai PROJEK MEMBUGAR IMAN. Itu semua adalah aturan Allah.

Antara inisiatif  saya ialah:

1.       Rakan iman

2.       Taqwim solat

3.       Buletin al manhal

4.       Penubuhan Persatuan PERISA

5.       Peringatan 5 Minit pagi Isnin

6.       Kem bestari solat

7.       Kuliah santai hari minggu

8.       Kuliah muslimat hari Jumaat.

9.       Kempen Derma Darah

10.   Kaunter Daftar Tabung haji.

11.   Pelajar Aspuri Solat Jumaat.

12.   Qiam 10 malam terakhir Ramadan di Masjid.

13.   Rutin bacaan Al-Mathurat.

14.   Kem bestari solat.

15.   Projek Zakat potongan gaji.

 Saya teringat pesan guru-guru saya semasa belajar di Jordan dahulu agar menyambung kerja menyampaikan Islam kepada semua sahaja. Jadilah dari kalangan mereka yang menyambung kerja nabi. Saya ingin menyambut serian ini.  Firman Allah  dalam surah al Imran ayat 104:

﴿ وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ﴾

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Saya ingin mengambil inspirasi dari Pesan baginda rasul :

من سن في الإسلام سنة حسنة كان له أجرها وأجر من عمل بها من بعده لا ينقص ذلك من أجورهم شيئ

Sesiapa yang memulakan amalan  yang baik dalam Islam, maka baginya pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya selepasnya, tanpa mengurangi sedikitpun dari pahala mereka.

 

Nabi juga berpesan mengingatkan kita:

من دلَّ على خير، فله أجر فاعله" رواه مسلم

Sesiapa  yang menunjukkan kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala seperti pelakunya."


Inilah antara yang menjadi  inspirasi saya sepanjang saya bertugas di SMKE. Alhamdulillah projek ini antara dilihat banyak memberi memberi diri kesan kepada diri saya dan juga warga SMK Elopura. Tempoh Perkhidmatan saya di SMKE dari 7 Feb 2001 hingga 15 April 2007 amat bermakna dan memberi kesan kepada kerjaya saya dan kehidupan saya. Saya telah mengenal orang-orang baik yang telah banyak membimbing saya dalam kerjaya sebagai guru dan juga sebagai hamba Allah.

Saturday, December 07, 2024

SAYA MINAT KISAH NABI

 Di SMKE saya juga ditugaskan mengajar kelas pendidikan Moral untuk pelajar tingkatan 4. Biasanya saya akan diberi kelas yang paling akhir  gabungan  pelajar bukan Islam dari   2 kelas terakhir untuk  tingkatan 4. Pelajar biasa dari kalangan bangsa Cina, kadazan dan beberapa suku lain yang beragama bukan Islam.


Walaupun bukan bidang, tapi mengajar kelas ini  memberi pengalaman baru kepada saya. Pelajar pendidikan Moral adalah dari pelbagai bangsa dan bukan beragama Islam.  Sudah tentu pendekatan yang jauh berbeza dari kelas Pendidikan Islam dan juga kelas bahasa Arab. Sebenarnya agak kekok juga untuk mengubah rentak dari memberi kesedaran kepada murid tentang mengenal Allah dan patuh kepada perintahnya kepada   mengemukakan konsep kemanusia dan menjadi insan mulia berguna kepada bangsa dan negara.

Saya sebagai ketua panitia pendidikan Islam  dan moral juga telah mengeluarkan buletin mingguan  yang  saya jenamakan sebagai  ‘al Manhal’.  Buletin ini hanya sehelai kertas A4  yang dicetak depan belakang dan dilipat menjadi 2 helai menjadi  seperti buku kecil. Ia di isi dengan beberapa kolum, antaranya ialah ‘Siapa Kita’, Kisah Nabi, Sketsa, teka teki ada beberapa ruang  kecil yang  mengisi mutiara kata motivasi. Buletin ini dijual dengan harga 50 sen dan diedarkan oleh persatuan Pendidikan Islam. 

Satu hari ketika mengajar pendidikan Moral, saya mememinta salah seorang pelajar untuk menyerahkan buku kerja  untuk di semak. Dia bangun untuk kehadapan menyerahkan buku kerjanya kepada saya di meja guru hadapan kelas. Tiba-tiba saya terlihat berberapa himpinan kertas yang tersusun rapi jatuh ke lantai.

“Pang.. apa yang jatuh tu..”  Saya bertanya kepada Pang. Dia adalah pelajar Cina yang amat baik dengan saya dan pelajar yang  rajin menyiapkan kerja sekolah untuk pendidikan Moral.

“Oh..Maaf Ustaz. Sekejap saya kemaskan  dulu kertas saya”.

Dengan beradab dia meminta izin. Dari jauh saya melihat kertas itu semuanya  adalah  himpunan buletin ‘al Manhal’ yang dikeluarkan oleh Panitia Pendidukan Islam. Banyak juga yang dia kumpulkan. Bila dia datang ke meja saya untuk menyerahkan buku kejanya saya bertanya:

“Tu saya nampak macam buletin ‘al Manhal’ yang jatuh tadi. Banyak juga kamu kumpulkan. Kamu beli setiap minggu kah?”.

“Ya Ustaz. Saya beli setiap minggu. Saya minat baca kisah nabi. Saya tak boleh  beli kah Ustaz?”.  Tanya Pang dengan wajah gusar.

“Oh… tak mengapa. Saya hanya bertanya. Buletin tu  kami keluarkan sebagai bahan bacaan pelajar Islam.  Tapi tak salah kalau  kamu nak baca.”  Saya   menenangkan kegusaran Pang.

“Tak apakan  saya baca buletin tu. Saya minat baca semuanya terutama bahagian kisah Nabi”.

Saya  mengucapkan alhamdulillah memajat kesyukuran pada Allah kerana usaha kecil saya dan rakan  guru pendidikan Islam berjaya  memenuhi ruang keperluan pelajar. Dalam diam ada juga pelajar bukan Islam yang minat membaca buletin kami dan membuat koleksi dalam diam.


“Ramai kawan ku yang suka baca ustaz, mereka pinjam dari saya”. Terang Pang lagi.

Semoga usaha kecil ini berjaya menjadi penyuluh dan penyubur kepada Iman pelajar  muslim dan pencetus  hidayah kepada pelajar bukan Islam. 

Saturday, November 30, 2024

USTAZ ROTANLAH KAMI!

 Kelas bahasa Arab di SMK Elopura hanya diajar untuk pelajar menengah rendah sahaja iaitu tingkatan 1, 2 dan tiga. Setiap tingkatan hanya satu kelas sahaja yang akan membelajari bahasa Arab. Saya telah diberi tanggungjawab untuk mengajar pelajar tingkatan 3A. Bilangan pelajar adalah sekitar 27 orang. Saya tidak ingat jumlah yang sebenar.

Sudah menjadi amalan saya selepas melakukan set induksi, langkah pertama yang saya buat ialah mengulangkaji pelajaran lepas sekitar 5 minit. Saya akan bertanyakan soalan terbuka kepada semua pelajar. Siapa yang pertama kali menjawab akan dapat hadiah. Ada ketika saya hanya memberi peneguhan positif saja dengan memberi pujian dan tepuk tangan sahaja. Adakala saya memberi hadiah kecil seperti gula-gula atau sekeping biskut. 


Saya tidak pernah merotan dan memukul pelajar kerana saya percaya bahawa dengan pendidikan secara motivasi akan memberi rangsangan dan semangat kepada pelajar untuk belajar dengan rajin dan bersungguh-sungguh.

Selepas beberapa bulan saya perhatikan hanya pelajar sama sahaja yang menjawab. Ada beberapa orang pelajar tidak pernah mengangkat tangan untuk menjawab. Apabila saya mengemukakan soalan tertutup dengan menyebut namanya pun dia tidak mampu menjawab. Saya hanya sekadar menasihati pelajar ini agar lebih bersungguh belajar dengan memeberi perhatian di dalam kelas dan juga rajin mengulangkaji pelajaran di rumah.

Namun satu hari ketika waktu rehat saya di datangi oleh tiga orang pelajar saya dari kelas 3 A.

“Ustaz! Kamu ada mahu cakap dengan Ustaz bolehkan?”.

“Ya, kenapa? Silakan.”

Saya mengadap mereka bertiga memberi perhatian apa yang  mereka ingin maklumkan pada saya.

“Kami rasa cara ustaz mengajar kami tu tak berkesan lah. Ustaz selalu bagi hadiah dan pujian saja. Orang yang sama lah yanag dapat. Kami ni tak akan dapat lah peluang nak dapat hadiah tu.” Terang Fidah.

Saya baru perasan bahawa mereka bertiga ini antara pelajar yang pasif dalam kelas. Tidak pernah mengangkat tangan untuk menjawab dan jika ditanya pun, tidak boleh menjawab dengan betul. Markah dalam penilaian dan ujian pun memang selalu rendah.

Mereka bertiga ini antara nama dalam senarai saya  tidak dicadangkan untuk mendaftar bahasa Arab untuk peperiksaan PMR nanti. Sistem pada masa itu jika sesiapa yang gagal satu mata pelajaran akan dikira gagal PMR. Pengetua menasihatkan saya agar membuat strategi dengan memilih pelajar yang dijamin lulus untuk mendaftar bahasa Arab.

“Jadi, jika kaedah saya saya salah, apa cara mengajar yang kamu mahu?.

Soal saya kepada mereka bertiga.

“Ustaz kena rotan kami. Kami ni sudah biasa bah dengan rotan. Dari sekolah rendah lagi guru-guru kami guna rotan jak. Kalau di rotan kami akan belajar dan ulangkaji. Kalau tidak kami ni macam ndak ada apa-apa.” Adilah pula menjawab bagi pihak rakannya.

“Aik peliknya kamu ni. Biasanya pelajar ndak mahu dirotan. Kamu pula datang minta di rotan. Tak pernah dibuat orang.”

“Kami sanggup dirotan ustaz. Kami bertiga sudah janji untuk menerima hukuman rotan jika kami tak dapat menjawab soalan ustaz. Kami janji ustaz. Nanti ustaz akan tengok perubahan kami”. Jamilah pula bersuara.

Aduh pelik juga mereka ini. Saya menerima cadangan mereka dan berjanji akan mengikut cadangan mereka. Hanya mereka bertiga akan dirotan jika tidak boleh menjawab. Manakala pelajar lain tidak akan dirotan. Mereka tidak boleh irihati sebab ini adalah permintaan mereka sendiri.

Petang itu saya ke bandar Sandakan mencari rotan kecil untuk memenuhi permintaan pelajar pelik saya. Dalam hati saya tertanya-tanya dan kurang yakin bahawa kaedah ini akan berkesan. Oleh kerana ini adalah permintaan mereka  saya akan cuba membuat pemerhatian dan analisan tentang kaedah rotan ini pada mereka bertiga.

** Nama yang digunakan bukanlah nama sebenar.

Wednesday, November 27, 2024

"NAMA SAYA BUKAN LAGI CAU YUK SEN!"

 Satu hari diminggu akhir persekolahan tahun 2002 di SMK Elopura.

“Ustaz, ada pelajar mau jumpa ustaz!’

“siapa?”

“Cau Yuk Sen, pelajar 4 D..” seorang pelajar memberitahu saya.

“OK.. minta dia jumpa saya di bilik Media waktu rehat nanti”



 

Sejurus loceng menandakan bermulanya waktu rehat saya bergegas ke bilik media menuggu Cau Yuk sen yang saya tidak kenali ini. Apa gerangan hajatnya mahu berjumpa saya, sedangkan saya tak mengajar di kelasnya. 

“Assalamualaikum!”

Saya mendengar salam dari luar bilik dan kelihatan dua orang pelajar dengan senyum simpulnya. Seorang daripadanya bertudung. Barangkali yang tak bertudung itulah Cau Yuk Sen. Saya mempersilakan mereka berdua duduk. 

“Apa yang boleh saya tolong?”

“Kawan saya ada hajat dengan ustaz. Cau, kaulah yang bagi ustaz bah, jangan lah kau malu sama ustaz.” Jawab kawannya yang muslim sambil menyiku bahu Cau yang masih malu-malu.

“Begini ustaz.” Cau memulakan bicara dan kali ini dia dah mula serius.. 

“Saya ingin masuk Islam ustaz, bagaimana caranya ustaz?”

“Alhamdulillah.. Allah sayangkan kamu.. dan Dia telah beri hidayah kepada kamu. Orang lain susah nak dapat hidayah ini.”

Cau Yuk Sen ialah merupakan seorang pelajar kacukan dari bangsa Cina sebelah bapa dan bangsa Sungai dari sebelah ibu. Warna kulitnya yang sawo matang tidak menggambarkan bahawa dia dari bangsa Cina. Dia sudah lama meminati Islam semenjak dari sekolah rendah lagi. Lebih-lebih lagi selepas abang sulungnya telah memeluk Islam beberapa tahun yang lepas. 

Umurnya yang masih dikategorikan bawah umur menyebabkan saya lebih berhati-hati untuk terus segera mengislamkannya berdasarkan pengalaman setahun sebelum itu. Tahun lepas ada Ibubapa mahu menyaman saya di mahkamah kerana telah mengislamkan anaknya yang dibawah umur tanpa kebenaran. Kerumitan itu telah berjaya di selesaikan dengan baik setelah mengadakan perbincangan selama 4 jam dan hasilnya ibunya berlapang dada dan boleh menerimanya kembali, walaupun berlainan agama.

“Ibu dan ayah kamu tahu ke kamu nak masuk Islam ?” Saya bertanya meminta kepastian.

“Ayah tak kesah. Masa abang masuk Islam dulu pun dia tak bising. Saya dah Tanya ibu malam tadi, dia kata ikut suka sayalah, dia tak membantah.” Terang Cau pada saya.

Setelah berbincangan dengan panjang lebar tentang keluarganya terutama tentang pandangan mereka tentang agama Islam, Cau memberitahu bahawa ibunya pun dilihat berminat dengan Islam. 

“Adik-beradik kami bagaimana? Dia lebih rapat dengan ayah atau ibu?” 

“Kami semua rapat dengan Ibu dan banyak ikut cakap ibu dari cakap ayah”.

“Kalau ibu kamu masuk Islam, adik beradik kamu akan ikut ke?

“Mungkin ikut, sebab kami nak pergi kemana lagi sebab masih kecil.”

“Kalau begitu kamu balik bincang dengan ibu kamu dulu, panggil abang kamu yang Islam tu sama-sama pujuk ibu kamu agar masuk Islam , Insya allah bertambah rahmat dan keberkatan. Nanti sama-sama masuk syurga”. 

“Ya ustaz, nanti saya bincang dengan ibu saya malam ni, mudahan dia setuju” 

“Amin, saya akan doakan agar dia dapat hidayah dan petunjuk dari Allah, nanti kalau dia dah bersetuju bagitahu saya ya.” 

Dua hari selepas itu persekolahan berakhir dan saya tak melihat kelibat Cau Yuk Sen. Ah, mungkin belum selesai lagi perbincangan dengan ibunya kot. Saya memujuk hati saya.

Hari pertama persekolah 2003 saya disapa oleh seorang pelajar.

“Assalamualaikum ustaz!”

“Walaikumussalam! Hah kamu Cau! Apa cerita sekarang?”

“Saya bukan lagi Cau Yuk Sen ustaz, nama saya Nurasyikin. Saya dah masuk Islam, begitu juga ibu saya dan juga adik-adik”

“Allahuakbar! Alhamdulillah, kamu sekeluarga sudah masuk Islam. Allah amat mengasihi kamu sekeluarga.”

“Hanya beliau (ayah) saya yang tidak mahu peluk islam dia masih berpegang dengan Buddha. Tapi nasib baik ibu bertegas. Kami sudah buat semua urusan masuk Islam di pejabat agama Islam di Beluran”.

Itulah berita gembira yang membuka tirai tahun 2003 yang tak akan saya lupakan. Itulah hakikat sebenar agama Islam ini. Amat indah jika ia difahami dan dihayati. Ramai pelajar secara diam-diam meminati agama Islam kerana keindahan dan kemurniannya Cuma masih belum ada kekuatan jiwa untuk berdepan dengan cabaran yang mendatang jika mereka mengubah agama mereka.

Ya Allah berikan kekuatan kepada hambamu ini untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini..

       

 

Wednesday, November 13, 2024

“KAJIAN APA NI? TIADA NILAI ILMIAH LANGSUNG!”

Pengajian Sarjana Muda Bahasa Arab di Universiti al Albayt memerlukan pelajarnya menyiapkan satu kertas projek kajian (Masyruk takharruj) pada tahun akhir sebagai syarat graduan. Ini adalah antara keistimewaan universiti kami walaupun terletak nun jauh di padang pasir Mafraq.
Oleh kerana aku minat membaca karya kreatif seperti cerpen, aku memilih tajuk kajian ‘Perkembangan Penulisan Cerpen Dalam Sastera Arab’. Kononnya dengan tajuk ini aku berpeluang membaca banyak cerpen klasik Arab. Menyesal tak sudah aku memilih tajuk itu. Bila sudah separuh jalan mengumpul data, baru aku sedar bahawa tajuk itu amat luas.

Aku telah mengadap penyelia aku Dr Abdul Qadir Abu Syarifah Ketua Jabatan Bahasa Arab Ketika itu untuk menukar tajuk atau mengecilkan skop kajian. Namun beliau menasihati aku agar kekal dengan tajuk itu dan membuat batasan kajian untuk mengecil skop. Alasannya ialah kajian ini hanya berbentuk kertas projek sebagai syarat graduan sarjana muda sahaja. Tidak perlu mendalam sebagaimana kajian peringkat master dan PHD.
Setelah bertungkus lumus berjuang dan ada ketikanya rasa macam hampir syahid, akhirnya siap juga projek kajian aku. Melihat hampir setiap hari ada saja rakan-rakan sepengajian telah menyelesaikan pengajian dan pulang ke Malaysia kepangkuan keluarga memberi tekanan kepada aku untuk segera menyiapkan kajian. Hampir semua perpustakaan besar di Jordan aku sampai demi melengkap data dan rujukan. Aku juga terpaksa membaca manuskrip akhbar lama zaman kolonial Perancis melalui mikrofilem untuk melihat tema cerpen.
Setelah menyelesaikan kajian, kami sebagai pelajar perlu membuat 4 salinan laporan kajian. 3 salinan diserahkan kepada Jabatan Bahasa Arab manakala satu lagu untuk aku ulangkaji untuk pembentangan nanti. Hebatnya ketika itu, semua kajian projek tahun akhir mesti dibentangkan dalam sesi ‘Munaqasyah’ dan akan dinilai oleh dua orang panel. Lebih kurang seperti VIVA VOCE peringkat master dan PHD. Apa yang paling menggerunkan pembentangan ini terbuka untuk dihadiri oleh pensyarah dan pelajar lain yang berminat.. Memang kelat lah muka. Kalau di Malaysia pembentang atau VIVA VOCE akan diadakan secara tertutup.
Kami juga diminta membuat ringkasan dan teks pembentangan sekadar 15 minit untuk dibentangkan dihadapan ahli panel. Cuma ketika itu belum ada lagi pembentangan dengan powerpoint. Hanya sekadar mengadap ahli panel sahaja.
Walaupun aku sudah bersedia, aku tetap berdebar masa pembentangan. Kenapa tidak, ada beberapa orang pensyarah dan juga beberapa orang pelajar yang hadir. Seingat aku sekitar 10 orang juga. Apa yang menarik pada kajian aku ni hingga menggamit mereka hadir mengikuti pembentangan. Mereka nak tengok aku kantoi kah.
“Ahh.. aku mahu lulus saja, bukannya nak cemerlang pun”. Aku memujuk diriku menguatkan semangat.
Pembentangan dipengerusikan oleh Pensyarah penyelia aku Dr Abdul Qadir Abu Syarifah. Panel pertama ialah Dr Imad al Hatim dan panel kedua ialah Dr Mahmud al Halhuliy. Aku melihat ditangan mereka naskhah salinan kertas projek aku.
Setelah Pengerusi memberi kata alu-aluan, beliau menjemput aku membuat pembentangan. Setelah selesai aku membentang, tibalah sesi soal jawab. Wah, aku dicincang selumatnya oleh Dr Imad.
“Kajian apa ini? Tiada nilai ilmiah langsung”.
“Banyak maklumat tidak mencukupi. Rujukan pun banyak peringat maraji bukannya masadir”.
Banyak lagi komennya tak henti-henti. Sehinggakan Dr Abdul Qadir Abu Syarifah sebagai pengerusi terpaksa membentikan Dr Imad.
“Cukuplah.. Ini kajian peringkat sarjana muda, bukannya kajian peringkat master atau PHD, pelajar ni juga orang Malaysia. Sumbernya terhad. Kajian pun hanya dalam tempoh yang singkat.”
“Kajian ini pun, kalau dilihat dengan teliti adalah amat baik dan mempunyai nilai ilmiah sesuai dengan tahap sarjana muda”.
Aku lega mendengar penyelia membela dan juga memuji kajian aku. Sejuk sikit hati aku. Merah muka semakin kurang. Malu weh.. ramai penonton yang hadir ketika sesi pembentangan. Kalau ikut hemat Dr Imad, kajian aku ni hampeh, tak ada nilai ilmiah. Ulasan panel kedua tidak panjang. Mungkin semua kritikan telah dihamburkan oleh panel pertama, tiada lagi berbaki untuknya. Dia hanya memuji usaha aku untuk menyiapkan kajian ini. Terdapat beberapa rumusan yang kurang tepat yang perlu diperbaiki. Hanya sekadar itu sahaja.
Pembentangan yang sepatutnya setengah jam melarat hingga hampir sejam juga sehingga selesai. Lega rasa hati ini. Selesai juga akhirnya. Aku di beri peluang untuk membuat pembetulan dalam tempoh dua minggu. Dengan selesainya pembentangan ini secara rasmi aku telah selesaikan semua tuntutan sebagai syarat penganugerahkan sijil pengajian sarjana muda Bahasa Arab dan sastera.
Alhamdulillah. Puji dan syukur pada Allah yang maha besar. Bolehlah aku mula memikirkan untuk balik ke Malaysia jumpa keluarga tercinta.

Tuesday, November 12, 2024

"AWAK SILAP KHEMAH NI, GRADUAN PHD DI SANA!"

Aku terkebil-kebil bila petugas kovokesyen UM menegur aku ketika sedang berbaris bersama rakan-rakan master untuk masuk ke dewan Canselori UM.

Sudahlah aku terlewat sampai kerana tersilap percaturan masa. Aku ingatkan satu jam setengah perjalanan dari rumah ke UM pagi itu sudah mencukupi untuk aku sampai sebelum masa yang telah ditetapkan. Tapi aku terlewat hampir 15 minit sehingga aku terpaksa berlari-lari ke khemah graduan.

Selepas masuk ke khemah yang dikhaskan untuk graduan master dan aku mengambil tempat dalam barisan,  aku di tegur pula oleh petugas kerana silap khemah. Aku sudah pasti dan tidak salah baca tulisan di hadapan khemah. Aku keluar sekali lagi membaca tanda khemah.

“Betul dah ini khemah graduan master”. Tutur ku pada petugas tadi.

“Khemah untuk graduan PHD di sebelah sana”. Ujarnya sambil menunjukan ke satu khemah.

“Eh! Saya ni graduan master bukannya graduan PHD”. Aku membantah terkejut.

“Dah tu kenapa awak pakai hood dan jubah PHD?”. Ujarnya.

Baru aku perasan bahawa jubah dan hood yang aku pakai berbeza dari rakan-rakan yang lain. Semua rakan memakai hood biru muda dan hood aku memang berbeza warna. Apa yang aku pasti mortar board yang aku pakai bebentuk empat segi memang untuk pelajar master. Aku hanya pakai set jubah yang aku terima.Tidak pula aku semak jenis jubah dan hood yang sebenar untuk graduan master.

“Saya pakai apa yang saya dapat dalam set jubah tu. Saya tidak tahu pula ada macam-macam jenis baju dan warna hood”. Jelas saya pada petugas. Aku menunjukkan dokumen aku kepada petugas membuktikan bahawa aku adalah pelajar master dan bukannya pelajar PHD.

Petugas tadi memanggil sorang kawannya untuk membawa aku ke satu bilik persalinan di belakang dewan Canselori  untuk menukar jubah dan Hood.

“Nampaknya awak kena kena terus sambung belajar PHD ni! Alang-alang tersilap pakai. Satu hari nanti awak kena pakai balik jubah ni.”

Kata petugas itu sambil tersenyum. Dia telah ambil jubah simpanan dan membantu aku memakainya. Setelah itu dia membetulkan hood dengan kemas dan meletakkan pin agar hood itu tidak jatuh terlondeh.

Aku hanya tersenyum sambil mengucapkan terima kasih kepadanya. Hatiku berkata cukuplah setakat ini aku belajar. Nak habiskan pengajian master ini pun dah hampir separuh mati rasanya. Pelbagai ujian dan cabaran yang terpaksa aku hadapi. Aku sudah melepasi syarat minima untuk kelayakan aku sebagai pensyarah IPG iaitu memiliki sijil sarjana tak memerlukan aku memiliki ijazah PHD.

Aku terus bergegas ke khemah garduan master dengan melalui khemah graduan PHD. Disitu lah aku baru tahu rupanya topi gaduan PHD ni lain dari yang lain. Bulat berkedut-kedut dipanggil 'Bonnet'. Jubah mereka juga berbeza. Aku berbisik jangan berangan-angan lah nak pakai topi ini. Ini bukan tempat aku.

Oleh kerana aku terlewat menukar jubah dan hood, aku sudah terpisah dari kawan-kawan yang lain dan berada bersama graduan fakulti lain untuk masuk dewan Canselori.

Tapi sekarang baru aku terfikir dan teringat Kembali peristiwa jubah UM ini. Rupanya peristiwa itu adalah petunjukkan yang Allah telah berikan untuk aku agar terus belajar. Tuturan gurauan petugas itu masih lagi terngiang-ngiang di telinga aku. Allah maha besar. Dia telah mengaturkan segalanya untuk aku.

Sesungguhnya Allah mengetahui. Sesungguhnya Allah maha bijaksana mengaturkan segalanya. Sejujurnya sampai sekarang aku masih tak pasti adakah betul aku silap memakai jubah PHD. Apa yang aku pasti ialah hood yang aku pakai tu memang berbeza. Tapi petugas telah menukarkan jubah berserta hood melainkan mortarboard sahaja tidak ditukar.

Ini semua berkat doa ibuku yang tak putus berdoa untuk kejayaan aku. Jadi Allah telah aturkan semuanya untuk aku.

Monday, November 11, 2024

"KAMU MESTI SAMBUNG BELAJAR SEHINGGA PHD"

Itu lah kata-kata Dr Imad al Hatim, Panel pertama pemeriksa kajian aku semasa aku bertemu dengannya untuk mengambil tandatangan sebagai pengesahan pembetulan laporan kajian akhir peringkat sarjana muda di Universiti al Albayt dulu.

“Wallahi Dr, Cukuplah setakat ini, saya tak layak untuk sambung belajar sampai ke peringkat itu”.

Aku sebenarnya sedar diri. Markah kumulatif aku amat rendah. Aku bukannya rajin belajar. Belajar hanya sekadar untuk  lulus, dapat sijil dan pulang bertugas sebagai guru. Khalas. Tak ada dalam Impian aku nak bergelar Dr pemegang PHD. Nasib baik JPA mengiktiraf sijil aku sebagai kepujian, Kalaulah kelulusan itu dikira setara, gaji aku akan lebih rendah dari orang lain.

“Kajian saya pun teruk Dr.. Tak ada nilai ilmiah”. Sambung aku merendah diri.

“Tidak! Kajian kamu amat baik. Saya hargai kamu. Dengan sumber yang terhad dan masa yang singkat kamu boleh buat sebaik itu”. Terang Dr Imad.

“Tapi ulasan Dr masa pembetangan dulu membayangkan kajian saya amat teruk”. Aku cuba mengingatkannya kembali tentang hari pembentangan.

Memang kalau diingatkan kembali ulasan Dr Imad masa pembentangan itu amat memedihkan. Seolah kajian aku ini langsung tiada nilai di sisinya. Bertubi-tubi memberi komen  ibarat peluru zionis yang dihalakan kepada anak-anak Palestin. Langsung tiada belas kasihan. Kadang-kadang ada juga unsur menghina. 

“Ah… itu biasa.. saya saja nak provok kamu, supaya kami lebih bersemangat untuk buat lebih baik”.

Laa.. begitu pulak. Memang dah nama Arab. Memang pelik cara fikirnya.

“Tapi saya tak fikirlah untuk sambung belajar lagi. Tak ada dalam Impian saya”.: Aku menegaskan pendirian.

“Kamu wajib sambung belajar. Saya doakan kamu berjaya dapat PHD satu hari nanti”. Ujarnya lagi selepas saya minta izin untuk beredar. Aku hanya sekadar mengaminkan dalam hati dan mengucapkan terima kasih kepada Dr Imad atas bantuan dan doanmya.

Aku sebenarnya masih terasa ibarat mimpi. Betulkah aku sudah ada PHD. Dapat juga aku belajar sampai peringkat PHD. Lebih menarik lagi. Saya berjaya selesaikan pengajian dalam tempoh 3 tahun. Sesuatu yang aku rasa mustahil berlaku pada diri aku. Tapi, itulah realitinya. Ketika aku menerima Skrol PHD di hari konvokesyen, aku teringat kembali peristiwa di bilik Dr Imad.

Terima kasih Dr Imad kerana mencabar saya dan juga mendokan saya.

 

Saturday, October 26, 2024

CIKGU! APA TUJUAN HIDUP KITA KAT DUNIA INI?

 Ini adalah persoalan seorang pelajar Tiong Hua kepada seorang gurunya. Ketika kami guru-guru sesi pagi sedang bersiap sedia untuk pulang untuk memberi ruang kepada guru petang mengambil tempat kami di bilik guru saya di datangi oleh seorang guru sesi petang. Guru ini antara yang guru muslim yang tidak bertudung di sekolah kami, muda, cantik, ceria dan digemari oleh semua orang.

“Boleh saya dan bercerita pada ustaz sekejap”. Sapanya sambil tersenyum simpul.

“Ya. Boleh. Jom kita ke bilik komputer”. Saya mengamitnya ke bilik komputer di hujung bilik guru. Meja saya terletak di tengah bilik guru dan menjadi laluan guru-guru keluar masuk.


“Ada apa Cikgu Stef?”. (Bukan nama sebenar)

“Ustaz! Semalam saya terdengar perbualan seroang pelajar Tiong Hua  dengan Cikgu kat sebelah saya. Mereka cakap bahasa Cina. Tapi saya dapat faham sebab dulu saya belajar kat sekolah Cina”. Cikgu Stef memulakan ceritanya.

“Pelajar tu tanya cikgu tu kenapa kita hidup di dunia ini? Apa tujuannya? Terkejut saya dengar soalan ni. Tetapi saya buat-buat tidak dengar”.  Semakin serius wajah Cikgu Steff bercerita.

Saya melihat wajahnya dan  serius mendengar.

“Wah menarik ni..”

“Dia cakap, dia dengar Ustaz yang minta pelajar fikirkan persoalan ini”. Panjang lagi cerita Cikgu Steff pada saya. Perbualan pelajar itu dengan guru agak lama juga. Guru itu menerangkan banyak perkara tentang kehidupan ini. Tapi dalam versi budaya Cina.

Cuma Cikgu Steff mengatakan dia seronok bila pelajar mula berfikir begitu dan saya dalam program 5 minit pagi Isnin telah berjaya merangsang pelajar berfikir tentang kehidupan. Cara ini boleh membuka jalan kepada guru lain untuk mendidik nilai manusiawi kepada pelajar. Cuma Cikgu Steff berpandangan kalau saya sendiri yang menerangkan konsep ini kepada pelajar munking akan lebih jelas dan tepat.

Alhamdulillah, ini adalah antara kesan  positif slot 5 minit pagi Isnin di tugaskan oleh PK HEM sekolah saya. Memang ada satu hari tu saya bercerita tentang konsep kehidupan dengan mengemukanan persoalan..

“ Dari mana kita datang? Siapa yang rancang dan ciptakan kita sebagai manusia?”

“Apa tujuan kita hidup kita atas dunia ini? Apa yang perlu kita buat?”

“Selepas ini ke mana kita akan pergi?”

Saya telah mengemuka beberapa lagi soalan supaya pelajar berfikir.

Rumusan saya bagi ialah tujuan kita hidup ini adalah untuk memberi.. berjasa kepada manusia sejagat dan alam. Apa kebaikan yang kita lakukan atas dunia ada balasannya.. tidak sia-sia. Jika kita melakukan kejahatan, menganggu gugat keselamatan orang lain, menyusahkan orang pastinya ada balasan. Jika tidak di Dunia, nun akan di balas di Akhirat nanti.