Alhamdulillah pertemuan Ibu Salmah dengan saya dapat diselesaikan dengan baik walaupun pada asalnya dia datang kesekolah dengan membawa parang dan mahu menyaman saya. Akhirnya Ibu Salmah pulang dengan hati yang lebih tenang selepas Salmah berjanji tidak akan tinggalkan ibunya walaupun selepas memeluk Islam.
Sememangnya terdapat banyak salah faham dan tanggapan negatif terhadap Islam oleh masyarakat non Muslim lantaran kefahahaman dan amalan yang salah dari masyarakat Islam itu sendiri. Inilah yang perlu diperbetul dan dilurskan oleh kita semua. Semua orang Islam bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing menuntut ilmu dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang telah dijelaskan dalam al Quran dan sebagaimana yang telah di bawa oleh Nabi Muhammad.
Kekeliruan inilah yang menyebabkan Islam terhalang untuk difahami dan disebar luaskan kepada masyarakat. Saya dan rakan-rakan di SMKE cuba memainkan peranan memperbetulkan kefahaman ini sebaik mungkin.
Saya memanggil Salmah pagi jumaat pertama selepas peristiwa kunjungan Ibu Salmah untuk berjumpa saya di bilik guru.
“Kamu balik kampung minggu ini?” tanya saya
“Tidak, saya balik kampung sebulan sekali ja. Minggu lepas kakak saya dah balik. Kami perlu berjimat. Tambang untuk balik banyak juga”. Jelas Salmah.
“Minggu ini kamu balik lah . Jumpa mamak kamu. Saya bagi belanja”. Ujar saya sambil mengulurkan duit RM50 kepada Salmah.
“Banyak ni ustaz! Tambangnya tak mahal sangat”. Salmah berat hati nak mengambil duit tersebut.
“Duit lebih tambang tu kamu belilah apa-apa barang bawa balik rumah. Barang-barang dapur yang kau rasa diperlukan di rumah”. Saya memujuknya.
Saya menasihatinya agar berbuat baik kepada ibunya lebih daripada sebelum dia memeluk Islam. Perlu bantu ibunya mengemas rumah, cuci piring, dapur dan sebagainya. Hari minggu turun ke kebun bersama ibubapanya mengerjakan tanaman. Sentiasa bercakap lembut dengan ibubapa. Apa yang penting, tunjukkan akhlak baik dan nilai Islam yang sebenar. Sebutlah pada ibubapanya bahawa agama Islamlah yang mengajarnya berbuat baik kepada ibu bapa.
Saya telah menerangkan bahawa Allah telah mewajibkan setiap muslim taat kepada kedua ibubapa berdasarkan surah Luqman ayat 14
وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنٖ وَفِصَٰلُهُۥ فِي عَامَيۡنِ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِي وَلِوَٰلِدَيۡكَ إِلَيَّ ٱلۡمَصِيرُ (14)
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
Islam memerintahkan begitu kerana Ibubapalah yang telah banyak berkorban untuk melahir dan membesarkan anaknya. Ibu bersabung nyawa mengandungkan anak selama sembilan bulan sehingga melahirkan anak.
Apabila ibu bapa sudah sampai umur tua hendaklah hendaklah menjaga perasaan ibubapa dengan membantah apa saja cakap mereka walaupun hanya sekadar berkata “ummp’ sebagai tanda membnatah atau tidak setuju. Jangan mengugut dan menakutkan ibubapa dan cakaplah perkataan-perkaaan yang baik-baik dan disenangi oleh ibubapa sebaimana pesan Allah dalam surah al Isra ayat 23:
Dan Tuhanmu telah memutuskan agar kamu tidak menyembah kecuali Dia, dan berbuat baiklah kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sampai ke peringkat tua di sisimu, maka janganlah kamu mengatakan kepada mereka sebarang perkataan kasar dan janganlah kamu menakut-nakutkan mereka, dan katakanlah kepada mereka dengan perkataan yang baik.
Salmah perlu taat kepada dua ibubapanya selagimana dia tidak memerintahkan untuk berlaku syirik. Jika Ibubapanya melarang agar tidak solat atau makan makanan haram dia tak perlu patuh lagi. Salmah perlu memberitahu ibubapanya dengan baik bahawa itu ajaran Islam sebagaimana pesan Allah dalam surah Luqman ayat 15 :
وَإِن جَٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ بِي مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٞ فَلَا تُطِعۡهُمَاۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِي ٱلدُّنۡيَا مَعۡرُوفٗاۖ وَٱتَّبِعۡ سَبِيلَ مَنۡ أَنَابَ إِلَيَّۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرۡجِعُكُمۡ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ (15)
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.
Panjang saya bercerita dan memberi peringatan kepada Salmah tentang adab dengan ibubapanya. Saya tidak mahu sejarah kakaknya berulang lagi. Masuk Islam dan tinggalkan ibubapa kerana tidak selesa dengan ibubapa non muslim. Sedangkan berbuat baik kepada ibubapa adalah satu kewajipan walaupun berlainan agama.
Saya berpakat dengan Cikgu Lamidi dan guru-guru lain untuk memberi duit poket kepada Salmah untuk balik kampung sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Dia lebih kerap balik berbanding kakaknya. Kadang-kadang kami memberi lebih duit belaja agar Salmah dapat pulang bersama kakaknya juga.
Allahmdulillah selepas beberapa bulan saya bertanya kepada Salmah bagaimana dengan keadaan ibu dan bapanya sekarang. Salmah memaklumkan bahawa mereka berdua tidak marah lagi. Kehidupan sudah kembali seperti dulu. Salmah pun tidak pernah tinggalkan solat walaupun ketika dirumah. Ibunya langsung tidak menghalang dia untuk solat.
Sepanjang saya bertugas di Sabah ini, saya perhatikan bahawa masyarakat di sini amat harmoni walaupun berbilang bangsa dan agama. Lebih baik dari hubungan masyarakat di Semenanjung. Cuma masih banyak kekeliruan tengan Islam dalam masyarakat yang perlu diperbetulkan. Ini adalah merupakan tugas penting setiap muslim di sana lebih-lebih lagi para guru agama.
Sesungguhnya panduan yang telah dibekalkan oleh Allah kepada kita semua sudah lengkap. Rasulullah juga telah memberi contoh praktikal bagaimana ajaran Islam di amalkan. Dalam isu ini saya teringat firman Allah dalam surah al Nahl ayat 125 :
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik,
Islam perlu disampaikan dengan bijaksana dengan melihat kesesuaian semasa individu dan masyarakat. Islam perlu dipersembahkan membawa nilai akhlak dan kebaikan kepada semua. Semua perlu memainkan peranan menyampaikan Islam dan meluruskan apa yang tidak betul dalam masyarakat.
Rasulullah juga berpesan:
منْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
“Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemahnya iman”. (Hadis riwayat Muslim, No. 49)
Saya bersyukur kerana di hantar untuk berkhidmat di sabah kerana saya berpeluang untuk mendapat pengalaman dakwah yang lebih luas. Ayuh bakal guru semua. Mari kita berazam untuk berkhidmat bukan saja kepada negara dan bangsa tapi juga kepada agama Islam yang menjamin kehidupan kita di akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment