Thursday, November 28, 2024

DOSA KUFUR LEBIH BESAR DARI DOSA ZINA

 Kisah Cau siri 2

Cau Yuk Sen atau Nurasyikin telah bercerita tentang keluarganya yang telah memeluk Islam melainkan ayahnya seorang yang tinggal. Saya gembira dan tidak melihat ada apa-apa isu disebaliknya.

Namun dua hari selepas itu, ada sorang guru memberi tahu saya yang Ibu Nurasyikin datang ke sekolah untuk membayar yuran anak-anaknya. Cuma ada dia memberitahu ada sesuatu menjadi persoalan kepadanya. Ibu Nurasyikin dan ayahnya yang masih beramama Budha masih tinggal bersama sebagai satu keluarga dan hidup sebagai suami isteri. Apa yang dia tahu bahawa apabila salah sorang pasangan suami isteri memeluk Islam mereka wajib dipisahkan (Faraq) dan perkahwinan mereka di kira batal.


Dia ada di sana ustaz! Sedang membayar yuran dengan cikgu kelas 5D”.

Sambil guru tadi menunjukkan kearah hujung bilik guru sebelah perempuan. Saya bangun dan pergi berjumpa dengan ibu Nurasyikin. Setelah selesai dia membayar yuran saya mengambil kerusi dan duduk di hadapannya memulakan perbualan.

Oh, ini ibu Nurasyikin ya. Sebelum ini dia banyak bercerita tentang puan. Hari ini baru saya berkesempatan jumpa. Saya nak ucapkan tahniah pada puan sekeluarga kerana memilih Islam. Insya Allah ini adalah pilihan tepat untuk masa depan puan sekeluarga.”

“Iya ustaz. Nurasyikin berjaya yakinkan saya untuk berubah. Tapi beliaunya tak mahu menerima. Tapi dia tidak marah. Dia setuju saja.  Semua anak-anak ikut saya”. Terangnya sambil tersenyum.

“Anak -anak puan yang di sekolah rendah sudah diuruskan kah untuk mereka belajar Pendidikan Islam?”.

Oh kena tukar kah?. Belum lagi tu. Saya belum buat apa-apa lagi”.  

Saya telah menerangkan keadaan yang sebenar. Dia berjanji akan ke sekolah anaknya untuk memaklumkan bahawa anak-anaknya sudah memeluk Islam dan ingin bertukar untuk belajar Pendidikan Islam dari kelas Kelas Pendidikan Moral.

Jadi beliaunya tu belum masuk Islam, kalau ikutkan hukum Islam kira tidak boleh tu. Dia mesti mesti masuk Islam. Kalau tidak dikira dosa besar tu”.

“Iya.. Saya ni tak bekerja. Beliaunya yang tanggung semua belanja. Kalau kena pisah, saya tak sanggup. Siapa mahu bayar sewa rumah, belanja dapur dan anak sekolah. Saya balik agama asal lah kalau begitu”. Jelas Ibu Nurasyikin dengan wajah terkejut.

“Kalau begitu tak apa lah. Nak buat macamana. Nanti pujuk lah beliau tu. Mungkin hidayah Allah belum sampai. Insya Allah satu hari nanti dia akan masuk Islam.” Puan dan Nurasyikin perlu selalu pujuk dia lah”.  Saya kemudiannya memberi pelbagai nasihat dan tips penting berguna sebagai seroang yang baru memeluk Islam. Selepas lama berbual saya meminta izin dan bangun kembali kemeja saya untuk menyiapkan kerja yang belum selesai.

Guru tadi datang kembali kepada saya dan bertanya tentang kewajipan memisahkan suami isteri apabila salah seorang memeluk Islam.

“Jadi Ustaz! Bukankah dia kira berzina tu nanti sebab tidak dipisahkan? Saya ada dengar orang bilang, kalau kita tidak pisahkan, kita dikira macam menghalalkan mereka berzina.” Guru bertanya saya untuk mendapat kepastian.

Saya hanya menjawab :

“Saya tidak pernah halalkan dosa zina”.

“Dosa kufur, dosa murtad lagi besar dari dosa zina. Dosa kufur tidak boleh taubat. Dosa zina masih boleh taubat. Kalau dia tak taubat pun hanya masuk neraka dulu sekejap dan akhirnya masuk syurga juga. Kalau dosa kufur masuk terus..ndak keluar lagi”.

“Lagi pun, kalau kita pisahkan.  Nanti dia murtad balik dan anak-anak dia pun ikut sekali. Bukan sorang tu. Sekarang anak-anaknya semua dah masuk kelas pendidikan Islam. Tak kan nak keluar balik masuk kelas moral”.

“Majlis agama pun tak cakap apa-apa tentang ini. Mereka lagi tahu tentang isu wajib pisahkan pasangan suami isteri yang islam salah sorang ni. Saya rasa mereka berpandangan macam saya.” Saya memberi penjelasan dengan panjang lebar.

Apabila melihat situasi itu saya teringat tentang pandangan Dr Yusul al Qardhawi tentang Fekah keutamaan dan juga fekah imbangan (Fiqh al Mizan) dalam melihat kesesuaian hukum fikah. Dalam hal ini dosa kufur itu lebih besar dari dosa zina.  Saya terbaca artikel tentang pandangan Dr Yusuf al Qardhawi tentang banyak kes yang berlaku di Jerman. Ramai  warga emas yang memeluk islam salah satu pihak dan mereka tidak mahu berpisah. Ramai yang memeluk Islam dengan fatawa ini. Rahimallah Dr Yusuf yang telah memberi jalan keluar dalam menentukan hukum.

Semoga keputusan saya ini tepat dan saya mohon Allah ampunkan dosa saya atas dosa dan khilaf yang lakukan.

No comments: