Friday, June 26, 2026

HIDUP MENGIKUT “JAM’ ALLAH

Suatu hari, saya pernah berbual dengan jiran saya di Sandakan, Sabah. Kami tinggal di taman yang sama. Hampir setiap petang beliau akan berada di halaman rumah bermain bersama dua orang anaknya yang masih kecil. 


Saya bertanya kepadanya,

"Mr. Tan, tak rasa terganggu ke setiap pagi dengan suara azan dari surau?"

Beliau kelihatan sedikit hairan.

"Azan? Apa itu azan?"

Saya menjelaskan,

"Setiap pagi sekitar jam lima lebih, ada suara dari surau."

"Oh... macam orang menyanyi itu?"

Saya mengangguk.

"Saya okay saja. Tidak mengganggu pun. Waktu itu saya memang sudah bangun."

Kemudian beliau menyambung sambil tersenyum,

"Malah kadang-kadang saya dan isteri jadikan nyanyian dari surau itu sebagai tanda hari sudah hampir siang. Sudah masa untuk bangun dan mulakan kehidupan."

Kami sama-sama ketawa.

Namun perbualan yang ringkas itu membuatkan saya terkenang satu kuliah agama yang pernah saya hadiri ketika menuntut di Universiti Al al-Bayt, Mafraq, Jordan.

Setiap kali selepas solat Asar, imam masjid berhampiran rumah saya akan menyampaikan tazkirah ringkas. Kuliahnya tidak panjang, tetapi sarat dengan pengajaran.

Suatu hari beliau berkata,

"Allah SWT telah menyusun lima waktu solat sebagai jadual kehidupan orang beriman."

Subuh ialah permulaan hari. Kita bangun menghadap Allah sebelum memulakan urusan dunia.

Apabila matahari berada di atas kepala, Allah memanggil kita berhenti seketika melalui solat Zohor. Di tengah-tengah kesibukan mencari rezeki, kita diingatkan bahawa kehidupan ini bukan hanya tentang dunia.

Apabila Asar masuk, ia menjadi isyarat bahawa siang hampir berakhir. Segala urusan dunia perlu mula diperlahankan dan kita menilai kembali apa yang telah dilakukan sepanjang hari.

Maghrib pula menandakan bermulanya malam. Waktu untuk kembali kepada keluarga, menghidupkan rumah dengan ibadah dan bersedia meninggalkan kesibukan dunia.

Akhirnya Isyak menjadi penutup seluruh aktiviti kehidupan sebelum kita berehat dan menyerahkan diri kepada Allah untuk bangun semula pada keesokan harinya.

Kemudian imam itu berkata lagi,

"Inilah sunnatullah. Inilah aturan kehidupan yang Allah tetapkan untuk orang-orang yang beriman."

Beliau turut mengingatkan bahawa antara punca umat Islam semakin jauh daripada kekuatan mereka ialah apabila kehidupan tidak lagi diatur mengikut jadual yang Allah tetapkan.

Malam dipenuhi dengan pelbagai aktiviti sehingga tidur lewat menjadi kebiasaan. Akibatnya, bangun Subuh menjadi terlalu berat. Solat Subuh berjemaah di masjid pula semakin asing dalam kehidupan sebahagian besar masyarakat.

Kuliah itu hanya beberapa minit, tetapi sehingga hari ini saya masih mengingatinya.

Walaupun ia disampaikan lebih tiga puluh tahun yang lalu, saya melihat hakikatnya semakin jelas pada zaman sekarang.

Fenomena ini bukan hanya berlaku di negara Arab, bahkan dalam masyarakat kita sendiri. Malah lebih membimbangkan apabila budaya berjaga hingga lewat malam semakin diterima, termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat didikan agama.

Akibatnya, tubuh kita mengikut jadual dunia, tetapi hati kita semakin jauh daripada jadual yang Allah susunkan.

Ironinya, jiran saya yang bukan Islam melihat azan sebagai petanda untuk memulakan hari. Sedangkan sebahagian daripada kita yang mengaku beriman pula melihat azan Subuh sebagai gangguan kepada waktu tidur.

Bukankah itu sesuatu yang patut kita renungkan?

Allah SWT berfirman:

﴿إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا﴾

"Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman pada waktu-waktu yang telah ditentukan."
(Surah al-Nisa': 103)

Barangkali kita tidak pernah meninggalkan solat.

Tetapi persoalannya, adakah seluruh kehidupan kita benar-benar telah disusun mengikut waktu yang Allah tetapkan?

Jika kita sentiasa merasakan aturan Allah ini terlalu berat, mungkin itu petanda bahawa iman kita sedang memerlukan rawatan. Bukan kerana Allah membebankan kita, tetapi kerana hati kita belum benar-benar tunduk dan menikmati indahnya hidup di bawah aturan-Nya.

Orang yang cintakan Allah akan melihat setiap laungan azan bukan sekadar panggilan menuju masjid, tetapi panggilan untuk kembali meluruskan seluruh perjalanan hidupnya.

Semoga Allah menjadikan kita dalam kalangan hamba yang bukan sahaja mendengar azan, tetapi segera menyahutnya dengan hati yang tenang, jiwa yang reda dan langkah yang ringan.

اللهم اجعلنا من المحافظين على الصلاة في أوقاتها، ومن الذين إذا سمعوا النداء لبّوا دعوتك طاعةً ومحبة، واجعل الصلاة قرة أعيننا، وأصلح بها قلوبنا وأحوالنا، إنك سميع مجيب. آمين يا رب العالمين.

 

No comments: