“Allah sayang kita semua. Allah sediakan banyak peluang ganjaran besar pada bulan Ramadan ini.”
Dari jauh saya mendengar gema suara ustaz menyampaikan ceramah ketika saya baru keluar dari kereta. Hari Ahad itu, saya kebetulan singgah di Masjid Hasanah, Bangi untuk menunaikan solat Zuhur. Saya datang lebih awal dengan niat untuk beriktikaf sambil membaca al-Quran.
Dari
luar masjid, jelas kedengaran suara ustaz sedang menyampaikan kuliah sebelum
Zuhur. Namun, saya perhatikan ramai juga yang berada di luar masjid
berbual-bual kosong.
Apabila
saya masuk ke dalam masjid, saya dapati hanya tiga orang yang duduk mendengar
kuliah di hadapan ustaz. Manakala yang lain bertebaran di seluruh ruang masjid
dengan urusan masing-masing. Ramai yang saya lihat khusyuk membaca al-Quran,
mungkin ingin mencapai sasaran tilawah harian sempena bulan Ramadan ini.
Pada
asalnya, saya juga ingin membaca al-Quran kerana ada sasaran tilawah yang perlu
saya capai pada hari itu. Namun, apabila saya teringat sabda Nabi ﷺ:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ
قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ:
«إِذَا مَرَرْتُمْ بِرِيَاضِ
الْجَنَّةِ فَارْتَعُوا»
قَالُوا: وَمَا رِيَاضُ
الْجَنَّةِ؟
قَالَ: «حِلَقُ الذِّكْرِ»
Daripada
Anas bin Malik رضي الله عنه berkata, Rasulullah ﷺ
bersabda: “Apabila kamu melalui taman-taman syurga, maka singgahlah dan
nikmatilah ia.” Para sahabat bertanya, “Apakah taman-taman syurga itu?”
Baginda menjawab, “Ia adalah halaqah-halaqah zikir.”
Para
ulama menghuraikan bahawa halaqah zikir yang dimaksudkan dalam hadis ini
termasuklah majlis ilmu.
Lalu
saya mengambil keputusan untuk duduk mendengar kuliah tersebut dan menangguhkan
rancangan tilawah al-Quran sehingga selepas Zuhur. Saya duduk betul-betul di
hadapan pengkuliah dan memandang wajahnya sebagai tanda minat dan penghargaan.
Mudah-mudahan dengan cara itu saya dapat memberi semangat dan menggembirakan
beliau.
Saya
perhatikan hampir semua yang lain di dalam masjid sama ada membaca al-Quran
atau leka dengan telefon pintar masing-masing.
Gejala
ini juga berlaku di masjid institusi tempat saya bekerja. Pihak pengurusan
telah menyusun jadual tazkirah selepas Subuh untuk para pelajar. Namun, yang
benar-benar memberi perhatian tidak sampai sepuluh orang. Yang lain bertebaran
di setiap pelusuk masjid membaca al-Quran untuk mengejar fadilat dan keberkatan
Ramadan.
Persoalannya,
adakah memilih membaca al-Quran demi mengejar fadilat Ramadan lebih utama
daripada menghadiri majlis ilmu yang Nabi ﷺ
sifatkan sebagai taman syurga? Atau adakah kita merasakan ilmu kita sudah
mencukupi dan apa yang disampaikan dalam kuliah serta tazkirah sudah sedia kita
ketahui?
Jika
itulah perasaan kita, bimbang kita sebenarnya telah terjerumus ke dalam
perangkap takabbur dan ujub.
Lebih
membimbangkan lagi, jika sikap kita menyebabkan pengkuliah atau pentazkirah
berasa tidak dihargai, seolah-olah kehadiran mereka tidak dialu-alukan.
Seakan-akan tiada siapa yang sanggup mendengar, kerana lebih memilih pahala
membaca al-Quran berbanding berada dalam “taman syurga”.
Marilah
kita renung bersama dan mendidik diri untuk berfikir secara rasional dalam
menilai nas dan panduan agama. Seterusnya, kita muhasabah tindakan dan amalan
terbaik yang perlu kita tonjolkan dalam kehidupan seharian.
Apakah
Amalan Terbaik?
Hakikatnya,
membaca al-Quran dan menghadiri majlis ilmu kedua-duanya adalah amalan yang
sangat besar pahalanya. Ia bukan soal memilih salah satu dan meninggalkan yang
lain, tetapi soal keutamaan pada waktu dan keadaan.
Antara
saranan amalan terbaik yang boleh kita lakukan ialah:
1.
Dahulukan majlis ilmu yang sedang berlangsung
Jika
kita tiba di masjid dan sedang berlangsung majlis ilmu, utamakan untuk duduk
mendengar. Kerana majlis ilmu berlaku pada waktu tertentu dan tidak boleh
diulang sesuka hati, sedangkan tilawah al-Quran boleh dilakukan pada bila-bila
masa.
2.
Betulkan niat
Hadiri
majlis ilmu bukan sekadar untuk menambah maklumat, tetapi untuk mencari
hidayah, memperbaiki diri dan meraih rahmat Allah. Ilmu yang didengar dengan
hati yang tawaduk lebih berkesan daripada banyak bacaan tanpa penghayatan.
3.
Gabungkan kedua-duanya
Selepas
majlis ilmu selesai, teruskan dengan tilawah al-Quran. Dengan itu kita
memperoleh dua kelebihan: berada di “taman syurga” dan juga ganjaran membaca
kalam Allah.
4.
Jaga adab terhadap pengajar
Memberi
perhatian, duduk dengan sopan dan menunjukkan minat adalah sebahagian daripada
adab menuntut ilmu. Adab ini sendiri adalah ibadah yang besar nilainya di sisi
Allah.
5.
Elakkan sikap merasa cukup
Sentiasa
tanam dalam hati bahawa ilmu Allah sangat luas. Walaupun topik yang disampaikan
pernah kita dengar, mungkin kali ini Allah buka kefahaman yang lebih mendalam.
Akhirnya,
kita perlu memahami bahawa Ramadan bukan sekadar bulan memperbanyakkan bacaan,
tetapi bulan memperbetulkan hati dan membina kefahaman. Ilmu memandu
amal, dan amal tanpa ilmu boleh tersasar.
Kita
perlu bijak dalam mengejar reda Allah. Jangan sampai kita tersilap dalam
membuat pertimbangan.


No comments:
Post a Comment