Petang itu, sewaktu rehat mesyuarat, saya dan beberapa rakan mengambil peluang untuk bersiar-siar. Maklumlah, setelah berjam-jam bermesyuarat, otak pun perlu “direhatkan” sebelum ia benar-benar mogok kerja.
Tiba-tiba seorang rakan bersuara,
“Eh… tengok tu, Kedai Bengong!”
Saya menoleh. Pada papan tanda tertera Ben Gong’s Tea & Dessert. Sebuah kafe francais dari China, barangkali. Namun, sekali imbas — bagi mata orang Melayu kampung seperti kami — memang mudah terbaca sebagai “Kedai Bengong”.
Entah mengapa, kami yang dewasa dan berjawatan ini boleh pula tergelak seperti murid sekolah rendah. Mungkin bukan kerana namanya, tetapi kerana spontaniti membaca dengan “loghat jiwa sendiri”.
Saya fikir, mungkin hanya kami yang membaca begitu. Pengunjung lain barangkali tidak terlintas apa-apa pun. Tambahan pula, realitinya hari ini, tidak semua rakyat Malaysia menuturkan bahasa Melayu sebagai bahasa harian. Maka tafsiran juga berbeza-beza, bergantung pada bahasa yang membentuk pemikiran.
Namun, apabila saya terus melangkah menyusuri kompleks tersebut, satu persoalan kecil mula timbul dalam hati.
Jika kita berjalan di LaLaport Bukit Bintang City Centre, terasa seolah-olah kita berada di negara lain. Papan tanda, nama kedai, promosi dan maklumat hampir semuanya dalam bahasa asing. Bahasa Melayu? Boleh dibilang dengan jari — itu pun mungkin jari sebelah tangan sahaja.
Sekali pandang, kita tidak perlu lagi ke Shanghai, Tokyo, Seoul atau London. Cukuplah datang ke sini — sudah boleh merasa “pengalaman antarabangsa”. Cuma bezanya, pasport tidak perlu dicop.
Satira ini bukan bertujuan menolak kepelbagaian. Malaysia memang negara majmuk. Kita kaya dengan budaya dan bahasa. Itu keindahan yang tidak boleh dinafikan. Namun, dalam keghairahan menjadi global, jangan sampai kita menjadi asing di tanah sendiri.
Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi; ia adalah identiti, sejarah dan jiwa negara. Jika papan tanda di negara lain tetap mengekalkan bahasa kebangsaan mereka walaupun menerima pelancong antarabangsa, mengapa kita terlalu mudah mengalah?
Cadangan saya mudah sahaja — bukan menutup ruang bahasa lain, tetapi mengangkat bahasa kebangsaan sebagai teras. Setiap papan tanda utama sepatutnya mengutamakan bahasa Melayu, diikuti bahasa lain jika perlu. Bukan soal sempit atau perkauman, tetapi soal jati diri dan rasa hormat terhadap Perlembagaan.
Kita tidak mahu suatu hari nanti, anak cucu kita bertanya,
“Bahasa Melayu ni dulu bahasa rasmi negara kita ke?”
Harapan saya, pembangunan fizikal negara seiring dengan pembangunan identiti bangsa. Bangunan boleh moden, pusat beli-belah boleh bertaraf dunia, tetapi jiwa Malaysia mesti kekal Malaysia.
Dan mungkin satu hari nanti, kalau ada lagi “Ben Gong”, kita tetap boleh tersenyum membaca — tetapi dalam masa yang sama, yakin bahawa bahasa kebangsaan kita berdiri megah di hadapan, bukan sekadar menumpang di sudut belakang.

No comments:
Post a Comment