Friday, August 22, 2025

SEDEKAH TIDAK IKHLAS

 Ketika saya menginap di  kuarters IPG Tawau, pembantu rumah saya namanya Era. Dia seorang yang amat rajin dan amanah.  Dia sentiasa datang tepat pada masanya. Amat jarang dia lewat sampai kerumah  kami di waktu pagi seawal jam 6 pagi.

Satu hari, dia lewat datang . Hampir  jam 7 pagi  baru sampai. Saya  sendiri terpaksa menghantar anak saya kepagar IPG untuk menaiki van ke sekolah.

“Mohon maaf Pak Ustaz!  Saya ada masalah dengan suami saya.”.

“Oh.. begitukah. Tak mengapa.”

Saya tidak marah bila mendengar alasannya.

Era memberitahu saya bahawa   suaminya baru diberhentikan kerja dan  emosinya agak terganggu. Dia hanya dirumah saja . Makan , hisap rokok dan tidur. Sebelum ini masa dia kerja dia keluar awal  sebelum dia datang kerumah saya. Jadi tiada masalah lah.

Saya ingat   masalah ini selesai begitu sahaja . Rupanya  tidak. Beberap kali suami Era datang kerumah saya memanggil isterinya pulang. Era  berkeras tidak mahu pulang sehingga selesai kerja di rumah saya.

Beberapa hari selepas itu, selepas maghrib Era tiba-tiba datang kerumah saya. Muka dia ketakutan.

“Tolong saya pak Ustaz, Suami   sudah hilang akal. Dia mahu pukul saya. Boleh saya minta izin tidur   dirumah Ustaz.”

Saya memberi kebenaran untuk Era  menginap rumah saya sementara keadaan  menjadi  lebih tenang.  Esoknya ketika pulang  makan tengah hari Era memberitahu saya bahawa suaminya datang lagi. Dia menjerit-jerit dari bawah rumah memanggilnya pulang.

“Saya tidak mahu pulang ustaz. Saya takut dipukulnya saya.”

Nampaknya kes ini semakin rumit. Saya mesti bertindak segera.  Petang itu selepas mendapat maklumat tentang lokasi rumah Era . Saya kerumahnya. Dekat saja rumahnya dalam 300 meter dari kuaters saya. 

Kebetulan Parto , suami Era ada dirumah. Dia sedang duduk di beranda rumahnya sambil mengisap rokok. Dia mempersilakan saya naik  kerumahnya. Saya memberitahunya bahawa Era tidak mahu pulang. 

“ Era tu , isteri yang degil. Saya  suruh dia berhenti kerja dia tidak mahu. Keras kepala betul.”

“ Siapa nak masak nasi untuk aku.”

 

“Wak tak kerja ke sekarang? Sepanjang hari ada kat rumah ni.”

 

“Aku tak ada kerja sekarang. Tempat lama aku tu tak mahu pakai orang lagi.”

 

“Jadi kalau tidak  kerja. Mana mahu dapat belanja sewa rumah dan belanja harian?” 

Dia diam. Sambil menghembuskan  asap rokoknya. Matanya memandang jauh ke gugusan pokok pisang tepi rumahnya.

Waktu dah gelap hampir maghrib. Bila bila masa akan kedengaran azan dari Masjid kilang sawit berdekatan. 

“Biarkan Era  bekerja. Dia boleh batu ringankan beban Wak. Sekurang-kurangnya lepas bayar sewa rumah dan belanja bulanan sementara wak dapat kerja baru.”

 

“Jangan ganggu dia lagi dirumah saya.  Banyak kerja yang  perlu buat. Dia amat rajin.”

 

“Nanti saya nasihat dia supaya dia balik  kerumah malam ini dan masak untuk Wak.”

Dia diam seribu bahasa.  Azan maghrib sudah mula kedengaran  mendayu syahdu.  Keadaan sudah semakin gelap.  Lebih -lebih lagi saya yang berada di beranda rumahnya. 

Saya mengeluarkan dompet dan  mengeluarkan sekeping  not RM50 dan menghulurkannya kepada Parto.

“Ambil ni buat belanja sementara dapat kerja baru.”

“Buat beli beras. Jangan beli rokok. Membazir.”

Parto memandang wajah saya dan nampaknya dia keberatan mahu menyambut pemberian saya. Namun dia mengulurkan tangan mengambil duit tersebut dan besalam dengan saya.

“Iya pak ustaz! Terima kasih.”

Saya turun dari rumah Era dan bergegas ke kereta untuk ke masjid. Usai solat maghrib saya pulang kerumah dan memberi tahu Era agar segera pulang kerumahnya. Pada awalnya Era enggan pulang kerana dia masih takut kepada suaminya yang mungkin akan memukulnya. Selepas memberi jaminan bahawa  suami tidak akan buat apa-apa yang buruk kerana dia sudah berjanji dengan saya tadi. 

“Balik nanti cakap baik-baik dengan dia. Bawa balik nasi sikit dengan lauk. Ambil kat dapur tu.” 

“Kalau dia pukul lagi. Datang kesini balik lah.”

Selepas Era pulang. Saya membuka beg duit saya. Saya membelek isi beg duit  mengira duit. Semalam saya ke bandar Trawau mengeluarkan duit dari mesin ATM  belanja  minggu ini.  Seingat saya ada sekeping not seratus dan 4 keping note RM50.  Puas saya membelek hanya ada 4 keping note RM50. Note Rm100 sudah tiada. 

Rupanya dalam  remang gelap petang saya  tersilap ambil duit note RM100  untuk saya sedekahkan pada Parto.  Macamana boleh tersilap.   Terdetik rasa menyesal di hati.  Sedekah saya tidak ikhlas.  Sepatutnya saya semak dulu sebelum hulur. Benda dah lepas. Terpaksa Saya memujuk hati ini agar ikhlas. 

Malam itu, Era tidak kembali. Esoknya seawal jam 6 pagi dia sudah terpacak di depan pintu rumah saya. Wajahnya ceria.  Katanya  suaminya tidak marah lagi.


No comments: