Friday, August 29, 2025

CACING KERAWIT YANG MENAKUTKAN

 Ketika zaman kanak-kanak dulu   saya sukat bermain main sekitar rumah tanpa memakai selipar.  Memang kanak-kanak umur sekitar 4  dan  5 tahun masih belum tahu erti  kebersihan.  Puas  ayah dan ummi  memarahi saya kerana tidak memakai selipar ketika bermain di sekitar rumah.


Tempat yang paling saya suka ialah dibelakang rumah juga bawa rumah. Di belakang rumah adalah tempat  yang kotor kerana sisa makanan  ketika itu hanya dilempar dari jendela dapur untuk menjadi makanan ayam yang kami bela.   Tak terbayang kotoran sisa makanan  itu dipijak dengan kaki tanpa selipar.


“Pakai selipar, Kalau tidak ayah rotan”.

Itulah  ugutan ayah. Bila  tiada kelibat Ayah dan Ummi selipar entah kemana. Memang dasar kanak-kanak.

Sehinggalah terjadi satu peristiwa ketika ingin membuang air besar.  Ketika  itu tandas di luar rumah. Ayah saya telah membuat tandas khas yang berupa lubang besar yang diletak papan yang ditebuk lubang.  Saya akan duduk bertinggung di atas papan tersebut untuk membuang.

Saya terasa ada sesuatu keluar dari punggung tapi tidak jatuh ke lubang. Saya menjenguk kebawah.  Ternampak benda panjang berwana putih. Saya menangis ketakutan dan berlaki mencari ayah saya. Rupanya itu adalah cacing kerawit yang besar. Amat mengerikan. Ayah terpaka menggunakan sepit untuk menarik keluar cacing tersebut.

Beberapa hari selepas  itu   masih terdapat cacing  dan saya akan menangis ketakutan ketika ingin membuang air besar. Ayah saya terpaksa menemani saya untuk membuang cacing tersebut yang akan melekat di punggung.

Ayah saya membawa saya ke  klinik untuk   mendapat rawatan.

“Cacing tu  masuk melalui kaki yang tidak memakai selipar ketika  berjalan”.
“Tanah yang kotor mengandungi pelbagai  bakteria, kuman, cacing dan macam-macam lagi.”

“Kalau adik tak pakai selipar ketika bermain sekeling rumah cacing dan kuman akan masuk lagi  melalui kaki.”

“Bila dia dah besar  dalam  perut dia  akan makan apa  yang adik makan.  Sihat la cacing tu dan semakin besar.”

“Adik pula yang akan kurus. Perut akan menjadi buncit sebab ada cacing semakin ramai dalam ni.”

Terang doktor sambul menunjukkan jarinya keperut saya.

Doktor memberikan ubat cacing  yang perlu diminum oleh saya dua kali sehari . Mulai hari itu saya  mula memakai selipar setiap kali berjalan dan bermain. Saya akan menangis jika tidak ada selipar  ditangga yang kadang-kadang akan dihanyutkan oleh air selepas hujan lebat. Saya tak mahu lagi cacing hidup dalam perut saya dan mencuri makanan yang saya  makan.

Beberapa hari selepas itu saya perasan bahawa dalam  najis saya terdapat cacing  dah terputus putus. Cacing itu dah mati   mungkin kerana ubat yang saya makan.

Selepas itu saya semakin sihat dan perut tidak lagi buncit macam kanak-kanak di Afrika.

Bermula dari peristiwa  itulah saya mula belajar dan memahami kepentingan kebersihan.  Wajib memakai selipar jika ingin berjalan dan perlunya  basuh tangan sebelum makan.


Thursday, August 28, 2025

KAGUM DENGAN INGATAN ARAB

 Pada semester kedua di Universiti al Albayt saya mendaftar madah (kursus/mata pelajaran) Bahasa Arab 101 dengan pensyarah tersohor dalam kalangan pelajar Malaysia Dr Abdul Qadir al Saadi. Kali pertama saya hadir ke kelas amat terkejut dengan bilangan pelajar yang ramai. Bahasa Arab 101 ini adalah madah wajib diambil semua pelajar Sarjana Muda di Universiti ini. Jadi tidak hairanlah jika pelajar ramai yang mendaftar. 


Hari pertama adalah sesi taaruf atau perkenalan. Dr Abdul Qadir meminta setiap pelajar berdiri dan memberitahu nama masing-masing dan negeri asal. Bilangan pelajar di kelas itu kalau tak silap saya hampir 100 orang atau mungkin lebih. Walaupun laju kami bertaaruf ianya mengambil masa hampir 20 minit.

Saya melihat Dr Abdul Qadir tekun mendengar setiap pelajar menyebut nama-nama masing. Tiba giliran saya.

“Ismi Abdullah Hamzah wael min kelantan.” Saya menyebut dengan suara yang jelas. Saya melihat Dr Abdul Qadir tersenyum memandang saya. Wael itu adalah nama datuk saya. Dalam dokumen dalam berurusan dengan Arab perlu diletak nama keluarga. Jadi penterjemah telah meletakkan nama datuk sebagai nama keluarga. Ayah saya adalah Hamzah bin Che Will. Dalam dokumen terjemahahkan sebagai ‘Wael’.  Jadi saya terpaksa mengaku bahawa saya adalah dari keluarga ‘Wael”.

Setelah selesai taaruf kami belajar seperti biasa.

Ketika kelas kedua dua hari selepas itu. Selepas Dr Abdul Qadir masuk ke kelas dan sebelum duduk dia menyebut semua nama pelajar seorang demi seorang dari dari hadapan sehinggalah kebelakang. Apa yang mengagumkan ialah Dr Abdul Qadir mengingati semua nama pelajar tanpa salah siap dan mana keluarga dan asal.

“Enta Abdullah Hamzah Wael min Kelantan”. Hampir ternganga saya mendengar Dr Menyebut nama saya lengkap. Begitu juga dengan rakan pelajar Malaysia yang lain. Nama mereka semua disebut lengkap. Apabila selesai menyebut nama semua pelajar dia melihata senarai nama ditangannya dan menyebut beberapa nama yang tidak hadir.

Bagi saya ini adalah perkara mustahil untuk mengingati nama yang ramai hanya dengan sekali dengar sahaja dengan tepat. Bahkan dapat membuat analisa dengan tepat. Inilah kali pertama saya mengalami situsi ini.

Kuat betul ingatan orang Arab. Pernah saya berbual dengan seorang kanak-kanak Arab jiran saya bertanyakan susur galur keluarga ketika dia datang kerumah saya. Dia boleh menyebut nama keturunanannya keatas hingga 20 nama. Saya menyalin nama-nama yang disebut untuk memastikan bahawa dia tidak menipu saya dengan hanya sekadar menyebut nama-nama.

Nah… beberapa kali dia menyebut. Ianya tetap sama. Kalaulah kita tanya kepada orang melayu. Berapa nama yang boleh diingati. Paling tinggi hingga 4 nama sahaja. Kita tidak mengambil berat tentang keturunan. Yang paling teruk ialah ingatan kita.

Ketika itulah baru saya dapat memahami kenapa Allah memilih banga Arab untuk membawa agama Islam. Rujukan Islam adalah al Quran dan al Hadis yang memerlukan ingatan yang kuat bagi menjamin kesahihan dan ketulenan teks.

Kalaulah Islam ini diturunkan kepapad orang Melayu. Adakah al Quran dan al Hadis ini akan kekal sebagaimana yang kita lihat sekarang? Tapi yang menghairankan ada juga segelintir ahli agama kita amat lantang dan keras mengkritik ulamak-ulamak silam. Saya lebih percaya kepada ulamak Arab berbanding ulamak Malaysia jika ada perbezaan pendapat. Terpulang kepada diri masing-masing.

 

Wednesday, August 27, 2025

KAMU BERTANGGUNGJAWAB KEPADA KELUARGA, RAKAN DAN JIRAN

Itu antara tajuk utama dalam satu halaqah usrah saya bersama Dr Bahjat al Habasyineh.  Selepas minum teh, sesi tawsiah dimulakan.   Saya bersama beberapa pelajar lain dari pelbagai negara khusuk mendengar tawsiah dari Dr Bahjat. 

“Sampaikan dakwah ini kepada rakan rakan, jiran jiran dan juga orang sekeliling kita.”

“Jika  mereka muslim, sampaikan ilmu  dan bimbingan agar taqwa mereka lebih baik”

“Jika mereka belum Islam, sampaikan Islam kepada  mereka.”

“Di akhirat nanti  . Jika ditakdirkan kamu semua masuk syurga Allah akan buka peluang kepada mereka ini semua untuk menyatakan  tidak puas hati mereka kepeada kamu dan membuat tuntutan.”

“Mungkin mereka akan tuntut dengan katanya.Ya Allah!  Abdullah ni selalu ke masjid untuk solat berjemaah. Tetapi dia tidak pernah    mengajak saya ke masjid”.

Aduh… Dr Bahjat memetik nama saya pula…

‘Manakalah yang bukan Islam akan menuntut. Dia sudah lama berkawan rapat dengan saya. Tetapi dia tidak pernah cerita pun tentang Islam. Dia tidak dakwah saya kepada Islam.”

Dr Bahjat mengatakana bahawa kita semua  perlu mengambil  berat tentang ini.  Kita perlu semua mencari jalan , menjana idea bagaimanakah cara untuk menyampaikan dakwah Islam kepada sesiapa sahaja. Allah telah menganugerahkan akal kepada kita. Gunalah sepenuhnya kebijaksanaan akal  kita untuk mencari idea bagaimana  sampaikan dakwah kepada masyarakat.

“Jangan kita  ananiah.. selfish.. hanya ingin selamatkan diri sendiri dari neraka dan masuk syurga Allah. Sedangkan kita lupa kepada ahli keluarga, rakan, jiran terangga. Adalah ini   mukmin yang baik?”

Persoalan inilah yang sentiasa menjadi insipirasi saya   dalam kehidupan saya seharian.

Beliau mengupas panjang  pesanan Allah :

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang berjaya." Surah Ali ‘Imran (3:104) 

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحًۭا وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ
"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, beramal soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang Islam." Surah Fussilat (41:33)

Rasulullah juga berpesan :

"بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً"

"Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat." (Riwayat al-Bukhari)

Janganlah kamu rasa senang dan selesa dengan hidup kamu tanpa mengerjakan dakwah. Buatlah apa saja untuk sampaikan dakwah Islam ini.”

“Gunakan pangkat dan jawatan yang ada untuk kepentingan Islam. Itulah tugas kita sebagai hamba Allah pewaris nabi.”

Saya masih ingat ketika saya bertugas di sandakan. Pesanan ini mengahantui saja. Lalu saya membuat banyak salinan CD yang mengimpunkan  siri-siri ceramah “Mengapa saya memilih Islam” oleh Saudara Ann Wan Seng, Muhammad Fitri Abdullah, Sylvester Abdullah dan Saudara Ayub yang agak terkenal ketika itu. CD itu semua saya agihkan kepada semua rakan guru bukan Islam di sekolah saya.

Alhamdulillah mereka menerima dengan baik. Respon mereka amat positif dan ramai yang mengucapkan terima kasih kepada saya kerana berkongsi maklumat. Mereka tidak pernah marah atau bermasam muka dengan saya. Bahkan mereka semakin rapat dengan saya walaupun mereka tidak juga kembali kepada fitrah. Namun saya berpuas hati. Bagi saya itulah  antara cara saya sampaikan dakwah kepada mereka. Tanggujawab saya sudah selesai.

Semoga di akhirat nanti mereka tidak mempersoalkan saya di hadapan Allah nanti.

Tuesday, August 26, 2025

MIMPI BASAH DI MUSIM SALJI

 Ketika kami sampai di Jordan pada awal bulan September tahun 1994, kami kami di agihkan ke rumah-rumah sewa senior di Sweileh, Amman. Ini adalah penempatan sementara sebelum kami nama kami diumumkan akan diterima disalah satu universiti kerajaan di seluruh Jordan. 


Biasanya dalam dua minggu pergerakan kami selesai mengikut universiti di bandar bandar lain di seluruh Jordan. Biasanya akan di agihkan ke Universiti Yarmuk di bandar Irbid, Universiti Muktah di Muktah dan yang paling beruntung apabila nama tersenarai di Universiti Jordan di Amman. Siapa yang dapat di Amman biasanya akan menumpang di rumah senior dahulu sehingga dapat rumah sewa baru.

Meraka yang dapat di Universiti lain terpaksa bergerak segera ke daerah lain dan menumpang sementara di rumah senior sementara dapat mencari rumah sewa baru. Generasi saya pelajar KPM tahun 1994 semuanya telah dihantar ke Universiti yang baru di buka iaitu di Universiti al Bayt yang terletak di Mafraq.

Walaupun kami sudah mendapat tempat di universiti lain dan sudah ada rumah sewa sendiri, biasanya hujung minggu kami akan ke  Amman untuk lepak di rumah senior yang kami menumpang dahulu.

Di rumah  senior yang kami menumpang di  Sweileh ada sorang senior yang nakal dan suka  bergurau mengenakan rakan-rakanya termasuk kami. Ketika kami berkunjung ke rumah mereka  pada musim sejuk penghujung bulan Disember. Ketika itu kami ke Amman untuk merasai pengalaman melihat salji kali pertama dalam hidup ini. Amman adalah wilayah sejuk dan setiap tahun akan  turun salji berbanding di tempat kami Mafraq.

Bila kami sampai, senior kami tu meraikan kami dengan menjamu  ‘Rutab’. Iaitu buah kurma yang  sudah masak. Katanya

“Sekarang ni musim sejuk. Kamu mesti makan buah  ini  untuk panaskan badan”.

Apa lagi kamu pun berebutlan makan rutab. Memang rasanya pun sedap.  Sejuk pada musim salji ni memang ekstrem bagi kami. Amat sejuk sampai ketulang.  Pada musim sejuk kami tidak dinasihatkan mandi . Mandi hanya ketika perlu saja. Biasanya kami akan mandi seminggu sekali. Ada yang mandi sebulan sekali kerana tidak tahan sejuk. Apabila mandi akan menggunakan air panas ‘sakhanah’.

Satu tong air panas ‘sakhanah’ hanya boleh mandi untuk dua orang sahaja. Jika orang ketiga ingin mandi dia  perlu tunggu sehingga 20 minit untuk sampai ke suhu yang sesuai untuk mandi.

Apa yang pelik saya perhatikan , rakan senior  tadi langsung tidak makan rutab tadi. Dia hanya melihat kami makan. Bila di pelawa dia menjawab:

“Kamu semua makanlah. Saya dah biasa dengan cuaca sejuk. Tak perlu makan rutab  lagi. Haa. Makanlah sampai habis. Semakin banyak kamu makan semakin panas badan.  Semakin tahan sejuk”.

Habis 2 kilo rutab kami makan hanya tinggal biji.  Memang betul kata mereka . Badan  kami rasa ada kelainan dan sedikit hangat. Tapi tidaklah ketara sangat dan rasa sejuk macam tidak hilang juga. Biarlah. Janji perut kenyang.

Pagi esoknya apabila bangun pagi terasa basah dalam seluar. Ingatkan terkencing. Rupanya baru saya teringat mimpi malam tadi.. adus mimpi basah la pula. Kena mandi pagi ni sebelum solat subuh.Saya bangun untuk ke tandas.  Sudah kawan saya sedang berselimut depan tandas menunggu giliran. Dalam tandas kedengaran siraman air mandian. Ada orang sedang mandi.

“Kamu nak mandi juga?”

“Ya.. eksiden malam tadi. Wajib mandi.”

Rupanya  tiga orang dari kami berempat mimpi basah malam  tadi. Mimpi berjamaah rupanya.

Tiba-tiba kami terdengar senior  kami yang menghidangkan rutab gelak berdekah-dekah.

“Ha ha.. kena la kamu semua. Boleh la rasa penaangan rutab. Tiga orang kena mandi   wajib sebab eksiden”.

“Aku dah kena dulu. Sekarang kamu la pula. Nanti boleh makan rutab  lagi. Nanti saya beli lagi”.

Memang hebat penangan rutab. Patutlah bangsa Arab ni tenaga batin mereka kuat. Makanan  seharian mereka  sesuai untuk memanaskan badan dan melancarkan aliran darah. Kami pun terkena.

Pada tahun kedua ketika pelajar-pelajar baru  datang mendaftar  ke  Univerisity kami  di Mafraq. Saya menjemput beberapa orang pelajar baru bermalam di rumah saya. Kali ini  baru permulaan musim sejuk. Suhu di Mafraq  tidak sebagaimana di Amman. Namun masih berasa di bawah 10 C. Kalau mandi  perlu menggunakan air panas.

Selepas makan malam saya telah menjamu mereka dengan  rutab. Saya  beli sekotak di pasar Mafraq sebab harganya murah.  Saya  memberitahu pelajar sebagaimana yang abang senior di Amman. Makan rutab untuk panaskan badan di musim sejuk.

Apa lagi . Mereka makan dengan berseleralah hampir separuh kotak menjadi habuan mereka.  Malam itu kami  berbual sambil menonton tv  dibilik saya . Kami tidur satu bilik dengan menggunakan pemanas hawa gas  yang kami panggil ‘Sobah’. Tidur dengan  gebar besar amat melenakan dengan cuaca yang sejuk.

Pagi esoknya ketika kami bangun untuk solat subuh. 

“Abang! Kami kena balik lah. Nak kena mandi ni”.

“Kenapa ?” tanya saya buat buat tidak tahu.

“Kami mimpi basah malam tadi. Syafiq pun kena mandi juga.”

Daripada lima orang yang  makan rutab malam tadi tiga orang  yang mimpi basah. Penangan rutab memang hebat.   

Monday, August 25, 2025

SAYA DARI KAMPUNG GERTAK KECHUPU

Hari pertama dan kedua di IKIP adalah hari suaikenal antara kami dan juga para pengajar. Kami diagihkan kepada 4 kelas. Bilangan kami Ketika itu seingat aku ialah sekitar 84 orang kesemuanya.

Antara satu slot yang aku masih ingat ialah sesi pengenalan diri. Setiap pelajar kena keluar kedepan untuk memperknalkan diri. Kalau tak sila aku yang uruskan slot ini laha Ust Hasnan. Dia telah memainkan lagu arab ‘Kalimaat’ dendangan Majdah al Roumi. Kami diberikan satu barang seingat aku macam balang gula-gula untuk digerakkan kepada semua pelajar. Jika lagu itu diberihentikan siap dan siapa yang sedang memegang balang tersebut akan keluar kedepan memperkenalkan diri. 


Entah macammana aku yang Ketika itu duduk di bahagian belakang agak ralit. Ketika balang itu dicampakkan keatas riba aku, aku tak sempat untuk memberinya kepada orang sebelah dan tiba-tiba lagu itu berhenti. Semua orang memang pada aku. Jadi terpaksalah aku keluar kehadapan dengan muka poyo.

Ini lah kali pertama aku kena bercakap di depan ramai orang di luar Kelantan. Sebelum ni aku tidak ada masalah bercakap di Kelantan sebab mudah saja dengan loghat Kelantan. Aku tak pernah terdedah dengan Bahasa baku. Yang aku tahu hanya loghat Kelantan.

Aku buka mulut bagi salam ja, aku dah dengar ada orang gelak.. Pelik sangat ka Bahasa aku. Bila aku sebut :

“Saya dari Kampung Gertak Kechupu”. Tiba-tiba bingit dewan kecil dengan gelak ketawa. Ramai yang ketawa terbahak-bahak. Ada yang ketawa sampai berair mata. Teruk sangat. Aku hanya mampu tersenyum.

Aku terdengar ada suara bertanya.

“Apa dia itu gertak?”

“ Apa maksud Kechupu”.

Aku jawab soalan tu..

“Gertak tu maksud dia jambatan. Kechupu adalah sejenis buah. Memang nama kampung saya Istimewa”.

Lepas itu semua orang mengenali aku. Nama kampung aku yang Istimewa menyebab nama aku mudah di ingati.

Memang aku akui nama kampung aku memang unik. Si sekolah aku pun aku dikenali kerana nama kampung Gertak Kechupu. Walaupun kampung aku ada nama  kedua yang baru diperkenalakan iatu kampung Mentuan. . Namun aku lebih selesa menggunakan nama yang asal. Itulah identiti sebenar kampung aku.

Aku bangga dengan Kampung Gertak Kechupu.

Friday, August 22, 2025

SEDEKAH TIDAK IKHLAS

 Ketika saya menginap di  kuarters IPG Tawau, pembantu rumah saya namanya Era. Dia seorang yang amat rajin dan amanah.  Dia sentiasa datang tepat pada masanya. Amat jarang dia lewat sampai kerumah  kami di waktu pagi seawal jam 6 pagi.

Satu hari, dia lewat datang . Hampir  jam 7 pagi  baru sampai. Saya  sendiri terpaksa menghantar anak saya kepagar IPG untuk menaiki van ke sekolah.

“Mohon maaf Pak Ustaz!  Saya ada masalah dengan suami saya.”.

“Oh.. begitukah. Tak mengapa.”

Saya tidak marah bila mendengar alasannya.

Era memberitahu saya bahawa   suaminya baru diberhentikan kerja dan  emosinya agak terganggu. Dia hanya dirumah saja . Makan , hisap rokok dan tidur. Sebelum ini masa dia kerja dia keluar awal  sebelum dia datang kerumah saya. Jadi tiada masalah lah.

Saya ingat   masalah ini selesai begitu sahaja . Rupanya  tidak. Beberap kali suami Era datang kerumah saya memanggil isterinya pulang. Era  berkeras tidak mahu pulang sehingga selesai kerja di rumah saya.

Beberapa hari selepas itu, selepas maghrib Era tiba-tiba datang kerumah saya. Muka dia ketakutan.

“Tolong saya pak Ustaz, Suami   sudah hilang akal. Dia mahu pukul saya. Boleh saya minta izin tidur   dirumah Ustaz.”

Saya memberi kebenaran untuk Era  menginap rumah saya sementara keadaan  menjadi  lebih tenang.  Esoknya ketika pulang  makan tengah hari Era memberitahu saya bahawa suaminya datang lagi. Dia menjerit-jerit dari bawah rumah memanggilnya pulang.

“Saya tidak mahu pulang ustaz. Saya takut dipukulnya saya.”

Nampaknya kes ini semakin rumit. Saya mesti bertindak segera.  Petang itu selepas mendapat maklumat tentang lokasi rumah Era . Saya kerumahnya. Dekat saja rumahnya dalam 300 meter dari kuaters saya. 

Kebetulan Parto , suami Era ada dirumah. Dia sedang duduk di beranda rumahnya sambil mengisap rokok. Dia mempersilakan saya naik  kerumahnya. Saya memberitahunya bahawa Era tidak mahu pulang. 

“ Era tu , isteri yang degil. Saya  suruh dia berhenti kerja dia tidak mahu. Keras kepala betul.”

“ Siapa nak masak nasi untuk aku.”

 

“Wak tak kerja ke sekarang? Sepanjang hari ada kat rumah ni.”

 

“Aku tak ada kerja sekarang. Tempat lama aku tu tak mahu pakai orang lagi.”

 

“Jadi kalau tidak  kerja. Mana mahu dapat belanja sewa rumah dan belanja harian?” 

Dia diam. Sambil menghembuskan  asap rokoknya. Matanya memandang jauh ke gugusan pokok pisang tepi rumahnya.

Waktu dah gelap hampir maghrib. Bila bila masa akan kedengaran azan dari Masjid kilang sawit berdekatan. 

“Biarkan Era  bekerja. Dia boleh batu ringankan beban Wak. Sekurang-kurangnya lepas bayar sewa rumah dan belanja bulanan sementara wak dapat kerja baru.”

 

“Jangan ganggu dia lagi dirumah saya.  Banyak kerja yang  perlu buat. Dia amat rajin.”

 

“Nanti saya nasihat dia supaya dia balik  kerumah malam ini dan masak untuk Wak.”

Dia diam seribu bahasa.  Azan maghrib sudah mula kedengaran  mendayu syahdu.  Keadaan sudah semakin gelap.  Lebih -lebih lagi saya yang berada di beranda rumahnya. 

Saya mengeluarkan dompet dan  mengeluarkan sekeping  not RM50 dan menghulurkannya kepada Parto.

“Ambil ni buat belanja sementara dapat kerja baru.”

“Buat beli beras. Jangan beli rokok. Membazir.”

Parto memandang wajah saya dan nampaknya dia keberatan mahu menyambut pemberian saya. Namun dia mengulurkan tangan mengambil duit tersebut dan besalam dengan saya.

“Iya pak ustaz! Terima kasih.”

Saya turun dari rumah Era dan bergegas ke kereta untuk ke masjid. Usai solat maghrib saya pulang kerumah dan memberi tahu Era agar segera pulang kerumahnya. Pada awalnya Era enggan pulang kerana dia masih takut kepada suaminya yang mungkin akan memukulnya. Selepas memberi jaminan bahawa  suami tidak akan buat apa-apa yang buruk kerana dia sudah berjanji dengan saya tadi. 

“Balik nanti cakap baik-baik dengan dia. Bawa balik nasi sikit dengan lauk. Ambil kat dapur tu.” 

“Kalau dia pukul lagi. Datang kesini balik lah.”

Selepas Era pulang. Saya membuka beg duit saya. Saya membelek isi beg duit  mengira duit. Semalam saya ke bandar Trawau mengeluarkan duit dari mesin ATM  belanja  minggu ini.  Seingat saya ada sekeping not seratus dan 4 keping note RM50.  Puas saya membelek hanya ada 4 keping note RM50. Note Rm100 sudah tiada. 

Rupanya dalam  remang gelap petang saya  tersilap ambil duit note RM100  untuk saya sedekahkan pada Parto.  Macamana boleh tersilap.   Terdetik rasa menyesal di hati.  Sedekah saya tidak ikhlas.  Sepatutnya saya semak dulu sebelum hulur. Benda dah lepas. Terpaksa Saya memujuk hati ini agar ikhlas. 

Malam itu, Era tidak kembali. Esoknya seawal jam 6 pagi dia sudah terpacak di depan pintu rumah saya. Wajahnya ceria.  Katanya  suaminya tidak marah lagi.


Thursday, August 21, 2025

JAWI DIMARTABAT, WARISAN DIANGKAT

 Hari Isnin dan  Selasa 18-19 Ogos saya berpeluang menghadiri Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu   yang  di  Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan. Konvensyen ini di anjur oleh Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah.

Alhamdulillah bagi saya Konvensyen ini  amat berjaya  dan  ucapan jutaan tahniah kepada Unipsas sebagai penganjur yang telah  menjadikan program ini sebagai wacana  perbincangan pemerkasaan tulisan Jawi.  


 

Para pembentang telah berjaya mengemukakan isu dan mencadangkan penyelesaian yang terbaik untuk mengangkat tulisan jawi yang masih dianggap sebagai tulisan warisan.  Saya amat kagum dengan pembentang dari Jepun Dr Hiroki Nomoto yang amat amat menguasai Bahasa Melayu dan juga tulisan jawi. Malah  sehingga hari ini  kami masih berhubung  melalui Apps Massanger dengan  dengan tulisan Jawi.

Saya teringat  satu perbualan saya dengan seorang   wanita  ketika sedang memilih buku di Reruai Dewan Bahasa dan Pustaka. Dia menegur saya  apabila melihat  membelek buku Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan.

“Bagus buku ini. Saya cadangkan tuan beli. Panduan amat     berguna bagi buat saya”.

“Saya dah ada. Saya  pun guna buku ini sebagai panduan dalam penulisan jawi”. Saya memandangnya sambil tersenyum.

“Saya berpandangan kita  perlu ubah persepsi kita semua dan masyarakat  bahawa tulisan jawi bukan sekadar tulisan warisan. Tulisan jawi adalah tulisan harian   kita.”

“Saya lihat ramai yang memperjuangkan tulisan jawi ini pun  menggunakan tulisan rumi.”

“mereka tak biasa dan mahu cepat.”  Saya menyampuk.

“Iya lah.. sebab tidak biasa. Kena biasakan lah.”

“Kalau kita sendiri tidak mampu   menjadikan tulisan jawi sebagai tulisan arus perdana. Jangan harapkan orang lain mampu. Jauh sekali bangsa lain.”

Saya terdiam sambil tersenyum kelat. Wanita separuh umur itu memilih dia buah buku dan menuju ke kaunter. Saya tak sempat bertanya lebih.

Ya.   Saya bertanya ChatGPT tentang tulisan yang asalnya telah mati tetapi berjaya dihidupkan semula menjadi tulisan harian. Jawapannya ialah tulisan Ibrani atau Hebrew. Bahasa ini pada asalnya hanya digunakan dalam upacara agama dan tulisannya termaktub dalam manuskrip lama sahaja pada awal kurun ke18. Namun sekarang ianya telah berjaya dihidupkan semula dengan usaha dan perancangan yang rapi  oleh seorang tokoh bahasa Yahudi Israel.

Rumasan mudah saya ialah azam, tekad, perancangan dan kesatuan yang menjadikan mereka berjaya. Berbanding dengan masyarakat kita hanya  banyak bercakap berbanding bertindak. Jawi kita hanya di sekolah, di  papan tanda dan papan iklan. Tidak lebih dari itu.

Jom. Mari kita sama-sama mertabatkan tulisan jawi dalam urusan harian hidup kita.

Friday, August 15, 2025

TETAMU CILIK PENGEMIS ROTI

 Tinggal di rumah sewa baru Abu Mahmoud amat menenangkan. Bangunan milik Abu Mahmoud ini    mempunyai empat buah rumah. Dua di tingkat atas dan dua ditingkat bawah. Rumah saya dibahagian  belakang di tingkat bawah.  Kami perlu masuk melalui  lorong susur masuk sebelah kiri bangunan. 


Satu petang,  loceng rumah berbunyi. Rumah -rumah di sini biasanya dilengkapi dengan loceng dan ada yang lebih canggih dilengkapi dengan  mikrofon dan speaker agar   tuan rumah boleh bertanya siapa yang datang dan  apa urusannya. Rumah saya hanya sekadar loceng sahaja.

Bila saya membuka pintu rumah    ada seorang budak  lelaki berumur   sekitar 8 tahun berpakaian  lusuh dan comot.

“Ahlan… Fi syai’.. Syu biddak?”  Tanya saya.

“Ammu..   fi syai’ yu’kal.. biddi a’kul.. ana  jauaan.,”  (Pakcik, ada sesuatu yang boleh dimakan. Saya lapar). Pintanya dengan pandangan yang penuh pengharapan.

Oo.. budak  ini lapar rupanya..  Hari ini kebetulan makan dirumah saya sudah habis. Hanya ada beras yang belum dimasak. Saya teringat ada sisa roti kering  yang sudah beberapa minggu tersadai   di atas  rak bawang di dapur. Itu saja yang ada.

Saya ke dapur mengambil roti tersebut. Nampaknya masih  elok, cuma ia sudah keras untuk dimakan.  Cuaca di Jordan  ini amat berbeza dari Malaysia.    Tidak ada kelembapan seperti di Malaysia. Makanan tidak rosak walaupun dibiar berhari-hari bahkan berminggu minggu. Nasi yang kami tanak tidak basi walaun dibiarkan beberapa hari. Kami tak perlu risau.

Begitu juga dengan roti. Roti arab bentuknya lebih kurang roti capati  di malaysia namun lebih nipis. Roti menjadi makanan harian masyarakat arab disini. Ia dimakan bersama minyak zaitun, Za’tar,  hummus dan yang paling saya suka ialah mutabbal.

Kami biasanya sarapan pagi dengan roti inilah   yang kami panggil ‘khubuz’ bersama Asim dan Alvin. JIka mahu lebih sedap dan terasa mewah kami   masak daging atau telur dimakan bersama khubuz tersebut.

Saya menghulurkan  beberapa roti kering tersebut yang di isi dalam  ‘kiis’ (plastik) kepada budak tadi.

“Bass  fii  khubuzz.. tafaddhal..” (Hanya ada roti ini. Silakan)

Dia menyambut roti tadi  dan  terus duduk atas lantai  dan memakannya sambil berselerea sekali. Seolah dia tidak jumpa makanan beberapa hari. Selepas hampir habis sekeping roti dia bangun  menghulurkan tangan bersalam dengan saya.

“Syukran ammu.. tislam eidak…” (terima kasih pakcik. Allah berkati tangan kamu)

“Baarakallahu fiek..” (Allah berkati kamu)

Kemudia dia mengangkat  tangan tinggi hingga paras kepalanya dan mendongak kelagit berdoa.

“Ya.. Allah berkatilah   saudara yang memberi aku makan hari ini dan jagalah dia sepanjang hidupnya. Berilah pahala berganda kepadanya di akhirat nanti.”

Begitulah lebih kurang doanya. Begitulah keadaan  masyarakat   Arab sekeliling kami.  Mereka  amat  beradab dan sentiasa mendoakan siapa yang memberi makanan atau memberi apa-apa bantuan.   

Ungkapan   ‘Tislam eidak’ dan ‘barakallahu fik’  tidak lekang dibibir mereka dan sentiasa menjadi tuturan spontan  jika diberikan sesuatu   atau dihulurkan bantuan kepada  orang arab di sini.

Saya cuba mendidik diri saya untuk sentiasa bermurah hati memberi makanan kepada sesiapa sahaja. Saya teringat pesan Allah dalam firmanya  Surah al-Insān (76:8–9)

وَيُطْعِمُونَ ٱلطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ مِسْكِينًۭا وَيَتِيمًۭا وَأَسِيرًا۝ إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ ٱللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَآءًۭ وَلَا شُكُورًا
"Dan mereka memberi makan, dengan perasaan kasih sayang kepada orang miskin, anak yatim dan orang tawanan, sambil berkata: Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu hanyalah kerana mengharapkan keredhaan Allah; kami tidak menghendaki sebarang balasan atau ucapan terima kasih daripada kamu."

Begitu juga pesan junjungan nabi dalam Hadis Sahih Muslim

أَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وَأَفْشُوا السَّلَامَ، وَصِلُوا الأَرْحَامَ، وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ، تَدْخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلاَمٍ
"Berilah makan, sebarkan salam, sambunglah silaturahim, dan solatlah di waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat."
(Riwayat Muslim, no. 2042)

 

Sayangnya saya tidak pernah memberi sesuatu kepada ‘Dana’.  JIka tidak.. saya akan mendengar tutur keramat darinya… ‘Tislam Eidak..”


Thursday, August 14, 2025

MENGIKIS NOSTALGIA

 Selepas menerima warkah titipan Dana  emosi saya sedikit terganggu walaupun saya telah membuat keputusan tuntas. Bait-bait kata lirik lagu   kadang-kadang masih menghantui benak  saya.   Ia semakin kuat apabila setiap hari   saya terpaka  melintas  bangku bawah pokok anggur sebelum keluar rumah.


Saya berbincang dengan rakan serumah  untuk mencari rumah sewa lain agar  dapat membantu saya menghilangkan gangguan memori ini.  Kebetulan pula satu hari saya bertemu dengan  rakan saya Asim dari Albania juga sedang mencari rumah sewa.  Beliau ingin tinggal berasama rakannya Alvin atau  panggilannya Abu Ammar.

“Kamu nak tinggal berduakah?”

“Mungkin kalau ada rumah yang sesuai. Rumah saya sekarang amat padat . Sudah ada 8 orang rakan serumah. Kami hanya tidur diruang tamu.”

“Saya  nak cari rumah yang  sewanya bawa JD50.  Lebih dari  itu kami tak mampu.”

“Wei.. mana ada rumah  sewa harga sebegitu melaikan rumah yang amat teruk..  nanti saya cuba risik.. mungkin ada rezeki kamu  dan  Alvin.”

Saya berbincang dengan Rafiq kemungkinan Asim dan Alvin boleh  tinggal bersama kami. Saya  dan Rafiq  mula berusaha mencari rumah sewa baru dengan bertanya khabar beberapa orang  Arab sekitar  Dhubbat dan Hayyu Sikkah.

Rafiq berjaya mendapat satu nombor telefon Abu Mahmoud yang mempunyai rumah untuk disewa dan kami membuat temujanji. Rupanya rumah sewa tersebut hanya berbeza satu   imarah (bangunan) sahaja dari   Imarah  Abu Raghib. Tapi untuk ke universiti    kami akan mengambil jalan lain tidak  lagi  melaui jalan rumah Abu Raghib. 

Apa yang penting saya tidak lagi melihat bangku dan pokok anggur itu kerana ia berada dalam pagar tembok yang tinggi. Kami memberi notis  sebulan kepada Abu Raghib  dan Abu Mahmoud juga memberi peluang kami memindahkan barang tanpa bayaran sewa awal.

Abu Raghib pada awalnya agak keberatan ingin melepaskan kami dan menawarkan untuk  menurunkan  kadar sewa kepada kami berdua. Namun alasan saya ingin mencari suasana baru  amat difahami. Dana   lebih jauh membawa diri hingga ke Yanbu di Arab Saudi.Saya hanya membawa diri ke belakang bangunan sahaja.

Saya dan  Rafiq bersepakat untuk membantu mengurangkan beban Asim dan Alvin  yang hanya hidup dengan bantuan kementerin  waqaf Jordan sahaja.    Rumah Abu Mahmoud    hampir tiga kali ganda besar dengan tiga bilik yang luas dan ruang tamu dan dapur yang selesa. Sewa rumah JD100  dibayar oleh saya dan Rafiq dengan JD40 seorang.Manakala bakinya dibayar oleh Asim dan Alvin.

Kami  berharap  bantuan ini dikira sebagai infaq kami kepada   ibnu sabil yang sedang musafir menuntut ilmu di bumi Kinanah ini. Semoga kamu mendapat saham berterusan jika ilmu mereka dimanfaatkan  kemudian hari.

Apa yang penting saya dapat mengelakkan gangguan  dari kenangan bangku dan pokok anggur di rumah Abu Raghib.  Kad bunga Ros dan surat titipan  Dana, saya  selitkan dalam celahan kitab  masadir yang amat kurang untuk dirujuk.  

Saya teringat bebapa bait bait syair klasik yang dipelajari dihafal rupanya ia dekat dengan fitrah kehidupan manusiawi termasuk saya send

Jamil Buthayna menyusun bait tentang perpisahan cinta

وَلَوْ أَنَّنَا إِذْ نَبْتَدِلْتُ فُؤَادَهَا        وَفُؤَادِي بِفُؤَادِهَا لَتَحَوَّلَا
وَلَكِنَّ قَدْرًا لَا يُرَدُّ قَضَاءُهُ       حَكَمَ فَمَا لِلْمَرْءِ فِيهِ تَحَيُّلَا


Andai hatiku dan hatinya dapat bertukar tempat,
Nescaya rindu itu akan saling terubat.
Namun takdir yang tak dapat ditolak telah memutuskan,
Tiada daya manusia untuk mencari helah.

 Imruʾ al-Qays dalam Muʿallaqa yang masyhur dalam siri puisi pra-Islam

قِفا نبكِ من ذِكرى حبيبٍ ومَنزلِ … بسَقطِ اللوى بينَ الدخول فَحُوملِ.
“Berhentilah, sahabatku, mari kita menangis mengingat sang kekasih dan tempatnya … di lembah Luwā, antara al-Dukhūl dan Ḥūmal.”

.     فَتُوضِحَ فَالْمِقْرَاةِ لَم يَعْفُ رَسْمُها     لِمَا نَسَجَتْها مِن جَنُوبٍ وَشَمَالِ

Di Tawdih dan al-Miqrāh, masih jelas bekas tapaknya, meski diliputi tenunan angin selatan dan utara.

Bait bait ini menyentuh nuansa nostalgia dan kesedihan atas memori yang telah hilang, simbolis bagi perpisahan dan cinta yang tak tercapai.

Semoga Allah  bagi ketenangan kepada saya  untuk menuntut ilmu dibumi barakah ini tanpa gangguan. Persoalan jodoh, cinta dan kasih saya serahkan pada Allah. Biar Allah yang tentukan . Sudah tentu ia akan bagi yang terbaik untuk hambanya.


Wednesday, August 13, 2025

SELAMAT TINGGAL, SEMOGA KAMU BAHAGIA

Saya bergegas naik ke rumah di tingkat atas. Sampul surat tebal titipan Dana kemas dipegang  erat. Saya tidak sabar ingin menatap isinya.

Tangan saya mencapai gunting yang diletak dalam bekas bersama pen dan alat tulis lain. Dengan teliti saya menggunting hujung sampul agar tidak merosakkan isi dalamnya.


Saya menariknya isinya dengan teliti. Terdapat satu kertas keras seperti kad dan satu lagi kertas berlipat bertulis tangan. Kad tersebut terserlah dengan objek sekuntum bunga Ros yang dihasilkan dengan cebisan cebisan bunga kering yang ditampal membentuk sekuntum bunga. Warnanya sudah hampir pudar kerana ianya sudah hampir kering lantaran cebisan tersebut adalah kelopak bunga yang asli. Saya tidak pasti apa jenis bunganya. Manakala batang dan daun bunga adalah ranting dan daun asal yang sudah diceraikan dan ditampal rapi.

Amat  kemas dan teliti  tampalannya. Cebisan daun kecil  disusun rapi secara bertindan ditampal  membentuk bingkai kad tersebut. Cantik dan kemas hasilnya. Di bahagian bawah kad tertulis nama saya disusuli dan ungkapan ‘Ahla zikrayaat…‘Dana al Zu’biy’.  Kad ini nampaknya hasil kraftangan Dana sendiri. Nampaknya dibuat khas untuk saya.

Kemudian saya membuka lipatan kertas kedua berwarna ‘wardiy’. Kertasnya nipis tetapi cantik. Cantik dan kemas tulisannya.

إلى عزيزي الغالي....

أكذب عليك إن قلت بحبك
وأني نسيتك
أكذب عليك
أكذب عليك إن قلت نسيتك
ورجعت أفكر في اللي فات
وأقول يا ريتك... يا ريتك معايا

يا ريتك معايا
دايمًا على بالي
ولا بنساك
وساعات بشوفك
وأنت بعيد عني معايا
في خيالي

"وداع يا غالي… الله يسعدك وين ما كنت"

 

Aku berbohong jika aku katakan aku mencintaimu,

Dan aku sudah melupakanmu — aku dusta padamu.

Aku berbohong jika aku kata aku lupa…

Kerana aku masih mengenang masa lalu dan berkata,

“Kalaulah kau masih di sisiku…”

 

Kau sentiasa di dalam fikiranku,

Aku tak pernah lupakanmu,

Kadangkala aku melihatmu… meski jauh dariku,

Kau hadir dalam khayalanku.

Selamat tinggal wahai kasih… Semoga Allah membahagiakanmu di mana sahaja kamu berada

 

Bait bait ini kemudiannya saya tahu bahawa ia adalah lirik lagu qasidah dendangan ‘Wardah al Jazairiyyah’.

Berkali-kali saya membaca bait-bait tulisan Dana. Hati saya bungkam. Sedih. Saya berdiri di tingkap merenung jauh melihat dan mengira-ngira dedaun pokok tin di belakang rumah Abu Raghib.

Saya  rasa bersalah kerana membuat keputusan itu. Saya telah mengecewakan harapan sesorang. Rupanya Dana ke Yanbu bukan sekadar untuk tinggal dengan pakciknya. Dia membawa diri memujuk  duka hatinya.  Saya telah mengecewakan Dana.

Saya  melipat warkah tulisan Dana itu kembali menyelitkannya di celah kitab ‘Fatawa Muasirah’ yang sedang saya tekuni ketika itu.  Kad  kraftangan bunga ros tadi di usap dengan lembut. Kemudian saya  letakkan    rak kitab  disandarkan kepada kitab kita yang tersusun kemas.

Hati saya meruntun pilu.  Keputusan sudah dibuat. Walaupun ianya pahit dan terpaksa mengecewakan harapan sesorang. Saya yakin keputusan itu adalah petunjuk dari Allah hasil istikharah saya beberapa  hari. Hati saya berbisik memujuk bahawa Allah maha mengetahui dan maha bijaksana. Allah telah aturkan  jodoh yang terbaik untuk saya. Cuma  masanya belum  tiba.

Sabarlah wahai duhai hati. Jodohmu pasti tiba.  Dalam diam  saya berdoa agar Allah memberi ketenangan kepada Dana . Semoga Allah cepatkan jodohnya dengan cinta hatinya yang sekufu.

Begitulah perjalanan hidup ini. Kita perlu menerima bahawa takdir dan keadaan kadangkala tidak selari dengan perancangan atau keinginan kita. Begitu jugalah cinta dan kasih. Saya teringat bait-bait  syair masyhur yang diungkapkan oleh  al Mutanabbiy:

مَا كُلُّ مَا يَتَمَنَّى الْمَرْءُ يُدْرِكُهُ                    تَجْرِي الرِّيَاحُ بِمَا لَا تَشْتَهِي السُّفُن

Tidak semua yang diinginkan oleh manusia akan dapat digapainya;
angin kadangkala bertiup tidak seperti yang diingini oleh kapal.