Wednesday, May 28, 2025

ADA URUSAN APA DI SANDAKAN?

 Itulah pertanyaan kawan saya bila saya mempelawanya mengikuti saya  ke Sandakan. Kebetulan Air Asia membuat promosi harta tiket murah ke Sandakan kurang dari RM300 . Jadi saya mencari teman untuk rihlah bersama. 


Tujuan saya ke Sandakan adalah untuk menziarahi sahabat-sahabat lama yang telah lama saya tinggalkan.Kenangan bersama mereka masih segar dalam ingatan saya. Kehidupan bersama sahabat sahabat lama di Sandakan banyak mendidik dan mengajar saya tentang kehidupan. Saya mengasihi semua sahabat saya kerana Allah.

Saya teringat pesan nabi

وروى مسلم بسنده عن أبى هريرة رضى الله عنه قال : قال رسول الله ﷺ : إن رجلا زار أخا له في الله فأرصد الله له ملكا فقال : أين تريد ؟ قال : أريد أن أزور أخى فلانا ، فقال : الحاجة لك عنده ؟ قال : لا ، قال : لقرابة بينك وبينه ؟ قال : لا ، قال : فبنعمة لك عنده ؟ قال : لا ، قال : فَبِمَ ؟ قال : أحبه في الله ، قال : فإن الله أرسلني إليك يخبرك بأنه يحبك لحبك إياه ، وقد أوجب لك الجنة

Hadis Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah bersabda:

"Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya kerana Allah, lalu Allah mengutuskan malaikat kepadanya. Malaikat itu bertanya: 'Ke mana engkau hendak pergi?' Lelaki itu menjawab: 'Aku hendak menziarahi saudaraku si fulan.' Malaikat itu bertanya lagi: 'Adakah engkau mempunyai suatu hajat dengannya?' Lelaki itu menjawab: 'Tidak.' Malaikat bertanya lagi: 'Adakah kerana hubungan kekeluargaan antara kamu berdua?' Lelaki itu menjawab: 'Tidak.' Malaikat bertanya: 'Adakah dia pernah berbuat baik kepadamu yang engkau ingin membalasnya?' Lelaki itu menjawab: 'Tidak.' Malaikat bertanya lagi: 'Kalau begitu, kenapa engkau menziarahinya?' Lelaki itu menjawab: 'Kerana aku mencintainya kerana Allah.' Maka malaikat itu berkata: 'Sesungguhnya Allah telah mengutusku kepadamu untuk memberitahumu bahawa Dia mencintaimu sebagaimana engkau mencintainya kerana-Nya, dan Dia telah mewajibkan untukmu syurga.'"

Saya telah membeli tiket untuk ke Sandakan dalam bulan Mac lagi dan memilih tarikh 15 hingga 18 Mei untuk bermusafir. Dua minggu sebelum perjalanan saya terdetik di hati saya untuk menziarahi rakan lama saya yang bertugas di pedalaman terlupid.

Malangnya beliau tidak menjawab panggilan dan  mesej dalam aplikasi Whataspp juga tidak berbalas. Seolah dia telah menukar nombor baru. Saya merujuk kepada sahabat lama di Jabatan pendidikan untuk mendapatkan maklumat lama saya ini. Alhamdulillah setelah mendapat maklumat sekolah tempat bertugas saya mencari maklumat di facebook. Saya mengubungi GB sekolah tersebut untuk bertanya khabar sahabat lama saya.

Alangkah terkejutnya saya bila saya mendapat maklumat bahawa sahabat lama saya itu mengahadapi sedikit kesulitan dan perlu bantuan. Guru Besarnya amat berbesar hati jika saya dapat membantu mencari jalan menyelesaikan masalah tersebut.

Niat saya yang asal telah dipermudahkan oleh Allah apabila ada sahabat yang cakna mahu membantu saya sama-sama ke Sandakan membantu sahabat lama kami. Rupanya misi saya menziarahi sahabat sahabat di Sandakan telah diatur Allah untuk membantu sababat lama kami yang dalam kesulitan.

Perjalanan kami amat jauh. Penerbangan Air Asia dari Kuala Lumpur ke Sandakan mengambil masa 2 jam 50 minit. Kemudian kami akan merentas perjalanan darat selama 3 jam ke pedalaman Telupid. Demi sahabat, kami sanggup mengharungi kepayahan ini. Semoga Allah memberkati perjalanan kami.

Friday, May 09, 2025

KRISS 15 : AMBIL MOTORSIKAL USTAZ, KAT SINI TAK SELAMAT

 Itu yang dicadangkan oleh Sarjan Roland kepada saya walaupun dia beritahu bahawa kes kecurian belum selesai. Pembeli masih belum di dakwa dan belum ada tarikh perbicaraan. Motorsikal saya menjadi bahan bukit kes. 


“Eh, kenapa pula kat sini tidak selamat. Kan ini balai polis.” Saya bertanya kembali sedikit pelik dengan kenyataan Sarjan.

“Kat sini  nama ja balai polis.  Bagi kenderaan    rampasan atau  kes sebegini paling tak selamat.  Ustaz tengok la nanti kalau tidak ambil motorsikal tu.”

Nanti  Ustaz buat surat untuk nyatakan keperluan nak guna motorsikal dan saya sokong. Nanti Ustaz kena tandatangan satu borang janji nak bawa motorsikal ini pada hari perbicaraan nanti bila dah ada tarikhnya.” 

Saya mengikut apa yang  disarankan oleh Sarjan Roland.  Saya pulang dulu dan datang semula dengan kawan saya Ustaz Mahadir yang mempunyai Hilux untuk mengangkut motorsikal ke bengkel. Saya  memberitahu Ustaz Tuan Roslan tentang rancangan ini.  Namun Ustaz Tuan   sibuk dan  dia akan ambil motorsikalnya hari yang lain. 

Motorsikal  Kriss saya yang tidak lagi seperti asal itu saya hantar ke bengkel berhampiran rumah saya untuk dibaik pulih seperti asal. Banyak part perlu ditukar  seperti set suiz, sayap depan  warna putih, starter, bateri dan kasing badan motor  dan beberapa komponen lagi. Namun ada beberapa bahagian  yang  hanya perlu dicat semula karana kos menukar alat ganti  mahala dan  ia masih boleh berfungsi dengan baik.

 Kos keseluruhan baik pulih mencecah RM500. Lebih mahal dari harga  pencuri jual   iaitu RM300.   Selepas sehari motorsikal saya   sudah mejadi  Kriss merah semula walaunpun tidak  sepenuhnya seperti asal.

Seminggu selepas itu Ustaz Tuan Roslan minta saya temaninya ke balai polis untuk mengambil motorsikal Kriss birunya. Alangkah terkejetunya kami banyak komponen motorsikal telah tiada. Antaranya ialah sepasang absorber belakang, Lampu isyarat depan dan beberapa komponen kecil lagi. Kami amat pasti semua komponen itu masih ada  ketika kami lihatnya kali pertama. Motorsikal  Ustaz Tuan Roslan lah antara yang tidak banyak berubah dan yang paling lengkap berbanding motorsikal lain. 

“Kan. Saya  dah bilang. Kat sini tak selamat.  Bagus ambil sekarang. Nanti lambat ambil nanti macam-macam lagi barang boleh hilang.”     Sarjan Roland berkata dengan sinis

Petang itu juga kami gunakan sekali lagi khidmat Hilux Ustaz Mahadir untuk mengangkut motorsikal Ustaz Tuan Roslan ke bengkel. Kalau motorsikal ini diambil  awal sekali dengan saya mungkin kos baikinya lebih murah kerana tak banyak komponen  yang perlu diganti. 

Begitulan keadaan dunia ini bila ramai orang yang tidak berpegang kepada nilai  dan akhlak. Mengambil hak orang lain itu sudah menjadi kebiasaan.  Motorsikal dicuri, komponen motorsikal diambil begitu saja walaupun dalam balai menunjukkan banyak perkara yang perlu diperbetulkan dalam masyarakat . Menghormati hak orang lain adalah nilai  kemanusiaan dan itulah antara nilai yang  utama ditegaskan oleh agama Islam.


Thursday, May 08, 2025

KRISS 14 : MAKLUMAT HASIL SOLAT HAJAT SALAH

 Ketika berurusan dengan Sarjan Roland untuk proses mengambil motorsikal Kriss merah saya, saya sempat bertanya tentang     bagaimana kecurian berlaku. Pencuri motorsikal telah dibicarakan dan dihukum berdasarkan kes kecurian yang dilakukannya. Mengikut Sarjan pencuri ini dikenakan penjara  8 tahun kalau tak silap ingatan saya. 


Dalam perbicaraan di mahkamah akan dijelaskan setiap satu peristiwa kecurian motorsikal. Bagaimana dicuri, dengan siapa,  di mana di barang curi disimpan dan dijual pada siapa. Saya bertanya  Sarjan tentang kes kecurian saya secara lebih sepesifik. Dia membuka fail siasatannya  dan melihat maklumat hasil soal siasat yang telah dijalankan. 

“Motorsikal ustaz jenis Modenas kriss warna merah kan?. Tinggal di Lorong 12 Taman Fajar kan?” Soal Sarjan.

Saya mengiyakannya dan  bertanya bagaimana ia dicuri dan dimana disimpan motorsikal saya sebelum di jual.

“Mengikut hasil siasatan ni, pencuri bilang selepas dia ambil motor ustaz tu dia sorong sehingga hujung jalan, kemudian dia ejas suiz untuk hidupkan motor dan terus bawa   masuk kampung dalam ladang sawit sana tempat si pembeli.” 

Jadi dia tidak simpan atau tapuk di dalam semak belakang surau Taman Fajar.” Tanya saya ingin mendapat kepastian.

Kalau ikut hasil siasatan ini tak ada. Terus dia bawa lari ke ladang.” Tegas Sarjan Roland lagi.

Nah. Sekarang sudah terbukti bahawa maklumat yang diberi oleh  orang yang solat hajat itu salah. Hanya sekadar tekaan semata-mata.  Atau ia dipermaikan oleh Jin yang memnberi maklumat yang salah.

Alhamdulillah. Lega hati saya mendengar hasil siasatan ini. Telahan saya tepat. Prinsip yang saya pegang betul bahawa manusia tidak  boleh mengetahui perkara ghaib sebegini dengan cara solat hajat semata-mata. Hanya Allah yang tahu perkara  ghaib dan dia hanya mengizinkan hanya kepada siapa yang dia mahu sahaja.

Berapa harga motorsikan saya di jual.?”  Saya bertanya ingin tahu

“Kalau ikut catatan ini RM300 saja.”

Allah . Motosikal saya yang cantik pada asalnya tu hanya di jual RM300 saja. Patutlah ramai yang berminat membelinya. Patutlah pencuri seronok meneruskan kerjayanya kerana ada permintaan panas. Tapi kali pembeli juga akan didakwa kerana bersubahat. Pembeli akan di dakwa kerana memiliki barang curi dan dibicarakan  nanti. Mengikut Sarjan  Roland lebih setahun juga hukuman penjara jika sabit kesalahan.


Wednesday, May 07, 2025

KRISS 13 : KRISS MERAH SAYA SUDAH KEMBALI

 Akhir bulan Disember 2003 saya kembali  ke Sandakan  kerana cuti persekolahan sudah hampir berakhir.   Mesyuarat awal tahun sekolah biasanya akan bermula seminggu sebelum sesi persekolah dibuka pada bulan Januari. Saya juga amat teruma untuk  ke balai polis Sandakan untuk mendapatkan kembali motorsikal Kriss saya kembali. 


Hari kedua saya sampai ke sandakan saya terus ke Balai Polis Sandakan sambil membawa  Geran hak milik motorsikal saya. Tuan Roslan juga pergi bersama saya untuk melihat motorsikalnya. Setelah melapor diri kepada  polis, mereka membawa kami  satu bahagian dalam kawasan balai Polis tersebut. 

“Tu ha,  Ustaz boleh tengok mana satu motorsikal ustaz. Itu semua motorsikal yang telah dirampas semula dari pencuri.”

Polis tersebut menunjukkan  kepada barisan motorsikal yang dilonggokkan disatu  sudut. Seingat saya lebih sepuluh buah motorsikal yang ada.  Ada yang masih sempurna dan  ada beberapa buah hanya tinggal rangka sahaja. Sekilas pandang tak ada motosikal mirip kriss merah saya. Tak ada pun motorsikal yang berwarna merah. 

Kami diajar bagaimana untuk mengenali motorsikal kami dengan menyemak nom casis dan  nombor enjin. Susah juga nak melihat tempat yang  sempit dan tersorok.   Sudahlah begitu bahagian tersebut kotor dilumuri kotaran minyak dan tanah.

“Tu macam motor ana.  Warna biru.”

Ustaz Tuan Roslan membelek sebuah motorsikal kriss warna biru laut.  Motorsikal ini antara yang sempurna dan tak banyak diubah. Saya membantu Ustaz Tuan Roslan menyemak nombor enjin.  Dengan menggunakan sebatang kayu kecil saya menggosok bahagian enjin untuk membaca nombor. Ustaz Tuan  membaca nombor dan saya menyemak.  Sah motorsikal Ustaz Tuan.   Nombor plet sudah ditukar dan  pelekat sudah dibuang. Manakalan yang lain tak ada perubahan.

Saya masih lagi mencari motorsikal saya. Tak silap saya ada lebih 5 buah motorsikal kriss yang lain  pelbagai warna.  Warna motorsikal bukan lagi yang asli sudah  disembur  dengan cat biasa agar tidak dikenali lagi.  Langung tak satu motorsikal yang iras motorsikal kriss merah saya. Termenung sekejap saya untuk memilih motor yang mana dulu  bagi menyemak nombor enjin.

 

Selepas sudah tiga buah motorsikal saya hadap dengan Ustaz Tuan Roslan. Kami menyemak nombor dengan bersusah payah sampai berpeluh peluh dan  tangan yang kotor.  Selepas berehat sekejap kami hadap motorsikal yang ke empat.  Motorsikal jenis kriss di sembur cat  hitam seluruh badannya dari plastik penghadang depan sampai kebadan semuanya hitam. Paparan meter pula ditampak stiker ‘I Love You’ siap lambang hati.

Setelah Ustaz Tuan Roslan membaca nombor enjin dan saya menyemak. Ya nombornya sama.

“Eh.. nombor  enjin  dia samalah. Sah ini motorsikal  Kriss merah saya.”

Saya mengucap panjang melihat motorsikal tersebut.  Langsung tak ada rupa motorsikal  Kriss  saya yang dulu. Habis dikerjakan oleh pencuri.

Alhamdulillah . Motorsikal saya sudah dikenalpasti. Walaupun ia sudah teruk dikerjakan oleh pencuri, saya bersyukur motorsikal saya masih wujud. Masih belum dileraikan sebagaimana yang saya dengar sebelum ini.  Saya boleh baiki motorsikal ini semula dan ia boleh berbakti kepada saya untuk ke masjid dan juga ke pasar mencari barang keperluan.

Syukur kepada mu ya Allah kerana telah kembalikan motorsikal kami. Doa kami telah dimakbulkan. Berilah kekuatan kepada kami untuk terus menjalankan tugas amar makruf nahi mungkar di Sandakan ini.


Tuesday, May 06, 2025

KRISS 12: RANGKAIAN PENCURI MOTORSIKAL

 Beberapa malam selepas itu saya dan rakan ustaz lain meluangkan masa mengeteh bersama ASP Hanafi . Kami ingin mengetahui kisah  pencuri motorsikal kami yang ditangkap itu. Seingat saya kami mengeteh di  Restoran Ajmeer di batu 3. Kami  memilih restoran ini kerana menunya yang paling menarik roti kobra banjir . Menu itu tidak ada di tempat lain. 


“Yang  Ustaz Mutalib tangkap hari tu bukan pencuri yang sebenar.” ASP Hanafi membuka  cerita.

“Pencuri yang sebenar masih belum ditangkap.”

“Tapi kami sudah dapat maklumat lengkap tentang dia.”

“Pasukan kami sedang bubut dia. Dia tidak boleh hidup senang sekarang. Tunggu masa sahaja.”

“Mereka ada beberapa orang dalam 4 orang semuanya.”

“Yang kena tangkap tu salah seorangnya.  Dia juga adalah  salah seorang warga penduduk Taman Fajar.”

“Dia adalah pemberi maklumat semua kes  kecurian di Taman Fajar.”

“Dia baru saja keluar dari penjara dan balik ke rumah keluarganya di Taman Fajar.”

“Dia baru bergabung dengan pencuri asal sedia ada.”

“Mencuri ni hobi yang menyeronokkan. Tak boleh kalau tak mencuri. Bila dah keluar dari penjara biasanya pencuri tak bertahan lama. Mereka akan cari geng dan mulakan kembali hobinya.”

“Insya Allah dalam seminggu dua ini kami akan berjaya tangkap semua pencuri itu.”

“Sepandai-pandai tupai melompat akan jatuh ketanah juga.”

“mereka nak  lari kemana.  Semua orang berdoa agar dia di tangkap. Dia seorang ja yang berdoa agar dia selamat dari ditangkap polis.  Pastinya Allah akan makbulkan doa orang ramai yang dizalimi.”

Panjang lebar cerita dan penerangan ASP Hanafi tentang kes  kecurian motorsikal. Motorsikal saya, Ustaz Roslan, Ustaz Alias , Ustaz Megat dan yang lain -lain dicuri oleh geng pencuri ini. ASP Hanafi memberi jaminan  bahawa motorsikal  boleh dapat kembali kalai mereka tidak  leraikan dan menjualnya sebagai alat ganti.

Dua minggu selepas peristiwa itu ramai kami warga guru balik ke kampung kerana cuti panjang persekolahan akhir tahun. Minggu pertama cuti lagi saya mendapat panggilan dari Ustaz Mahadir memaklumkan bahawa semua geng pencuri sudah ditangkap. 

Geng pencuri merancang mencuri lagi untuk kesekian kalinya. Tapi mereka lupa bahawa polis sudah mempunyai maklumat dan membuat perangkap.  Mereka  ditangkap bersama barang curi yang belum sempat dibawa jauh.  Ini bukti jelas tentang kecurian mereka.

Kemudian selepas beberapa minggu  dalam bulan Disember saya menerima panggilan dari Polis Sandakan  untuk datang ke balai polis untuk memeriksa motorsikal  yang sudah dijumpai dan dirampas kembali dari pencuri. Saya diminta membawa geran pemilik untuk memeriksa nombor casis dan nombor enjin untuk mengenalpasti motorsikal kriss saya.

Oleh kerana cuti masih panjang.  Saya  memaklumkan akan datang ke balai polis awal bulan Januari nanti selepas saya kembali ke Sandakan.

Pengajaran yang saya boleh ambil dari perbualan kami dengan ASP Hanafi malam itu ialah”

1.       Mencuri adalah satu hobi atau sikap yang susah untuk dibuang dari   mereka sudah biasa dengan perbuatan tersebut. Walaupun baru sahaja keluar penjara . Tidak lama lepas itu mereka akan kembali mencuri. Hukuman penjara tidak memberi pengajaran kepada mereka.  Itulah sebabnya Islam telah menetapkan bahawa hukuman  pencuri adalah  dipotong tangannya. Ini kerana itu adalah rawatan dan penyelesaian terbaik.

2.       Sekali mencuri selamanya mencuri. Itu adalah pepatah Arab tentang sikap mencuri. Jadi didiklah anak-anak dan kaum keluerga agar jauh dari sikap suka mencuri. Sekali sudah mencuri susah untuk  bebas dari perangai tersebut.

3.       Peranan rakan pergaulan  yang  membentuk sikap dan akhlak seseorang. Kalau  warga Taman Fajar tu  keluar dari penjara dan bergaul dengan orang baik. Selalu ke surau   dan masuk bergaul dengan suasana baru  mungkin boleh mengubah sikapnya. Tapi sebaliknya dia mencari  kawan yang sealirannya. Itulah yang berlaku.

4.       Setiap orang bertanggunjawab melakukan amar makruf nahi mungkar. Guru dan Ustaz mendudik  murid dan pelajar  disekolah tentang dosa mencuri. Di dunia ditangkap polis dan masuk penjara. Jika terlepas di dunia  pastinya tidak akan terlepas di akhirat nanti. Tugas polis kuatkuasakan undang-undang lakukan siasatan dan tangkap pencuri. Profesionalisme dalam menjalankan tugas dan tidak menerima rasuah.

5.       Didiklah anak dan kaum keluarga jauhi sikap suka mengambil hak orang orang lain.

6.       Sentiasalah  jaga hak Allah. Pastinya Allah akan menjaga kita.  Tanamkan  sifat taqwa dalam hati .

Saya berdoa agar salah satu dari motorsikal  di balai polis itu adalah motorsikal saya. Hati ini tidak sabar untuk menghabiskan cuti dan kembali ke Sandakan.


Monday, May 05, 2025

KRISS 11: POLIS BAWA PENCURI MAKAN ANGIN

 Pencuri  motorsikal sudah dapat ditangkap. Betapa gembiranya hati kami warga  sebagai warga penduduk taman Fajar lebih-lebih lagi saya yang juga telah menjadi mangsa.  Petang itu saya, Ustaz Tuan Roslan dan Ustaz Nasir ke Balai Polis Sandakan untuk  mendapat maklumat tentang pencuri tersebut. Kami juga ingin melihat  wajah pencuri yang amat berani ini. 


Pencuri tu  kami bawa jalan-jalan tengok kawasan.”

“Tadi lama dah kami sembang-sembang dengan  dia dan sekarang kami bawa jalan-jalan lah.”

Salah seorang  pegawai polis yang  bertugas memberitahu kami. Kami  kurang faham apa maksudnya. Apakah maksud disebalik bawa jalan-jalan itu. Saya menelofon ASP Hanafi (bukan nama sebenar)   orang Kelantan yang sudah lama saya kenal  dan dia yang menguruskan kes kecurian ini.

Oh.. kami bawa pencuri jalan-jalan sekita sandakan ni. Tadi kami telah pergi ke Taman Fajar. Lalu juga depan rumah Ustaz. Saya nak  bantu  ingat balik kisah lama dia.”  Suara ASP Hanafi jelas kedengaran dari HP Nokia saya.

“Oh.. dia mengaku juga. Tadi Ustaz Mutalib dan kawan dia  tanya dia tak mengaku walaupun dipukul separuh mati.” Saya terkejut mendengar bahawa pencuri tu sudah mengaku. 

Alah.. Ustaz tak pandai tanya..  Kami tanya sikit saja .. dia dah mengaku. Ustaz  tu orang baik  setakat pukul begitu , pencuri dah kalih.” 

Kami sembang sekejap ja, dia dah mengaku. Sekarang kami minta dia tunjuklah  apa yang dia buat sebelum ini. Banyak juga tempat kami nak pergi ni.”

“Tak apa nanti lepas ni kita ngeteh.  Saya akan cerita lanjut  apa pencuri ni buat. Ustaz rilek dulu. Insya Allah lepas ni tak  ada kes curi motorsikal lagi selagi dia ada dengan kami.”

Rupa-rupanya pencuri telah mengaku. Sekarang dia dibawa berjalan-jalan melihat tempat yang pernah dia curi dan menunjukkan bagaimana  proses curi itu berlaku.  Kami  kagum dengan kerja polis.  Memang mereka pakar dalam kerja mereka.  Pandai  mereka buat siasatan.

Ustaz Mutalib memukul pencuri itu sampai sakit tangannya sendiri kerana menumbuk sekuat hati  melepaskan geram. Tidak pula dia mengaku.   Pencuri itu  sampai sudah dia berkeras mengatakan  motorsikal itu bukan dia punya. Dia diminta hantar motorsikal tersebut ketempat yang diminta. Tetapi bila dengan polis, mudah pula dia mengaku dan memberi kerjasama. Bagaimana cara  polis buat  tidak pula kami tahu. 

Petang itu kamu pulang kerumah dan malamnya selepas solat insyak kami berbual panjang tentang kisah hari ini. Banyak pengajaran yang boleh diambil antaranya ialah:

1.       Allah telah mengakabulkan doa  kami semua. Doa dan permohonan kami didengari oleh Allah.

2.       Allah telah membuktikan bahawa  dia telah menjaga kami yang telah berusaha untuk menjaga perintahnya.

3.       Konsep  ‘kunci dulu baru berserah pada Allah’ tepat dan selaras dengan prinsip Islam.  Amalah itu yang membawa kepada penyelesaian ini.

4.       Allah menguji iman kami dengan menunjukkan seolah-olah doa kami tidak makbul dan kempen prinsip agama tidak betul.

5.       Semakin kuat kita mendekatkan diri pada Allah, semakin Allah uji untuk tingkatkan darjat iman.

6.       Ujian para nabi dan orang soleh lagi hebat sehinggakan ada yang sampai mati pun  seolah tidak ada penyelesaian. Tapi mereka disediakan ganjaran besar  di akhirat nanti.

7.       Ujian Iman dan keyakinan itu tidak semestinya dengan  terserlah doa itu dimakbul sebagaimana diminta.  Kami bernasib baik kerana Allah tahu kami insan lemah. Kalau tidak makbulkan sekaran mungkin ada yang goyah.  Allah sebenarnya boleh aturkan bahawa pencuri itu tidak ditangkap seolah-olah doa pencuri itu pula diterima Allah.

Kami  tidak sabar menunggu untuk mengeteh dengan ASP Hanafi ingin mengetahui kisah sebenar  pencuri ini. Kami merancang untuk mengeteh segera mungkin esok. Semoga Allah lindungi kami semua dan permudahkan segala urusan  kehidupan kami.


Sunday, May 04, 2025

KRISS 10 : HIKMAH ATURAN ALLAH TERSERLAH

Selepas mendengar berita pencuri motorsikal Ustaz Mutalib telah ditangkap. Saya mengucapkan alhmadulillah. Saya rasa amat bersykur dan gembira kerana terasa bahawa Allah telah makbulkan doa saya dan juga sahabat yang lain tak sampai 24 jam dari peristiwa yang amat menguji keyakinan kami.

Keyakinan yang cuba kami bawa ialah ‘Jagalah Allah pastinya Allah jaga kita’ dan ‘Kunci dulu motorsikal barulah serah pada Allah’. Tetapi apa yang kami rasakan ialah sebaliknya. Kami rasa kami telah jaga solat lima waktu dan berusaha untuk istiqamah berjamaah di masjid. Kami juga berdakwah mengajak masyarakat untuk menjaga perintah Allah. 


Kami juga berdakwah dan berkempen dengan konsep tawakkal yang sebenar iaitu  laksanakan langkah keselamatan kemudian baru serah segalanya pada Allah. Kami yakin dengan firman Allah ayat 2 dan 3 Surah al Talaq

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًۭا ۝ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥ ۚ

"Barangsiapa bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah (baginya)..."
(QS. At-Talaq: 2–3)

Namun kami rasa seolah-olah semakin ditegaskan konsep ini, apa yang berlaku sebaliknya. Allah sebenarnya nak menguji iman dan keyakinan kami terhadapnya. Sejauhmana kami bulat keyakinan kerapada Allah dengan menyerahkan kepadanya semua perkara. Allah nak uji kita adakah kita yakin dengan sebulatnya bahawa Allah yang mengatur semua peristiwa yang berlaku atas dunia ini baik atau buruk.

Sebenarnya Allah ingin menguji iman kami para ustaz yang paling utama disamping ujian kepada orang lain. Watak pencuri itu hanya semata-mata watak sampingan yang diatur oleh Allah untuk menguji kami.

Sekarang terserlah bagaimana aturan Allah bagaimana pencuri itu tergerak hatinya tidak mahu menukar plet nombor motosikal. Tujuan pencuri adalah hampir sama dengan tujuan pemilik motorsikal. Allah mengatur mereka berdua melalui jalan yang sama dan pada masa yang sama. Ini bukan kebetulan biasa. Itu adalah aturan Allah untuk menjadi asbab agar pencuri ditangkap.

Inilah jalan keluar yang Allah telah aturkan kepada kami semua. Selepas pegangan kami diuji dan para ustaz tekad dengan keyakinan pada Allah tidak berganjak walaupun sedikit. Lalu Allah segera memberi jalan keluar. Mungkin selepas ini semua kecurian motorsikal akan terbongkar dan motorsikal kami dapat dikembalikan.

Ini adalah cebisan kecil cabaran  keyakinan kepada hamba Allah yang hina ini. Kalau kita lihat cabaran oleh para nabi lebih besar.

1.       Bagaimana tersepitnya Nabi Nuh berhadapan dengan kaumnya yang menghinanya membina kapal besar diatas bukit.

2.       Bagaimana keadaan perasaan Nabi Musa berhadapan dengan laut apabila diperintah oleh Allah agar menyelamatkan kaumnya dari Firaun dengan memberi jalan arah laut.

3.       Bagaimana keadaan nabi Zakaria yang dihina oleh kaumnya kerana tiada zuriat sedangkan dia adalah kekasih Allah.

4.       Saidatina Maryam yang diuji dengan mengandung Nabi Isa tanpa bapa. Selepas melahirkan nabi Isa jauh dari manusia diperintahkan semula balik ke kampung bertemu masyarakat. Ianya hanya mendedahkan diri untuk cacian dan hinaan.

Banyak lagi ungakapan peristiwa ujian Allah kepada para nabi yang perlu kita renungi. Para nabi juga berdoa, bermunajat meminta jalan keluar dari Allah. Namun jalan keluar yang diberi hanya ketika saat genting. Kalau kita orang biasa yang lemah iman tidak mampu menghadapi saat genting begitu.

Tapi dalam isu kecurian ini Allah telah bagi jalan keluar kepada kami lebih awal. Mungkin Allah tahu bahawa iman kami lemah tak mampu diuji dengan lebih berat lalu diberikan penyelesaian lebih awal sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam ayat 286 Surah al Baqarah :

لَا يُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..."

Begitulah kehidupan ini . Semuanya diatur oleh Allah. Apa saja yang berlaku, perkara baik atau perkara buruk semuanya adalah aturan Allah Taala yang maha kuasa dan maha bijaksana.  Watak baik dan jahat semuanya menjalankan apa yang telah diaturkan oleh Allah.  Itulah  Kayakinan kepada Qada dan qadar Allah. Kita orang  beriman perlu yakin dan redha dengan aturannya.

Walapun  berlaku perkara musibah atau perkara buruk yang kita tidak mampu fahami hikmahnya. Yakin lah itu adalah ketentuan Allah.  Berserah keapada ketentuannya itu adalah  Iman yang besar ganjaran pahalanya. Allah telah berpesan dalam surah al Taubah ayat 51:

قُل لَّن يُصِيبَنَآ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَىٰنَا ۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ

"Katakanlah: Tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal."

Allah juga berpesan dalam ayat 11 Surah al Taghabun:

مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَمَن يُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۭ

"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barang siapa beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
(QS. At-Taghabun: 11)

Ya Allah berilah petujuk kepada kami. Kuatkan Iman kami dalam menghadapi ujian dalam kehidupan ini.

Friday, May 02, 2025

KRISS 9: PENCURI DITANGKAP

Semasa perbualan ringkas usai solat subuh di Surau Taman Fajar saya bertanya kepada Ustaz Mutalib bila dia akan buat laporan polis tentang kecurian motorsikalnya. Dia memberitahu dia akan buat laporan awal pagi ini sebelum ke sekolah. Dia akan minta izin dengan guru besar sekolahnya untuk lewat ke sekolah. Kalau tak silap saya dia mengajar di SK Rancangan Luboh atau SK Gum gum kecil.


Ketika saya sedang berehat di bilik guru selepas mengajar dalam lebih kurang jam 11 pagi saya mendapat panggilan dari Ustaz Mutalib.
“Ustaz! Kami dah berjaya tangkap pencuri motorsikal saya.”
Nun jauh saya mendengar suara Ustaz Mutalib bercerita dengan bersemangat.
“Eh..bagaimana tu. Macamana boleh ditangkap.” Saya bertanya ingin tahu. Memang menarik berita ini.
“Begini ustaz! Selepas saya selesai buat laporan polis saya terus ke sekolah dengan kereta dengan kawan saya. Ketika melalui jalan ladang sawit kesekolah saya tu. Tiba-tiba sebuah motorsikal potong saya. Saya tekejut melihat nom pletnya. Memang motorsikal saya. Jadi saya telefon terus pegawai polis penyiasat dia minta saya terus buat sesuatu untuk tangkap pencuri tu.. Jangan terlepas. Kalau terlepas susah mahu dapat.”
“Jadi saya kejarlah dengan kereta saya. Saya pencut dan himpitnya sampai dia terbabas kedalam ladang sawit. Geram betul saya.. saya pukul dia ustaz. Berabis saya tumbuk. Dia tak mengaku dia curi.”
“Dia bilang itu motorsikal kawannya. Apa lagi kami bantai la lagi. Dah sah motor saya. Nom plet masih ada. Cuma dia sudah buang raga tengah tu dan stiker juga sudah di koyak. Tapi saya cam lah motor saya.”
“Sementara polis datang kami tanya lagi. Tak mengaku. Kami pukul lagi. Dia kata dia bukan orang sini. Dia tunjuk kad pengenalan dia yang beralamat di Pahang. Tapi slang dia cakap memang orang sabah lah.”
“Dia minta nak buka kusyen sekejap untuk ambil barang nak tunjukkan kepada kami. Kami tak percaya. Saya sendiri yang buka. Rupanya ada pisau bawah kusyen tu. Nasib baik saya yang buka. Kalau lah dia dapat pisau tu. Memang berkicaplah kami.”
“Lepas tu polis datang ambil dia ke balai. Motorsikal pun polis angkut ke balai juga. Tapi puas hatilah kami pukul. Tapi sampai sudah dia tak mengaku. Nak pukul lebih-lebihkan risau pula. Saya serah pada polis lah.”
“Wah… alhamdulillah… motorsikal dah dapat. Pencuri pun dah ditangkap. Ustaz pun selamat. Puji dan syukur pada Allah. Nanti balik sekolah nanti saya akan kebalai Polis Sandakan. Saya nak kenal juga wajah pencurinya.” Saya mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada Ustaz Mutalib yang menyampaikan maklumat ini.
Allah. Syukur kepada Mu yang telah mengkabulkan doa kami semua. Tak sampai 10 jam lepas kejadian Allah telah menerima munajat saya. Allah maha besar. Mungkin pencuri itu dah terasa terlampau hebat sehingga berapa banyak motor di curi dan masih selamat tidak ditangkap.
Jadi Allah telah meletakkan perasahaan ujub dan bangga dalam diri pencuri sehingga dia tidak menukarkan nom plet motorsikal untuk berjalan di jalan raya. Dia sudah tidak takut pada polis dan juga orang ramai. Tapi dia lupa pada Allah yang maha kuasa.
Allah juga maha bijaksana mengaturkan perjalanan pencuri itu sama dengan perjalanan Ustaz Mutalib tuan empunya motorsikal dengan masanya juga sama. Mungkin kita menganggap itu satu kebetulan. Tapi itu sebenarnya ialah rancangan Allah yang maha kuasa dan maha bijaksana.
Pencuri menganggap mereka bijak merancang, tapi rancangan Allah lebih hebat. Mungkin selepas pencuri ini tertangkap akan membongkar kes kecurian motorsikal yang lain termasuk motorsikan Kriss merah saya. Kalau ada rezeki saya boleh dapat kembali motorsikal saya itu.
Maha suci Allah. Itulah aturan Allah. Aku bersyukur pada mu atas nikmat ini.