Thursday, September 10, 2020

JUMPALAH GURU ANDA

 "Kenapa kena jumpa pensyarah?”

“Nanti nak buat apa bila jumpa dengan pensyarah?”

Ini antara persoalan anak saya bila diminta untuk mencari semua pensyarahnya yang mengajar setiap matapelajaran yang dipelajari pada semester ini dalam tempoh PKP ini. Dalam tempoh ini pembelajaran di universiti tetap berjalan. Namun universitinya tidak mengadakan kelas secara bersemuka dan tidak juga kelas secara atas talian. Pelajar diminta belajar sendiri berdasarkan sukatan yang telah diberikan. Pembelajaran sebegini amat mencabar, lebih-lebih lagi bagi pelajar Malaysia yang kurang menguasai bahasa Arab.

Saya telah meminta Muaz untuk mencari nombor telefon semua pensyarah yang mengajar dan mengubunginya. Kalau perlu, cari dan ziarahi mereka dipejabat atau di rumah mereka sebelum menjelang peperiksaan semester ini.

Apa kelebihan bertemu mata dengan pensyarah?

Antara faedahnya ialah:

1.   Dapat bertemu dengan sumber asal ilmu. Cara ini menjadikan ilmu yang dipelajari lebih diberkati. Ia adalah ibarat sanad atau ijazah ilmu yang diperturunkan daripada guru kepada murid.

2.   Membina hubungan atau repo dengan pensyarah dan juga guru. Ini adalah merupakan satu cara untuk mendapat keberkatan ilmu.

3.   Memohon pensyarah untuk mendoakan agar pelajaran mudah difahami dan seterusnya mendoakan kejaayan dalam belajar terutama peperiksaan yang akan datang.

4.  Meminta pensyarah memberi nasihat dan tunjuk ajar bagaimana cara terbaik untuk menuntut ilmu dan menguasai bahasa Arab.

5.   Boleh bertanya kepada pensyarah apa tajuk penting yang perlu diberi perhatian dalam ulangkaji kerana sukatan amat luas untuk dihabisi dalam tempoh yang singkat. Mungkin pensyarah boleh memberi nota dan juga syarahan ringkas.

6.   Meningkatkan penguasaan bahasa Arab melalui perbualan dan perbincangan ilmiah.

7.  Membina keyakinan diri untuk membina hubungan dengan siapa sahaja merentas batas umur,bahasa dan budaya.

8.   Melatih dan menyediakan diri dengan kemahiran insaniah yang amat diperlukan dalam kehidupan terutama dalam membina kerjaya.

9.   Usaha mencari dan bertemu dengan pensyarah dengan mengatasi pelbagai halangan dan cabaran merupakan salah satu cabang kesugguhan yang menjadi pra syarat kejayaan. Mungkin pensyarah akan merasai dihargai dan secara tidak langsung merupakan doa secara diam.

10.Boleh membuka jalan untuk membuat kelas tafaqquh secara kumpulan kecil bagi bidang-bidang ilmu yang pelbagai. 

Banyak lagi faedah dan kelebihan bertemu mata dengan guru yang akan diperolehi secara langsung dan tidak langsung.

Cepat! Carilah guru anda, pasti anda akan rasa hasilnya.

Semoga ilmu yang dipelajari akan mendapat barkah Allah yang Maha Kaya.

No comments: