Akademik yang cemerlang perlu disertai dengan akhlak yang gemilang
Alhamdulillah, Allah SWT mengurniakan rezeki kepada semua anak saya untuk menuntut ilmu di sekolah berasrama. Sebagai seorang bapa, saya amat bersyukur kerana negara kita masih mampu menyediakan sistem pendidikan yang berkualiti dengan pelbagai kemudahan yang meringankan beban ibu bapa.
Antara kemudahan yang sering kita
pandang kecil ialah penyediaan makanan di asrama. Dengan subsidi kerajaan,
pelajar hanya dikenakan bayaran sekitar RM1 atau RM3 sehari mengikut kategori
yang ditetapkan. Dengan jumlah yang begitu kecil, mereka menikmati beberapa
hidangan setiap hari dalam suasana yang selesa.
Jika dibandingkan dengan harga makanan
di luar hari ini, jumlah tersebut hampir mustahil dapat menyediakan walaupun
satu hidangan lengkap.
Inilah antara nikmat besar yang
dinikmati oleh pelajar di sekolah berasrama penuh, sekolah khas Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM), sekolah agama dan sekolah tahfiz. Ramai ibu bapa di
luar sana mengimpikan peluang seperti ini untuk anak-anak mereka.
Suatu hari ketika saya menziarahi anak
saya di asrama, dia membawa beberapa bungkusan makanan untuk kami makan
bersama.
"Abah, jom makan."
Saya bertanya, "Mana dapat semua
makanan ini?"
"Dari dewan makan. Abang dewan
makan kata boleh ambil. Ramai tak turun makan. Makanan banyak lebih."
Jawapan yang ringkas itu membuatkan
saya termenung.
Anak saya bercerita bahawa keadaan itu
bukan sesuatu yang luar biasa. Ramai pelajar tidak turun makan, terutama pada
waktu sarapan dan makan malam. Ada yang memilih membeli makanan dari luar, ada
yang menerima kiriman makanan daripada keluarga, manakala sebahagian lagi
sekadar tidak berminat untuk ke dewan makan.
Akibatnya, banyak makanan yang telah
disediakan tidak disentuh.
Pihak dewan makan pula tetap perlu
menyediakan hidangan berdasarkan jumlah pelajar yang mendaftar. Demi menjaga
keselamatan makanan, lebihan makanan tidak boleh disimpan terlalu lama atau
dihidangkan semula. Akhirnya, makanan yang masih elok terpaksa dilupuskan.
Melihat keadaan ini, saya tidak
memikirkan tentang nilai semangkuk nasi atau seketul ayam semata-mata.
Saya terfikir tentang satu persoalan
yang lebih besar.
Apakah sebenarnya yang sedang dibentuk
dalam jiwa anak-anak kita?
Sekolah bukan sekadar tempat
melahirkan pelajar yang memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang.
Sekolah ialah institusi yang membentuk manusia. Di sinilah lahirnya bakal guru,
doktor, jurutera, pegawai kerajaan, usahawan dan pemimpin negara.
Mereka bukan sahaja perlu bijak
berfikir, tetapi juga memiliki hati yang hidup dengan rasa syukur, amanah dan
tanggungjawab.
Lebih-lebih lagi bagi sekolah agama
dan sekolah tahfiz. Menghafal al-Quran bukan sekadar mengingati ayat demi ayat,
bahkan membiarkan al-Quran membentuk akhlak dan cara hidup.
Allah SWT berfirman:
يَا بَنِي آدَمَ
خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ
كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا
وَاشْرَبُوا
وَلَا تُسْرِفُوا ۚ
إِنَّهُ لَا يُحِبُّ
الْمُسْرِفِينَ
"Wahai anak-anak Adam! Pakailah
pakaianmu yang indah setiap kali memasuki masjid, makanlah dan minumlah, tetapi
janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang
yang berlebih-lebihan."
(Surah al-A'raf: 31)
Dalam ayat yang lain Allah SWT memberi
peringatan yang lebih tegas:
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا
إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ
وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ
كَفُورًا
"Sesungguhnya orang-orang yang
membazir itu ialah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu sangat kufur kepada
Tuhannya."
(Surah al-Isra': 27)
Ayat-ayat ini sering dibaca dan
dihafal. Namun cabaran sebenar ialah menterjemahkannya dalam kehidupan harian,
termasuk ketika mengambil makanan di dewan makan.
Hakikatnya, isu ini tidak boleh
diletakkan di bahu pihak sekolah semata-mata.
Pembentukan nilai bermula jauh lebih
awal, iaitu di rumah.
Rumahlah madrasah pertama bagi seorang
anak. Ibu bapalah guru pertama yang memperkenalkan erti syukur, amanah dan
kesederhanaan. Anak yang dibiasakan sejak kecil menghabiskan makanan, mengambil
sekadar yang diperlukan dan menghargai setiap rezeki akan membawa nilai itu ke
mana sahaja dia berada.
Sebaliknya, jika anak dibesarkan dalam
budaya terlalu banyak pilihan, mudah menolak makanan yang tidak menepati selera
dan sentiasa digantikan dengan makanan lain, tanpa disedari mereka sedang
belajar bahawa makanan ialah sesuatu yang murah nilainya dan boleh dibuang
sesuka hati.
Kadangkala, atas dasar kasih sayang,
ibu bapa menghantar pelbagai makanan ke asrama atau memberikan wang saku yang
banyak supaya anak-anak lebih selesa. Niat itu amat murni.
Namun kasih sayang juga perlu disertai
pendidikan.
Anak perlu diajar bahawa menghargai
makanan yang disediakan oleh pihak sekolah adalah sebahagian daripada adab dan
tanda syukur kepada Allah SWT. Jika benar-benar ingin membeli makanan di luar,
pastikan makanan yang telah disediakan tidak dibiarkan menjadi pembaziran.
Dalam masa yang sama, pihak sekolah
juga mempunyai tanggungjawab yang besar.
Sekolah tidak seharusnya hanya
mengejar kecemerlangan akademik, kedudukan peperiksaan atau pencapaian
kokurikulum semata-mata. Pembentukan nilai perlu menjadi agenda yang sama
penting.
Budaya menghargai nikmat tidak cukup
dengan poster di dinding dewan makan. Ia perlu hidup melalui nasihat guru,
teladan warden, peringatan ketika perhimpunan, pengisian usrah, kuliah agama
dan tindakan yang konsisten.
Pelajar perlu sentiasa diingatkan
bahawa makanan di hadapan mereka bukan sekadar hasil titik peluh tukang masak.
Di sebaliknya ada wang rakyat yang
diperuntukkan oleh kerajaan, ada usaha petani yang menanam padi, ada penternak
yang membekalkan sumber makanan, ada kakitangan yang bangun seawal pagi untuk
menyediakan hidangan dan, yang paling utama, semuanya adalah rezeki yang
dikurniakan oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW sendiri mendidik
umatnya supaya menghargai setiap butir makanan. Baginda bersabda:
"Apabila suapan makanan salah
seorang daripada kamu jatuh, maka ambillah semula, buangkan kotoran yang ada
padanya dan makanlah ia. Janganlah dibiarkan untuk syaitan."
(Riwayat Muslim, no. 2034)
Dalam hadis yang lain Baginda
bersabda:
"Sesungguhnya kamu tidak
mengetahui pada bahagian makanan yang manakah terdapat keberkatan."
(Riwayat Muslim, no. 2033)
Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa
dalam Islam, keberkatan lebih utama daripada kemewahan. Bahkan sebutir nasi
yang dihargai mungkin lebih bernilai di sisi Allah daripada hidangan mewah yang
akhirnya dibuang.
Kerajaan setiap tahun membelanjakan
peruntukan yang sangat besar bagi menyediakan pendidikan terbaik kepada
generasi muda. Bangunan dibina, guru dilatih, asrama diselenggara dan makanan
disediakan melalui dana awam.
Pelaburan ini tidak seharusnya diukur
hanya melalui bilangan pelajar yang memperoleh semua A.
Kejayaan sebenar ialah apabila lahir
generasi yang menghargai nikmat, memelihara amanah dan berasa berdosa apabila
mensia-siakan harta awam.
Mungkin ada yang menganggap isu
makanan di dewan makan hanyalah perkara kecil.
Namun sejarah membuktikan bahawa
tamadun tidak runtuh kerana kekurangan orang pintar.
Tamadun runtuh apabila manusia
kehilangan nilai.
Justeru, marilah kita menjadikan dewan
makan sebagai salah satu tempat tarbiah yang paling penting di sekolah. Di
situlah anak-anak belajar bahawa syukur bukan sekadar diucapkan dengan lafaz Alhamdulillah,
tetapi diterjemahkan melalui tindakan menghargai setiap nikmat yang Allah SWT
kurniakan.
Kerana akhirnya, membina sebuah negara
yang hebat bukan hanya bermula di dalam bilik darjah.
Ia juga bermula dengan menghargai sepinggan
nasi yang berada di hadapan kita.
No comments:
Post a Comment