Tuesday, July 21, 2026

KANAK-KANAK MENGAJAR SAYA BUDAYA SALAM

Ketika menghadiri satu mesyuarat di Hotel Heritage, Tanah Rata, Cameron Highlands, telefon bimbit saya berdering. Ada panggilan penting yang perlu dijawab. Saya pun meminta izin untuk keluar sebentar dari bilik mesyuarat. 

Sebaik sahaja melangkah keluar, saya terserempak dengan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia sekitar 10 tahun. Dia sedang mundar-mandir di koridor hotel.

Apabila melihat saya, dia terus tersenyum lalu mengucapkan,

"Assalamualaikum."

Saya menjawab salamnya sambil mengangkat tangan dan membalas senyuman, sebelum meneruskan perbualan di telefon.

Peristiwa itu mungkin kelihatan kecil. Namun, ia benar-benar menyentuh hati saya.

Daripada wajahnya, saya mengagak dia bukan rakyat tempatan. Mungkin pelancong dari sebuah negara Arab yang menginap di hotel tersebut.

Saya terfikir, alangkah hebatnya didikan ibu bapanya. Dalam usia yang masih muda, dia sudah terbiasa menyapa orang yang tidak dikenalinya dengan salam dan senyuman. Memberi salam bukan lagi sesuatu yang dipaksa, tetapi telah menjadi budaya hidupnya.

Saya kemudian membandingkannya dengan keadaan masyarakat kita di Malaysia.

Kebiasaannya kita hanya memberi salam kepada orang yang kita kenal, ketika memasuki rumah, majlis atau bertemu rakan. Sangat jarang kita mengucapkan salam kepada orang Islam yang tidak dikenali ketika bertembung di koridor hotel, di taman rekreasi, di pasar raya, di kedai makan atau ketika berselisih di jalan.

Sedangkan semua itu ialah peluang untuk menghidupkan satu sunnah Rasulullah SAW.

Menariknya, saya juga sering melihat masyarakat bukan Islam ketika berjoging di taman akan menyapa dengan ucapan, "Good morning" atau sekurang-kurangnya "Morning." Sapaan itu menjadi budaya mereka untuk mewujudkan suasana mesra dan saling menghormati.

Mengapa kita, sebagai umat Islam yang memiliki syariat memberi salam, kadangkala lebih sukar membudayakannya?

Allah SWT berfirman:

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

"Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (salam), maka balaslah dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dengan yang seumpamanya. Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung setiap sesuatu." (Surah al-Nisa': 86)

Rasulullah SAW pula menjadikan penyebaran salam sebagai asas pembinaan masyarakat Islam. Baginda bersabda:

أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

"Sebarkanlah salam dalam kalangan kamu." (Riwayat Muslim, no. 54)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا، وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا، أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ؟ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

"Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu belum sempurna beriman sehingga kamu saling berkasih sayang. Mahukah aku tunjukkan satu amalan yang apabila kamu melakukannya, kamu akan saling berkasih sayang? Sebarkanlah salam sesama kamu." (Riwayat Muslim, no. 54)

Para sahabat Nabi SAW benar-benar menghayati sunnah ini. Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Umar RA sering keluar ke pasar bukan semata-mata untuk membeli atau berniaga, tetapi untuk menyebarkan salam kepada orang yang ditemuinya. Baginya, setiap salam ialah ibadah dan doa buat saudaranya.

Inilah hakikat salam dalam Islam. Salam bukan sekadar ucapan pembuka bicara. Ia adalah doa, syiar Islam, tanda kasih sayang, penghapus rasa sombong dan jambatan yang mengeratkan ukhuwah.

Saya berpendapat sudah tiba masanya masyarakat Islam di Malaysia menghidupkan kembali budaya ini. Mulakanlah dengan perkara yang paling mudah. Berilah salam apabila bertemu jiran di lif, pekerja di pejabat, pelanggan di kedai, jemaah di masjid, pengawal keselamatan, rakan ketika berjoging, malah kepada mana-mana saudara Islam yang kita temui.

Jangan tunggu kenal baru memberi salam.

Mungkin satu ucapan "Assalamualaikum" yang lahir daripada hati yang ikhlas akan menjadi sebab terjalinnya persaudaraan, hilangnya prasangka, bertambahnya kasih sayang dan akhirnya menjadi asbab kita memperoleh rahmat Allah SWT.

Kadangkala, dakwah yang paling berkesan bukanlah bermula dengan ceramah yang panjang, tetapi dengan satu senyuman dan satu ucapan yang ringkas:

"Assalamualaikum."

No comments: