Friday, July 31, 2026

TABUNG HAJI: URUSLAH DENGAN IMAN DAN TAQWA

 Bagi saya, penubuhan Lembaga Tabung Haji merupakan antara idea paling bijak yang pernah dicetuskan oleh Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz. Ketika sistem perbankan Islam masih belum wujud di negara ini, Tabung Haji telah menjadi institusi kewangan yang mengumpulkan simpanan umat Islam tanpa bergantung kepada sistem riba. 

Lebih penting lagi, ia diuruskan berasaskan prinsip-prinsip Syariah dan menjadi jalan keluar kepada umat Islam yang ingin menyimpan wang secara halal sambil membuat persediaan menunaikan ibadah haji. Walaupun ketika itu perkhidmatannya belum secanggih bank moden dan semua urusan keluar masuk wang masih dilakukan di kaunter, Tabung Haji telah memberi satu keyakinan besar kepada umat Islam.

Saya sendiri masih ingat, akaun pertama yang saya miliki dalam hidup ialah akaun Tabung Haji. Semua duit raya yang saya kumpulkan sejak kecil akan saya simpan di Tabung Haji cawangan Pasir Puteh. Setiap kali selesai musim Hari Raya, saya akan pergi bersama keluarga untuk memasukkan semua duit raya ke dalam akaun tersebut. Itulah didikan ibu bapa kami ketika itu.

Kemudiannya lahirlah Bank Islam dan institusi kewangan Islam yang lain. Walaupun masing-masing berusaha menyediakan produk yang patuh Syariah, bagi saya Tabung Haji tetap mempunyai tempat yang istimewa. Saya terus meletakkan keyakinan kepada institusi ini sebagai pemegang amanah simpanan saya.

Namun, ada satu cara berfikir dalam masyarakat yang sering membuatkan saya berasa ralat.

"Saya tak simpan duit di Tabung Haji. Saya cuma buka akaun, kekalkan baki minimum supaya layak mendapat giliran haji. Bila hampir dipanggil nanti, barulah saya masukkan jumlah yang diperlukan."

Saya memahami hak setiap orang untuk menguruskan wang mereka sendiri. Namun saya merasakan pemikiran sebegini kurang menepati roh penubuhan Tabung Haji.

Sejak kecil saya memahami bahawa tujuan utama Tabung Haji bukan sekadar tempat menyimpan wang untuk diri sendiri. Ia diwujudkan bagi menghimpunkan dana umat Islam supaya dapat diurus secara kolektif demi memudahkan urusan haji seluruh jemaah. Semakin besar dana yang diamanahkan, semakin luas kemampuan Tabung Haji menyediakan pelbagai kemudahan, pelaburan yang baik, pengurusan yang lebih cekap serta kos haji yang lebih terkawal.

Inilah semangat ta'awun atau saling membantu yang diajar oleh Islam.

Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

"Dan hendaklah kamu saling membantu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan."

(Surah al-Ma'idah: 2)

Apabila dana Tabung Haji semakin besar, sudah tentu ia menjadi institusi yang sangat penting kepada umat Islam. Malangnya, dalam sejarahnya terdapat dakwaan dan siasatan berkaitan salah urus serta pelanggaran amanah yang akhirnya membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Dapatan tersebut menjadi peringatan bahawa apabila amanah diabaikan, harta umat juga boleh menjadi mangsa.

Inilah hakikat yang telah lama diingatkan oleh Rasulullah SAW:

إِذَا ضُيِّعَتِ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ

"Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran."

(Riwayat al-Bukhari)

Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila muncul pula kempen-kempen yang mengajak umat Islam mengeluarkan simpanan daripada Tabung Haji atas alasan kononnya ingin menyelamatkan institusi tersebut.

Terus terang, saya sukar memahami logik cadangan itu.

Jika sebuah institusi menghadapi cabaran, adakah penyelesaiannya dengan mengurangkan lagi sumber kekuatannya? Bukankah tindakan sedemikian hanya akan menambah tekanan kepada institusi tersebut? Pada saya, penyelesaian yang lebih tepat ialah memperkukuhkan tadbir urus, meningkatkan ketelusan, memastikan pengawasan yang lebih berkesan serta membawa mereka yang mengkhianati amanah ke muka pengadilan. Itulah cara memulihkan keyakinan, bukannya melemahkan institusi yang menjadi milik umat.

Lebih menghairankan apabila cadangan seperti ini kadangkala datang daripada individu yang mempunyai latar belakang agama. Sepatutnya mereka menjadi pihak yang mengajak masyarakat mencari penyelesaian yang membina, bukan penyelesaian yang akhirnya boleh melemahkan institusi umat sendiri.

Allah SWT mengingatkan:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyampaikan segala amanah kepada yang berhak menerimanya."

(Surah al-Nisa': 58)

Hakikatnya, sebesar mana pun sesuatu institusi, ia hanya akan kukuh apabila dipimpin oleh manusia yang bertakwa. Undang-undang, sistem dan prosedur hanyalah benteng luaran. Benteng sebenar ialah hati yang takut kepada Allah. Apabila ketakwaan hilang, habuan dunia akan mengatasi amanah. Ketika itulah harta umat menjadi mangsa kerakusan manusia.

Semoga Allah memelihara Tabung Haji sebagai institusi kebanggaan umat Islam di Malaysia. Semoga para pengurusnya sentiasa diberikan sifat amanah, telus dan takut kepada Allah. Dan semoga kita sebagai pendeposit bukan sekadar memikirkan manfaat untuk diri sendiri, tetapi turut menyumbang kepada kekuatan institusi yang telah sekian lama berkhidmat untuk umat Islam.

Kerana membina institusi umat jauh lebih sukar daripada meruntuhkannya.

 

No comments: