Friday, July 17, 2026

BERHATI-HATI MENJAGA PERSEPSI DALAM PERGAULAN

 “Eh, ustaz bawa perempuan mana semalam? Saya nampak kereta ustaz dekat simpang Sibuga. Ada perempuan duduk di sebelah ustaz, tapi bukan isteri ustaz. Lawa juga dia.”

Saya agak terkejut mendengar pertanyaan seorang rakan guru di sekolah. Memang benar, sehari sebelumnya saya membawa tujuh orang pelajar perempuan dengan Avanza biru saya untuk menghadiri sebuah program di masjid. Kereta itu penuh dan salah seorang daripada mereka duduk di kerusi hadapan. 

Rupanya gerak-geri kita mudah diperhatikan orang. Apa yang pada kita biasa dan tidak mempunyai apa-apa maksud, boleh ditafsirkan secara berbeza oleh orang lain. Ungkapan “bukan isteri ustaz” dan “lawa juga dia” sudah membawa perbualan itu kepada konotasi yang jauh menyimpang daripada keadaan sebenar.

Nasib baik saya sempat menjelaskan perkara yang berlaku. Namun, saya sedar bahawa benih persepsi buruk boleh tumbuh hanya daripada satu pandangan sepintas lalu.

Pada suatu ketika, seorang pelajar perempuan daripada suku Sungai datang menemui saya kerana ingin memeluk Islam. Dia benar-benar serius dan mahu segera dibimbing. Ketika itu, saya belum mengetahui pihak yang paling sesuai untuk menguruskan pengislaman dan bimbingannya.

Bagi menjaga batas pergaulan, saya bersama isteri mengambil pelajar tersebut dari asrama lalu membawanya ke rumah kami. Kami membantu menguruskan pengucapan syahadahnya. Dia tinggal beberapa malam di rumah agar isteri saya dapat mengajarnya asas-asas Islam, termasuk cara menunaikan solat.

Selepas itu, dia beberapa kali datang ke rumah untuk belajar dengan isteri saya. Apabila dia sudah mempunyai asas dan dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai seorang Muslim, saya menyerahkan bimbingan lanjut kepada beberapa orang pelajar perempuan yang dipercayai. Saya fikir itulah langkah yang lebih baik supaya dia mempunyai rakan sebaya yang dapat membimbing dan menemaninya.

Hampir setahun kemudian, seorang guru datang menemui saya.

“Betul kah ustaz mahu kahwin dengan gadis Sungai itu?”

“Apa pula cerita ini?” tanya saya, kebingungan.

“Ada orang bilang ustaz dakwah dia sebab mahu jadikan dia isteri.”

Kemudian dia menambah sambil tersenyum:

“Ndak apa bah, ustaz. Berbaloi juga. Cantik orangnya.”

Saya benar-benar terkejut. Lebih mengejutkan, cerita itu rupanya tidak berhenti setakat itu.

“Ada juga orang bilang dia tidak mahu terima lamaran ustaz,” katanya lagi.

“Lamaran apa? Saya tidak pernah melamar dia!”

Orang bilang selepas dia menolak ustaz, ustaz tidak mahu bimbing dia lagi. Ustaz biarkan dia begitu sahaja.”

Saya tergamam mendengarnya. Rupanya keputusan saya menyerahkan urusan bimbingan kepada pelajar-pelajar perempuan telah disalah tafsir. Saya dianggap menjauhkan diri kerana kononnya kecewa setelah lamaran saya ditolak. Sedangkan tidak pernah ada lamaran, apatah lagi hasrat untuk memperisterikannya.

Pelajar itu sudah lama tidak datang ke rumah kerana saya merasakan lebih sesuai dia dibimbing oleh rakan-rakan perempuan. Namun, dalam versi yang tersebar, tindakan itu digambarkan seolah-olah saya mengabaikan seorang saudara baharu kerana kepentingan peribadi saya tidak tercapai.

Begitulah bahayanya persepsi. Niat yang ikhlas untuk melakukan kebaikan boleh disalah tafsir apabila seseorang hanya melihat sebahagian kecil daripada sesuatu peristiwa. Cerita yang asalnya mudah boleh ditambah sedikit demi sedikit sehingga akhirnya menjadi sebuah kisah yang langsung tidak pernah berlaku.

Namun, kita juga tidak boleh sekadar menyalahkan orang lain. Kita sendiri perlu mengurus keadaan dengan bijaksana agar tidak membuka ruang kepada fitnah.

Allah SWT mengingatkan:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dosa.” (Surah al-Hujurat: 12)

Ayat ini mendidik orang yang melihat agar tidak mudah bersangka buruk. Pada masa yang sama, orang yang melakukan sesuatu urusan juga perlu menjaga adab dan mengelakkan keadaan yang boleh menimbulkan salah faham.

Saya pernah menolak permintaan seorang wanita yang mahu menumpang kereta saya untuk pulang ke rumahnya, walaupun dia tinggal berjiran dengan saya. Membantunya memang suatu kebaikan, tetapi jika kami hanya berdua di dalam kereta, keadaan itu boleh membuka ruang kepada fitnah. Saya perlu mencari cara lain yang lebih selamat untuk membantunya.

Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ

“Janganlah sekali-kali seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita melainkan bersama mahramnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW sendiri mengajar kita supaya menjelaskan keadaan apabila dikhuatiri timbul salah faham. Pada suatu malam, Baginda berjalan bersama isterinya, Sayidatina Safiyyah binti Huyayy RA. Apabila dua orang lelaki Ansar melintas lalu mempercepat langkah, Rasulullah SAW memanggil mereka dan bersabda:

عَلَى رِسْلِكُمَا، إِنَّهَا صَفِيَّةُ بِنْتُ حُيَيٍّ

“Perlahankanlah langkah kamu berdua. Sesungguhnya wanita ini ialah Safiyyah binti Huyayy.”

Kedua-duanya berkata, “Maha Suci Allah, wahai Rasulullah!” Baginda kemudian menjelaskan bahawa syaitan bergerak dalam diri manusia seperti aliran darah dan Baginda bimbang syaitan mencampakkan sangkaan buruk ke dalam hati mereka. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Baginda bukan meragui iman para sahabat. Sebaliknya, Baginda mengajar umatnya supaya tidak memberikan ruang kepada syaitan untuk menimbulkan prasangka. Penjelasan yang ringkas pada waktu yang tepat boleh menutup pintu fitnah yang besar.

Kisah hadis al-ifk yang menimpa Sayidatina Aisyah RA juga memberikan pengajaran yang sangat besar. Fitnah itu dimulakan oleh ketua golongan munafik, Abdullah bin Ubay bin Salul. Namun, berita palsu tersebut kemudiannya diulang dan disebarkan oleh sebahagian anggota masyarakat tanpa diselidiki sehingga mengganggu kehidupan Rasulullah SAW dan keluarga Baginda.

Allah SWT menegur sikap tersebut:

إِذْ تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُمْ مَا لَيْسَ لَكُمْ بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ عَظِيمٌ

“Ketika kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu memperkatakan dengan mulutmu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Kamu menyangkanya perkara kecil, padahal di sisi Allah perkara itu sangat besar.” (Surah al-Nur: 15)

Fitnah berkaitan hubungan antara lelaki dengan wanita sangat mudah merebak. Percikan api yang kecil boleh menjadi kebakaran besar apabila disambut oleh prasangka, gurauan, bisikan syaitan dan kegemaran manusia menokok tambah cerita.

Oleh itu, kedua-dua pihak mempunyai tanggungjawab. Orang yang melihat jangan cepat menuduh, manakala orang yang terlibat hendaklah menjaga batas, memilih keadaan yang selamat dan menjelaskan perkara yang boleh mengundang salah faham.

Niat yang baik sahaja belum memadai. Cara kita melaksanakan kebaikan juga mesti baik, berhikmah dan tidak membuka pintu fitnah. Jagalah maruah diri, keluarga dan orang yang kita bantu. Apabila sesuatu urusan melibatkan lelaki dan wanita, jangan terlalu yakin bahawa kita kebal daripada godaan syaitan dan persepsi manusia.

Berhati-hatilah. Fitnah kadangkala tidak bermula daripada dosa, tetapi daripada keadaan yang dibiarkan tanpa batas dan penjelasan.


No comments: