Suatu petang pada musim panas, seusai solat Asar, kami keluar dari Masjid Anas di Hayy Dhubat. Saya mencari sebelah lagi selipar yang saya tinggalkan di luar pintu masjid. Pelik. Hanya sebelah sahaja yang masih ada. Saya yakin benar saya meletakkannya di penjuru kanan pintu masuk masjid.
Saya mencari di sekitar kawasan masjid. Barangkali ada orang
yang tidak sengaja tersepak sehingga selipar itu terlontar jauh. Beberapa orang
jemaah turut membantu mencari, namun hasilnya tetap sama. Selipar itu
seolah-olah ghaib.
Tiba-tiba kami ternampak beberapa ekor anjing berhampiran
pintu pagar utama masjid.
"Eh... itu macam selipar saya!"
Ya Allah... memang betul. Seekor anjing sedang bermain-main
dengan selipar saya. Tidak syak lagi, dialah "pencurinya". Selipar
saya diheret dan digonggong hingga ke pintu pagar masjid.
Memang banyak anjing liar di sekitar Hayy Dhubat. Kelibat
mereka sering kelihatan di hadapan Masjid Anas. Menurut penduduk setempat,
kejadian selipar jemaah dibawa lari oleh anjing bukanlah sesuatu yang luar
biasa. Mungkin bau peluh pada selipar menjadi tarikan kepada haiwan tersebut.
Ketika itu masih ramai jemaah berada di perkarangan masjid.
Antaranya pensyarah kami yang tinggal berhampiran, Dr Wali al-Sudani.
"Dr... macam mana dengan selipar saya? Memang anjing
itu yang gigit. Apa saya perlu buat?"
Saya bertanya kepadanya.
Beliau menjawab dengan tenang,
"Tak ada apa. Pakai sahaja. Kalau kotor,
basuhlah."
Saya terdiam seketika.
Dalam fikiran saya, anjing ialah najis mughallazah menurut
Mazhab al-Syafi'i. Jika terkena air liurnya, wajib disertu sebanyak tujuh kali
basuhan dan salah satunya menggunakan air bercampur tanah. Ini pula bekas
gigitan yang hampir pasti terkena air liurnya.
Saya memandang wajah Dr Wali. Beliau hanya tersenyum lalu
meneruskan langkah keluar dari pagar masjid.
Barulah saya teringat.
Dr Wali berasal dari Sudan. Majoriti masyarakat Islam Sudan
berpegang kepada Mazhab Maliki. Dalam mazhab tersebut, tubuh anjing dianggap
suci, manakala perintah membasuh sebanyak tujuh kali dengan tanah difahami
secara khusus pada bekas makanan atau minuman yang dijilat anjing, berdasarkan
hadis Nabi SAW. Oleh itu, jika anjing menyentuh pakaian atau menggigit sesuatu
selain bekas makanan, mereka tidak mewajibkan sertu sebagaimana yang difahami
dalam Mazhab al-Syafi'i.
Sebab itulah jawapan beliau begitu bersahaja.
Adapun kita di Malaysia, amalan rasmi dalam urusan ibadah
dan fatwa banyak berasaskan Mazhab al-Syafi'i. Berdasarkan hadis Rasulullah
SAW:
إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِي إِنَاءِ
أَحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعًا أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
"Apabila anjing menjilat bekas salah seorang
daripada kamu, maka hendaklah dia membasuhnya tujuh kali dan basuhan yang
pertama dengan tanah." (Riwayat Muslim)
Mazhab al-Syafi'i mengqiyaskan hukum tersebut kepada setiap
bahagian yang terkena air liur anjing, termasuk pakaian, kasut dan selipar.
Lalu saya mengambil semula selipar saya yang sudah
"dipinjam" oleh anjing tadi. Saya menggosoknya pada tanah terlebih
dahulu sebelum membawanya ke tandas. Basuhan pertama saya lakukan menggunakan
air bersama tanah yang melekat pada selipar. Selepas itu saya membasuhnya enam
kali lagi dengan air paip sehingga selesai tujuh kali basuhan.
Alhamdulillah.
Selipar saya kembali suci menurut pegangan Mazhab
al-Syafi'i.
Peristiwa kecil ini mengajar saya bahawa fiqh Islam
mempunyai keluasan yang lahir daripada ijtihad para ulama. Selagi sesuatu
pandangan itu bersandarkan dalil dan kaedah istinbat yang muktabar, kita
menghormati perbezaannya. Namun, apabila berada di Malaysia, sewajarnya kita
beramal dengan pandangan Mazhab al-Syafi'i yang menjadi pegangan rasmi
masyarakat dan institusi agama negara. Kesatuan dalam beramal sering kali lebih
utama daripada mencari-cari khilaf.
Orang tua-tua ada berpesan, "Di mana bumi dipijak,
di situ langit dijunjung." Dalam soal fiqh juga begitu. Menghormati
mazhab yang diamalkan oleh masyarakat setempat merupakan adab yang diwariskan
oleh para ulama.
Nasib baik hanya selipar yang diminati anjing itu. Kalau
kaki saya yang digonggongnya, tentu lebih panjang lagi ceritanya!
Fakta Fiqh
Mazhab al-Syafi'i (Malaysia): Air liur anjing ialah najis mughallazah. Bahagian yang terkena hendaklah disertu tujuh kali, salah satunya dengan air bercampur tanah.
Mazhab Maliki: Tubuh anjing dianggap suci. Perintah tujuh basuhan dengan tanah difahami khusus pada bekas makanan atau minuman yang dijilat anjing, berdasarkan zahir hadis.
No comments:
Post a Comment