Monday, July 06, 2026

"ANGGAPLAH ADA DEBU DI KERUSI ITU"

 Ketika mengikuti kelas talaqqi bersama guru kami, Dr. Abdul Qadir al-Sa‘diy, perbincangan pada hari itu berkisar tentang hukum tayammum. Saya mengambil kesempatan untuk mengemukakan satu persoalan yang sering bermain di fikiran.


"Bagaimanakah cara kita bertayammum ketika berada dalam penerbangan? Kadang-kadang kami menaiki penerbangan selama hampir sembilan jam untuk pulang ke Malaysia."

Beliau menjawab dengan tenang.

"Bertayammumlah pada kerusi di hadapan kamu. Tepuk dua kali. Kali pertama sapukan ke muka, dan kali kedua ke kedua-dua tangan."

Saya masih kurang jelas lalu bertanya lagi.

"Tetapi bukankah kerusi itu tiada debu tanah? Kalau ada pun hanya debu fabrik yang hampir tidak kelihatan kerana dibersihkan setiap hari."

Beliau terus menjawab tanpa berlengah.

"تَوَقَّعْ أَنَّ عَلَيْهِ غُبَارًا"
"Anggaplah ada debu di atas kerusi itu."

Jawapan yang ringkas itu membuka satu perbahasan yang panjang tentang falsafah tayammum.

Allah SWT sendiri menjelaskan:

"...Dan jika kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (a‘īdan ayyiban), lalu sapulah wajah dan tanganmu..."
(Surah al-Ma'idah: 6)

Ayat ini menunjukkan bahawa tayammum bukanlah ibadah asal, tetapi rukhsah, iaitu kemudahan yang Allah berikan ketika wujud kesukaran menggunakan air.

Di Tanah Arab pada zaman dahulu, air merupakan sesuatu yang amat bernilai. Debu pula berada di mana-mana. Justeru, syariat menyediakan jalan keluar yang mudah agar kewajipan solat tetap dapat dilaksanakan tanpa memberatkan manusia.

Inilah maksud firman Allah:

"Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu."
(Surah al-Baqarah: 185)

Dan firman-Nya lagi:

"Allah tidak menjadikan bagi kamu dalam agama ini sebarang kesempitan."
(Surah al-Hajj: 78)

Konsep yang sama diaplikasikan ketika berada di dalam kapal terbang.

Bagi penerbangan dari arah barat ke timur, khususnya ketika waktu Subuh, tempoh waktunya kadangkala amat singkat, mungkin kurang daripada setengah jam. Dalam keadaan sebegini, seseorang perlu segera menunaikan solat sebelum waktunya berakhir.

Mengambil wuduk di tandas kapal terbang pula bukan sentiasa mudah. Bekalan air adalah terhad, ruangnya sempit, dan pergerakan penumpang juga terbatas. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang duduk di bahagian tengah pesawat.

Di sinilah kita memahami cara ulama melihat maqasid syariah.

Di padang pasir, seseorang hanya perlu menundukkan badan sedikit untuk mendapatkan debu. Namun di dalam kapal terbang, debu tanah hampir mustahil ditemui. Maka apa yang berada paling hampir dan boleh dianggap memenuhi maksud tayammum dijadikan sebagai jalan keluar. Yang berubah hanyalah tempat bertayammum, sedangkan tujuan syariat tetap sama, iaitu membolehkan seseorang segera mendirikan solat dalam waktunya.

Nabi SAW juga bersabda:

"Dijadikan untukku bumi ini sebagai masjid dan sebagai alat bersuci."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah dalam memudahkan umat Islam beribadah.

Guru kami turut menjelaskan bahawa tayammum dilakukan selepas masuk waktu solat dan digunakan untuk menunaikan solat tersebut. Fokus utamanya bukan mencari kesukaran, tetapi memastikan seseorang dapat segera menghadap Allah tanpa melengah-lengahkan kewajipan.

Bagi saya, inilah roh maqasid syariah. Tujuan syariat bukan untuk menyusahkan manusia, tetapi memastikan manusia terus menjadi hamba Allah dalam apa jua keadaan.

Firman Allah SWT:

"Maka bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu."
(Surah al-Taghabun: 16)

Sebab itulah sehingga hari ini, apabila timbul perdebatan tentang solat dan tayammum dalam penerbangan, saya masih berpegang kepada kefahaman yang diajarkan oleh guru saya.

Benar, pada hari ini mungkin terdapat pelbagai alternatif seperti botol semburan air atau kaedah lain. Namun dalam keadaan sebenar di dalam pesawat—ruang yang sempit, tempat duduk yang padat dan kesukaran menyempurnakan basuhan anggota wuduk—tayammum sering kali menjadi pilihan yang lebih praktikal serta lebih hampir kepada ruh syariat.

Begitu juga dengan solat. Dalam keadaan tidak mampu berdiri, tidak mampu bergerak ke ruang yang lebih luas atau tidak dapat menghadap kiblat kerana faktor keselamatan, syarat-syarat tersebut gugur mengikut kadar kemampuan.

Allah SWT berfirman:

"Maka ke mana sahaja kamu menghadap, di situlah arah yang diperkenankan Allah."
(Surah al-Baqarah: 115)

Ayat ini bukan bermaksud kiblat tidak lagi penting. Kiblat tetap menjadi syarat asal dalam solat. Namun apabila seseorang benar-benar tidak mampu menghadapnya kerana keuzuran yang diiktiraf syarak, Allah tidak membebankan hamba-Nya dengan sesuatu di luar kemampuan.

Dalam masyarakat kita, isu seperti ini sering menjadi polemik. Malah kadangkala terdengar ungkapan bahawa pandangan ulama Arab tidak sesuai diikuti kerana mereka terlalu mengambil mudah dalam urusan agama.

Saya kurang bersetuju dengan generalisasi seperti itu.

Sepanjang beberapa tahun menuntut ilmu di Jordan, saya berpeluang berguru dengan ramai ulama Arab. Saya melihat sendiri keluasan ilmu mereka, ketelitian mereka dalam memahami nas, serta keikhlasan mereka menyampaikan ilmu. Mereka membaca al-Quran dan hadis dalam bahasa asalnya, menguasai selok-belok bahasa Arab, usul fiqh, qawa'id fiqhiyyah dan maqasid syariah sejak sekian lama.

Sudah tentu para ulama Malaysia juga mempunyai ramai tokoh yang hebat dan dihormati. Bahkan ramai dalam kalangan mereka sendiri berguru dengan para masyaikh di Timur Tengah. Oleh itu, bagi saya, ilmu tidak sepatutnya dinilai berdasarkan bangsa atau negara, tetapi berdasarkan kekuatan dalil, keluasan ilmu dan amanah ilmiah.

Saya bersyukur kerana Allah mengurniakan peluang untuk duduk di hadapan para masyaikh tersebut. Daripada mereka saya belajar bahawa fiqh bukan sekadar menghafal hukum halal dan haram, tetapi memahami hikmah di sebalik syariat.

Akhirnya saya memahami satu perkara yang sangat besar.

Kadangkala yang Allah mahukan bukanlah kita mencari debu, tetapi memahami mengapa syariat menyediakan debu sebagai jalan keluar.

No comments: