Saya masih ingat ketika berjalan memasuki Pasar Sandakan suatu ketika dahulu. Tiba-tiba saya ternampak sekeping wang kertas RM5 di atas laluan pejalan kaki.
Saya mengambilnya lalu bertanya dengan
suara yang agak kuat,
"Duit siapa ni? Saya jumpa jatuh
di sini."
Beberapa orang penjual dan orang yang
lalu-lalang memandang ke arah saya. Seorang daripada mereka terus berkata,
"Ambillah. Rezeki awak tu. Awak
yang jumpa."
Saya hanya tersenyum.
"Mana boleh macam tu. Ini bukan
rezeki namanya. Ini harta orang yang tercicir. Saya tidak boleh
mengambilnya."
Lalu saya menyelitkan wang itu di
bawah sikat pisang di atas meja seorang penjual berhampiran.
Saya berpesan kepadanya,
"Saya letak duit ini di sini
supaya mudah dilihat. Kalau ada orang datang bertanya tentang duit yang hilang,
berikan kepadanya. Kalau selepas beberapa hari tiada siapa yang menuntutnya,
sedekahkanlah kepada orang yang memerlukan atau masukkan ke dalam tabung
masjid."
Penjual itu hanya menganggukkan
kepala.
Peristiwa kecil ini sebenarnya
menggambarkan satu kekeliruan yang agak besar dalam masyarakat kita. Ramai yang
masih belum dapat membezakan antara rezeki dan amanah.
Barang yang dijumpai bukanlah terus
menjadi rezeki kita. Ia masih merupakan hak orang lain yang wajib dipelihara
sehingga pemiliknya ditemui. Dalam Islam, barang seperti ini dinamakan luqatah,
iaitu barang yang tercicir dan mempunyai hukum-hakam yang jelas.
Rasulullah SAW bersabda:
عَرِّفْهَا سَنَةً، فَإِنْ جَاءَ صَاحِبُهَا وَإِلَّا
فَشَأْنُكَ بِهَا
"Umumkanlah (barang yang dijumpai
itu) selama setahun. Jika pemiliknya datang, serahkan kepadanya. Jika tidak,
maka terserahlah kepadamu (mengikut hukum syarak)."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Allah SWT juga mengingatkan:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ
إِلَىٰ أَهْلِهَا
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu
supaya menyerahkan segala amanah kepada yang berhak menerimanya."
(Surah al-Nisa': 58)
Cuba kita lihat realiti masyarakat
hari ini. Apabila seseorang tercicir telefon bimbit, dompet atau beg, amat
jarang barang itu dapat kembali kepada pemiliknya. Kalaupun dompet dipulangkan,
sering kali wang di dalamnya sudah tiada. Telefon pula ada yang terus dimatikan
atau dijual.
Lebih membimbangkan, budaya mengambil
barang milik orang lain juga berlaku di asrama sekolah, termasuk di sekolah
agama dan sekolah tahfiz. Ramai ibu bapa yang mempunyai anak di asrama
mengetahui perkara ini. Kasut, pakaian, makanan, wang, pengecas telefon, malah
telefon bimbit sendiri kadang-kadang hilang tanpa dapat dikesan.
Ini sepatutnya menjadi bahan muhasabah
kepada kita. Adakah pendidikan agama yang kita berikan benar-benar berjaya
membentuk rasa takut kepada Allah ketika berhadapan dengan harta orang lain?
Mencuri bukan sekadar kesalahan
undang-undang, bahkan termasuk dalam dosa besar. Islam memandang tinggi hak
pemilikan seseorang sehingga menetapkan hukuman yang berat apabila kesalahan
mencuri memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan syarak.
Namun, sebelum seseorang menjadi
pencuri yang besar, biasanya ia bermula dengan perkara yang dianggap kecil.
Mengambil duit yang dijumpai tanpa berusaha mencari pemiliknya. Mengambil
makanan rakan tanpa izin. Membawa pulang barang pejabat untuk kegunaan sendiri.
Menggunakan harta kerajaan bagi urusan peribadi. Meniru hasil kerja orang lain
tanpa memberikan penghargaan. Mengambil wang wakaf, derma atau tabung masjid
untuk kepentingan sendiri. Semuanya berpunca daripada kegagalan menghormati hak
milik orang lain.
Hakikatnya, masyarakat yang tidak
menghormati hak orang lain tidak akan pernah menikmati keamanan yang sebenar.
Tiada siapa lagi berasa selamat terhadap harta miliknya.
Marilah kita mendidik diri, anak-anak
dan seluruh ahli keluarga supaya menghormati hak orang lain. Jangan mengambil
walaupun sedikit sesuatu yang bukan milik kita. Jika kita menemui barang yang
tercicir, anggaplah ia sebagai amanah, bukan terus menganggapnya sebagai
rezeki.
Insya-Allah, apabila kita menjaga hak
manusia, Allah akan menjaga rezeki kita dengan cara yang jauh lebih baik
daripada apa yang kita sangka.
Semoga Allah menjadikan kita hamba
yang amanah, jujur dan sentiasa menjaga hak orang lain. Amin.
No comments:
Post a Comment