Thursday, July 16, 2026

DIDIK DIRI MERASAI ALLAH SENTIASA MEMERHATI

 “Jangan ambil duit orang. Itu bukan duit kita. Walaupun orang lain tidak tahu, Allah tahu siapa yang mengambilnya.”

“Kalau duduk seorang diri di dalam bilik, jangan buat perkara yang bukan-bukan. Allah nampak.”

“Apabila sudah bekerja nanti, bekerjalah dengan betul. Jangan lambat masuk pejabat, tetapi mengaku datang awal. Jangan salah gunakan barang pejabat, duit ataupun kuasa untuk kepentingan diri sendiri.”

“Allah nampak segala yang kita lakukan. Allah sentiasa memerhatikan kita.”

Itulah antara nasihat datuk saya, Haji Muda, yang masih terngiang-ngiang dalam ingatan. Ketika kecil dan semasa bersekolah menengah, saya banyak tinggal bersamanya di Kampung Gertak Kechupu. 


Pada waktu petang, apabila ada kelapangan, saya suka berbual-bual dengan datuk. Beliau banyak berkongsi perkara yang dipelajarinya di masjid. Penyampaiannya tidak berbentuk kuliah yang panjang, tetapi berupa nasihat ringkas yang dekat dengan kehidupan. Salah satu nasihat yang sering diulanginya ialah:

“Walaupun manusia tidak nampak, Allah nampak.”

Jika direnungkan, antara punca pelbagai masalah dalam masyarakat hari ini ialah semakin menipisnya perasaan bahawa Allah sentiasa memerhatikan kita. Kita lebih takut diketahui manusia daripada diketahui Allah. Kita menjaga tingkah laku di hadapan orang ramai, tetapi berubah apabila bersendirian.

Ada pelajar yang sengaja meninggalkan atau melewatkan solat. Ada yang meniru dalam peperiksaan, memplagiat tugasan, memalsukan kehadiran dan mengambil barang milik rakan. Di asrama, bahkan di sekolah yang berteraskan pendidikan agama sekalipun, masih berlaku kecurian, buli, fitnah dan pelanggaran disiplin.

Seolah-olah Allah tidak melihat apa yang dilakukan.

Masalah yang sama berlaku dalam dunia pekerjaan. Ada guru yang mengajar sambil lewa, sedangkan tugas mendidik ialah amanah. Ada penjawat awam yang datang lewat tetapi merekodkan kehadiran yang tidak benar. Ada pekerja yang menggunakan waktu pejabat untuk urusan peribadi. Ada yang menyalahgunakan kemudahan, kenderaan, wang dan harta organisasi seolah-olah semuanya milik sendiri.

Dalam kalangan anggota penguat kuasa pula, mungkin berlaku perlindungan terhadap kesalahan tertentu, kebocoran maklumat atau penerimaan suapan. Dalam kalangan pemimpin, ada yang menyalahgunakan kuasa, mengutamakan keluarga dan kroni, memanipulasi fakta serta menjadikan kedudukan sebagai jalan mengumpulkan kekayaan.

Di rumah, ada suami atau isteri yang tidak jujur terhadap pasangan. Dalam perniagaan, ada yang mengurangkan timbangan, menyembunyikan kecacatan barang, membuat tuntutan palsu atau mengambil keuntungan melalui penipuan. Di media sosial pula, manusia mudah menyebarkan fitnah, membuka aib, meninggalkan komen yang menghina dan berkongsi berita tanpa memastikan kebenarannya.

Semua ini berlaku kerana manusia merasakan dirinya bebas selagi tidak ditangkap, dirakam atau diketahui orang lain.

Namun, adakah kita juga boleh bersembunyi daripada Allah?

Allah SWT berfirman:

وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Dan Dia bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hadid: 4)

Lebih menyedihkan apabila pelanggaran amanah dilakukan oleh orang yang membawa penampilan dan imej agama. Ada yang petah berbicara tentang halal dan haram, tetapi gagal menjaga amanah kewangan. Ada yang menyeru orang lain melakukan kebaikan, tetapi dirinya terlibat dengan penipuan, eksploitasi, gangguan seksual, penyalahgunaan sumbangan, kezaliman terhadap pekerja atau perbuatan membuka aib orang lain.

Kalau kita lihat banyak juga kumpulan WhatsApp yang dianggotai oleh golongan berpendidikan agama atau yang membawa nama agama juga kadangkala dipenuhi kebencian, cercaan dan penghinaan, terutama apabila perbincangan menyentuh soal politik. Kata-kata yang tidak sanggup diucapkan secara berhadapan begitu mudah ditaip dan disebarkan. Fitnah dikongsi tanpa usul periksa, aib lawan dibuka dan perbezaan pandangan dibalas dengan gelaran yang menjatuhkan maruah. Seolah-olah ruang tertutup itu bebas daripada pengawasan Allah dan catatan para malaikat. Sedangkan Allah SWT berfirman:

مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

“Tidak ada sesuatu perkataan pun yang dilafazkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa bersedia mencatatnya.”(Surah Qaf: 18)

Setiap perkataan yang diucapkan mahupun ditaip tetap berada dalam pengetahuan Allah. Label “kumpulan agama” tidak menghalalkan fitnah dan cacian, manakala perbezaan politik bukan lesen untuk merendahkan maruah sesama Muslim. Jika ilmu agama tidak mampu menjaga lidah dan jari kita, maka kita perlu bertanya: sejauh manakah ilmu itu benar-benar telah mendidik jiwa?

Di Manakah Silapnya Pendidikan Kita?

Kita perlu berani melakukan koreksi dan muhasabah. Di manakah silapnya pendidikan agama kita?

Adakah kita terlalu banyak menghafal sifat-sifat Allah, tetapi kurang dididik untuk merasai kebesaran dan pengawasan-Nya?

Kita menghafal bahawa Allah itu al-Basir, Yang Maha Melihat, tetapi masih berani melakukan maksiat ketika bersendirian. Kita mengetahui Allah itu al-Sami‘, Yang Maha Mendengar, tetapi masih mudah mengumpat, memfitnah dan berdusta. Kita mengakui Allah itu al-‘Alim, Yang Maha Mengetahui, tetapi masih cuba menyembunyikan penyelewengan daripada manusia.

Barangkali pendidikan agama kita terlalu menekankan “apa yang perlu diketahui”, tetapi kurang membimbing jiwa tentang “bagaimana ilmu itu perlu dihayati”.

Kita mungkin berjaya menjawab soalan peperiksaan tentang sifat Allah, tetapi belum tentu berjaya menghadapi ujian ketika peluang melakukan dosa terbuka luas dan tiada manusia yang melihatnya.

Di sinilah pentingnya sifat muraqabah, iaitu kesedaran bahawa Allah sentiasa mengetahui, melihat dan memerhatikan kita. Muraqabah bukan bermaksud kita hidup dalam ketakutan yang tidak berpenghujung. Sebaliknya, ia melahirkan rasa amanah, malu, berhati-hati dan bertanggungjawab.

Beribadah Seolah-olah Melihat Allah

Rasulullah SAW menjelaskan tentang ihsan:

أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

“Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekiranya engkau tidak dapat melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini bukan hanya berkaitan solat, puasa dan ibadah khusus. Ihsan sepatutnya hadir ketika kita belajar, bekerja, mengurus wang, menggunakan kuasa, melayari Internet dan bergaul dengan manusia.

Sebelum melakukan sesuatu, tanyalah kepada diri:

“Jika tiada manusia yang melihat, adakah aku masih sanggup melakukannya sedangkan Allah sedang melihat?”

Apabila menemukan wang yang bukan milik kita, ingatlah bahawa Allah melihat. Apabila berpeluang menipu tuntutan atau kehadiran, ingatlah bahawa Allah melihat. Apabila bersendirian dengan telefon dan Internet, ingatlah bahawa Allah melihat. Apabila diberikan kuasa terhadap orang lain, ingatlah bahawa setiap amanah akan dipersoalkan oleh Allah.

Didiklah Hati Setiap Hari

Perasaan diperhatikan Allah tidak hadir dengan sendirinya. Ia mesti dididik dan dibiasakan setiap hari. Mulakan dengan menjaga solat, memperbanyakkan zikir, membaca al-Quran dengan tadabbur dan melakukan muhasabah sebelum tidur.

Tanyakan kepada diri setiap malam:

“Apakah yang aku lakukan hari ini sekiranya diperlihatkan semula di hadapan Allah?”

Apabila terlintas keinginan untuk melakukan dosa, sebutlah dalam hati:

“Allah sedang melihatku.”

Apabila berpeluang melakukan kebaikan tanpa diketahui manusia, lakukanlah kerana yakin bahawa Allah mengetahuinya. Kita bukan sahaja perlu takut melakukan dosa secara tersembunyi, bahkan perlu membina amal soleh yang tersembunyi antara diri kita dengan Allah.

Nasihat datuk saya kelihatan sangat mudah:

“Allah nampak apa yang kita buat.”

Namun, jika ungkapan ini benar-benar hidup dalam hati, ia mampu membentuk manusia yang jujur, amanah dan berakhlak walaupun tanpa pengawasan manusia.

Kamera litar tertutup mungkin mempunyai kawasan yang tidak dapat dirakam. Pegawai penguat kuasa mungkin tidak berada di setiap tempat. Manusia juga boleh diperdaya dengan alasan dan penampilan. Namun, tiada satu pun tempat yang tersembunyi daripada pengetahuan Allah.

Allah SWT berfirman:

أَلَمْ يَعْلَمْ بِأَنَّ اللَّهَ يَرَىٰ

“Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat?” (Surah al-‘Alaq: 14)

Marilah kita mendidik diri, pasangan, anak-anak, pelajar dan masyarakat agar merasai pengawasan Allah. Bukan sekadar mengetahui bahawa Allah Maha Melihat, tetapi benar-benar hidup dengan kesedaran tersebut.

Apabila hati merasai Allah sedang memerhati, kita akan tetap berlaku jujur meskipun tiada manusia yang melihat, tetap menunaikan amanah meskipun tiada sesiapa yang memuji, dan tetap meninggalkan dosa meskipun peluang melakukannya terbuka luas.

Didiklah diri untuk malu kepada Allah, bukan hanya malu apabila diketahui manusia.

No comments: