Saturday, February 01, 2025

HARRY SIM 3: BELAJAR AL QURAN DAN ISTIQAMAH SOLAT

 Saya lihat Harry Sim sentiasa ada di masjid dan dia sentiasa berada di depan setiap kali saya memberi kuliah maghrib. Penampilan dia seperti pelajar lain tidak ada beza. Berpakaian t shirt dan berseluar tanpa kopiah. Memang saya sendiri tidak bertegas dengan kod pakaian untuk ke masjid. Cukuplah dengan berpakaian menutup aurat dan sopan. Jangan pakai pakai t shirt yang bergambar dan tulisan yang banyak kerana boleh mengganggu fokus orang lain ketika solat. 


Jadi Harry Sim pun sama. Cuma Harry Sim ni pendiam orangnya. Jarang sangat bercakap dengan saya. Hanya sekadar bersalam dan pergi begitu sahaja. Saya pun tidak mengajak dia berbual-bual apatah lagi bertanya khabar tentang Islam. Hanya Mus yang menjadi perantara antara saya dengan dia.

Satu hari Mus datang lagi bertemu dengan saya.

“Ustaz! Harry mahu belajar baca al Quran. Bagaimanya ya?”

“Oh.. baguslah. Mulakan dengan membaca iqra’. Guna buku iqra’ biasa tu yang disusun oleh As’ad humam”.

Saya menyarankan agar Mus membimbing Harry Sim untuk mula belajar membaca al Quran bermula dengan Iqra’. Kebetulan saya ada stok buku Iqra dalam simapanan saya. Buku Iqra’ tersebut jenis gabungan Iqrah satu hingga enam. Agak tebal juga. Cuma itu saja yang ada.

Saya memberi buku Iqra tersebut kepada Mus. Saya menerangkan sedikit sebanyak bagaimana cara terbaik untuk membimbing bacaan Iqra. Saya juga memberi buku Fardhu Ain KPM yang banyak dalam simpanan saya untuk diberi kepada Harry Sim. Buku fardu Ain tersebut diagihkan ke setiap sekolah mengikut bilangan pelajar. Jadi pelajar yang sudah mahir saya tidak agihkan disimpan oleh panitia Pendidikan Islam dan gunua ketika dalamk kelas sahaja. Risau pelajar tidak menghargainya dan dibuang ke merata tempat.

“Bagaimana dengan Harry Sim sekarang? Dia dah pandai solat?” tanya saya pada Mus.

Ok Ustaz dia sudah pandai baca al Fatihah dan juga tahiyyat.  Bacaan lain pun dia dah mula belajar”.

“Dia amat istiqamah pergi ke masjid. Sekarang ni siang pun dia ke masjid. Kalau asar tu dia akan solat sama kami lah. Cuma subuh sahaja dia belum datang.”

Ya lah dia belum lagi shahadah secara rasmi sebagai muslim.

“Harry Sim ni memang serius kah nak peluk Islam?”

Saya bertanya ingin mendapat kepastian dengan Si Mus. Ya lah..  dia sudah banyak belajar dan sudah pandai solat dengan sempurna. Sekarang mahu belajar al Quran pula.

“Dia kata dia minat sangat dengan Islam. Tapi masih mahu belajar dulu. Dia bilang, bila dia sudah mahir tentang dalam banyak perkara, dia akan buat keputusan untuk peluk Islam”. Mus bercerita sambil membelek-belek buku Iqra ditangannya.

Prinsip saya memang begitu. Membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk mengetahui tentang Islam. Tidak pernah keluar dari mulut saya mengatakan kepada sesiapa “Kamu perlu masuk Islam”. Hanya Islam yang betul dan agama lain salah”. Saya menggunakan pendekatan logika minda dan juga sentuhan jiwa. Ada juga beberapa orang rakan guru yang suka bertanya tentang Islam. Saya memberi layanan baik kepada mereka memenuhi permintaan mereka.

Apa yang saya tekan ialah ‘Kehidupan ini adalah pilihan. Kita perlu memilih apa yang betul demi masa depan kita. Jangan tersalah pilih. Kita perlu berterima kasih kepada tuhan yang telah menciptakan kita dengan pelbagai kemudahan dan nikmat. Jadi sebagai tanda terima kasih kita mengakuinya dia sebagai tuhan dan patuh kepada apa dimintanya. Itu antara asas intipati penerangan saya kepada pelajar dan juga guru non muslim.

Begitu juga dengan pendekatan yang saya guna kepada Harry Sim. Cuma Harry Sim ini tidak bertemu dengan saya secara langsung. Hanya Mus yang menjadi perantara. Tak mengapalah. Saya lihat Mus amat komited dan memainkan peranannya dengan amat baik.

Selepas beberapa minggu Mus memberi tahu saya bahawa Harry Sim sudah pandai membaca al Quran walaupun masih tersangkut-sangkut. Dia bertanyakan kepada saya adakah boleh dia menggunakan al Quran biasa tanpa terjemahan untuk belajar al Quran.

“Boleh. Tapi minta dia berwuduk dulu sebelum menyentuh al Quran”.

“Walaupun dah mula membaca al Quran dari Surah al Baqarah dia mesti teruskan belajar Iqra agar proses pembelajarannya lebih mudah dan lancar”.

Harry Sim sudah sampai tahap Iqra’ 4 dalam masa tak sampai sebulan. Laju betul dia belajar. Mus memberi tahu saya Harry Sim belajar membaca Iqra lebih 5 atau 6 kali sehari. Tak tentu masa. Bila ada waktu lapang Harry Sim akan mencari Mus untuk belajar membaca Iqra’ Tidak hairanlah dia berjaya menguasai Iqra’ dalam tempoh yang amat singkat.

Kalau lah semangat ini ada pada pelajar muslim lain. Tiada lagi masalah buta al Quran dalam kalangan pelajar. Dalam hati saya berdoa agar Harry Sim segera di beri hidayah oleh Allah.

No comments: