Sunday, February 16, 2025

SATU KELUARGA SATU TAQWIM

 Tahun kedua selepas pengenalan projek taqwim solat. Projek ini ditingkatkan lagi dengan kempen satu keluarga satu taqwim solat. Projek ini dimulai sebelum mulai masuk tahun  baru Hijrah. Kali ini saya berhubung terus dengan JHEANS Sabah untuk mendapat taqwim utama negeri Sabah dengan waktu Daerah Kinabalu. Jika sebelum ini saya hanya menunggu edaran ke masjid. Kali ini saya berhubung terus dengan pegawai agar jika taqwim sudah siap ia perlu dikirim segera kepada saya di Sandakan. 


Alhamdulillah pegawai JHEANS memberi kerjasama yang baik setelah saya menerangkan projek tawim solat ini. Bahkan tahun berikutnya  mereka telah menghantar naskhah kiraan asal sebelum dicetak melalui email kepada saya. Kiranya kami di Sandakan berjaya menyiapkan taqwim solat sebelum edaran rasmi secara bercetak dari JHEANS.

Ustaz! Boleh kah kalau saya nak tolong jualkan takwim ni kepada jiran-jiran saya di kampung.”

“Dengan ada taqwim ini mudahlah mereka untuk solat kerana waktu solat sudah diketahui awal lagi.”

“Ibu saya suka sangat takwim solat SMKE ni. Dia tak perlu lagi tunggu azan dari masjid untuk solat. Kadang-kadang masjid terlewat azan.”

Seorang pelajar perempuan telah berjumpa dengan saya meminta izin untuk menjual dan mengedarkan taqwim solat ini di kampungnya. Idea yang sangat bagus. Saya sendiri pun tidak terfikir begitu pada asalnya. Saya hanya ingin memenuhi keperluan pelajar saya dan keluarga mereka sahaja untuk solat.

Rupanya Allah telah menghantar seorang pelajar perempuan yang saya tidak kenalinya sebelum ini memberi idea yang amat bernas. Saya bersetuju dengan idea ini dan  meminta dia memberi tempoh untuk saya merancang. Ini kerana saya terpaksa memperbanyakkan cetakan taqwim ini dan sudah tentu perlu kepada perancangan yang teliti.

Setelah berbincang dengan Mr Tan dia masih lagi sanggup mencetak taqwim tanpa kos walaupun dengan jumlah yang banyak. Tetapi masalah yang timbul ialah untuk menyusun, memotong kepala takqim dan kemudian mengacip taqwim tersebut siap dengan tebukan lubang agar mudah untuk digantungkan di dinding. Saya berbincang dengan pelajar Pendidikan Persatuan Pendidikan Islam dan juga Pelajar Rakan Iman untuk membantu.

Kali ini saya memberi upah sebanyak 20sen untuk satu naskhah. Bagi menyiapkan 500 naskhah mereka akan dapat RM100. Jumlah yang agak banyak  bagai pelajar pada masa itu. Saya juga membuat tambahan pada rekabentuk taqwim dengan menyelitkan petikan terjemahan ayat al Quran dan juga hadis dibahagian bawah setiap helaian taqim tersebut.

Antara petikan yang digunakan ialah:

‘Dirikan solat dan tunaikan zakat’

‘Beza antara Muslim dan kafir adalah solat’

‘Sesungguhnya solat mencegah seseorang dari mengerjakan kemungkaran’

‘Amalan pertama yang akan dihisab di akhirat adalah solat’

‘Orang yang menjaga solat dijamin kejayaannya di akhirat’

‘Solat berjamaah pahalanya 27 kali ganda dari solat secara bersendirian’

Dengan meletakkan petikan kata-kata sebegini diharapkan dapat memberi panduan dan peringatan kepada masyarakat. Alhamdulillah saya mendapat respon yang amat positif dari pelajar.

Kali ini harga taqwim terpaksa dinaikkan harganya. Harga dinaikan kepada RM1.50 senaskhah untuk menampung upahan susunan dan kemasa terakhir. Manakala 50 sen diberikan sebagai komisyen kepada pelajar yang menjual bagi setiap naskhah.

Saya telah membuat pelancaran edaran taqwim solat ni semasa perhimpunan hari Isnin dan menawarkan peluang kepada semua pelajar untuk menjual taqim solat ini dengan komisyen 50 sen senaskhah. Masya Allah.. puji dan syukur pada Allah. Projek ini mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelajar. Ramai yang datang mengambil taqwim dengan saya sehingga ada pelajar yang rajin boleh dapat komisyen sehingga hampir RM20.

Saya juga memaklumkan kepada pelajar untuk mengambil taqwim secara percuma untuk disumbangkan kepada masjid dan surau dikampung mereka. Pelajar juga diberi tanggungjawab menerangkan kepada ahli keluarga dan masyarakat kampung bagaimana untuk membaca dan melihat waktu solat dengan tepat. Ini sangat perlu kerana masih ramai mereka yang buta huruf.

Alhamdulillah projek taqwim ini menjadi satu fenomena baru di Sandakan. Sehingga terdapat juga orang kampung yang datang kesekolah untuk mendapatkan taqwim solat terus dari saya. Saya terpaksa mengulang cetak taqwim tersebut beberapa kali.

Semoga usaha ini memberi manfaat dan menjadi saham kepada saya dan pelajar SMKE yang banyak membantu.

 

No comments: