Wednesday, February 26, 2025

SIAPA YANG BERAGAMA KRISTIAN DI RUMAH INI?

 Inilah soalan yang ditanya oleh seorang ibu muda  bila saya menjawab bahawa saya beragama Islam.  Dia datang kerumah saya ketika saya sedang berehat sambil melayan anak kecil saya di halaman rumah ketika kami menyewa di Taman Pertama Sandakan.   Rumah saya adalah  jenis  berkembar semi D. Jadi kejiranan saya hampir semua berbangsa cina . Seingat saya  lorong saya hanya ada dua keluaga muslim termasuk saya.


Jiran kiri, kanan, hadapan dan belakang semua nya orang kaya yang mempunyai perniagaan yang besar.  Hanya saya orang biasa yang bertugas sebagai guru. Rumah saya yang paling asas sebagaimana asal.

Ibu tadi dalam lingkungan umur 30an ditemani oleh anak perempuannya  danlam umur sekitar 10 tahun.     Ditangannya ada satu buku  yang agak tebal juga. Rupanya itu adalah bible yang mereka panggil al kitab.

“Bolehkah saya  ingin bacakan petikan bible ini pada encik?” tanya ibu tadi dengan suara yang lembut. Anaknya setia berdiri disebelahnya.
“ Saya muslim. Saya tak baca bible.”

Mendengar jawapan saya dia bertanya siapakah yang tinggal bersama saya beragama kristian. Saya menegaskan bahawa semua ahli keluarga saya adalah muslim dan kami tidak membaca bible. Kami sebagai muslim hanya membaca al Quran sebagai rujukan utama kami.

Dia mengucapkan terima kasih dan bergerak kerumah sebelah. Jiran Kami keluarga Chew yang memiliki kedai perlatan pembinaan rumah di batu satu. Selepas ibu tersebut memicit loceng kelihatan Puan Chew bergegas keluar. Saya hanya memerhatikan dari jauh perbualan antara Puan Chew dengan ibu tadi. Kemudian saya lihat Ibu tadi membuka dan membelek bible dan membacanya. Saya melihat Puan Chew tekun mendengar.

Selepas beberapa minit ibu dan anak tadi berlalu pergi. Puan Chew yang ingin masuk balik kerumah menyapa saya dan anak saya yang sedang berehat di laman rumah. Saya bertanyakan Puan Chew yang saya tahu beragama Buddha tapi saya lihat dia menyantuni ibu tadi yang membaca bible.

“Oh.. tadi ibu tadi dia bernazar. Anaknya tadi yang bersamanya tadi dulunya sakit. Jika anaknya sembuh dia berjanji ingin membaca petikan bible dari rumah kerumah”.

Jadi Puan Chew kan beragama Buddha. Ibu tadi membacakan petikan bible untuk orang kristian”.

Ah.. tak ada apa-apa lah. Saya selalu ja layan mereka. Ramai je bernazar begitu di sini. Selalu je ada orang datang bacakan bible dari rumah ke rumah. Mereka kata nak sampaikan pesan kasih sayang Jesus. Saya dengar ja lah. Penuhi hasrat mereka walaupun berbeza pegangan”.

Saya kagum dengan sikap Puan Chew yang amat terbuka dalam hal ini. Ya, Puan Chew amat baik dengan kami. Setiap hari akan menegur kami, berbual dan memberi buah tangan buah buahan. Sikap dia yang melayan hasrat tetamu yang datang itu adalah akhlak yang baik. Saya juga sepatutnya memberi peluang kepada ibu tadi membaca bible kepada saya walaupun kandungannya bercanggah dengan Islam. Sekurang-kurangnya memenuhi hasra ibu tadi yang sudah penat berjalan dari rumah kerumah memenuhi nazarnya. 


Terfikir juga di fikiran saya kenapa tidak ada orang Islam yang membuat kerja sebegini. Pergi rumah ke rumah  membaca petika al Quran ataupun Hadis. Mungkin juga boleh dijadikan sebagai nazar yang baik menyampaikan pesan dari tuhan.

Saya lihat ibu dan anaknya tadi dari jauh pergi rumah kerumah dilayan dengan baik oleh jiran-jiran yang lain. Mungkin hanya saya yang menolak untuk mendengarnya.

Alangkah baiknya jika kita juga mempunyai sikat sebegitu. Melayan semua tetamu dengan baik walaupun tidak mereka itu tidak diundang dan dikiran mengganggu waktu rehat kita. Begitu juga Usaha dakwah mereka menyampaikan pesan Jesus mengikut kepercayaan mereka kepada orang ramai sepatutnya dicontohi oleh kita orang Islam.

Pesan nabi “Sampaikan apa saja dari aku walaupun sepotong ayat”.

Marilah kita sama-sama usahakan.

No comments: