Wednesday, February 12, 2025

HARRY SIM 10: SOLAT JENAZAH GHAIB UNTUK HARIS

 “Ustaz! Bagaimana dengan keadaan Haris? Apa yang boleh kita buat untuk membantu Haris?”

Itu antara persoalan yang datang berjumpa dengan saya pada waktu rehat hari Isnin. Memang Haris dikenali ramai pelajar dengan kisah dia memeluk Islam mendapat tentangan keluarga. Berita kematiannya mengejutkan warga sekolah dari kalangan guru dan juga pelajar.

Saya mendapat maklumat bahawa jenazah Haris akan di bumikan pada hari Isnin di perkuburan kristian di Jalan Cecily, Sandakan. Saya pada awalnya merancang untuk hadir juga pengkebumian yang akan dilaksanakan dengan instiadat polis.  Namun upacara pengkebumian Haris pada hari bekerja dan hari itu saya ada jadual kelas yang penuh. 

“Kita boleh buat solat jenazah ghaib untuk Haris”. Saya mencadangkan kepada pelajar tersebut.

“Bila mahu buat solat jenazah Ustaz? Saya nak hebahkan makluman kepada semua pelajar asrama.”

“Saya cadangkan kita buat malam ini selepas solat maghrib di Masjid al Aqsa.”

‘Kita bagi peluang kepada semua pelajar asrama untuk solat. Semua pelajar lelaki dan perempuan.”

“Ya ustaz. Kalau buat waktu zohor ini tak muat surau kita ni kecil sangat. Nak ke Masjid al Aqsa jauh juga untuk pelajar perempuan hendak kesana.” Pelajar tersebut setuju dengan cadangan saya.

Malam itu saya datang awal ke sekolah untuk solat maghrib bersama-sama pelajar dan kemudianya solat jenazah Ghaib untuk arwah Haris.

Sebelum solat saya telah memberi penerangan tentang tatacara solat jenazah ghaib kepada pelajar. Ini adalah pengalaman baru kepada pelajar SMKE untuk solat jenazah yang sebenar. Sebelum ini hanya sekadar teori yang dihafal sahaja. Kali ini pelajar perempuan pun berpeluang untuk ikut sama melaksanakan solat jenazah.

Selepas solat jenazah ghaib yang diimamkan oleh saya, saya memberi kuliah maghrib yang berkisah tentang kisah Haris ini. Kisah dikaitkan dengan beberapa hukum fikah yang berkaitan dengan situasi yang hadapi oleh Haris.

Rumusan yang saya buat ialah pentingnya keimanan kepada Allah taala dan Husnul khatimah. Apa yang penting ialah imannya kepada Allah saat ketika dia meninggal. Haris ini insya Allah mati dalam keadaan beriman kepada Allah dan dia adalah seorang muslim yang taat. Cuma ia belum membuat dokumen rasmi sebagai seorang muslim sahaja.

Hukum fikah Islam juga bergantung dengan keadaan undang-undang semasa di Malaysia. Walaupun jenazah Haris tidak dapat diuruskan sebagai mana jenazah seorang muslim ia tidak menjadi masalah kepada Haris dan kita semua. Hukum asal wajib pengurusan jenazah secara Islam gugur dalam masalah ini.

Allah mengetahui kedudukan sebenar Haris. Roh Haris tetap ke alam barzakh bersama roh orang beriman walaupun jasadnya dikebumikan di tanah perkuburan kristian. Di sinilah perlunya ketegasan dalam diri setiap muslim dalam pegangannya akidah. Al Quran sendiri membawa banyak contoh bagaimana orang terdahulu sanggup diseksa sehingga hilang nyawa kerana mempertahankan aqidah.

Kisah ahli sihir zaman firaun apabila mereka kalah dalam perlawanan ilmu sihir dengan nabi Musa, mereka telah mengisytiharkan keimanan mereka pada Allah. Mereka telah dihukum bunuh dengan ditanam separuh badan dalam tanah kemudiannya mereka di gergaji bermula dari atas kepala sehingga badan mereka terbelah dua bahagian. Mereka digergaji seorang demi seorang sehingga semuanya mati. Namun mereka semua tetap tidak berganjak mempertahankan keimanan mereka walaupun dibunuh dengan cara yang begitu ngeri sekali.

Mungkin bagi pandangan kita mereka boleh saja menyembunyikan iman mereka dengan mengikut kehendak firaun mengaku dirinya sebagai tuhan. Itulah yang terbaik demi menyelamatkan nyawa. Tapi mereka memilih untuk mempertahankan iman. Begitu lah kuatnya iman orang dahulu. Inilah yang perlu diteladani oleh kita semua orang kemudian.

No comments: