Thursday, February 13, 2025

HARRY SIM 11: PENYESALAN YANG LEWAT

Setelah beberapa bulan selepas pemergian Haris yang amat memilukan saya mendapat panggilan dari seorang yang tidak dikenali.

“Boleh saya nak jumpa dengan Ustaz Abdullah.”

Pemanggil tersebut menyatakan hasrat untuk bertemu mata dengan saya. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai ayah arwah Haris. Ayah kandungnya yang telah berpisah dengan isterinya ibu Haris dan memeluk Islam setelah berkahwin kali kedua. En Ahmad (bukan nama sebenar) bersetuju untuk bertemu saya di sebuah restoran di bandar Indah Jaya, Sandakan. 

“Saya bersalah dengan apa yang berlaku pada Haris.” Dia memulakan perbualan petang itu.

“Perkara dah lepas. Haris sudah damai di sana. Insya Allah dia pergi dengan baik. Saya yakin dia lebih baik  dari kita yang masih belum pasti bila dipanggil mengadap tuhan.” Saya memujuknya demi meredakan penyesalan En Ahmad.

Coto yang saya pesan sudah sampai.  En Ahmad hanya memesan roti canai kosong dan teh o mula mengirup tehnya sambil merenung jauh ke luar restoran.

“Saya langsung tinggalkan keluarga saya selepas berpisah. Saya tak ambil tahu langsung tentang anak-anak. Haris ada juga datang berjumpa saya. Cuba untuk rapat dengan saya.”

“Saya tahu dia berminat dengan Islam dan ingin mengikut jejak langkah saya. Tapi kejahilan saya menguasai segalanya. Saya abaikan Haris.”

“Saya adalah ayah yang tidak guna.”

Panjang keluhan penyesalan En Haris. Saya hanya memasang telinga mendengar sambil menikmati coto makassar. Sesekali saya mengirup tek tarik yang tak berapa menjadi. Mungkin kedai ini kurang susu gamaknya.

“Ustaz tengok ni.”

En Ahmad mengeluarkan satu kertas dan menghulurkannya kepada saya. Saya membuka dan membacanya. Polisi insuran Takaful Malaysia kepunyaan Haris. Tapi tertera di situ nama Harry Sim.

“Ustaz tengok nama pewaris tu. Dia tulis nama saya sebagai pewaris. Takaful Malaysia ni takaful Islam kan?”

“Dia masih ingat pada saya walaupun saya abaikan dia.”

Saya saya mendengar suara sayu En Ahmad.

“Dalam tu juga dia tulis ‘Islam’ di bahagian agama. Jadi dia mengaku dia muslim ketika dia membeli polisi ini.”

“Ustaz! Bolehkah kita guna dokumen ini untuk tuntut balik jenazah Haris dan di kebumikan di perkuburan Islam?”

“Saya rasa amat bersalah dalam hal ini. Saya kesal. Saya kasihan Haris yang terseksa di perkuburan kristian sana. Saya mahu dia tenang di perkuburan Islam bersama muslim yang lain.”

Rupa-rupanya En Ahmadlah yang banyak mendesak untuk mengambil jenazah Haris ketika dia meninggal dulu. Dia bercerita kepada saya bagaimana dia tidak dibenarkan menziarahi Haris kerana dibimbangi akan menuntut jenazah Haris untuk diuruskan dengan cara Islam.

Tetapi saya lah yang rujuk oleh ibu dan kakak Haris. Saya menerangkan kepada En Ahmad tentang situasi Haris dari aspek Islam. Isu dokumen dan juga kewajipan mengurus jenazah secara muslim. Semoga En Ahmad faham dan mendapat maklumat yang betul tentang isu hukum feqah berkaintan muallaf yang agak berbeza dengan feqah orang awam.

Saya juga menekannya kesalahan En Ahmad yang telah mengabaikan anak-anak terutama Haris sehingga peristiwa ini terjadi. Kalaulah dari awal En Ahmad mengambil berat tentang Haris mungkin Haris akan lebih berani untuk mengisytiharkan Islamnya secara rasmi tanpa perlu berselindung. Kesalahan banyak terletak atas bahu En Ahmad sendiri.

Membuka balik tuntutan jenazah Haris dengan hanya berdasarkan dokumen insuran tidak kuat dan hanya boleh menimbulkan kontroversi yang hangat antara agama Islam dan kristian. Ia hanya memalitkan kesan negatif kepada agama Islam itu sendiri.

Saya juga menasihatkan En Haris agar duit pampasan insuran Takaful Malaysia itu di kongsi bersama dengan adik beradik Haris dan juga ibunya. En Haris perlu melaksanakan tanggungjawab kepada anaknya yang lain walaupun berlainan agama. Mungkin dengan cara ini akan menjadi pencetus hidayah kepada anak-anaknya yang lain dan mungkin juga ibu Haris. 


Selepas lebih sejam berbual dan coto pun sudah licin saya meminta izin untuk beredar. Saya perlu bersedia untuk kuliah maghrib di Masjid. Saya mengucapkan terima kasih kepada En Ahmad atas keperihatinanya tentang Islam. Saya mendoakannya agar dia berjaya membina hubungan semula dengan anak-anaknya dan juga bekas isterinya.

Hidayah Allah itu mudah. Cuma ia perlu diusahakan.

No comments: