Saturday, February 15, 2025

TAK PERLU LAGI KIRA WAKTU MASUK WAKTU SOLAT

 Setelah program rakan iman berjalan dengan baik di SMKE. Kecenderungan pelajar kepada Islam semakin meningkat. Pembudayaan solat lima waktu semakin baik. Kempen solat 5 waktu diperluaskan kepada keluarga pelajar.

Antara kempen pembudayaan solat dalam kalangan keluarga ialah dengan menyediakan taqwim waktu solat. Masalah yang dihadapi oleh masyarakat muslim kawasan Sandakan ketika itu ialah waktu masuk solat 5 waktu hanya bergantung kepada siara radio dan juga melalui azan dari masjid dan surau. 


Jika saya bertanya kepada pelajar bagaimana mereka solat ketika dirumah, mereka menjawab mereka hanya meneka dan menganggar masuk waktu solat sahaja. Ini antara sebab ramai yang tidak solat. Rujukan waktu solat kawasan Sandakan hanya dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEANS) dan diedarkan ke masjid dan surau seluruh Sabah.

Taqwim utama ini pun hanya memaparkan waktu solat di kawasan Kota Kinabalu Sahaja. Manakala waktu solat di daerah lain termasuk sandakan hanya berpandukan kepada nota tepi dalam takwim yang menyatakan perlu tambah atau tolak minit dari waktu asal Kota Kinabalu. Sebagai contoh waktu solat Zohor waktu sandakan perlu tolak 2 minit dari waktu Zohor Kita Kinabalu.

Pengalaman saya melihat kesukaran petugas bilal masjid yang perlu mengira dulu waktu solat tempatan sebelum memulakan azan. Jika ada masjid yang cekap mereka telah mengira dan mencatatkan waktu solat sandakan di papan waktu solat di masjid. Apa yang berlaku di Surau Taman Fajar, sebelum azan bilal terpaksa mengira dulu waktu solat sandakan menyebabkan kadangkala azan terlambat beberapa minit.

Bagi mengatasi masalah ini saya mendapat idea untuk membuat taqwim solat Sandakan yang sudah siap dikira waktu yang sebenar. Pada awalnya saya pinjam taqwim utama solat dari masjid dan kemudiaanya membuat kiraan yang lengkap setiap bulan sehingga akhir tahun. Saya menggunakan format taqwim solat negeri kelantan.

Pada awalnya, saya hanya membeli kertas dan mencetaknya menggunakan mesin fotostat sekolah. Saya mengumumkan kepada semua pelajar. Siapa yang berminat untuk mendapatkan taqwim solat untuk menjadi rujukan keluarga untuk solat. Syarat yang saya berikan ialah pelajar dan keluarga perlu membudayakan solat awal waktu berdasarkan waktu solat tersebut.

Alhamdulillah. Projek takwim itu mendapat sambutan dan kos cetak juga meningkat. Saya mengambil keputusan untuk menjual takqim solat tersebut dengan menggunakan khidmat cetak dari luar. Apabila saya mencari kedai cetak dan mesin fotostat, semua kedai muslim memberi harga yang agak tinggi dan perlu bayaran tunai sebelum cetak.

Namun saya mengenali seorang pembekal bahan cetak sekolah berbangsa cina. Apabila saya menerangkan tentang projek saya dia amat gembira dan bersedia membantu. Namanya Mr Tan.

Wah.. projek banyak bagus tu. Mahu bantu orang sembahyang ka..?”

“Boleh. Saya boleh buat. Nanti bayar kemudian bila sudah dapat duit.”

“Saya juga mahu tolong orang sembahyang lah. Itu kerja baik ma.”

Memang Mr Tan bagi harga yang amat murah pada saya. Seingat saya 4 sen sehelai. Keseluruhan kos dengan kad manila untuk kepada takwim untuk ditebuk lubang dan mudah digantung kurang dari RM1. Saya jual kepada pelajar dengan harga satu ringgit.

Alhamdulillah. Takwim itu laku keras. Ramai pelajar membelinya untuk di letak di rumah masing-masing. Saya terpaksa ulang cetak taqwim tersebut berulang kali. Namun kali ini Mr Tan menolak untuk menyusun dan stapler taqwim tersebut sebagaimana sebelum ini. Katanya pekerjanya sibuk. Jadi saya terpaksa menggunakan khidmat tenaga pelajar rakan iman untuk menyusun dan stapler taqwim tersebut.

Mereka amat seronok membantu. Lebih-lebih lagi apabila diterangkan kepada mereka khidmat ini boleh dikira sebagai amal jariah. Pahala solat mereka yang merujuk taqwim ini akan dapat kepada siapa yang menyediakan taqwim. Berebut mereka membantu saya.

Alhamdulillah projek ini sedikit sebanyak berjaya membantu membudayakan solat dalam kalangan pelajar dan juga ahli keluarga mereka.

 

 

No comments: