Friday, February 14, 2025

HAMPIR SETAHUN MAKAN AYAM SEMBELIHAN KRISTIAN

 Ketika di Mafraq dulu, Saya tinggal di Hayyu Dhubbat dan berdekatan dengan rumah sewa saya ada satu kedai yang menjual ayam segar. Pemilik kedai ini adalah Abu Abboud.  Kaedah kami berlima di rumah sewa ialah setiap orang bertanggungjawab memasak seekor ayam sehari untuk makan malam. Jadual memasak mengikut giliran yang telah ditetapkan. 

Setiap hari kami membeli ayam di kedai Abu Abboud ini. Kami tak perlu pergi jauh. Lagi mudah saja, keluar pagar rumah saja sudah nampak kedainya. Abu Abboud ini seorang yang kuat beragama pada hemat kami. Banyak kali dia memakai jubah putih walaupun untuk menyembelih dan memproses ayam.

Di Jordan ayam dijual hidup. Ayam diletakkan dalam kotak dan kamu perlu pilih ayam mana yang kami mahu dan kemudiannya disembelih dan diproses. Kami terpaksa menunggu sekejap untuk ayam dibersihkan dan dipotong. Ayam ditimbang sebelum di sembelih.

Abu Abboud ini kami perhatikan setiap kali ingin menyembelih ayam akan membaca bismillah. Bacaannya kuat dapat didengari dengan jelas oleh kami sebagai pembeli.  DI tangannya sentiasa ada seutas tasbih dan jika dia sedang menunggu pelanggan dia akan duduk dikerusi kecil depan kedai menggerakkan tasbih sambil mulutnya terkumat kumit. Bagus betul Abu Abboud ini soleh orangnya. Itu yang selalu kami sembang bersama rakan rumah sewa.

Belum cerita lagi tentang perbualan harian kami dengan dia. Perkataan ‘Masya Allah, Subhanallah, Allahuakbar selalu keluar dari mulutnya ketika kami berbual sambil menunggu ayam siap diproses. Memang kami rasa lega dan seronok mendapat bekalan ayam bersih dari orang yang soleh macam Abu Abboud.

Setelah hampir setahun kami menjadi pelanggan tetap Abu Abboud satu hari pada jumaat. Ketika solat jumaat saya merasa sakit perut yang amat sangat. Saya terpaksa menahan diri agar sempat siapa solat jumaat saja. Usai memberi salam terus melompat keluar dari masjid dan berlari balik kerumah.

Ketika melintas di hadapan kedai Abu Abboud saya lihat dia sedang menyembelih ayam.

“Eh Abu Abboud tak solat jumaat kah.” Bisik saya dalam hati.

“Tak apalah. Nanti aku tanya dia lepas ni.” Aku terus masuk kerumah meneruskan menunaikan hajatku yang asal.

Satu hari ketika giliran saya memasak. Saya ke kedai Abu Abboud dan memilih ayam yang sederhana besar. Seperti biasa Abu Abboud menyembelih ayamnya seorang dengan dibantu oleh pembantunya. Dia membaca bismillah dan menyelesaikan sembelihan. Ketika sedang membersihkan ayam saya mengambil peluang bertanya kepada Abu Abboud.

Abu Abboud, leisyy jumaah madhiah lam tusallil jumaah?. Syuftuk huna fil mahal waqta solah.”(Abu Abboud. Kenapa hari jumaat yang lepas kamu tak solat jumaat? Saya lihat kamu ada kat kedai ini waktu solat)

Abu Abboud mengangkat kepala memandang kepada aku dengan wajah yang terkejut.

“Ana musy muslim. Ana Masihi.” ( Saya bukan Islam. Saya orang kristian). Jawab Abu abboud sambil tersenyum.

Saya mendengar jawapan tu bagaikan mendengar halilintar dilangit. Terkejut yang amat sangat. Ah.. sudah. Hampir setahun kami makan ayam sembelihan orang kafir. Terkenang betapa berdosanya kami. Kami hidup memakan makanan haram sudah hampir setahun. Saya hanya terdiam tak mampu berkata apa-apa.

Saya membawa balik ayam kerumah dan memberitahu rakan serumah berita yang mengejutkan ini. Adakah kami nak makan ayam yang sudah dibeli ini. Tak sanggup lagi kami nak telah ayam haram. Nak dibuang membazir pula. Rakan serumah saya memberi cadangan sedekahkan ayam tersebut pada jiran sebelah kami Abu Yusof. Dia juga beragama kristian. Rakan saya tadi mengambil tanggungjawab tersebut.

Saya keluar semula ke kedai lain membeli ayam baru untuk makan malam kami. Kami amat menyesal dan rasa berdosa atas kejadian berlaku. Kami hairan kenapa tidak ada sesiapa yang memberitahu kami bahawa Abu Abboud itu bukan Islam. Kami lihat pelanggannya ramai setiap hari. Mustahil mereka semua kristian. Dia menjual ayam dalam komuniti Islam.

Kami semua ahli rumah mengambil keputusan untuk merujuk isu ini kepada guru kami Dr Abdul Qadir as Saadi.

“Halal..  Zabih ahli al kitab yu’kal.” (Halal. Sembelihan ahli kitab boleh di makan). Itu jawapan yang kami dapati. Memang dalam perbahasan fiqah menyatakan sembelihan ahli kitab iaitu orang krsitian dan yahudi boleh dimakan jika disembelih dengan cara yang betul. Patutlah Abu Abboud boleh membuka kedai ayam dalam kalangan penduduk Islam. Masyarakat Islam di sana berpegang kepada hukum ini.

Tapi tekak kami tidak mampu lagi menelan ayam Abu Abboud walaupun halal. Bagi kami ada pilihan lain lebih baik. Kedai ayam Muslim masih banyak. Cuma perlu menapak jauh sedikit dari rumah. Tapi kami puas hati makan ayam yang disembelih oleh orang Islam sendiri. Kami  tidak lagi ke kedai Abu Abboud. Kami mengelak untuk lalu di depan kedainya risau ditegur.

No comments: