Friday, February 28, 2025

USTAZ BACA DOA ATAU TAZKIRAH?


Ketika saya mula bertugas di Sandakan, saya selalu diminta untuk membaca doa untuk majlis tertentu. Namun ada beberapa orang ustaz mengingatkan saya agar berhati-hati menerima jemputan kerana biasanya majlis di sini selalunya ada aktiviti yang bercanggah dengan syariat. 

Berdasarkan pemerhatian saya pun ada kebenaran juga. Tak ramai ustaz yang hadir dalam majlis majlis sebegitu.

Satu ketika saya mendapat undangan untuk membaca doa dalam satu majlis jamuan akhir tahun satu orgsnisasi. Saya melihat atucara yang dilampirkan ada beberapa slot yang menjengkelkan hati saya sebagai Ustaz. 

Namun saya menerima jemputan tersebut. Saya teringat kepada pesan guru saya agar sentiasa melihat peluang dalam apa apa halangan atau masalah. Saya adalah orang baru dan perlu lebih rapat dengan masyarakat setempat.

Saya melihat peluang mengenali dan rapat dengan masyarakat seterusnya membina hubungan mereka adalah sebagai peluang dan keutamaan. Saya tidak bersetuju dengan acara yang bercanggah dengan nilai Islam yang ada dalam majlis tersebut. Tapi saya melihat ada ruang dan peluang di sana.

Tiba saat saya membaca doa, saya banyak menggunaan doa terjemahan dalam bahasa Melayu berbanding doa dalam bahasa Arab yang tidak difahami. Saya juga menggunakan doa susunan sendiri dalam bahasa Malayu.

Antara bait bait doa yang saya gunakan ialah:

"Ya Allah, kami ini hambamu yang jahil lagi naif. Tunjukkan kepada kami perkara yang betul itu betul dan permudahkan kami faham dan laksanakannya. Tunjukkan perkara yang salah itu adalah salah dan beri kesedaran kepada kami untuk menjauhinya".

"Ya Allah, ampunkan dosa kami atas maksiat dan dosa yang kami lakukan. Beri kesedaran kepada kami agar kami dapat bertaubat dan meninggalkan amalan maksiat dan dosa selepas ini".

"Ya Allah. Kami tak kuat menanggung azab siksa nerakamu. Justeru hindarkan kami maksiat dan dosa lantaran kejahilan kami. Anugerahkan kepada kami petunjuk dan hidayah agar layak mendiami syurga firdaus Mu yang luas terbentang ditemani bidadari cantik jelita".

"Ya Allah. Hindarilah majlis ini dari anasir maksiat yang mengundang murkaMu. Siramilah majlis ini semua hadirin dengan pengampunan dan rahmat kasih sayangMu."

Bait bait doa saya mendapat respon yang pelbagai dari hadirin ada yang sinis banyaknya yang positif. Rupa rupanya dalam bahasa Melayu ini sampai kelubuk hati mereka berbanding doa dalam bahasa Arab. 

Antara respon yang saya terima ialah:

" Ustaz baca doa atau bagi tazkirah?"

"Ndak selera sudah aku mahu karaoke. Biar lah dia orang saja menyanyi.. Aku mahu dengar cakap Ustaz.."

"Bagus bah ustaz punya doa. Kasi ingat mereka tu. Kita datang mahu makan makan dan erat ukhuwwah. Bukan mahu buat dosa".

"Bagus doa ustaz doa begitu. Insaf bah aku ni."

Alhamdulillah. Ramai yang menerima dan selesa dengan doa doa saya. Semoga usaha saya yang kecil ini mampu mengetuk hati hati mereka yang sukakan kebaikan dan memberi kesan kepada kepada masyarakat. 

No comments: