Thursday, May 14, 2026

BELASUNGKAWA AYAHANDA : KEHIDUPAN BERMULA AWAL PAGI

 Seingat saya, sejak kecil lagi  ketika ingatan mula terbina dalam memori  saya seolah-olah tidak pernah melihat ayah tidur selepas Subuh. Itulah antara prinsip hidup ayah yang paling kuat tertanam dalam jiwa saya. 

Pulang dari masjid, beliau akan bersarapan, bersiap lalu terus turun bekerja. Ayah hanyalah seorang penoreh getah yang tidak mempunyai waktu kerja tetap. Terpulang kepadanya untuk memulakan kerja pada bila-bila masa. Namun, ayah hampir sentiasa memulakan kerja seawal pagi tanpa berlengah.

Jika cuaca hujan dan getah tidak dapat ditoreh, ayah akan membawa parang masuk ke kebun untuk menebas semak. Jika tidak, beliau akan berkebun di sekitar rumah — menanam serta mengurus tanaman yang sedia ada. Seolah-olah setiap pagi mesti diisi dengan kehidupan, gerakan dan manfaat.

Ayah pernah berpesan kepada saya:

“Allah wajibkan solat Subuh di awal pagi sebagai tanda rutin hidup umat Islam.”

“Orang Islam sikapnya ialah memulakan kehidupan seawal pagi.”

“Rasulullah dan para pejuang Islam bangun lebih awal lagi. Mereka qiamullail pada satu pertiga malam.”

“Kita sebagai orang awam, sekurang-kurangnya bangun Subuh dan terus mulakan kehidupan.”

“Kenapa orang Islam gagal? Sebab mereka sudah tidak ikut perintah Allah.”

“Allah perintah kita tidur awal dan bangun awal pagi. Tetapi ramai orang Islam buat sebaliknya. Tidur lewat dan bangun lewat. Usahkan qiamullail, solat Subuh pun sering terlajak.”

Ayah memang marah jika saya tidur selepas Subuh.

“Jangan tidur lepas Subuh! Kalau nak tidur juga, tidurlah selepas kerja sekitar jam 12 tengah hari. Itu namanya qailulah.”

Ketika kecil, saya merasakan ayah terlalu tegas. Namun apabila dewasa dan mula belajar tentang agama serta kehidupan, barulah saya memahami bahawa prinsip itu sebenarnya sangat besar nilainya. Ia bukan sekadar disiplin orang kampung, tetapi sebahagian daripada sunnatullah dan panduan hidup Islam.

Tidur awal dan bangun awal ialah fitrah kehidupan yang Allah susunkan untuk manusia. Pagi adalah waktu keberkatan, waktu tenaga dan waktu terbukanya pintu rezeki.

Rasulullah bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا

“Maksudnya: Ya Allah, berkatilah umatku pada waktu pagi mereka.”
— Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi

Allah SWT juga berfirman:

وَجَعَلْنَا النَّهَارَ مَعَاشًا

“Dan Kami jadikan siang untuk mencari kehidupan.”
— Surah al-Naba’: 11

Dalam ayat lain Allah SWT berfirman:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

“Dan bangunlah pada sebahagian malam untuk bertahajud sebagai ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu membangkitkanmu ke tempat yang terpuji.”
— Surah al-Isra’: 79

Ayah mungkin tidak mengenal istilah self-development, productivity atau motivational mindset. Namun beliau memahami hakikat kehidupan melalui fitrah dan agama. Beliau percaya bahawa kehidupan yang baik bermula sejak awal pagi.

Hari ini para ilmuwan moden juga banyak membincangkan tentang kekuatan rutin pagi. Robin Sharma dalam bukunya The 5 AM Club menyebut bahawa kejayaan ramai tokoh besar dunia bermula dengan disiplin bangun awal pagi kerana waktu pagi memberi ketenangan mental, fokus dan kekuatan emosi.

Begitu juga pakar psikologi terkenal, William James, pernah menyebut bahawa kehidupan manusia banyak dibentuk oleh tabiat hariannya. Disiplin kecil yang diulang setiap hari akhirnya membentuk karakter dan kejayaan seseorang.

Namun Islam telah mendahului semua itu sejak lebih 1400 tahun lalu. Islam bukan sekadar mengajar manusia bekerja keras, tetapi mengajar manusia menyusun hidup mengikut aturan fitrah  tidur awal, bangun malam, solat Subuh berjemaah, memulakan pekerjaan sejak pagi dan berehat seketika pada waktu tengah hari.

Saya kini semakin memahami bahawa ayah bukan sekadar mengajar saya supaya rajin bekerja. Ayah sebenarnya sedang mendidik jiwa saya tentang makna kehidupan.

Bahawa orang yang membina pagi dengan ibadah dan usaha, insya-Allah akan membina masa depan dengan keberkatan.

Dan hari ini, setiap kali saya terjaga selepas Subuh lalu memulakan kerja awal pagi, saya teringat kepada ayah.

Rupanya sebahagian kejayaan hidup bukan bermula dengan kecerdikan.

Tetapi bermula dengan kemampuan untuk bangun awal pagi.

Semoga prinsip ini menjadi ikutan dan amalan saya dan anak-anak.

Ya Allah…

Ampunkanlah dosa ayah kami.
Rahmatilah rohnya.
Lapangkan kuburnya dan teranginya dengan cahaya iman.
Tempatkanlah dia bersama para solihin.

اللّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ

Kurniakanlah kepadanya syurga yang luas terbentang…
Dan kurniakanlah kepada kami yang ditinggalkan—kesabaran yang indah dan kekuatan untuk meneruskan legasi amalnya.


No comments: