Solat berjamaah adalah merupakan sunat mua’akad iaitu solat yang dituntut dan telah dijanjikan ganjaran yang besar oleh Allah Taala. Betapa besarnya kedudukan solat berjamaah ini sehinggakan dalam al Quran diperincikan solat dalam situasi perang dengan solat berjamaah dengan hanya satu imam, sedangkan mungkin pada pandangan kita solat dalam situasi perang boleh dilakukan solat berjamaah secara bergilir-gilir atau solat secara individu kerana situasi yang sangat genting. Rasulullah menyebut bahawa solat berjamaah kelebihannya adalah sebanyak 27 kali ganda dari solat bersendirian. Baginda telah menyatakan rasa tidak puas hati kepada mereka yang hadir solat berjamaah di masjid dengan mengatakan bahawa dia ingin untuk memerintahkan para pemuda mengumpul kayu api guna untuk membakar rumah-rumah mereka.
Besarnya pahala dan ganjaran mereka yang sanggup solat secara berjamaah , namun begitu masih ramai lagi yang tidak menyahut seruan Allah dan RasulNya. Walaupun ianya tidak diwajibkan secara individu tetapi ini adalah peluang yang besar telah disediakan oleh Allah taala bagi hambanya yang suka mengambil peluang mengejar rahmat Allah. Allah sangat suka melihat hamba-hambanya berebut-rebut untuk mendapat rahmat dan keredhaannya. Walaubagaimanpun terdapat ramai juga yang beriltizam dengan solat berjamaah tidak kira di masjid, di surau atau di rumah. Jika kita perhatikan masjid dan surau di lembah Klang ini solat fardhu berjamaah semakin mendapat sambutan disetiap waktu solat. Sehinggakan ada yang menggagahkan diri datang ke masjid untuk solat berjamaah walaupun sakit.
Pernah beberapa kali ahli jamaah solat yang solat disebelah saya batuk yang amat kuat hampir sepanjang solat. Keadaan ini agak menganggu solat saya dan juga ahli jamaah solat yang lain. Tambahan pula ketika itu adalah musim penyakit Covid-19 yang boleh berjangkit memalui pernafasan. Pernah juga saya terlihat ahli jemaah solat sambil memegang saputangan kerana terkena demam selsema yang teruk. Tetapi mereka ini masih lagi datang ke masjid untuk solat berjamaah kerana ianya sudah menjadi kebiasaan yang susah untuk ditinggalkan. Allah Taala maha kaya lagi maha pemurah. Ulamak telah membincangkan dan memberi padangan tentang pelepasan dan pengecualian bagi mereka yang sentiasa istiqamah solat berjamaah di masjid. Mereka yang telah terbukti tidak pernah meninggalkan solat berjamaah melainkan jika mempunyai masalah tetap akan mendapat pahala solat berjamaah sebagaimana biasa walaupun solat bersedirian di rumah. Ini kerana mereka tidak dapat solat berjamaah bukan secara sengaja tetapi kerana terdapat halangan diluar kekuasaannya.
Dalam hal ini para ulamak telah menggariskan beberapa keadaan di mana seseorang itu dimaafkan untuk ke masjid untuk solat berjamaah dan dia akan tetap mendapat ganjaran pahala solat berjamaah sebagaimana biasa. Keadaannya adalah seperti berikut berdasarkan kitab ‘Fiqhul Islaamiy’ susunan Dr Wahbah al Zuhayliy.
1. Sakit yang agak berat meyebabkan lemah dan tidak berdaya untuk solat berjamaah di masjid dan tiada siapa yang boleh membantu membawanya ke masjid. Namun jika sakit yang ringan seperti sakit kepala dan demam yang sedikit dan masih kuat untuk kemasjid ianya tidak dimaafkan. Rasulullah S.A.W sebelum wafatnya baginda masih kemasjid walaupaun dalam keadaan sakit sehinggalah baginda sudah tidak kuat lagi untuk ke masjid lalu diperintaahkan agar Abu Bakar mengimamkan solat. Begitu juga jika pemergian ke masjid untuk solat itu boleh menyebabkan sakit semakin melarat dan menyebabkan sakit semakin teruk, gugurlah tuntutan solat berjamaah.
2. Sesiapa yang mempunyai tanggungjawab merawat dan menjaga orang yang sedang sakit. Ini kerana dibimbangi pemergian penjaga ke masjid untuk solat boleh mendatangkan dharurat kepada pesakit. Menjaga nyawa itu lebih diutamakan dan ianya wajib sedangkan solat berjamaah itu adalah sunat.
3. Mereka yang terlampau tua tidak mampu untuk kemasjid. Orang yang cacat tiada kaki yang boleh menghalangnya untuk ke masjid begitu juga mereka yang buta jika tiada siapa yang mampu untuk membantunya ke masjid.
4. Sesiapa yang bimbang sesuatu berlaku bahaya kepada diri, harta dan nyawanya. Ini berdasarkan sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas: “Sesiapa yang mendengar seruan azan dan dia tidak menyahut seruannya (solat berjamaah) tiadalah pahala solat baginya melainkan mereka yang uzur” Sahabatnya bertanya kepada Rasulullah : “Apa dia keuzuran itu? Rasululllah menjawab: “takut dan sakit”. Jika pemergiannya ke masjid untuk solat berjamaah boleh membahayakan nyawanya seperti ada binatang buas atau orang jahat dalam perjalanan kemasjid ia dimafkan. Begitu juga jika sesiapa yang khuatir tertinggal rombongan ketika musafir atau ditinggalkan oleh kenderaan awam yang dinaiki seperti ketinggalan kapal terbang dan sebagainya. Bagi mereka yang sedang memasak tidak dapat meninggalkan makanan yang masih di atas api atau roti yang masih dalam ketuhar.
5. Berlakunya hujan lebat atau turunnya salji yang tebal, cuaca yang panas atau sejuk yang amat sangat. Situasi ini banyak berlaku di negara Arab dan afrika yang mana suhu pada siangnya boleh melebihi 50 celcuis boleh menyebabkan kulit menjadi hangus jika terdedah pada cahaya matahari. Begitu juga dinegara sejuk yang suhu sejuknya boleh membekukan dan amat bahaya untuk keluar dari dari rumah. Dalam hal sebegini anda dimaafkan untuk tidak solat berjamaah dimasjid namun dikira mendapat pahala solat berjamaah.
6. Tidak dapat menahan dari ingin membuang air kecil atau air besar. Lebih-lebih lagi jika sakit perut atau cirit birit.
7. Terlampau lapar atau dahaga sedangkan makanan sudah siap tersedia. Dalam keadaan ini. Situasi menahan diri dari membuang air besar, air kecil dan lapar yang amat sangat ini boleh mengganggu khusyuk dalam solat.
8. Tertidur kerana mengantuk yang amat sangat sehingga terlepas solat berjamaah di masjid.
9. Seseorang yang kehadirannya boleh mengganggu solat orang lain seperti mulut mengeluarkan bau busuk kerana telah memakan makanan yang menghasilkan bau seperti bawang putih, petai, durian dan sebagainya. Bau ini, jika tidak dapat dihilangkan dibimbangi akan mengganggu ahli jamaah solat yang lain. Dalam hal ini Rasulullah bersabda : “Sesiapa yang telah memakan bawang putih atau bawang besar hendaklah menjauhi kami dan jauhilah masjid kami, duduklah dirumah”. Alasan yang kuat di sini ialah ianya boleh menyebabkan gangguan dan ketidak selesaan orang lain. Begitu juga dengan mereka yang berpenyakit kusta, kudis atau penyakit lain yang menjijikkan juga termasuk dalam kes ini. Penyakit-penyakit lain juga seperti selesema burung, batuk yang kuat, selesema yang teruk juga boleh mengganggu keleselamatan dan ketenteraman jamaah.Sesiapa yang terlibat dengan penyakit-penyakit ini perlu lah memahami bahawa solat dirumah itu adalah lebih baik kerana kehadiran mereka ke masjid boleh menyebabkan orang lain tidak selesa bahkan boleh membahayakan kesihatan mereka.
10. Mereka yang terkurung atau terperangkap samaada oleh musuh atau bencana alam.
11. Ulamak mazhab Syafie juga menyenaraikan sebab-sebab tambahan yang lain seperti mencari barang yang hilang atau dicuri, badan yang terlampau gemuk, menghadapi tekanan perasaan yang kuat, kesibukan menguruskan jenazah, melayani isteri yang baru dikahwini.
Lihatlah bagaimana Indahnya dan mudahnya Islam. Allah telah menjanjikan pahala dan ganjaran yang besar bagi mereka yang bersolat berjamaah dimasjid. Bagi mereka yang melazimi solat berjamaah ini secara berisitiqamah dan terdapat beberapa hal yang boleh menghalangnya untuk melaksanakan solat berjamaah, ulamak bersepakat mengatakan bahawa Allah akan tetap mememberi ganjaran dan pahala solat berjmaaah sebagaimana kebiasaan hari yang lain. Pengantin baru pun diberi kelonggaran untuk tidak solat berjamaah dimasjid selama 6 hari untuk bermesra dan bersolat berjamaah bersama isteri dirumah.
Lazimilah solat berjamaah sehingga anda disaksikan sebagai hamba yang istiqamah. Ganjaran pahala yang disediakan kepada mereka yang meninggalkan solat berjamaah secara tidak sengaja disebabkan halangan tertentu adalah merupakan tanda kasih Allah kepada hambanya. Apa yang penting ialah Allah amat suka pada hambanya yang sentiasa mengejar dan rahmat dan pengampunan dariNya
Cerita Salasilah
2 months ago
No comments:
Post a Comment