Tuesday, December 16, 2025

TRAGEDI 1995 : DIANGGAP SEBAGAI PEMUNGUT SUMBANGAN

 Tiba di stesyen bas Irbid, saya dan Rafiq mengambil serfis atau teksi  putih untuk ke  Dawwar Naseem untuk keruma Ustaz Amin. Sampai dirumahnya kami lihat banyak kasut dan selipar diluar pintu rumah.

Mereka ni ada buat makan makan kah berkumpul ramai-ramai  pagi  Jumaat ini. Saya dan Rafiq membuat telahan. Boleh makan  sedap pagi ini.


Pintu sudah terbuka luas. Selepas  memberi salam  saya  mendengar laungan suara dari dalam menjemput kami masuk.

Melihat wajah  saya dan Rafiq seorang abang senior mengumumkan ketibaan kami.

“Weh.. sahabat Mafraq  datang pungut sumbangan ni. Awal mereka datang..”

“Sumbangan apa pula ni.. tak ada lah.  Kami datang jalan-jalan ja..” Jawab Rafiq dengan muka selamba.

“Tak apa lah . Kami  terus bagi ja lah sumbangan untuk ahli bayt enta dan sahabat-sahabatnya.”  Celah  Ustaz Amin. Dia ni memang  suka bergurau. Tapi kali ini wajahnya agak serius.

Memang pagi tu saya lihat abang abang senior semuanya berwajah suram. Mereka berkumpul ramai-ramai bukannya ada makan-makan pun.  Saya yang masih   tidak  tahu  pokok pangkal   pasal sumbangan tadi  bertanya semula.

“Kutip  sumpangan untuk apa ni. Kenapa abang-abang semua nampak serius ja pagi ni.” Saya    bersuara kerana sejak tadi hanya memerhatikan  Rafiq saja yang berbual.

“Enta tak pergi ke Aqabah ke pagi ni”? Tanya seorang lagi abang Senior dari terengganu.  Jarang saya lihat kelibat dia di rumah ini.

“Kenapa nak ke Aqabah?” Tanya saya sudah mula cuak.

“Eh enta tak tahu lagi kah? Sahabat ahli bayt enta meninggal malam tadi. Kemalangan kereta dalam perjalanan ke Aqabah. Semua sahabat dalam kereta tu meninggal.” Sorang lagi abang senior menyatakan situasi sebenar.

Saya dan Rafiq berpandangan satu sama lain. Teringat kisah Zuhdi pagi tadi yang datang ambil pasport sahabat kami berempat di rumah. Dia hanya bagitahu sabahat kami cedera. Langsung tak bercerita bahawa sahabat kami dah tidak ada. Mustahil dia melum tahu keadaan sebenar masa itu.

“Kami dapat berita mereka terlibat dengan eksiden sahaja. Di masukkan ke wad di Aqabah dan akan di dipindahkan ke Amman. Nanti petang nanti kami ke Amman ziarah mereka di hospital.”  Saya memaklumkan kepada mereka apa yang saya tahu.

“Mereka semua meninggal awal pagi tadi sekitar jam 2 pagi. Kereta mereka melanggar lori rosak yang tak sempat  dialih ke tepi jalan. Sekarang jenzah mereka masih di Aqabah dan akan dibawa ke Amman. Mungkin petang ini atau esok. Pihak kedutaan akan maklumkan kemudian.”

Saya dan Rafiq terduduk mendegar berita itu. Kami terdiam tanpa suara. Seorang abang senior datang memeluk saya menenangkan keadaan.

Sungguh tak sangka. Saya hanya menjangkakan sahabat kami cedera ringan saja. Rupa-rupanya sahabat kami pergi selama-lamanya. Kenapa ia disembunyikan dari pengetahuan kami.

Saya dan Rafiq minta izin untuk segera pulang ke Mafraq segera. Kami tidak mampu lagi untuk duduk di situ mendengar macam-macam cerita sedih keadaan kemalangan. Kesimpulannya mudah. Sahabat kami terlibat dengan kemalangan ngeri yang meragut nyawa mereka serta merta.

Sepanjang perjalanan dari Irbid dan Mafraq saya dan Rafiq membisu seribu bahasa. Masing-masing melayan fikiran. Hati masih tak percaya bahawa Surzaidy, Fahrun, Rashimi, Zainol dan Zikri sudah tiada. Saya masih terbayang-bayang kelibat Surzaidy dirumah menceriakan suasana.

Mulutnya yang mampu menuturkan

Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun…

Allahummaghfir lahum.. warhamhum.. wa aafihim wa’fu anhum…

Perjalanan terasa amat jauh. Tapi mata mampu lelap. Hanya mampu merenung keluar tingkap melihat rumput-rumput dan bunga-bunga kecil celahan batu ditepi jalan… 

Monday, December 15, 2025

TRAGEDI 1995: PASPORT UNTUK URUSAN HOSPITAL

Selepas solat subuh pagi Jumaat saya dan Rafiq berpakat untuk ke Irbid menziarahi abang senior di sana. Saya dan Rafiq selalu lepak di rumah Abang senior Amin (sudah pulang kerahmatullah) Zaki dan Fadhli di Duwar Nasim. Di sinilah tempat saya dan Rafiq memujuk hati menenangkan minda selepas jerih belajar di Mafraq.


Selepas bersiap-siap saya dan Rafiq keluar dari rumah untuk berjalan kaki ke mujamma’ Mafraq menaiki bas ke Irbid. Tiba-tiba dari jauh saya ternampak Zuhdi, Setiausaha agung Prisma sedang berjalan di hujung lorong menuju kerumah saya.

Selepas memberi salam dan bertukar tanya khabar dia memberi tujuannya.

“Saya nak minta pasport sahabat kita Rasyimi, Zainol, Zikri dan  Surzaidy.”Minta Zuhdi dengan wajah yang sedikit serius.

Saya sebagai ketua  biro perhubungan PRISMA bertanggungjawab menguruskan Visa pelajar Malaysia di Al Bayt.  Jadi semua pelajar perlu serahkan Pasport kepada saya untuk memudahkan urusan dengan  Jawazat (Bahagian visa). Kamal dan pelajar lain yang pulang bercuti ke Malaysia telah memohon Pasport lebih awal. Saya telah  utamakan untuk siapkan pembaharuan visa mereka lebih awal. Ini  memudahkan mereka untuk keluar dari Jordan. 

“Untuk urusan apa? Mereka  berempat ni ke Amman semalam. 3 orang itu hantar sahabat mereka Kamal balik Malaysia.”  Saya bertanya keperluang penggunaanpassport.

“Mereka terlibat dalam  kemalangan jalan raya  dalam perjalanan ke Aqabah. Surzaidy ikut sekali dari Mator Alia.” Terang Zuhdi.

Bagaimana dengan keadaan mereka? Teruk kah?”  Saya bertanya dengan  agak mendesak. Saya tidak  dimaklumkan apa-apa maklumat tentang  kejadian itu. Pada masa itu sumber maklumat dan berita  amat terhad. Komunikasi hanya melalui telefon biasa sahaja.

“Jangan risau.  Mereka sedang dirawat di hospital. Mereka perlu passport ini untuk  urusan rawatan hospital.” Jamin Zuhdi menenangkan saya dan Rafik.

Saya masuk semula ke rumah dan menyelongkar almari dan mengeluarkan pasport mereka berempat. Pasport telah disusun dengan rapi mengikut susunan nombor memudahkan urusan kerja saya memohon visa.  Urusan visa mereka dikemudiankan kerana mereka  tidak keluar dari Jordan dalam tempoh terdekat. Jawazat hanya mampu menyelesaikan bilangan visa yang terhad dalam masa seminggu.

Saya  membelek-belek passpot Fahrun, Rasyimi, Zainol, Zikri dan Zurzaidy memastikan tidak ada dokumen penting lain terselit. Saya kemudiannya menyerahkannya kepada Zuhdi.

“Boleh kami ikut sekali kah ke Amman menziarahi mereka?” Saya bertanya.

“Nanti dulu. Setakat ini mereka masih di Hospital Aqabah. Bila mereka dipindahkan ke Amman , ana bagi tahu.  Boleh  entum melawat. Saya hanya nak serahkan Pasport  ini kepada pihak kedutaan.” Terang Zuhdi panjang lebar.

Masa itu saya , Rafik, Itqan dan Shamsudin hanya menyangka mereka hanya terlibat kemalangan biasa dan cedera ringan sahaja. Tidak lebih dari itu. Sebelum ni kami selalu dengar cerita tentang pelajar Malaysia terlibat dengan kemalangan jalan raya. Tapi hanya sekadar cedera dan  dirawat di hospital. Itulah sangkaan kami.  Cuma, Aqabah itu amat jauh dari Mafraq untuk kami terus pergi menziarahi mereka di sana.

Zuhdi meminta izin untuk pergi kerana ia perlu segera ke Amman untuk serahkan passpot tersebut. Kami ahli rumah bersepakat untuk menungguh berita selanjutnya untuk   menziarahi  mereka di hospital.

Sumber berita ketika itu adalah amat terhad. Hanya bergantung kepada telefon tetap semata-mata. Henset ketika itu adalah sesuatu yang amat mahal dan mewah. Setahu saya hanya ada beberapa orang pelajar di Amman dan Irbid sahaja yang  memiliki telefon bimbit.  Itupun yang jenis bersaiz besar hanya boleh dibimbit  sentiasa dan tidak boleh dimasukkan  kedalam poket.

Dalam keadaan resah  mendengar berita sahabat kami terlibat dengan kemalangan, kami tidak senang duduk. Apa kerja tidak boleh dibuat.   Membaca pun tidak boleh fokus. Menonton  rancangan tv pun tidak menarik.     Nak tidur pun tak mampu lelapkan mata.

Kami hanya mampu berdoa agar urusan sahabat kami dipermudahkan Allah.

سهل الله أمورهم. شفاهم الله شفاء عاجلا

Semoga Allah mempermudahkan urusan mereka. Semoga Allah sembuhkan mereka segera.

Hanya itu yang kami mampu panjatkan pada Allah.

“Jom , kita ke Irbid lah”  Rafik memberi  cadangan mengajak saya meneruskan rancangan asal kami pagi tadi.

Saya menyahut saja cadangan Rafik kerana tidak betah lagi di rumah.   Hanya saya dan Rafik saja bergerak ke Irbid, Itqan dan Shamsudin ingin kekal berehat di rumah.   Saya dan Rafik   merancang untuk pulang terus petang nanti dan tidak bermalam di sana sebagaimana biasa.

Petang nanti kami   merancang untuk ke Amman untuk menziarahi sahabat kami yang terlibat kemalangan. Hanya menunggu maklumat terkini dari Zuhdi yang sudah ke Amman.


Tuesday, December 02, 2025

TRAGEDI 1995 : SIAPA MAHU ISI TEMPAT KOSONG?

 Usai solat Zohor di Masjid Abdul Rahman bin Auf di Sweileh, Hakiman kembali kerumah sewa abang Senior Universiti Jordan yang sentiasa jadi rumah persinggahannya di Sweileh. Rumah ini sentiasa menjadi  tumpuan adik adik senior dari  Mafraq kerana  rumah ini lah tempat transit pertama kami ketika sampai di Jordan dulu sebelum di hantar ke Mafraq. 

“Assalamualaikum..” Terdengar suara memberi salam dari  luar rumah.

Pintu terkuak dan satu wajah menjengah  masuk. Rupanya Surzaidi baru sampai dari Mafraq.

Setelah  bersalaman dengan abang  abang senior di dua rumah bersebelahan itu, Surzaidy datang duduk bersebelakah Hakiman sambil bertanya.

“Enta datang sorang? Ada nak pergi mana-manakah?”

Ana ingat nak ke Mator Queen Alia malam ni, mahu jumpa  sahabat JPA ana yang akan balik Malaysia malam ini.” Beritahu Hakiman.

“Ana nak pergi rumah   Ustaz Mad (bukan nama sebenar) ana nak beli Hi Fi Kenwood dia.    Jom ikut ana kerumah dia bayar harga Hi Fi lepas tu kita pergi Mator Queen Alia la, ana pun nak wada’ sahabat kita..” Surzaidy mencadangkan.

Hakiman bersetuju. Selesai urusan dirumah  Ust Mad. Waktu masih awal. Mereka berpakat untuk ke Sefeway dahulu. Safeway adalah satu satunya supermarket besar di Amman ketka itu.  Di sinilah kami pelajar Malaysia melepas rindu merasai suasana Supermarket di Malaysia seperti Parkson, Hankyu Jaya,Yaohan dan lain-lain.

Selepas membeli sebungkus mee Maggi Hakiman mengajak Surzaidy  ke beberapa  buah kedai sekitar untuk menjamu mata melihat barang seperti ke Arabella yang tersohor. Kemudian mereka menapak ke stesyen bas  yang berdekatan untuk ke mengambil bas terus ke Mator Alia.

Perjalanan  sekitar setengah jam ke Mator dirasakan panjang oleh mereka berdua . Lalu mereka bertukar pelbagai cerita dan kenangan seawal dari zaman kanak-kanak,  persekolahan, hidup di asrama,   kehidupan baru di  bumi Kinanah, hati dan perasaan, cinta dan kasih dan sebagainya.  Perjalanan  setengah jam itu  diisi dengan perkongsian dari hati  kehati.

“Ana adalah  harapan dalam keluarga. Ana anak sulung yang  bertanggungjawab memimpin  adik adik dan membantu abah dan  Ma.”

“Ana ada satu satunya adik perempuan yang ana sayangi. Adik beradik lain semua lelaki. Dialah buah hati pengarang jantung keluarga kami.”

“Abah dan Ma banyak berkorban untuk Ana, membesarkan dan mendidik ana  dengan hampir sempurna bagai menatang minyak yang penuh.”

“Ana berjanji akan buat yang terbaik, menuntut ilmu mencari pengalaman dan membina diri agar menjadi anak soleh yang berjasa  bukan hanya kepada Abah dan Ma, tetapi juga kepada agama, bangsa dan negara.”

“Ana mahu menjadi anak soleh sebagaimana nabi sebut  yang akan menjadi sumber pahala dan saham berterusan kepada Abah dan Ma di dunia hingga akhirat.”

Panjang luahan Surzaidy kepada Hakiman. Hakiman terkenal dengan kesantunan, kesabaran mendegar  dan mengiyakan.  Hakiman  seorang yang berjiwa empati,  berjiwa halus , mempu menyelami jiwa dan perasaan sahabat.

Sampai di Mator Alia, waktu sudah masuk Maghrib. Mereka berdua begegas ke surau  untuk menyelesaikan kewajipan utama. Rupanya ramai sahabat  pelajar Malaysia sudah bersedia untuk solat.  Mereka solat Maghrib dan isyak jamak  qasar takdim diimami oleh sahabat senior Mafraq, Nuryusri.

Usai solat, Hakiman dan Surzaidy  segera ke bahagian daftar masuk berjumpa dengan sahabat-sahabat yang akan pulang ke Malaysia. Mereka semua sudah selesai daftar masuk bagasi. Cuma hanya menunggu untuk masuk yang berbaki lagi hampir dua jam. Macam macam topik perbualan dikongsikan.

Kamal sudah bersedia dengan jaketnya untuk masuk. Fahrun dan rakan JPA lain Zainul, Zikri, Rasyimi dan Hakiman berlonggok di satu sudut. Surzaidy pun ada sekali. Walaupun hanya dia pelajar Tajaan KPM di situ, dia tidak kekok berbual mesra. Kebersamaan hidup di Mafraq sudah meruntuhkan benteng perbezaan walaupun sebenarnya kami kalangan pelajar Malaysia memandang bahawa pelajar JPA adalah lebih bijak dan lebih pandai dari pelajar tajaan KPM.

“EH.. balik nanti kereta ada seat kosong lah. Kamal dah balik. Siapa nak ganti ni. Lepas ni kami nak terus ke Aqabah.”  Tiba-tiba Fahrun bersuara memecah rancak perbualan mereka.

“Tadi, abang senior ada bagitahu,  lepas balik dari Mator Alia ni, mereka mahu terus ke Aqabah bercuti di sana. Kita ikut sekali lah. Kita pun belum pernah sampai lagi ke Aqabah. Kereta dah ada.”

“Wah.. seronok tu. Macam nak ikutlah.”  Hakiman bersuara menunjukkan minat.

“Biar kawe gi lah. Kawe lah ganti seat kosong tempat Kamal.”  Surzaidy tiba-tiba mencelah dengan yakin.

“Barang kawe ada belako dah ni..” Sambung Surzaidy Sambil menunjukkan bag sandang yang dijinjingnya.

“Ok.. boleh”  Fahrun menjawab. Rasyimi, Zainul dan Zikri hanya mengangguk kepala bersetuju.

Hakiman hanya tersengih. Dia terlambat membuat keputusan. Hatinya memang meruntun mahu ikut sama. Tetapi peluang dah terlepas. Surzaidy lebih mendahului.  Dia sebenarnya lebih rapat dengan mereka sebagai rakan sepenaja JPA berbanding Surzady. Tapi Hakiman hanya tersenyum. Sifat tenangnya mampu menyembunyikan  kekecewaanya.

Hakiman memujuk hatinya. Tempoh dia akan berada Jordan masih panjang. Ni baru tahun pertama. Banyak lagi peluang untuk ke Aqabah selepas ini. Sekarang bagi peluang dulu kepada Surzady yang teruja ingin ke Aqabah bersama sahabat-sabahat JPA.

Hakiman redha dengan keputusan yang ada. Hatinya kecilnya redha dengan ketentuan Allah. Tak perlu kecewa. Mungkin ada hikmah besar di sebaliknya.

Setelah semua urusan di Mator selesai. Semua bergerak pulang ke tempat masing-masing. Surzaidy sudah pergi bersama rakan JPA ke ke kereta dan terus langsung ke Aqabah bersama dua kereta senior yang lain.

Hakiman menumpang bas yang disewa khas oleh pelajar pelajar Yarmuk untuk pulang ke Irbid. Malam itu amat tenang. Hakiman hanya melayan tidur sepanjang perjalanan. Bermimpikan Malaysia dan Aqabah.

 

Tuesday, November 25, 2025

TETAMU DARI RUMAH JPA

 Pada hari Rabu malam Khamis 7 Jun 1995,  rumah saya menerima tetamu dari sahabat  ahli rumah JPA. Kami memanggil rumah disebelah masjid Anas  sebagai rumah JPA kerana didiami oleh semua pelajar tajaan JPA iaitu Fahrun, Rasyhimi, Kamal, Zikri dan Zainul. 


Rumah  kami  sentiasa menjadi tumpuan rakan-rakan  jika pada hari minggu atau hari cuti. Kami meliki sebuat set Tv dan  pemain video  yang  menjadi peneman dan pelepas rindu setelah   penat belajar.  Rumah kami juga ada kemudahan Set PC dan juga printer dan  mesin taip letrik canggih kepunyaan Surzaidy.

Malam itu Fahrun, Zikri dan Zainul datang bertandang selepas solat isyak. Kamal tidak datang kerana   sibuk mengemas barang untuk pulang ke Malaysia. Manakala Rasyimi katanya ingin menghabiskan buku bacaannya. Kami makan malam dengan sama-sama merasa apa yang dimasak oleh ahli rumah kami Itqan. Dia yang paling pandai memasak. Sahabat-sahabat tetamu kami akan makan masakan Itqan walaupun dah kenyang.

Selepas makan makan malam, Fahrun  mula  leka dengan mesin taip CANON Surzaidy menulis warkah -warkah yang akan dikirimkan kepada ahli rumahnya Kamal yang akan pulang ke Malaysia esok.  Kami membiarkan dia bersendiri dibilik  saya. Manakala kami semua berkumpul di bilik utama  berbual sambil menontot siaran tv  14 Inci Panasonic.

Perbualan semakin hangat apabila Itqan menghidangkan   cekodok bawang yang amat enak.  Kami beruntung tinggal bersama sahabat yang pandai memasak. Syamsudin yang kami panggil ‘Bung’ pula telah keluar membeli PEPSI untuk kami menambahkan lagi keenakan cekodok.

Kami   berbual pelbagai topik sehingga lewat malam. Zikri yang pendiam hanya banyak mendengar dan sekali sekala menyampuk. Zainul  yang  banyak ramah bercerita menceriakan suasana. Biasanya Fahrun juga   menceriakan suasana  kami. Tapi malam itu dia menyendiri melayan perasaannya menulis warkah pada yang tersayang. Jadi kami tidak menggangunya.

Zainul memberitahu kami bahawa mereka akan menghantar Kamal pulang ke  Malaysia selepas Zohor hari khamis. Paginya Fahrun akan mengambil kereta sewa kerana ia lebih mudah untuk bergerak  berbanding mengambil teksi. Katanya mereka semua akan ke Sweileh dulu bertemu rakan-rakan  JPA mereka sebelum  ke Lapangan Terbang Queen Alia pada malamnya.

Selepas menghantar Kamal Mereka tiada rancangan pun untuk kemana-mana.  Mungkin kalau ada sempat ingin ke Mu’tah  menziarahi  pelajar Malayssia di sana. Itu saja antara yang diberitahu kepada kami.  Malam itu Surzaidy  tidak pulang kerumah selepas  keluar solat isyak  di Masjid.  Mungkn dia ada program tabligh dengan kawan-kawannya. Memang dia biasa begitu. Tapi malam itu dia tidak pulang.

Begitulah kehidupan kami di perantauan.  Sudah hampir setahun kami di pekan Mafraq. Kami panggilnya sebagai pekan cowboy kerana  suasananya yang klasik. Pekan ini  baru dikenali ramai selepas Universiti al Albayt memulakan operasi. Kami pelajar Malaysialah yang banyak meneroka dan memberi sumbangan kepada kemeriahan pekan Mafraq ini.

Rakan-rakan dan sahabat kami ini adalah ibarat tetamu walaupun ianya hampir setiap hari datang kerumah. Kami  amat mengalu-alukan kedatangan rakan dan sahabat. Kami berkongsi makanan, bercerita suka dan duka.   Islam menganjurkan kita memuliakan tetamu dengan sabdanya:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”

(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Itulah  amalan dan  budaya kehidupan kami  di Mafraq pelajar Malaysia di perantauan. Cuma kami tidak terfikir bahawa itulah malam   terakhir berberapa orang sahabat bersama kami.


Monday, November 24, 2025

TRAGEDI 1995: SELESAIKAN HUTANG DULU

 Kami berlima  tinggal di rumah sewa Abu Safwan. Rumah yang berada di tengah Hayy Dhubbat. Saya, Itqan, Nik Rafiq, Syamsuddin dan Surzaidi.  Kami semua dari Kelantan dan bekas  pelajar Maahad Muhammadi Kota Bharu. Hanya Surzaidi  berasal dari Sekolah Menengah Agama Falahih. Kami mengenalinya ketika sama-sama semasa kursus persediaan ke Jordan di IKIP. 


Surzaidi adalah seorang yang amat peramah, ceria dan baik hati. Mudah bergaul dengan sesiapa sahaja. Ketika kami mencari ahli rumah sewa yang ingin  tinggal bersama,  beliau dengna mudah menerima pelawaan tanpa berfikir panjang. Kami amat gembira Surzaidi setuju untuk tinggal bersama kami.

Kami telah melantik Sahabat kami Itqan sebagai ketua rumah. Beliaulah yang   banyak  membuat keputusan berkaitan rumah kami.  Beliau mengetuai perbincangan apa saja keputusan penting yang  berkaitan dengan rumah dan membuat agihan tugas kepada setiap ahli rumah.

Siapakah yang ditugaskan   memkirkan tentang kelengkapan perabut rumah, bahagian masakan, kebersihan, berhubung dengan tuan rumah dan sebagainya. Saya diberi tanggungjawab bahagian perhubungan dengan tuan rumah, membayar sewa dan  berbincang tentang apa saja tentang keperluan kami dengan tuan rumah Abu Safwan.

Surzaidi diberi tanggujawab  membeli kelangkapan rumah, seperti karpet, peralatan dapur dan sebagainya. Beliau kami  anggap sebagai orang  berada dan tidak kisah tentang duit. Dia amat pemurah.  Hampir setiap hari  berbelanja untuk kami ahli rumah diluar jadual perbelanjaan yang sebenar.

Alhamdulillah semua peralatan rumah yang telah diputuskan sudah dibelinya dengan  menggunakan duit sendiri dahulu. Penuh dapur dengan barang-barang. Kami terkejut juga. Bendahari belum  tetapkan berapa kutipan yang perlu dikongsikan. Balik dari Uiversiti barang semua sudah sampai di hantar dengan Pickup.

Surzaidi juga seorang yang  mengikut  perkembangan teknologi semasa. Dia lah  yang telah membelu mesin tapi  letirk jenama CANON. Mesin tapi tercanggih ketika itu. Semua bahan yang ditaip boleh disunting terlebih dahulu sebelum dicetak dikertas. Harganya mahal. Kami hanya menumpang tuah menggunakan mesin taip canggih. Kami yang banyak memanfaatkan mesin taip tersebut dan ia di simpan dibilik saya.   Surzaidi hanya menggunakan mesin taip itu untuk menulis surat kepada  Ayah , Ibu dan adiknya.

Sahabat kami Fahrun  dengan tugasnya sebagai setiausaha banyak menggunakan mesin tapi tersebut untuk urusan persatuan dan kadangkala urusan peribadi. Tapi Fahrun telah siap membeli kertas dan ribbon sendiri untuk kegunaannya.

Surzaidi juga adalah seorang  penggiat tabligh.  Sentiasa mencari jalan dan mencipta perbincangan berfikir untuk agama Allah. Kami dirumah pun selepas pualng dari masjid,  dia akan kumpulankan kami semua untuk membaca petikan kitab Fadhail A’mal atau  dia memberi tazkirah ringkas buat kami semua. Kami amat hargai usahanya ini.

Surzaidi tidak pernah bersuara meminta  duit semua kos peralatan rumah yang telah dibeli. Bila kami tanya dia akan cakap biar dahulu.

“Rileks lah.. tak apa lambat pun..”

“Nanti kalau ada duit  boleh bayar..”

Kami pun tidak tahu tentang keluarga Surzaidi sebenarnya. Kami  semua berpandangan keluarganya amat kaya dan tidak kesah sangat tentang duit.  Surzaidi memang  memang pemurah dan  tidak lokek untuk  berbelanja. 

Malam minggu itu Surzaidi tidak balik kerana dia bermalam dirumah kawannya. Malam ketika Fahrun menulis warkah panjang menggunakan mesin tapi CANON.  Dia juga tidak  ada bersama kami ketika kami menggunakan kereta sewa Hyundai biru untuk melihat keputusan peperiksaan di Universiti.

Selepas zohor Surzaidi pulang kerumah dan memberitahu kami dia ingin ke Amman mengambil Mini HIFi Kenwoon yang  ingin dibeli dari senior kami di Sweileh.   Ketika itu Ketua rumah  kami Itqan mencelah.

“Rasanya bagus hari ini kita selesaikan segala hutang piutang kita. Kami  ahli rumah lain banyak berhutang dengan Surzaidi. Semua kos peralatan yang dibeli belum di bayar..”

“Lepas ni lah… nanti balik dari Amman kita kira balik.” Tolak Surzaidi sambil  menggerakkan tangannya menunjukkan tidak mahu.

Tak boleh. Kami tak senang duduk ni kalau tak bayar hutang.. Mesti selesaikan hari ini juga..”

“Hutang wajib diselesaikan segera. Kita tidak tahu apa yang berlaku pada kita nanti..”

Tegas Itqan sambil   memegang kertas dan pen. Beliau  bertanya Surzaidi tentang semua kos peralatan yang telah di beli. Surzaidi pula jenis tidak  catat pembelian.  Dia hanya mengingat-ingat sahaja semua  harga barangan yang dibelinya. Kami tidak puas hatilah. SIkit sangat kos yang disebut. Mesti dia lupa.

“tak apa.. kira mudah-mudah ja.. saya kira sedekah lah kalau tak cukup tu..”    Surzaidi  memberi jaminan.

Setelah dikira semua jumlah kos dan diagikhakan kepada semua ahli rumah kami . Kami semua melunaskan semua  hutang  kepada Surzaidi.  Kaya dia pada hari tu  memegang duit tunai. Lebih dari cukup duit untuk membayar Mini HIFI Kenwood  yang akan diambil di Amman.

Selepas  besalaman dengan kami Surzaidi memikul beg sandangnya untuk bergerak  ke  rumah senior kami di Sweileh, Amman. Kami tidak ikut bersama kerana ada beberap urusan yang kami perlu selesaikan di Mafraq ini.  

Saya bersetuju dengan ketegasan Itqan untuk segera selesaikan hutang antara kami kerana banyak Islam amat menekankan persoalan hutang Antara hadis nabi tentang hutang ialah:

صَاحِبُ الدَّيْنِ مَحْبُوسٌ بِدَيْنِهِ

“Seseorang yang berhutang akan terhalang (di akhirat) kerana hutangnya.” — Riwayat Ahmad, al-Hakim

Rasulullah juga amat

كَانَ رَسُولُ اللّٰهِ ﷺ لَا يُصَلِّي عَلَى رَجُلٍ عَلَيْهِ دَيْنٌ

“Rasulullah tidak mensolatkan jenazah seseorang yang masih mempunyai hutang.” — Riwayat Muslim

Ini menunjukkan hutang adalah tanggungjawab besar yang tidak boleh diambil mudah.

Rasululullah juga menerangkan sifat buruk orang yang sengaja menangguhkan bayar hutang:

مَطْلُ الغَنِيِّ ظُلْمٌ

“Orang yang mampu tetapi melengah-lengahkan bayaran hutang adalah satu kezaliman.”— Riwayat al-Bukhari & Muslim

 

Orang yang mati syahid pun tidak terlepas daripada hutang

يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلَّا الدَّيْنَ

“Semua dosa orang yang mati syahid akan diampunkan kecuali hutangnya.” — Riwayat Muslim

 

Jadi keputusan kami segera selesaikan hutang dengan rakan rumah kami Surzadi adalah  ingin mengilkut panduan Islam.

Tapi  masalahnya ramai dikalangan orang Islam yang memandang remeh soal hutang. Semoga kami semua selamat dari beban  dan ikatan hutang. Jika ada sesiapa yang  masih saya terhutangnya dengannya   sila maklumkan segera. Saya akan selesaikan .


Monday, November 17, 2025

TRAGEDI 1995 : WARKAH YANG PANJANG

  

“Malam ni ana  nak tidur rumah enta lah”

“Ana nak  guna mesin taip,  nak tulis surat untuk keluarga di Malaysia.”

“Ana nak kirim surat pada Kamal Nazmi yang akan pulan ke Malaysia esok petang.”

Fahrun Nizam memberitahu saya  usai  solat Asar di Masjid Anas. Fahrun  adalah setiausaha biro perhubungan dibawah saya. Dia  selalu lepak dirumah saya untuk buat kerja persatuan. Kebetulan ahli rumah saya Surzaidi telah membeli sebuah mesin taip letrik jenama OLIVETTI  yang  boleh dikira canggih pada masa itu.  Ianya jenis  digital boleh tulis dahulu satu ayat atau satu baris  dan boleh disemak dahulu sebelum di print atas kertas. Jadi kesalahan  ejaan adalah minima. 


Surzaidi guna  mesin taip tu hanya untuk menulis surat kepada keluarganya. Kami pun tumpang sekaki lah.  Apa yang menarik ialah  kertas khas yang digunakan  jenis panjang bukanya jenis bersaiz A4. Jadi tulisannya akan bersambung sepanjang mana yang kita mahu.

Malam itu Fahrun berjaga malam. Jam 2 pagi saya lihat dia masih mengadap mesin taip. Apa yang ditulisnya tidaklah saya tahu.  Saya hanya melayan tidur. Mesin taip ini jenis senyap tidak bising sepertimana mesin taip biasa. Jadi ia tidak mengganggu tidur saya.

Usai solat subuh di masjid Fahrun meminta saya menunjukkan suratnya  dicoretnya sepanjang malam. Rupanya dia menulis warkah untuk buah hatinya di Malaysia. Rakan sekolah menengahnya dahulu yang sudah mengikat janji setia.

“Cuba enta baca surat ana tulis ni. Ok kah?” Dia  menghulurkan segulung kertas kepada saya.

Panjang suratnya. Bila dibuka gulungannya  hujungnya terus jatuh mencecah lantai. Saya memegang bahagian atas surat dan mengangkatnya  melebihi paras kepala  tapi hujungnya masih bergulung di atas lantai. Kalau dalam  saiz A4  mungkin  lebih 10 helai.

Saya membacanya dari awal. Bahasanya amat puitis dengan lenggok bahasa sasteranya yang berbunga-bunga. Maklumlah surat cinta. Selepas membaca beberapa perenggan saya berhenti dan menggulung semula surat tersebut.

“Ok sangat  ni. Boleh  angau si dia dia tu baca ayat- ayat cinta enta ni Fahrun.  Untung lah si dia tu.”

Fahrun menggulung kembali  warkah yang panjang itu dan diikat kemas dengan   riben. Ada beberapa lagi  surat yang ditulis  untuk keluarganya dan rakan yang lain. Ianya dalam gulungan kecil saja.

Fahrun orang sahabat yang sangat baik. Selalu menumpang tidur di rumah saya hari cuti.  Sebelum tidur dia akan bercerita nostalgia dia bersama si dia sepanjang perkenalan.    Rancangan hidup dia akan datang dan macam-macam lagi. Saya pula jenis suka melayan.

Begitulah hidup kami di perantauan jauh dari keluarga. Hanya kawan sebagai tempat untuk berkongsi perasaan. Fahrun sudah dalam selimut mengqadha tidurnya.  Saya juga menyambung tidur yang masih belum cukup jamnya.  Hari cuti adalah hari untuk tidur.


Friday, November 07, 2025

MAHU CUBA GADIS ITALI?

 Ketika saya sedang asyik melayan mata melihat proses penyediaan jaket kulit di kilang kulit bandar Denizli. Kebetulan pula sedang melayan penerangan gadis cantik Turki yang sedang memotong kulit sudah siap diproses.

Tiba-tiba terdengar suara seseorang memanggil saya.


“Jom..  Orang Malaysia..kita lepak-lepak sini”. Rupanya ada beberapa pemandu pelancong sedang berbual-bual dan mungkin mereka tahu saya orang Malaysia yang juga sedang membawa rombongan pelancong. Mereka tidak tahu saya ni juga bukan pemandu pelancong Cuma sebagai ketua kumpulan ja.

Saya mengikut mereka ke satu sudut dalam kilang tersebut. Rupanya itu sudut untuk pemandu pemandu pelancong berehat sambil menunggu rombongan pelancong selesai lawatan. Ramai juga yang berada disitu hampir penuh semua meja. Saya diajak ke satu meja oleh beberapa orang yang saya sebenarnya baru kenal di situ.

Mereka menawarkan minuman dan beberapa potong roti Turki. Saya meminta sprite saja. Kami saling berkenalan dan bercerita tentang kerja-kerja harian.

Kamu nak cuba gadis Italy?’ Salah seorang mereka bertanya kepada saya.

“Eh.. cuba apa?” Saya bertanya kembali. Sejujurnya saya tidak tahu apa maksud sebenarnya.

Dia kemudian membuat isyarat satu tangan genggam satu tangan lagi terbuka dan menepuknya beberapa kali.  Baru saya mengangguk memahami apa yang dia maksudkan.

“Saya sekarang bawa pelancong muda Italy. Mereka  ni datang nak enjoy berabis. Nak mencuba rasa pelabagai bangsa..”
“Saya rasa dia belum ada pengalaman lagi dengan orang Malaysia.”
  Beberapa orang gelak mendengar telahan tersebut.

Saya hanya tersenyum sumbing. Lahanat mereka ni semua. Nak tawarkan perempuan rupanya. Memang gaya hidup pemandu pelancong begini gamaknya.

“Oh.. Saya orang Islam.. Haram tu.. Tak boleh.” Saya menolak sambil menggoyangkan tangan.

“Alah.. Lepas ni taubat lah.. Tak perlu bayar… dia yag suruh saya cari.” Bersungguh-sungguh dia memujuk saya.

“Kalau kamu setuju saya aturkan. Dia ada sebelah sana.” Sambil dia menunjukkan ke bahagian belakang.

Saya menolakmya dengan baik dan menerangkan tentang pendirian saya sebagai Muslim. Hubungan seks hanya untuk suami isteri. Titik. Jelas nampak kekecewaan di wajah mereka kerana gagal menawarkan sesuatu yang bagi mereka amat menarik kepada kawan yang baru dikenali.

Saya menerangkan bukan sahaja zina itu dilarang keras dalam Islam. Bahkan mendekati zina itu sendiri juga dilarang. Saya memetik ayat al Quran  Surah al Isra ayat 32:

﴿ وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا ﴾

Maksudnya:
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang sangat buruk.”

“Kamu ni sepatutnya jadi Imam, bukannya pemandu pelancong.” Salah seorang dari mereka mencelah dan mereka semua ketawa.

Saya melihat mereka amat baik. Ingin menunjukkan kemesraan dan suka berkongsi apa yang mereka rasa istimewa. Mereka Muslim, tapi hanya pada nama. Kehidupan mereka seharian tidak menggambarkan mereka muslim. Itulah yang saya tahu sepanjang perbualan dengan mereka.

Mereka tidak kekok langsung tidak malu bercerita tentang dosa dan mungkin mereka tidak tahu batasan dosa dan pahala. Tapi mereka masih bangga dengan agama Islam. Masih ada sekelumit iman jauh dalam lubuk hati mereka. Semoga mereka kembali  ke pangkal Jalan.

Saya memberi tahu mereka bahawa rombongan kami hanya singgah di Bandar Denizle. Kami akan ke Pamukkale dan akan menginap di Richmond hotel. Mungkin tidak dapat berjumpa lagi selepas ini. Semoga Allah memberi hidayah kepada penduduk Turki yang jauh terpesong dari Islam ketika itu.