Friday, August 21, 2026

AISHAH! TUNGGU LAH KAMI DI SANA

Malam itu, buat pertama kalinya saya dapat tidur bersebelahan dengan Aishah.

Namun malam itu tiada tangisan. Tiada rengekan. Tiada pergerakan. 

Jenazah kecil Aishah kami letakkan di satu sudut ruang tamu rumah. Saya dan isteri tidur di sisinya, menemani anak kecil kami buat kali terakhir sambil menunggu siang menjelma.

Pihak surau telah memaklumkan bahawa mereka bersedia untuk membantu menguruskan jenazah Aishah. Seawal jam tujuh pagi, jiran-jiran mula datang menziarahi kami.

Ibu dan ayah saya berada jauh di Kelantan. Saya memberitahu mereka bahawa tidak perlulah bersusah payah datang ke Petaling Jaya. Perjalanan jauh dan keadaan keluarga ketika itu juga tidak begitu mengizinkan.

Ibu saya sendiri masih dalam pantang menjaga adik bongsu saya yang ketika itu masih bayi. Adik bongsu saya  yang juga merupakan mak saudara kepada Aishah  baru dilahirkan pada 20 Mei 2000. Usia mereka hanya berbeza sekitar sebulan lebih.

Jiran-jiran dan komuniti taman tempat kami menumpang ketika itu sangat baik hati. Ada yang sanggup masuk kerja lewat kerana mahu membantu menguruskan jenazah Aishah. Ada juga yang mengambil cuti.

Sedangkan mereka baru sahaja mengenali saya.

Saya belum pun lama tinggal di situ. Namun mereka tidak menganggap saya sebagai orang luar. Mereka menerima saya dan isteri sebagai sebahagian daripada keluarga besar mereka.

Pengurusan jenazah Aishah selesai agak awal kerana jasadnya sangat kecil. Saya sendiri turut membantu memandikan jenazah anak saya dan menyiapkan segala keperluannya.

Tubuh yang selama ini saya tatap di dalam inkubator, yang dipenuhi wayar dan tiub, kini berada di hadapan saya untuk dimandikan dan dikafankan.

Kecil sekali tubuhnya.

Solat jenazah diimamkan oleh seorang jiran senior yang ketika itu baru sahaja bersara. Beliaulah antara orang yang banyak membantu menguruskan jenazah Aishah dari awal hingga akhir.

Kemudian tibalah saat untuk kami menghantarnya ke tempat persemadian.

Saya memangku sendiri jenazah Aishah.

Saya membawanya ke tanah perkuburan dan menurunkannya sendiri ke liang lahad. Liang yang digali tidaklah dalam seperti kubur orang dewasa. Hanya sekitar paras lutut, sesuai dengan tubuh kecil seorang bayi.

Perlahan-lahan saya meletakkan Aishah di sana.

Ramai jiran dan beberapa orang saudara terdekat hadir mengiringi pengebumiannya.

Selesailah perjalanan Aishah bersama kami di dunia ini.

Apabila saya mengenang kembali peristiwa itu, hati saya masih tersentuh dengan kebaikan mereka. Pemergian Aishah, dalam kesedihan yang begitu mendalam, rupanya menjadi sebab hubungan saya dengan penduduk taman itu semakin erat.

Ketika itu saya belum pun sampai dua bulan tinggal di situ.

Namun ketika saya diuji dengan kehilangan seorang anak, merekalah antara insan yang berdiri di sisi saya.

Sungguh indah sebuah persaudaraan.

Petang itu, Pengerusi Khairat Kematian datang menziarahi saya di rumah. Beliau menghulurkan sejumlah wang kepada saya.

“Ustaz, ini lebihan duit pengurusan jenazah. Ada lebih kurang RM300 lebih.”

Saya agak terkejut.

“Eh, saya belum buat apa-apa bayaran lagi.”

Beliau tersenyum lalu menjelaskan,

“Ustaz waris kepada abang isteri Ustaz. Jadi kira warga kami juga. Kami gunakan tabung khairat surau untuk uruskan jenazah.”

Kemudian beliau menyambung,

“Anak Ustaz masih bayi. Tidak banyak perbelanjaan yang digunakan. Jadi lebihan ini kami kira sebagai sumbangan pihak surau kepada Ustaz dan isteri.”

Saya terdiam.

“Kami warga surau mengucapkan takziah atas kehilangan ini. Semoga Ustaz dan isteri bersabar. Insya-Allah, Allah akan gantikan dengan yang lebih baik.”

Kata-kata itu saya simpan dalam ingatan.

Kini, setelah 26 tahun berlalu, hubungan saya dengan warga taman itu masih erat. Walaupun saya tidak lagi tinggal di sana, setiap bulan saya masih kembali ke taman tersebut untuk bersama-sama penduduk mengadakan halaqah ilmu di surau.

Persaudaraan yang bermula ketika saya sedang berduka itu rupanya terus hidup hingga hari ini.

Semoga Allah memberkati mereka semua, membalas setiap pertolongan, doa dan kebaikan yang pernah mereka berikan kepada kami.

بَارَكَ اللهُ فِيكُمْ

Bārakallāhu fīkum.

Semoga Allah memberkati kalian.

Aishah...

Kehadiranmu di dunia hanya sebentar. Namun enam minggu bersamamu meninggalkan jejak yang panjang dalam kehidupan ayah dan ibu.

Allah meminjamkanmu kepada kami seketika, kemudian Dia mengambilmu kembali.

Ayah sendiri yang memangku jasad kecilmu.

Ayah sendiri yang menurunkanmu ke liang lahad.

Selepas itu, ayah terpaksa pulang meninggalkanmu di sana.

Tetapi ayah tahu, perpisahan ini bukan untuk selama-lamanya.

Aishah sudah pergi ke alam baqa.

Tunggulah ayah dan ibu di sana, Aishah.

Kami juga akan menyusul.

اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ فَرَطًا لِأَبَوَيْهِ، وَسَلَفًا، وَذُخْرًا، وَعِظَةً، وَاعْتِبَارًا، وَشَفِيعًا، وَثَقِّلْ بِهِ مَوَازِينَهُمَا، وَأَفْرِغِ الصَّبْرَ عَلَى قُلُوبِهِمَا، وَلَا تَفْتِنْهُمَا بَعْدَهُ، وَلَا تَحْرِمْهُمَا أَجْرَهُ.

“Ya Allah, jadikanlah anak ini sebagai pendahulu bagi kedua ibu bapanya, sebagai simpanan dan bekalan bagi mereka, sebagai pengajaran dan iktibar, serta sebagai pemberi syafaat. Beratkanlah dengan sebabnya timbangan amalan kedua ibu bapanya. Limpahkanlah kesabaran ke dalam hati mereka. Janganlah Engkau timpakan fitnah kepada mereka selepas pemergiannya dan janganlah Engkau menghalang mereka daripada memperoleh pahalanya.”

Thursday, August 20, 2026

JANGAN SEDIH! ALLAH AKAN GANTI LEBIH RAMAI LAGI

Ketika pihak hospital sedang menyediakan dokumen berkaitan jenazah Aishah, saya dan isteri berehat seketika di bangku di tepi wad. 

Kami duduk bersebelahan dalam keadaan masih terpinga-pinga dengan apa yang baru berlaku. Hati masih sebak. Saya melihat isteri. Air matanya masih mengalir. Sesekali dia menyekanya, tetapi kemudian mengalir lagi.

Tiba-tiba kami terdengar suara seseorang dari belakang.

“Kenapa menangis ni...?”

Saya dan isteri berpaling.

Seorang wanita dalam lingkungan usia 50-an, berbaju kurung, berdiri di belakang kami. Wajahnya tenang dan dia mengukir senyuman kepada kami.

“Kenapa awak berdua nampak sedih?” tanyanya lagi.

Saya menarik nafas.

“Anak kecil kami baru sahaja dipanggil kembali kepada Penciptanya.”

Tangan saya menunjuk ke inkubator yang terkandung bungkusan jenazah.

Wajah wanita itu berubah. Dia segera menghampiri isteri saya lalu memeluk dan menenangkannya.

Saya kemudian menceritakan serba sedikit tentang Aishah. Dia lahir terlalu awal, dengan tubuh yang sangat kecil. Sejak dilahirkan, hampir seluruh hidupnya dihabiskan di dalam inkubator. Selepas kira-kira enam minggu berjuang untuk hidup, Allah mengambilnya kembali.

Kami belum sempat benar-benar merasai nikmat membesarkan anak pertama. Belum sempat mendengar dia memanggil kami. Belum sempat melihatnya tersenyum, merangkak atau bermain di hadapan mata.

Wanita itu mendengar dengan penuh perhatian.

Kemudian dia berkata perlahan-lahan kepada kami,

“Jangan sedih, nak. Ini ujian Allah. Allah tahu apa yang terbaik.”

Dia memandang isteri saya yang masih berada dalam pelukannya.

“Kalau dia panjang umur sekalipun, mungkin keadaannya memerlukan rawatan dan perhatian yang sangat banyak. Bayi yang lahir terlalu awal begini kadang-kadang berhadapan dengan pelbagai masalah kesihatan. Mungkin Allah hendak menjaga dia daripada kesakitan yang lebih panjang, dan menjaga anak berdua daripada ujian yang lebih berat.”

Saya hanya tunduk mendengar kata-katanya.

Entah mengapa, kata-kata wanita yang langsung tidak kami kenali itu terasa begitu dekat di hati. Cara dia berbicara seolah-olah seorang ibu sedang memujuk anak-anaknya yang sedang bersedih.

Kemudian dia menyambung,

“Dia pergi ketika masih kecil. Anak berdua pun belum sempat melihat dia membesar, berlari dan bermain di depan mata. Belum sempat terlalu banyak kenangan bersama dia.”

Dia berhenti seketika.

“Kalau anak itu sudah membesar dalam pelukan kita, sudah pandai tersenyum, memanggil mak dan ayah, sudah bermain di depan mata... kemudian Allah ambil, mungkin lebih berat lagi untuk hati menerima.”

Saya terdiam.

Kata-kata itu tidak menghilangkan kesedihan kami. Kehilangan tetap kehilangan. Aishah tetap anak kami.

Namun kata-kata itu seakan-akan memberikan satu ruang kepada hati kami untuk melihat takdir Allah daripada sudut yang lain.

Wanita itu kemudian memandang kami berdua.

“Insya-Allah, selepas ini Allah akan ganti. Allah ambil seorang, mungkin nanti Allah beri anak berdua lebih ramai lagi. Anak-anak yang sihat, yang comel, yang bijak.”

Dia tersenyum.

“Anak berdua sabarlah. Percayalah kepada Allah.”

Saya dan isteri benar-benar terharu.

Siapakah wanita ini?

Kami tidak pernah mengenalinya. Saya tidak tahu dari mana dia datang. Dia hanya muncul ketika kami sedang duduk dalam kesedihan, lalu memeluk isteri saya dan menuturkan kata-kata yang sangat kami perlukan pada saat itu.

Dalam hati saya terdetik,

Mungkin beginilah cara Allah memujuk hamba-Nya.

Allah tidak semestinya menghilangkan ujian untuk menenangkan kita. Kadang-kadang Allah menghantar seseorang yang tidak kita kenali untuk menyampaikan beberapa patah kata agar hati yang hampir rebah kembali mempunyai kekuatan.

Firman Allah SWT:

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ۝ إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

Maksudnya: “Kerana sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.”
(Surah al-Syarh: 5–6)

Subhanallah.

Maha Suci Allah yang mengatur setiap sesuatu.

Di tengah-tengah kesedihan kehilangan Aishah, Allah masih menghadirkan manusia yang memberikan kekuatan. Sedikit demi sedikit hati saya semakin yakin bahawa apa yang berlaku bukan di luar pengetahuan-Nya. Semuanya berada dalam aturan dan ketentuan Allah.

Saya tidak tahu apa yang Allah sediakan untuk kehidupan kami selepas hari itu.

Namun saya yakin satu perkara.

Allah tahu apa yang kami tidak tahu.

Saya mengucapkan terima kasih kepada wanita itu. Sehingga hari ini saya tidak tahu siapa namanya. Pertemuan itu hanya seketika, tetapi kata-katanya kekal dalam ingatan saya.

Semoga Allah merahmati makcik itu dan membalas kebaikannya.

Saya memandang isteri.

Kami masih sedih. Air mata masih ada. Tetapi dalam kesedihan itu, perlahan-lahan tumbuh satu perasaan yang lain.

Reda.

Saya reda dengan apa yang telah Allah tentukan.

Saya kemudian menelefon keluarga di rumah dan memberitahu apa yang telah berlaku.

Malam itu, kira-kira jam 10.00 malam, kami meninggalkan hospital.

Kami datang ke hospital sebagai seorang ayah dan ibu yang masih berharap anak kecil kami akan terus hidup.

Tetapi malam itu kami pulang membawa jasad kecil Aishah.

Jenazah kecil itu kami bawa ke rumah abang kami di Petaling Jaya.

Perjalanan malam itu terasa sangat berbeza.

Aishah akhirnya keluar dari hospital.

Bukan seperti yang pernah kami impikan.

Bukan untuk kami bawa pulang, dukung dan besarkan bersama.

Tetapi untuk kami hantar ke tempat persemadiannya.

Daripada Allah dia datang, dan kepada Allah dia kembali.

Tuesday, August 18, 2026

KU RELAKAN AISHAH KEMBALI

Mata saya terpaku pada satu bungkusan kecil di dalam inkubator itu.

Dalam hati, saya hanya mampu memanggil satu nama. 

Aishah...

Ya, itulah Aishah.

Jasad kecilnya telah dibalut rapi dengan kain. Perlahan-lahan saya membuka sedikit balutan itu untuk melihat wajahnya.

Wajah Aishah kelihatan sembab. Matanya tertutup rapat.

Tiada lagi wayar dan tiub yang selama ini berselirat pada tubuhnya. Wayar di kepala, lengan dan pahanya sudah ditanggalkan. Mesin yang selama ini berbunyi mengiringi setiap detik kehidupannya juga sudah tidak kedengaran.

Tiada lagi angka-angka pada monitor yang sering saya tatap walaupun saya sendiri tidak begitu memahaminya.

Tiada lagi gerakan kecil tubuhnya.

Tiada lagi dengusan tangisan tanpa suara yang selama ini meruntun hati kami.

Yang ada di hadapan saya hanyalah jasad kecil yang kaku.

Saya menatap wajah Aishah lama.

Sebak.

Sukar untuk saya menerima bahawa anak yang selama lebih sebulan kami lawati hampir setiap hari kini sudah tidak bernyawa.

Di sisi inkubator itu terdapat sekeping catatan. Mata saya tertumpu pada satu tulisan:

Meninggal dunia: 8.11 malam.

Saya terdiam.

Jam 8.11 malam.

Rupanya Aishah telah menghembuskan nafas terakhir tidak sampai setengah jam selepas saya dan isteri meninggalkan Hospital Kajang.

Sekitar jam 8.20 malam, kami menerima panggilan daripada hospital. Jururawat hanya memaklumkan bahawa keadaan Aishah sangat tenat dan meminta kami segera datang.

Ketika panggilan itu dibuat, rupa-rupanya Aishah sudah tiada.

Mungkin jururawat tidak sampai hati untuk menyampaikan berita itu melalui telefon. Mungkin juga mereka bimbang kami tidak dapat mengawal emosi ketika dalam perjalanan menuju ke hospital.

Apa pun sebabnya, apabila kami tiba, semuanya sudah berakhir.

Saya hanya mampu mengucapkan:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

“Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali.”

Ayat yang sering kita baca apabila mendengar berita kematian itu tiba-tiba terasa begitu dekat dengan kehidupan saya sendiri.

Selama ini saya mengucapkannya apabila mendengar orang lain ditimpa musibah.

Malam itu, saya mengucapkannya untuk anak saya sendiri.

Benarlah firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati.”
(Surah Ali ‘Imran: 185)

Tidak kira tua atau muda. Tidak kira seseorang itu telah hidup puluhan tahun ataupun baru beberapa minggu melihat dunia.

Apabila sampai ketetapan Allah, tiada siapa mampu menangguhkannya walaupun sesaat.

Saya dan isteri cuba menerima ketentuan itu dengan hati yang reda.

Ya Allah, kami relakan Aishah kembali kepada-Mu.

Kami sendiri sudah tidak sanggup melihat penderitaannya.

Tubuh sekecil itu telah melalui begitu banyak kesakitan. Dicucuk jarum berkali-kali. Dipasang tiub. Disambungkan kepada pelbagai wayar. Diberikan ubat dan dibantu dengan mesin untuk meneruskan kehidupan.

Hari demi hari kami melihat dia bertarung.

Ada kalanya Aishah menangis, tetapi tangisannya hampir tidak mengeluarkan suara.

Sebagai seorang ayah, saya mahu anak saya terus hidup.

Saya mahu membawanya pulang.

Saya mahu melihat dia membesar seperti kanak-kanak lain.

Namun dalam masa yang sama, hati seorang ayah juga tidak sanggup melihat anak sekecil itu terus menanggung kesakitan.

Akhirnya saya belajar bahawa reda bukan bererti kita tidak sedih.

Reda bukan bererti air mata tidak boleh mengalir.

Reda ialah apabila hati kita akhirnya mengakui bahawa Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Biarlah Aishah pergi.

Cukuplah kesakitan yang telah ditanggungnya.

Mudah-mudahan selepas ini tiada lagi kesakitan untuknya.

Ketika menatap jasad kecil itu, tiba-tiba saya teringat sesuatu.

Baru beberapa hari sebelumnya saya berkesempatan mengambil sijil kelahiran Aishah yang baharu di Jabatan Pendaftaran Negara.

Setelah melalui pelbagai urusan, akhirnya pada sijil itu tercatat nama saya sebagai ayah kandungnya.

Saya begitu gembira ketika menerimanya.

Tiada lagi catatan Seksyen 13.

Aishah akhirnya mempunyai sijil kelahiran yang mencatatkan nasabnya sebagaimana yang kami perjuangkan.

Saya fikir itulah pengakhiran kepada satu perjuangan.

Rupa-rupanya Allah sedang mengajar saya sesuatu yang jauh lebih besar.

Baru beberapa hari saya menggenggam sijil kelahirannya, malam itu saya berdiri pula di hadapan jasadnya.

Saya boleh menunjukkan sijil itu kepada sesiapa sahaja dan berkata:

“Inilah anak saya. Aishah binti Abdullah.”

Namun malam itu saya benar-benar memahami bahawa Aishah bukan milik saya.

Dia milik Allah.

Kami hanya diberikan amanah untuk menjaganya selama suatu tempoh yang sangat singkat.

Allah meminjamkan Aishah kepada kami.

Kemudian Allah mengambil kembali apa yang sejak awal memang menjadi milik-Nya.

Enam minggu itu terasa begitu singkat.

Namun dalam tempoh yang singkat itulah Aishah mengajar kami begitu banyak perkara tentang kehidupan.

Tentang kasih sayang.

Tentang harapan.

Tentang doa.

Tentang sabar.

Tentang tawakal.

Dan akhirnya, tentang reda.

Saya dan isteri berdiri di sisi inkubator itu dan terus menatap wajahnya.

Dalam kesedihan itu, saya teringat bahawa Islam tidak membiarkan ibu bapa yang kehilangan anak kecil tenggelam tanpa pengharapan.

Ada satu hadis Rasulullah SAW yang sangat mengubat hati.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menggambarkan anak-anak kecil kaum Muslimin yang meninggal dunia berada di dalam syurga. Salah seorang daripada mereka akan menemui bapanya — atau kedua-dua ibu bapanya — lalu memegang pakaian atau tangan mereka dan tidak melepaskannya sehingga Allah memasukkannya bersama ibu bapanya ke dalam syurga.

Rasulullah SAW bersabda:

صِغَارُهُمْ دَعَامِيصُ الْجَنَّةِ، يَتَلَقَّى أَحَدُهُمْ أَبَاهُ - أَوْ قَالَ أَبَوَيْهِ - فَيَأْخُذُ بِثَوْبِهِ - أَوْ قَالَ بِيَدِهِ - ... فَلَا يَنْتَهِي حَتَّى يُدْخِلَهُ اللَّهُ وَأَبَاهُ الْجَنَّةَ

Maksudnya secara ringkas:

“Anak-anak kecil mereka berada di dalam syurga. Salah seorang daripada mereka akan menemui bapanya — atau kedua ibu bapanya — lalu memegang pakaiannya atau tangannya ... dan tidak melepaskannya sehingga Allah memasukkannya bersama bapanya ke dalam syurga.”

(Riwayat Muslim)

Hadis itu memberikan satu pengharapan besar kepada hati kami.

Malam itu, kami terpaksa melepaskan Aishah.

Kami tidak lagi dapat memegang tangan kecilnya.

Kami tidak akan dapat mendukungnya pulang seperti yang kami impikan.

Kami tidak akan melihat dia belajar berjalan, memanggil kami ayah dan ibu, pergi ke sekolah atau membesar di hadapan mata kami.

Namun Rasulullah SAW memberikan satu pengharapan yang jauh lebih indah.

Mungkin perpisahan ini bukan untuk selama-lamanya.

Mungkin malam itu kami melepaskan tangan kecil Aishah buat kali terakhir di dunia.

Namun dengan rahmat Allah, kami berharap suatu hari nanti tangan kecil itulah yang akan kembali menyambut kami.

Tangan yang pernah dicucuk jarum itu akan memegang tangan ayah dan ibunya.

Dan tidak akan melepaskannya lagi.

Saya menatap sekali lagi wajah kecil Aishah.

Damailah, Aishah.

Cukuplah segala kesakitan yang telah kamu tanggung.

Tiada lagi jarum.

Tiada lagi wayar.

Tiada lagi mesin.

Tiada lagi tangisan menahan sakit.

Ayah dan ibu reda.

Kami relakan kamu pergi.

Kami relakan kamu kembali kepada Pemilikmu yang sebenar.

Tunggulah ayah dan ibu di sana, Aishah.

Mudah-mudahan Allah memberikan kami kesabaran untuk meneruskan kehidupan ini dan mengurniakan rahmat-Nya agar suatu hari nanti kita dipertemukan kembali.

Bukan lagi di wad NICU.

Bukan lagi di sisi sebuah inkubator.

Tetapi di tempat yang tidak ada lagi kesakitan, tangisan dan perpisahan.

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Sesungguhnya kami milik Allah, dan kepada-Nya kami kembali.

Sunday, August 16, 2026

PANGGILAN KECEMASAN DARI HOSPITAL

Pada hari Rabu, 23 Ogos 2000, saya hadir ke hospital lebih awal daripada biasa bersama isteri. Saya telah memohon kebenaran daripada pengetua untuk keluar awal dari sekolah. Selepas Asar, kami sudah berada di Hospital Kajang. 

Keadaan Aishah semakin tenat.

Kami pilu melihat keadaannya. Doktor memaklumkan bahawa tubuh Aishah sudah mula tidak memberikan respons yang baik terhadap ubat-ubatan yang diberikan. Itu bukan petanda yang baik.

Inkubator Aishah ketika itu ditempatkan berhampiran meja utama jururawat supaya keadaannya dapat dipantau dengan lebih dekat.

Bunyi mesin pengesan nadi dan paras oksigen bersahut-sahutan dengan iramanya yang tersendiri. Sesekali saya menatap skrin monitor yang memaparkan angka dan garisan tentang keadaan Aishah. Saya melihatnya, tetapi tidak benar-benar memahami apa yang ditunjukkan.

Seorang jururawat datang menghampiri kami.

“Hari ini temanlah Aishah lama sikit.”

Dia berhenti seketika sebelum menyambung,

“Dia perlukan ibu bapanya di sisi sekarang.”

Kata-kata itu terasa lain daripada biasa.

Sudah lebih tiga jam saya dan isteri berada di sisi Aishah petang itu. Kami bergilir-gilir berdiri di hadapan inkubator, menatap tubuh kecilnya yang sedang bertarung untuk terus hidup.

Kami tidak mampu berbuat apa-apa.

Sesekali bibir kami terkumat-kamit membaca doa dan selawat syifa’. Saya melihat Aishah sedang bertarung nyawa. Sebagai seorang ayah, saya hanya mampu berdiri di situ dan berdoa.

Hari semakin lewat. Kami juga sudah terlalu letih selepas seharian menjalani praktikum di sekolah. Perut mula berkeroncong. Biasanya kami akan makan di rumah untuk menjimatkan perbelanjaan.

Akhirnya kami membuat keputusan untuk pulang sebentar.

Saya memaklumkan kepada jururawat bahawa kami mahu pulang dahulu.

“Kalau ada apa-apa kecemasan, telefonlah kami di rumah.”

Sebelum meninggalkan hospital, saya singgah di surau untuk menunaikan solat Maghrib.

Selesai solat, saya tidak terus bangun.

Saya melakukan solat hajat khusus untuk Aishah.

Malam itu doa saya panjang. Saya tidak menggunakan doa-doa Arab yang panjang. Saya hanya bercakap kepada Allah dalam bahasa Melayu, dengan bahasa seorang ayah yang sudah tidak tahu apa lagi yang mampu dilakukan.

“Ya Allah, Engkau lebih mengetahui apa yang terbaik untuk Aishah.

Jika Engkau takdirkan umurnya panjang dan dia boleh membesar serta hidup seperti manusia lain, maka sembuhkanlah dia. Berikanlah kekuatan kepadanya. Aku tidak sanggup melihat dia terus menderita begini.

Tetapi jika umurnya tidak panjang, dan memang telah Engkau tetapkan begitu untuknya, aku reda dengan ketentuan-Mu.

Aishah adalah milik-Mu.

Engkau hanya meminjamkannya kepada kami untuk sementara waktu.

Aku reda, ya Allah, dengan apa sahaja ketentuan-Mu.

Engkau lebih mengetahui apa yang terbaik untuknya.”

Entah berapa lama saya berdoa.

Saya keluar dari surau dengan hati yang sukar digambarkan. Ada harapan, ada ketakutan, tetapi pada masa yang sama saya cuba menyerahkan semuanya kepada Allah.

Selepas Maghrib, kami terus pulang ke rumah dan sampai sekitar jam lapan malam.

Ketika saya dan isteri sedang makan malam, tiba-tiba telefon rumah berdering.

Isteri abang ipar saya mengangkatnya.

Tidak lama kemudian dia memanggil saya.

“Abdullah, telefon dari Hospital Kajang. Mereka nak bercakap.”

Saya segera mendapatkan telefon dan memperkenalkan diri.

Suara seorang jururawat kedengaran di hujung talian.

“Encik boleh datang ke hospital tak?”

Saya terdiam.

“Anak encik tenat sangat.”

Kemudian dia menyambung,

“Encik datang ya. Kami tunggu.”

Belum sempat saya bertanya lebih lanjut, talian telah diputuskan.

Saya menjeling jam di dinding.

8.20 malam.

Saya memandang isteri.

“Hospital telefon. Aishah tenat sangat. Mereka minta kita datang.”

Kami bersiap untuk kembali ke hospital selepas menunaikan solat Isyak.

Sepanjang perjalanan menuju ke Hospital Kajang, kami berdua banyak berdiam diri.

Tiada apa yang mahu diperkatakan.

Nasyid Fatamorgana daripada kumpulan Hijjaz mengalun perlahan di dalam kereta. Antara baitnya yang begitu menusuk hati ketika itu mengingatkan manusia supaya kembali kepada Tuhan dan bahawa kebahagiaan akhirat hanyalah bersama Allah.

Saya memandu dalam diam.

Isteri juga diam.

Entah mengapa, setiap bait nasyid itu terasa begitu dekat dengan kehidupan kami pada malam tersebut.

Apabila sampai di hospital, saya terus menuju ke wad NICU.

Sebaik sahaja melangkah masuk, saya terasa suasananya berbeza.

Beberapa orang jururawat memandang ke arah saya.

Tiada senyuman seperti biasa.

Saya segera mencari inkubator Aishah.

Tiada.

Tempatnya berhampiran meja jururawat sudah kosong.

Saya memandang ke kiri dan ke kanan, mencari-cari.

Seorang jururawat yang melihat saya tercari-cari hanya menunjukkan tangannya ke arah hujung bilik.

Saya memandang ke arah yang ditunjukkannya.

Nun di hujung sana, saya terlihat sebuah inkubator.

Di dalamnya kelihatan satu bungkusan kecil.

Mesin-mesin yang selama ini berbunyi dengan pelbagai irama sudah tidak kedengaran.

Semuanya senyap.

Skrin monitor juga sudah gelap.

Saya berjalan perlahan-lahan menuju ke inkubator itu.

Setiap langkah terasa berat.

Jantung saya berdegup kencang.

Mata saya tidak beralih daripada bungkusan kecil di dalam inkubator tersebut.

Dalam hati, saya hanya memanggil satu nama.

Aishah...

Saturday, August 15, 2026

HARAPAN DAN DOA DENGAN RM10

“Hari ini encik perlu temani anak lama sikit.”

Pesanan itu dituturkan oleh Kak Jururawat sebaik sahaja saya menyapanya ketika melangkah masuk ke wad NICU. Wajahnya kelihatan serius. Dia menatap saya seketika. 

Saya hanya mengangguk.

“Ya.”

Kemudian saya terus menuju ke tempat biasa, ke inkubator Aishah.

Namun, Aishah tiada di situ.

Saya berhenti dan memandang sekeliling. Mata saya mencari-cari inkubator Aishah. Melihat saya terpinga-pinga, Kak Jururawat tadi menunjukkan tangannya ke arah satu sudut berhampiran meja jururawat.

Di situlah saya melihat sebuah inkubator.

Aishah berada di dalamnya.

“Kami letakkan Aishah dekat sini. Senang kami pantau,” jelas Kak Jururawat. “Kalau ada apa-apa, doktor dan jururawat boleh bertindak cepat.”

Hati saya mula terasa tidak sedap.

Saya menghampiri inkubator itu.

Ya Allah…

Aishah kelihatan lain daripada biasa.

Badannya semakin kembang. Mukanya kelihatan sembab. Dia tidak lagi menangis seperti selalu. Pernafasannya juga sudah perlu dibantu dengan mesin.

Lama saya berdiri memandangnya.

Sayu hati melihat anak sekecil itu diuji dengan kesakitan yang begitu berat. Saya mahu menyentuhnya seperti biasa, mengusap dan mengurut tubuh kecilnya sebagaimana yang diajar oleh jururawat sebelum ini.

Tetapi kali ini saya tidak mampu berbuat demikian.

Tubuh kecil itu sudah dipenuhi pelbagai wayar dan tiub yang berselirat. Saya hanya mampu berdiri di sisi inkubator dan memandangnya.

Mulut saya terkumat-kamit berdoa.

“Ya Allah… bantulah anakku. Permudahkanlah urusannya. Berikanlah yang terbaik untuk Aishah.”

Entah berapa lama saya berdiri di situ.

Apabila masuk waktu Maghrib, saya meninggalkan wad seketika untuk ke surau hospital. Selesai solat, saya tidak terus bangun. Saya duduk termenung dan bertafakur.

Fikiran saya hanya kepada Aishah.

Tiba-tiba bahu saya dicuit seseorang.

Saya menoleh.

Seorang lelaki separuh abad berdiri di sebelah saya. Kemejanya kelihatan lusuh. Wajahnya tampak letih. Dia memandang saya dengan penuh pengharapan.

“Boleh bantu saya sikit? Saya tak ada duit nak makan. Dari pagi saya belum makan.”

Saya terdiam.

Tangan saya menyentuh dompet.

Saya cuba mengingat-ingat jumlah wang yang ada. Kalau tidak silap, hanya RM15 sahaja yang tinggal. Saya sendiri belum makan malam. Wang itulah yang ada dalam simpanan saya untuk perjalanan pulang nanti. Walaupun kereta sudah ada petrol dan wang tol sudah tersedia, saya tetap terfikir kalau-kalau berlaku sesuatu kecemasan dalam perjalanan.

Saya membuka dompet.

Benar.

Hanya RM15.

Saya memandang lelaki itu sekali lagi.

Entah mengapa, saya tidak sampai hati untuk menolaknya.

Saya menarik keluar sekeping not RM10 lalu menghulurkannya kepadanya.

“Ambillah.”

Kini hanya tinggal sekeping not RM5 berwarna hijau di dalam dompet.

Tak apalah…

Saya memujuk hati sendiri.

Petrol sudah ada. Duit tol pun sudah tersedia. Makan malam nanti boleh makan di rumah. Lelaki ini lebih memerlukan.

Saya teringat satu sifat mulia yang disebut oleh Allah dalam al-Quran  īthār, iaitu mendahulukan keperluan orang lain walaupun diri sendiri turut memerlukan.

Allah SWT memuji golongan Ansar:

وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ

Maksudnya: “Dan mereka mengutamakan orang lain daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka juga dalam keadaan memerlukan.”
(Surah al-Hashr: 9)

Tentulah pemberian RM10 saya terlalu kecil untuk dibandingkan dengan pengorbanan besar kaum Ansar. Saya cuma melihat seorang lelaki yang lapar, sedangkan saya masih boleh pulang dan makan di rumah.

Dia lebih memerlukannya daripada saya.

Kemudian terlintas satu harapan kecil dalam hati.

Mudah-mudahan dengan sebab saya membantu orang yang sedang lapar ini, Allah memandang belas kepada kami. Mudah-mudahan Allah permudahkan urusan Aishah.

Saya tidak tahu siapa lelaki itu. Saya juga tidak tahu benar atau tidak segala yang diceritakannya.

Tetapi pada saat itu saya hanya mahu berbuat sesuatu yang baik.

Saya sudah tidak mampu melakukan apa-apa untuk Aishah. Saya bukan doktor yang boleh merawatnya. Saya bukan jururawat yang boleh mengendalikan mesin-mesin yang sedang membantunya bernafas.

Saya hanyalah seorang ayah yang sedang berdiri di luar NICU, membawa hati yang penuh harapan kepada Allah.

Selepas solat Isyak, saya berdoa panjang.

Saya memohon agar Allah menjaga Aishah. Saya memohon agar Allah memberikan kekuatan kepadanya. Saya memohon agar apa sahaja ketentuan-Nya nanti adalah ketentuan yang terbaik buat anak kecil kami.

Selesai solat, saya kembali ke NICU.

Saya berdiri lagi di sisi inkubator Aishah sehingga hampir jam 10 malam.

Saya tidak mengusapnya.

Saya tidak mengurutnya.

Saya juga tidak mampu berbuat apa-apa.

Saya hanya berdiri dan menatap sekujur tubuh kecil itu yang dikelilingi wayar dan mesin.

Sesekali bibir saya bergerak perlahan, berdoa.

Itulah sahaja yang mampu dilakukan oleh seorang ayah pada malam itu.

Ketika akhirnya saya melangkah keluar dari hospital dan memandu pulang, suasana malam terasa begitu panjang. Seperti hari-hari sebelumnya, alunan nasyid daripada album Rindu nyanyian Hijjaz menemani perjalanan saya.

Namun malam itu, setiap bait yang kedengaran terasa berbeza.

Di sebalik alunan nasyid itu, hati saya tidak pernah berhenti berdoa.

“Ya Allah, aku serahkan Aishah kepada-Mu. Aku sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Engkau lebih mengetahui apa yang terbaik untuknya. Maka lakukanlah yang terbaik untuk Aishah.”

Kereta terus bergerak membelah malam.

Dan doa seorang ayah terus mengiringi perjalanan pulang.

 

Friday, August 14, 2026

SURAT LAHIR BARU TANPA SEKSYEN 13

Ketika kami menerima perkhabaran daripada pihak hospital bahawa keadaan kesihatan Aishah semakin tidak memberangsangkan, hati saya dan isteri kembali dilanda kebimbangan. Aishah memerlukan perhatian dan rawatan yang lebih rapi daripada doktor. Tubuhnya yang begitu kecil sedang berjuang untuk terus hidup. 


Setiap kali datang ke hospital, saya hanya mampu memandangnya sambil berdoa. Dalam keadaan seperti itu, perkara-perkara lain terasa begitu kecil. Apa yang paling penting bagi saya hanyalah satu  Aishah mesti terus bertahan.

Dalam kesibukan dan kegusaran itulah pensyarah penyelia saya, Ustaz Jabbar, menyampaikan satu berita kepada saya.

“Surat lahir anak kamu dah siap.”

Beliau mendapat maklumat tersebut daripada kenalannya, Pengarah Pendaftaran Daerah Kajang yang pernah kami temui sebelum ini. Sijil kelahiran baharu Aishah telah siap dan saya boleh datang mengambilnya pada bila-bila masa di JPN Kajang.

Alhamdulillah.

Saya lega mendengarnya. Namun, untuk pergi mengambil sijil itu bukanlah semudah yang disangka.

Ketika itu saya sedang menjalani praktikum. Setiap hari dipenuhi dengan persediaan mengajar, menyiapkan Rancangan Pengajaran Harian, menyediakan bahan bantu mengajar dan melaksanakan tanggungjawab di sekolah. Rutin saya pula ialah pergi ke Hospital Kajang pada lewat petang, selepas selesai urusan di sekolah.

Pejabat JPN sudah tentu beroperasi pada waktu pejabat.

Jika saya mahu mengambil sijil kelahiran Aishah, saya perlu mengubah jadual harian, memohon kebenaran keluar atau mencari ruang pada waktu pagi untuk ke Kajang. Dalam keadaan Aishah yang sedang kritikal, saya juga tidak mahu mengurangkan masa untuk menziarahinya.

Hari demi hari berlalu.

Hampir seminggu sijil itu siap, tetapi saya masih belum berkesempatan mengambilnya.

Akhirnya saya berjaya mengatur semula jadual. Pada hari tersebut, saya mengubah rutin biasa. Saya pergi ke Kajang pada waktu pagi supaya dapat singgah di JPN dan kemudian terus ke hospital untuk melihat Aishah.

Saya masih ingat perasaan ketika menerima sijil kelahiran baharu itu.

Saya membelek helaian tersebut dan membaca satu demi satu maklumat yang tercatat padanya.

Nama Aishah ada di situ.

Dan yang paling melegakan hati saya, pada sijil kelahiran baharu itu tertera nama saya sebagai ayahnya.

Saya melihat sekali lagi, seakan-akan mahu memastikan apa yang saya baca itu benar.

Tiada lagi catatan kecil yang sebelum ini begitu mengganggu fikiran saya.

Tiada lagi catatan Seksyen 13.

Alhamdulillah.

Akhirnya selesai satu urusan yang begitu meresahkan hati saya sejak kelahiran Aishah. Anak kecil yang sedang bertarung nyawa di hospital itu kini mempunyai sijil kelahiran yang mencatatkan nama ayahnya sebagaimana yang sepatutnya.

Saya memegang sijil itu dengan perasaan yang sukar digambarkan.

Bagi orang lain, mungkin ia hanyalah sekeping dokumen rasmi kerajaan. Tetapi bagi saya pada ketika itu, ia membawa makna yang jauh lebih besar. Di sebalik helaian kertas itu tersimpan sebuah perjuangan, kegelisahan, pertemuan dengan pihak pendaftaran dan akhirnya satu penyelesaian yang sangat saya syukuri.

Namun kegembiraan itu tidak berlangsung lama.

Sebaik sahaja selesai urusan di JPN, fikiran saya kembali kepada Aishah.

Sijil kelahirannya sudah berada di tangan saya. Namanya sudah didaftarkan. Nama ayahnya juga sudah tercatat dengan sempurna.

Tetapi nun di hospital, pemilik nama pada sijil itu masih sedang berjuang untuk hidup.

Saya segera menuju ke Hospital Kajang.

Dalam hati hanya ada satu doa:

“Ya Allah, urusan surat kelahirannya telah Engkau permudahkan. Maka permudahkanlah pula urusan hidupnya. Panjangkanlah umurnya dan berilah peluang kepada kami untuk membesarkannya.”

Thursday, August 13, 2026

BANYAKKAN SABAR DAN DOA. SERAHLAH KEPADA ALLAH

Sudah lebih sebulan Aishah berada di hospital. Berat badannya semakin bertambah dan kini sudah melebihi 1.3 kilogram. Bagi kami, setiap pertambahan walaupun hanya beberapa gram tetap membawa kegembiraan. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh kami syukuri.

Namun keadaan fizikalnya masih belum sebaik yang kami harapkan.

Kulitnya masih sangat nipis dan kelihatan seakan-akan lutsinar. Di beberapa bahagian, kulitnya menggelupas dan terdapat radang terutama pada bahagian sendi. Tubuh kecil itu masih terlalu rapuh untuk berhadapan dengan dunia yang sepatutnya belum lagi dihuni olehnya.

Melalui branula yang dipasang pada tubuhnya, pelbagai ubat dan cecair dimasukkan. Kadang-kadang apabila cecair ubat yang sedikit berwarna dialirkan, saya seperti dapat melihat alirannya melalui kulit Aishah yang sangat nipis itu.

Sayu hati melihatnya.

Aishah juga kerap menangis. Mulutnya terbuka luas seperti bayi lain yang sedang menangis, tetapi tiada suara yang keluar. Saya hanya dapat melihat riak wajahnya. Saya tahu dia sedang menangis, tetapi saya tidak dapat mendengar tangisannya.

Setiap kali bertanya kepada kakak jururawat tentang keadaannya, mereka akan cuba menenangkan saya.

“Insya-Allah, okey tu.”

Itulah antara jawapan yang sering diberikan kepada saya. Mungkin mereka tidak mahu saya terlalu risau. Mungkin juga mereka sudah terlalu biasa berhadapan dengan ibu bapa yang datang ke NICU dengan seribu satu kebimbangan.

Suatu hari, ketika saya datang melawat, saya diminta berjumpa dengan doktor.

Saya berjalan ke meja doktor di bahagian hadapan wad. Doktor yang menemui saya itu ialah doktor yang sama yang pernah memberikan penerangan kepada saya ketika Aishah mula-mula dimasukkan ke wad dahulu.

Wajahnya kali ini kelihatan lebih serius.

“Keadaan anak encik tidak begitu baik. Tidak sebagaimana yang kita harapkan,” katanya perlahan.

Saya hanya memandang wajahnya.

“Maksud doktor?” tanya saya, cuba mendapatkan kepastian.

“Banyak organnya masih belum stabil. Kami harap dia dapat bertahan. Kami akan pantau keadaannya dengan lebih rapi daripada biasa.”

Saya terdiam.

Entah apa yang mahu ditanya lagi. Saya bukan doktor. Saya tidak memahami segala istilah perubatan. Apa yang saya faham hanyalah satu — keadaan anak saya tidak begitu baik.

Kemudian doktor itu berkata sesuatu yang benar-benar melekat dalam ingatan saya.

“Harap encik dan isteri banyak bersabar dan berdoa kepada Allah.”

Dia berhenti seketika sebelum menyambung.

“Saya yakin Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Apa sahaja yang berlaku nanti, itulah yang terbaik untuk anak encik dan untuk encik suami isteri.”

Saya hanya mampu mengangguk.

Ada rasa sebak yang sukar digambarkan ketika mendengar kata-kata itu keluar daripada mulut seorang doktor. Dia bukan sekadar bercakap tentang ubat, rawatan dan keadaan organ Aishah. Dia mengingatkan saya tentang Allah.

Doktor muda itu pada pandangan saya seorang yang kuat pegangan agamanya. Sejak awal lagi, tutur katanya banyak bersandar kepada Allah. Janggutnya nipis dan terkemas rapi. Entah mengapa, penampilannya dan tutur katanya memberi ketenangan kepada saya.

Seolah-olah selepas segala ikhtiar manusia dilakukan, dia mahu mengingatkan saya bahawa ada satu perkara yang tidak berada dalam tangan doktor, jururawat atau sesiapa pun.

Takdir.

Dan takdir itu berada dalam pengetahuan Allah.

Dalam perjalanan pulang, kata-kata doktor itu terus bermain dalam fikiran saya.

Banyakkan sabar. Banyakkan berdoa. Serahkan kepada Allah.

Sampai di rumah, saya memberitahu isteri tentang keadaan Aishah. Tidak banyak yang mampu kami lakukan. Kami hanya mampu berdoa. Kami telah menyerahkan anak kecil itu kepada doktor dan jururawat untuk dirawat, tetapi hakikatnya kami sedang menyerahkannya kepada Allah.

Keesokan harinya saya datang lagi ke hospital.

Sebaik menghampiri inkubator Aishah, saya terkejut melihat keadaannya.

Ada branula baharu dipasang pada pahanya. Satu lagi dipasang pada bahagian kepalanya untuk menyalurkan ubat dan cecair yang diperlukan. Itulah kali pertama dalam hidup saya melihat branula dipasang pada kepala seorang bayi.

Kepalanya terpaksa disendal dan distabilkan dengan bantal kecil serta pita pelekat supaya tidak banyak bergerak. Setiap kali Aishah cuba menggerakkan kepalanya, wajahnya berubah seperti sedang menahan kesakitan.

Mulutnya terbuka.

Dia seperti meraung.

Tetapi sekali lagi, tiada suara yang kedengaran.

Saya hanya mampu berdiri memandang.

Tubuhnya pula kelihatan sedikit mengembang dan sembap. Pelbagai cecair dan ubat sedang dimasukkan ke dalam tubuh kecil yang beratnya baru sedikit melebihi satu kilogram itu.

“Dia perlukan semua ubat ini. Jadi kami terpaksa beri semuanya serentak,” terang kakak jururawat kepada saya.

Saya mengangguk perlahan.

Tidak ada apa lagi yang mampu saya lakukan.

Saya tidak mampu mengambil alih kesakitannya.

Saya tidak mampu menggantikan tubuh kecil itu dengan tubuh saya.

Saya juga tidak mampu menentukan sama ada esok saya masih akan melihatnya di dalam inkubator itu atau sebaliknya.

Yang saya mampu hanyalah berdoa dan bermunajat kepada Allah.

Ketika itulah kata-kata doktor semalam terasa semakin dalam maknanya.

Serahkan kepada Allah.

Allah SWT berfirman:

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

“Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya.”
(Surah al-Talaq, 65:3)

Saya mula belajar bahawa tawakal bukan bererti kita berhenti berusaha. Doktor terus merawat. Jururawat terus memantau. Ubat terus diberikan. Kami pula terus datang, menyentuh, membelai dan mendoakan Aishah.

Tetapi selepas segala usaha dilakukan, ada satu sempadan yang manusia tidak mampu melangkahinya.

Di situlah tawakal bermula. Saya cuma tahu satu perkara.

Allah lebih mengetahui keadaan anak kecil ini daripada saya. Allah lebih menyayanginya daripada saya. Allah mengetahui apa yang sedang berlaku di dalam tubuhnya yang kecil itu, sedangkan saya hanya mampu melihat dari luar inkubator.

Maka kepada siapa lagi saya mahu menyerahkan Aishah kalau bukan kepada-Nya?

 

Wednesday, August 12, 2026

SINGLE PARENT

Kehadiran saya hampir setiap hari di hospital menyebabkan saya semakin mengenali jururawat dan petugas di NICU. Kadang-kadang apabila ada jururawat yang biasanya bertugas tetapi tidak kelihatan, saya akan bertanya khabar tentang mereka. 


“Akak tu tak masuk hari ni?”

“Dia cuti.”

Ada kalanya mereka bertukar syif secara tiba-tiba. Lama-kelamaan saya sudah tahu siapa yang bertugas dan siapa yang akan menjaga Aishah pada hari tersebut. Begitulah rapatnya hubungan saya dengan jururawat di NICU sepanjang tempoh anak kecil saya dirawat di situ.

Mereka juga mengenali ibu bapa kepada bayi-bayi yang berada di bawah jagaan mereka. Sesekali, dalam perbualan kami, mereka bercerita secara umum tentang cabaran yang dihadapi oleh keluarga bayi-bayi tersebut.

Daripada situlah saya belajar bahawa setiap manusia mempunyai cerita dan ujiannya sendiri.

Lain orang, lain kisahnya. Lain keluarga, lain ujiannya.

Ketika kita sedang berhadapan dengan kesusahan, kadang-kadang kita merasakan bahawa kitalah manusia yang paling berat diuji. Namun apabila kita membuka mata dan melihat kehidupan orang lain, barulah kita sedar bahawa di sekeliling kita ada insan yang sedang memikul beban yang jauh lebih berat.

Saya memang penat.

Setiap hari perlu berulang-alik ke hospital. Dalam masa yang sama saya perlu menguruskan isteri yang masih dalam pantang, menjalani praktikum, menyediakan Rancangan Pengajaran Harian dan bahan bantu mengajar serta melaksanakan tanggungjawab sebagai guru pelatih.

Namun rupanya dalam kesusahan itu, Allah masih memberikan begitu banyak kemudahan kepada saya.

Saya mempunyai kenderaan. Saya masih mampu datang ke hospital setiap hari. Saya diberikan kesempatan untuk berdiri di sisi inkubator Aishah, menyentuh tubuh kecilnya, mengusapnya dan mendoakannya.

Ada ibu bapa lain yang hanya mampu datang seminggu sekali kerana masalah pengangkutan dan kewangan. Ada yang tinggal jauh. Ada pula yang berhadapan dengan masalah keluarga sehingga tidak berkesempatan datang sekerap yang mereka inginkan.

Ketika itulah saya semakin menghayati firman Allah SWT:

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ۝ إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

“Kerana sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.”

(Surah al-Insyirah: 5–6)

Allah tidak mengatakan bahawa kemudahan hanya datang selepas kesusahan. Allah menyebut مَعَ الْعُسْرِ bersama kesusahan itu ada kemudahan.

Dalam ujian yang sedang saya lalui, rupanya Allah telah menyediakan pelbagai kemudahan yang pada awalnya tidak begitu saya sedari.

Pada suatu hari, saya menyedari ada seorang bayi baharu ditempatkan di dalam inkubator berhampiran Aishah.

Beberapa hari berlalu, tetapi saya tidak pernah terserempak dengan ibu atau ayah bayi tersebut.

Saya mula tertanya-tanya.

Mungkin ibunya masih sakit.

Tetapi ayahnya?

Saya cuba tidak memikirkannya lebih jauh. Saya sendiri tidak tahu keadaan sebenar keluarga tersebut.

Sehinggalah pada suatu hari saya datang ke hospital lebih awal daripada kebiasaan. Kebetulan pada hari itu ada aktiviti di sekolah dan saya memohon kebenaran daripada pengetua untuk pulang lebih awal bagi melawat Aishah.

Sebaik sahaja memasuki NICU, pandangan saya tertumpu kepada inkubator di sebelah Aishah.

Ada seseorang sedang berdiri di situ.

Seorang pelajar perempuan.

Dia masih berpakaian seragam sekolah.

Saya memperlahankan langkah.

Pelajar itu berdiri di sisi inkubator sambil mengusap tubuh bayi kecil tersebut dengan begitu lembut. Wajahnya kelihatan sayu. Gerak-gerinya penuh kasih dan naluri keibuan.

Saya tertanya-tanya.

Siapakah pelajar ini?

Adakah dia kakak kepada bayi tersebut?

Kalau dia kakaknya, di manakah ibu bayi ini?

Saya tidak bertanya kepadanya. Saya hanya melihat dari jauh sebelum menghampiri inkubator Aishah seperti biasa.

Selepas pelajar perempuan itu meninggalkan NICU, saya mendekati seorang kakak jururawat yang sudah biasa berbual dengan saya.

“Akak, budak sekolah tadi tu siapa? Kakak kepada baby tu ke?”

Jururawat itu memandang saya.

“Dia tu ibu baby tu lah.”

Saya terdiam.

“Ibu?”

“Ya. Dah dua kali dia datang. Lepas sekolah. Dalam pukul tiga macam tu sampailah dia.”

Saya benar-benar tercengang.

Pelajar perempuan yang masih berpakaian seragam sekolah itu rupanya seorang ibu muda.

Melihat saya masih terkebil-kebil cuba memahami keadaan, kakak jururawat itu menyambung perlahan,

“Single parent...”

Dua perkataan itu membuatkan saya terdiam agak lama.

Daripada penerangan ringkas yang saya terima, saya memahami bahawa bayi tersebut lahir daripada hubungan di luar pernikahan.

Astaghfirullahal ‘azim.

Saya beristighfar panjang.

Kemudian saya diberitahu bahawa ibu kepada pelajar tersebut, yakni nenek kepada bayi kecil itu, juga pernah datang menziarahinya.

Saya kembali memandang bayi kecil di dalam inkubator itu.

Tiba-tiba terlintas sesuatu dalam fikiran saya.

Mungkin bayi ini nanti akan didaftarkan di bawah Seksyen 13...

Namun belum sempat fikiran itu pergi lebih jauh, muncul pula satu bisikan lain yang menepisnya.

Ah... itu bukan urusan aku.

Jangan bersangka buruk yang bukan-bukan.

Saya tersentak dengan lintasan hati sendiri.

Saya tidak tahu keseluruhan kisah mereka. Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Saya tidak tahu keadaan keluarganya. Saya juga tidak tahu bagaimana masa depan ibu muda dan bayi itu.

Mengapa pula saya perlu membuat kesimpulan terhadap sesuatu yang saya sendiri tidak mengetahuinya?

Allah SWT mengingatkan:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa.”

(Surah al-Hujurat: 12)

Saya kembali melihat bayi itu.

Dia kecil. Tidak tahu apa-apa. Tidak memahami sedikit pun kerumitan dunia yang sedang menunggunya.

Dia tidak pernah meminta untuk dilahirkan dalam keadaan sedemikian.

Dan dia tidak menanggung dosa sesiapa.

Allah SWT berfirman:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

“Dan seseorang yang memikul dosa tidak akan memikul dosa orang lain.”

(Surah al-An‘am: 164)

Apa yang saya lihat di hadapan mata hanyalah seorang bayi yang memerlukan rawatan, kasih sayang dan peluang untuk hidup seperti bayi-bayi lain.

Saya juga teringat wajah pelajar perempuan tadi.

Masih berseragam sekolah.

Datang selepas tamat waktu persekolahan sekitar jam tiga petang.

Kemudian berdiri di sisi inkubator mengusap anaknya dengan penuh kasih.

Saya tidak tahu apa yang bermain dalam fikirannya ketika itu.

Mungkin ada penyesalan.

Mungkin ada ketakutan.

Mungkin ada rasa malu.

Mungkin juga ada kebimbangan tentang sekolah, keluarga dan masa depannya.

Hanya Allah yang mengetahui apa yang sedang bergelora dalam hati seorang ibu muda itu.

Kakak jururawat memberitahu bahawa mereka sudah biasa berhadapan dengan situasi seperti itu. Istilah “single parent” digunakan dalam komunikasi harian untuk menggambarkan ibu yang membesarkan anak tanpa pasangan, termasuk dalam keadaan-keadaan tertentu seperti yang sedang saya lihat.

Namun bagi mereka sebagai petugas kesihatan, bayi tetap bayi.

Pesakit tetap pesakit.

Mereka menjalankan tugas secara profesional tanpa prejudis. Mereka tidak membezakan siapa ibu bapanya, bagaimana bayi itu dilahirkan atau apakah latar belakang keluarganya.

Saya sangat menghormati sikap mereka.

Sebelum perbualan kami berakhir, kakak jururawat itu memberikan satu pesanan yang saya ingat sehingga hari ini.

“Mintalah jauh perkara macam ni daripada keluarga kita. Jagalah anak-anak kita baik-baik.”

Kata-kata itu ringkas.

Namun bagi saya yang ketika itu baru sahaja menjadi seorang ayah, ia terasa sangat berat.

Saya memandang Aishah yang sedang terbaring di dalam inkubator.

Hari ini dia hanyalah seorang bayi kecil yang bergantung sepenuhnya kepada kami. Tetapi suatu hari nanti dia akan membesar. Dia akan mengenal dunia. Dia akan mempunyai kawan. Dia akan membuat pilihan sendiri.

Dan saya tidak mungkin mampu berada di sisinya setiap masa.

Ketika itulah saya semakin memahami bahawa tugas seorang ibu dan ayah bukan sekadar menyediakan makanan, pakaian, tempat tinggal dan pendidikan.

Kita perlu membina benteng dalam jiwa anak-anak.

Anak perempuan perlu diajar menjaga maruah dan kehormatan diri. Mereka perlu dibimbing memahami batas pergaulan dan mengenali nilai diri mereka sebagai seorang Muslimah.

Namun pendidikan itu tidak boleh dibebankan kepada anak perempuan sahaja.

Anak lelaki juga mesti dididik.

Ajarlah anak lelaki supaya takut kepada Allah.

Ajarlah mereka menghormati perempuan.

Ajarlah mereka bahawa perempuan bukan objek untuk memenuhi kehendak dan nafsu mereka.

Ajarlah mereka bahawa menjadi lelaki bukan sekadar memiliki kekuatan, tetapi memikul amanah, maruah dan tanggungjawab.

Jangan sampai seorang lelaki melakukan kesalahan bersama-sama, tetapi akhirnya seorang perempuan sahaja yang terpaksa menanggung malu, kehamilan, kelahiran dan segala kesannya.

Islam menutup jalan menuju zina sejak dari awal.

Allah SWT tidak sekadar berfirman, “Jangan berzina.” Sebaliknya Allah berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

(Surah al-Isra’: 32)

Jangan mendekatinya.

Kerana dosa besar biasanya tidak bermula dengan perkara yang besar.

Ia mungkin bermula dengan pandangan.

Kemudian perkenalan.

Kemudian mesej dan perbualan.

Kemudian pertemuan.

Kemudian hilang batas.

Sedikit demi sedikit sehingga seseorang terjerumus ke tempat yang tidak pernah dibayangkannya.

Sebab itulah benteng yang paling kukuh bukan sekadar larangan ibu dan ayah.

Benteng yang sebenar ialah iman dan muraqabah kepada Allah — perasaan bahawa Allah sentiasa melihat kita walaupun ibu dan ayah tidak melihat.

Saya kembali memandang Aishah.

Dalam hati saya berdoa agar Allah menjaga anak kecil ini apabila dia membesar nanti.

اللَّهُمَّ احْفَظْ أَوْلَادَنَا مِنَ الْفَوَاحِشِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ

Ya Allah, peliharalah anak-anak kami daripada segala perbuatan keji dan fitnah, sama ada yang zahir mahupun yang tersembunyi.

Namun kisah ibu muda itu juga mengajar saya satu lagi perkara.

Kita mesti membenci zina, tetapi jangan sampai kita membenci dan membuang manusia yang pernah terjerumus ke dalam dosa.

Manusia boleh tersilap.

Manusia boleh terjatuh.

Dan manusia juga boleh bangkit serta kembali kepada Allah.

Allah sendiri melarang kita berputus asa daripada rahmat-Nya:

لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا

“Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa.”

(Surah al-Zumar: 53)


Tuesday, August 11, 2026

ALBUM RINDU PENEMAN PERJALANAN

 “Mari berselawat ke atas Nabi

Berselawat ke atas Rasul
Mari berselawat ke atas Nabi
Berselawat ke atas Rasul…”

صَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّدٍ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Alunan nasyid itulah antara yang sering menemani perjalanan saya dan isteri berulang-alik ke Hospital Kajang hampir setiap hari. Dalam kepenatan selepas seharian berada di sekolah, suara dan melodi nasyid menjadi teman yang menenangkan sepanjang perjalanan. 

Ketika itu saya baru membeli album Rindu daripada kumpulan Hijjaz. Album tersebut masih baharu dan lagu-lagunya segera menjadi kegemaran kami. Rasul Junjungan, Rindu dan Fatamorgana antara nasyid yang diputarkan berkali-kali tanpa jemu.

Ada sesuatu pada nasyid-nasyid itu yang sukar saya gambarkan. Ketika jiwa sedang diuji, bait-bait yang mengingatkan kepada Allah, Rasulullah SAW dan hakikat kehidupan terasa begitu dekat di hati. Kadang-kadang kita tidak memerlukan nasihat yang panjang. Cukuplah beberapa bait yang baik untuk mengingatkan bahawa di sebalik segala kesusahan, masih ada Allah tempat kita bersandar.

Terima kasih Hijjaz.

Mungkin mereka yang menghasilkan album itu tidak pernah tahu bahawa pada suatu ketika dahulu, lagu-lagu mereka menjadi peneman kepada sepasang suami isteri muda yang sedang berjuang menghadapi ujian kehidupan. Selepas penat mengajar di sekolah, kami menaiki kereta menuju ke Hospital Kajang untuk menziarahi seorang bayi kecil yang sedang berjuang untuk hidup di dalam inkubator.

Selepas berehat kira-kira dua minggu di rumah, isteri saya akhirnya memulakan praktikum. Keadaannya belum benar-benar pulih, tetapi pengajian perlu diteruskan. Selepas selesai kelas sesi petang, kami akan bergerak bersama-sama menuju ke Hospital Kajang.

Begitulah rutin kehidupan kami ketika itu.

Sekolah. Hospital. Rumah.

Esoknya berulang lagi perkara yang sama.

Perjalanan itu agak jauh dan sangat memenatkan. Saya pernah terfikir untuk memindahkan bayi kami dari Hospital Kajang ke hospital yang lebih hampir dengan tempat kami tinggal, iaitu Hospital Universiti Malaya di Petaling Jaya. Jika berjaya dipindahkan, sekurang-kurangnya perjalanan harian kami menjadi lebih mudah.

Namun, rupanya bukan semudah yang saya fikirkan.

Ada pelbagai urusan yang perlu diselesaikan. Prosedur antara hospital perlu dipatuhi. Lebih penting lagi, keselamatan bayi pramatang sekecil itu sepanjang proses pemindahan perlu dipertimbangkan dengan sangat teliti. Akhirnya saya membatalkan hasrat tersebut.

Saya belajar menerima keadaan seadanya.

Saya mula sedar bahawa doktor dan jururawat di Hospital Kajang juga mempunyai kepakaran dan kemampuan untuk menjaga bayi kami dengan baik. Mereka telah menjaganya sejak hari pertama. Merekalah yang memantau setiap perkembangan bayi kecil kami.

Yang perlu berubah sebenarnya bukan hospital.

Sayalah yang perlu menyesuaikan diri.

Saya perlu membiasakan diri dengan perjalanan yang jauh dan rutin harian yang memenatkan itu.

Pada masa yang sama, satu lagi perkara yang sentiasa bermain dalam fikiran ialah kewangan. Ketika itu saya hanya menerima elaun sekitar RM400 sebulan. Dengan jumlah itulah saya perlu menguruskan kehidupan sepanjang tempoh praktikum.

Harga petrol pada waktu itu memang jauh lebih murah berbanding hari ini. Kalau tidak silap ingatan saya, sekitar RM1 lebih sedikit seliter. Namun bagi seorang pelajar yang hanya menerima elaun RM420 sebulan, setiap ringgit tetap mempunyai nilainya.

Setiap hari pula saya perlu melalui dua plaza tol. Bayarannya sekitar 50 sen setiap satu. Pergi dan balik sahaja sudah memerlukan kira-kira RM2 sehari untuk tol, belum dicampur petrol dan perbelanjaan kehidupan yang lain.

Kereta pula menjadi satu-satunya pengangkutan yang menghubungkan tiga tempat penting dalam kehidupan kami ketika itu:

sekolah, hospital dan rumah.

Setiap kali menghidupkan enjin, ada satu doa kecil yang sentiasa bermain dalam hati.

“Ya Allah, janganlah kereta ini buat hal.”

Saya tidak mampu membayangkan sekiranya kereta rosak ketika itu. Saya tidak mempunyai banyak wang simpanan. Kalau berlaku kerosakan besar, entah dari mana saya mahu mencari wang untuk membaikinya. Sedangkan setiap hari saya perlu ke sekolah dan selepas itu perlu pula ke hospital untuk melihat anak.

Saya hanya mampu berusaha dan berdoa.

Dalam kereta itulah kami belajar tentang sabar.

Dalam perjalanan itulah kami belajar tentang reda.

Dan sepanjang perjalanan itu juga, alunan nasyid daripada album Rindu terus menemani kami. Lagu-lagunya seolah-olah menjadi latar kepada satu episod kehidupan yang tidak pernah kami rancang.

Hari ini apabila saya mendengar kembali nasyid-nasyid tersebut, fikiran saya mudah kembali kepada jalan antara Petaling Jaya dan Kajang. Terbayang perjalanan selepas tamat sesi persekolahan, wajah isteri yang keletihan di sebelah, dan seorang bayi kecil seberat 950 gram yang sedang menunggu kami di dalam inkubator.

Benarlah firman Allah SWT:

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ۝ إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

“Kerana sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan.”
(Surah al-Syarh, 94:5–6)

Ketika berada di tengah-tengah ujian, kita kadang-kadang hanya nampak kesusahannya. Kita belum mampu melihat bagaimana Allah sedang menyusun satu demi satu jalan keluar.

Kami hanya tahu bahawa esok kami perlu bangun lagi.

Pergi ke sekolah.

Selesai mengajar, memandu pula ke Hospital Kajang.

Menatap bayi kecil kami di dalam inkubator.

Kemudian pulang ke rumah dalam keletihan, sebelum mengulangi rutin yang sama pada keesokan harinya.

Namun di sebalik segala kepayahan itu, Allah sebenarnya sedang mengajar kami bahawa rezeki bukan semata-mata banyaknya wang di tangan. Kereta yang tidak meragam juga rezeki. Tubuh yang masih mampu memandu juga rezeki. Doktor dan jururawat yang menjaga anak dengan baik juga rezeki. Bahkan sebuah kaset  nasyid yang menenangkan hati dalam perjalanan yang panjang juga boleh menjadi sebahagian daripada nikmat Allah.

Alhamdulillah, aturan Allah amat baik.

Pada saat kami merasakan kehidupan begitu sempit, rupa-rupanya Allah sedang membuka satu demi satu ruang kemudahan daripada arah yang tidak pernah kami sangka.

Monday, August 10, 2026

KEJUTAN DI JABATAN DI PENDAFTARAN

Saya memang merancang untuk singgah ke Pejabat Pendaftaran Kajang bagi bertemu dengan pengarah untuk menguruskan isu sijil kelahiran Aishah. Cuma pada hari itu saya terpaksa mengubah sedikit jadual harian. 

Biasanya saya datang ke Kajang pada waktu petang atau malam untuk menziarahi Aishah di NICU kerana saya menjalani praktikum sesi petang. Namun, urusan di Pejabat Pendaftaran tentunya perlu dilakukan pada waktu pagi.

Saya pernah menceritakan masalah yang berlaku kepada pensyarah penyelia praktikum saya, Ustaz Jabbar. Beliau amat terkejut apabila mendengar bagaimana Aishah telah didaftarkan dan sangat bersimpati dengan apa yang berlaku kepada kami.

“Saya ikut sekali. Kita pergi jumpa pengarah,” katanya.

Saya cuba menolak dengan baik.

Tak apalah, ustaz. Saya boleh uruskan sendiri. Ustaz pun sibuk.”

Namun, Ustaz Jabbar tetap bertegas mahu menemani saya. Berkali-kali saya memberitahunya bahawa saya boleh menguruskan perkara itu sendiri. Saya tidak mahu menyusahkan beliau yang memang mempunyai banyak urusan.

“Rumah saya dekat saja dengan JPN tu.”

Tetapi beliau tetap dengan keputusannya.

Akhirnya saya mengalah.

Kami berjanji untuk bertemu di Pejabat Pendaftaran Kajang pada pukul 10 pagi.

Pagi itu, selepas berpagi-pagian bersama Aishah di NICU, saya terus menuju ke Pejabat Pendaftaran Kajang. Tepat pukul 10 pagi, saya sudah terpacak di sana.

Rupa-rupanya Ustaz Jabbar sudah sampai lebih awal.

Kami pergi ke kaunter dan memohon kebenaran untuk bertemu dengan pengarah bagi membincangkan masalah berkaitan status sijil kelahiran anak saya. Pegawai di kaunter masuk sebentar ke bilik pengarah sebelum keluar semula tidak lama kemudian.

Pengarah ada. Dia boleh jumpa kamu berdua. Silakan masuk.”

Saya dan Ustaz Jabbar pun melangkah masuk.

Seorang wanita dalam lingkungan akhir 40-an bangun menyambut kami dan mempersilakan kami duduk di kerusi tetamu.

Belum sempat kami memperkenalkan diri, tiba-tiba Ustaz Jabbar bersuara.

“Eh... puan orang Pahang, kan?”

Saya menoleh kepadanya.

Puan pengarah juga kelihatan sedikit terkejut.

“Ya, betul. Kenapa?”

“Orang Temerloh, kan?” tanya Ustaz Jabbar lagi.

Ya, saya orang Temerloh.”

Wajah puan pengarah mula menunjukkan tanda tanya.

“Bagaimana tuan boleh tahu?”

Ustaz Jabbar kemudian menyebut nama sebuah sekolah rendah di Temerloh.

“Puan belajar di SK... kan?”

Saya sudah lupa nama sekolah yang disebutnya.

“Betullah tu... Eh, bagaimana tuan boleh tahu ni?”

Puan pengarah semakin hairan.

Ustaz Jabbar tersenyum.

“Nama saya Jabbar bin Abdullah.”

Kemudian beliau menyebut pula nama penuh puan pengarah sehingga nama bapanya sekali.

“Ingat tak?”

Puan pengarah merenung wajah Ustaz Jabbar beberapa ketika. Seolah-olah sedang menyelongkar kembali ingatan yang telah tersimpan berpuluh-puluh tahun.

Tiba-tiba wajahnya berubah.

“Eh... ini Jabbar tu ke? Yang kecil-kecil dulu... yang selalu buat lawak dalam kelas?”

Tangannya terus menunjuk ke arah Ustaz Jabbar.

“Hah... ya! Macam saya lah tu!” jawab Ustaz Jabbar sambil tersenyum.

Puan pengarah turut tersenyum lebar.

“Saya dah tengok nama tadi dekat pintu. Macam kenal nama ini, tapi masih ragu-ragu. Bila tengok tuan... memang sah orangnya!”

Saya yang duduk di sebelah hanya mampu tersengih melihat gelagat mereka.

Subhanallah.

Saya datang ke situ dengan dada yang sarat memikirkan masalah sijil kelahiran anak. Tidak pernah terlintas sedikit pun bahawa pagi itu Allah akan menemukan kembali dua orang sahabat lama yang telah terpisah sejak zaman sekolah rendah.

Barulah saya mula memahami sesuatu.

Mengapa Ustaz Jabbar begitu bersungguh-sungguh mahu menemani saya?

Mengapa beliau tetap mahu datang walaupun saya berkali-kali mengatakan bahawa saya mampu menguruskan perkara itu sendiri?

Rupa-rupanya ada aturan Allah yang langsung tidak kami ketahui.

Allah menggerakkan hati Ustaz Jabbar untuk membantu saya. Dalam perjalanan membantu menyelesaikan masalah saya, Allah mempertemukannya pula dengan seorang sahabat lama yang sudah puluhan tahun tidak ditemuinya.

Saya membiarkan mereka rancak berbual mengenang kisah zaman sekolah. Saya hanya duduk tersengih mendengar cerita mereka berdua.

Setelah agak lama berbual, akhirnya puan pengarah kembali kepada tujuan asal pertemuan kami.

“Ada apa datang cari saya ni?”

Kali ini Ustaz Jabbar mengambil alih.

Beliau menceritakan kisah saya dari awal hingga akhir tentang kelahiran Aishah yang tidak dijangka, masalah yang timbul ketika pendaftaran kelahirannya dan tujuan kami datang pada pagi itu.

Saya pula hanya duduk mendengar.

Rupa-rupanya kes saya sudah pun sampai ke pengetahuan puan pengarah. Beliau mengetahui tentang masalah tersebut dan hanya menunggu saya datang untuk membuat rayuan serta mengemukakan dokumen berkaitan.

Apabila urusan itu kini dibantu oleh Ustaz Jabbar  yang rupa-rupanya sahabat lamanya sendiri. Saya seolah-olah tidak perlu berbuat apa-apa.

Saya hanya memasang telinga dari awal hingga akhir.

Mudah sungguh urusan pada hari itu.

Saya dimaklumkan bahawa telah JPN meneliti kes saya. Sijil kelahiran Aishah akan dikeluarkan semula tanpa catatan tambahan berkaitan Seksyen 13. Saya hanya perlu menyerahkan sijil perkahwinan kami serta salinan buku rekod kehamilan isteri sebagai dokumen sokongan.

Namun, ada satu lagi perkara yang disampaikan oleh puan pengarah pada hari itu yang membuatkan saya lebih terkejut.

Rupa-rupanya isu yang berlaku kepada kami bukan lagi sekadar dianggap sebagai masalah peribadi saya dan isteri.

Puan pengarah memberitahu bahawa perkara tersebut telah dibawa untuk perbincangan dengan pihak pengurusan JPN. Mereka menyedari bahawa prosedur dan sistem sedia ada mempunyai ruang untuk diperbaiki supaya kes seperti yang berlaku kepada kami dapat ditangani dengan lebih baik pada masa akan datang.

Sistem dan prosedur pendaftaran akan ditambah baik supaya urusan masyarakat dapat dipermudahkan, di samping memastikan panduan syariah yang telah digariskan terus dipelihara.

Saya terdiam mendengarnya.

Maknanya, apa yang berlaku kepada Aishah bukan sekadar sebuah kes yang perlu diselesaikan.

Peristiwa ini telah membuka ruang kepada pihak JPN untuk melihat semula prosedur yang sedia ada.

Kes kami menjadi antara pencetus kepada usaha penambahbaikan itu.

Saya datang ke pejabat itu hanya dengan satu harapan mahu menyelesaikan masalah sijil kelahiran anak saya.

Saya tidak pernah terfikir bahawa masalah yang menimpa kami boleh membawa kepada sesuatu yang lebih besar: suatu penambahbaikan yang mungkin akan memudahkan urusan orang lain selepas kami.

Pada saat itu saya semakin memahami bahawa kadang-kadang Allah memilih seseorang untuk melalui suatu kesukaran bukan semata-mata untuk mengujinya.

Mungkin melalui kesukaran itulah sebuah kelemahan dapat dikenal pasti.

Melalui aduan, sebuah masalah dapat disedari.

Dan melalui pengalaman seseorang, suatu sistem dapat diperbaiki sehingga orang lain selepasnya tidak perlu melalui kesukaran yang sama.

Firman Allah SWT:

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًا ۝ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar. Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangkanya.”

(Surah al-Talaq: 2–3)

Ayat ini terasa begitu dekat dengan pengalaman saya pada hari itu.

Saya datang membawa satu masalah.

Allah datangkan seorang pensyarah yang bersungguh-sungguh mahu membantu.

Pensyarah itu pula dipertemukan dengan sahabat lamanya yang kini berada dalam kedudukan untuk membantu menyelesaikan urusan tersebut.

Masalah sijil kelahiran Aishah pula membuka ruang kepada perbincangan pada peringkat pengurusan untuk menambah baik prosedur sedia ada.

Siapa yang mampu merancang semua ini?

Bukan saya.

Bukan Ustaz Jabbar.

Bukan juga puan pengarah.

Semuanya berada dalam ilmu dan aturan Allah.

Kadang-kadang kita melihat sesuatu peristiwa sebagai masalah kerana kita hanya mampu melihat apa yang sedang berada di hadapan mata. Sedangkan Allah mengetahui seluruh perjalanan. Ada pertemuan yang sedang diatur, ada pertolongan yang sedang digerakkan dan ada hikmah yang hanya akan kita fahami setelah kita melaluinya.

Puan pengarah memberitahu bahawa apabila sijil kelahiran yang baharu siap, beliau akan memaklumkannya kepada Ustaz Jabbar. Saya hanya perlu datang mengambilnya setelah semua proses selesai.

Saya keluar dari Pejabat Pendaftaran Kajang pada pagi itu dengan perasaan yang sangat berbeza daripada ketika saya datang.

Masalah belum sepenuhnya selesai kerana sijil yang baharu masih perlu diproses, tetapi hati saya sudah jauh lebih tenang.

Kelahiran Aishah yang begitu mengejutkan telah membawa saya melalui satu demi satu ujian. Daripada kelahiran pramatang, NICU, praktikum, hinggalah masalah pendaftaran kelahirannya.

Namun, di celah-celah ujian itu, Allah memperlihatkan satu demi satu pertolongan-Nya.

Malah, masalah sijil kelahiran Aishah menjadi asbab pertemuan semula dua orang sahabat lama yang telah terpisah berpuluh-puluh tahun.

Lebih daripada itu, peristiwa yang kami lalui turut menjadi pencetus kepada usaha menambah baik prosedur sedia ada supaya urusan masyarakat selepas kami menjadi lebih mudah, tanpa mengabaikan panduan syariah.

Sungguh indah aturan Allah.

Apa yang pada mulanya saya lihat sebagai kesulitan, sedikit demi sedikit Allah bukakan hikmahnya.

Benarlah firman-Nya:

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًٔا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ

“Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah: 216)

Saya semakin yakin bahawa kelahiran Aishah bukan sekadar satu ujian besar buat saya dan isteri. Ia juga sebuah madrasah kehidupan yang Allah susun untuk mengajar kami tentang sabar, tawakal, kasih sayang dan keyakinan kepada takdir-Nya.

Malah, saya belajar satu perkara lagi.

Kadang-kadang ujian yang Allah berikan kepada kita bukan hanya untuk mengubah diri kita. Allah menjadikan pengalaman kita sebagai jalan untuk mengubah sesuatu yang lebih besar, supaya orang lain selepas kita mendapat manfaat daripadanya.

Jika pengalaman pahit yang kami lalui akhirnya menyebabkan sebuah prosedur diperbaiki dan memudahkan urusan keluarga lain selepas kami, maka kesusahan itu tidak lagi terasa sia-sia.

Ada perkara yang kita tidak fahami ketika ia berlaku.

Namun setelah masa berlalu, kita akan menoleh ke belakang lalu berkata:

“Oh... rupanya begini Allah mengaturnya.”

Saya hanya mampu mengucapkan,

Subhanallah.

Alhamdulillah.

Maha Suci Allah yang mengatur setiap pertemuan, setiap ujian dan setiap jalan keluar dengan cara yang tidak pernah terlintas dalam fikiran kita.

Saya memandu pulang hari tu dengan  penuh ketenangan.