Thursday, March 12, 2026

RAMADHAN HAMPIR PERGI… KITA MASIH SEDAR ATAU TIDAK?

 Jika ada jualan 90% diskaun,

orang sanggup beratur panjang. 


Jika ada promosi beli satu percuma sepuluh,
orang akan berebut-rebut.

Tetapi apabila Allah membuka karnival pahala yang berlipat ganda,
ramai pula yang semakin menjauh.

Ramadhan hampir ke penghujung.

Masjid yang dahulu penuh ketika awal Ramadhan
kini semakin lengang.

Saf terawih semakin renggang.
Jemaah Subuh semakin berkurang.

Kadang-kadang…
lebih sedikit daripada bulan biasa.

Apa sebenarnya yang berlaku kepada kita?

Adakah kita semakin sibuk?

Atau sebenarnya jiwa kita yang semakin lesu?

Tidur terasa lebih bernilai.
Berehat terasa lebih penting.

Media sosial lebih menghiburkan
daripada membaca al-Quran.

Game lebih menyeronokkan
daripada berdiri dalam solat malam.

Sedangkan Allah telah memberi peluang yang luar biasa.

Allah berfirman:

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ

“Malam al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan.”
(Surah al-Qadr: 3)

Seribu bulan bersamaan lebih 83 tahun ibadah.

Bayangkan…

Satu malam sahaja.

Tetapi nilainya seperti seumur hidup beribadah.

Namun malam-malam itu mungkin sedang berlalu
ketika kita sedang lena di atas katil.

Rasulullah bersabda:

“Barangsiapa menghidupkan malam Ramadhan dengan iman dan mengharap ganjaran, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Para sahabat sangat memahami nilai Ramadhan.

Ada kisah dua orang sahabat yang masuk Islam bersama.

Seorang lebih rajin beribadah dan mati syahid terlebih dahulu.

Namun seorang lagi hidup setahun lebih lama, lalu sempat bertemu Ramadhan berikutnya.

Apabila Rasulullah menceritakan kedudukan mereka di syurga,
rupanya yang hidup lebih lama itu masuk syurga terlebih dahulu.

Para sahabat hairan.

Lalu Rasulullah menjelaskan:

Dia sempat berpuasa Ramadhan, solat dan beribadah setahun lagi.

Begitulah besarnya nilai Ramadhan di sisi Allah.

Sebab itu Nabi memberi amaran:

“Celakalah seseorang yang sempat bertemu Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya.”
(Riwayat al-Tirmizi)

Ramadhan hampir pergi.

Jika ia berlalu tanpa perubahan pada diri kita…

tanpa air mata taubat,
tanpa kesungguhan ibadah,
tanpa usaha mencari Lailatul Qadr…

maka kita sebenarnya sedang rugi besar.

Masih belum terlambat.

Masih ada malam-malam terakhir.

Bangunlah untuk solat malam.
Basahkan lidah dengan al-Quran.
Perbanyakkan doa dan istighfar.

Kerana kita tidak tahu…

mungkin satu malam yang kita bangun itu
adalah malam yang menyelamatkan kita di hadapan Allah nanti.

 

No comments: