Tuesday, September 30, 2014

KALAM PENCIPTA : SURAH AL NISA AYAT 173 MASUK SYURGA DENGAN RAHMAT ALLAH



Mafhum: Sesudah itu, orang-orang yang beriman beramal soleh, Allah akan menyempurnakan bagi mereka pahala (balasan) mereka, dan Ia akan menambahkan lagi limpah kurniaNya kepada mereka. Sebaliknya orang-orang yang enggan beribadat kepada Allah dan berlaku sombong takbur, maka Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan memperoleh sesiapa pun - yang lain dari Allah - yang akan menjadi pelindung atau penolong bagi mereka.

PENGAJARAN
1.      Mereka yang menyatakan keimanan kepada Allah dan kebesarannya, merendah diri dengan melakukan ketaatan, menzahirkan kehinaan diri dengan rasa kehambaan dan pada masa yang sama semua tingkah laku dan perbuatannya menjadi amal soleh kerana kesemuanya selaras dengan kehendak Allah dan Rasulnya. Nasib mereka akan diserah sepenuhnya kepada Allah Taala. Mereka telah beriman sepenuhnya kepada Allah dan Rasul. Melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya.
2.      Mereka ini semua sudah pasti mendapat apa yang telah dijanjikan oleh Allah Taala. Allah pasti akan menunuaikan janjinya tanpa berkurang walau sedikit pun. Malah dengan segala kasih sayang, kelebihan, kebesaran, rahmat yang ada padaNya, Allah akan menambah ganjaran amal soleh hambanya yang beriman tadi tanpa batas. 
3.      Allah akan menepati janji kepada hambanya yang beriman dan beramal soleh dengan nikmat syurga yang disifatkan sebagai (مَا لاَ عَيْنٌ رَأَتْ وَلاَ أُذُنٌ سَمِعَتْ وَلاَ خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَر) Tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengari oleh telinga malah tidak dapat dijangkau oleh khayalan manusia. Jika manusia mendakwa dapat mengkhayalkan nikmat yang sangat indah sudah pasti itu belum mencapai tahap nikmat syurga. Nikmat ini hanya dapat digambarkan dan dirasai bila masuk ke sana nanti.
4.      Terdapat pelbagai pandangan ulamak tentang tambahan kelebihan yang Allah akan anugerahkan kepada orang beriman dan melakukan amal soleh ini. Ada yang mengatakan akan diganda sepuluh kali sebagaimana yang disebut dalam hadis ( الحسنة بعشر أمثالها) Satu amal kebaikan dikira dengan sepuluh kali ganda. Ada yang mengatakan tujuh puluh, seribu dan malah tiada batasan hanya diserah kepada Allah  ketetapan bergantung kepada rahmatnya.
5.      Amalan seseorang yang beriman tidak dapat melayakkan dirinya mendapat syurga Allah sebagai mana sabda Rasululullah : (لَنْ يُدخَلُ أَحَداً عَمَلُهُ الْجَنَّةَ، قَالُوا: وَلاَ أَنْتَ يَا رَسُولُ اللهِ؟ قَالَ: لاَ، وَلاَ أَنَا إِلاَّ أَنْ يَتَغَمَّدَنِيَ اللهُ بِفَضْلٍ وَرَحْمَةٍ) Amalan seseorang itu tidak dapat melayakkan tuannya masuk syurga. Lalu sabahat bertanya kepada Rasulullah :  Amalan kamu pun sama ya Rasulullah? lalu jawab Rasulullah: Tidak! amalan aku pun tidak dapat melayakkan aku masuk syurga sehinggakan Allah melimpahi aku dengan rahmatNya!.” Iman dan amal soleh itulah yang menjadi penyebab dan punca mendapat rahmat Allah. Ada pandangan yang mengatakan bahawa amalan di dunia tidak berguna dan tidak bernilai di akhirat nanti kerana syurga hanya boleh dimasuki dengan rahmat Allah semata-mata adalah tidak benar. Ia bercanggah dengan keadilan Allah dan perintahnya di dalam banyak tempat di dalam al-Quran melakukan amal soleh dan di janjikan syurga.
6.      Manakala mereka yang engkar dan tidak mahu taat pada perintah Allah (istankafuu) mereka juga berlagak sombong pada Allah akan diazab oleh Allah di akhirat nanti dengan azab yang tidak terperi sakitnya. Ketika disiksa nanti barulah mereka sedar bahawa tidak ada sesiapa lagi yang boleh membantu dan melindungi mereka melainkan hanya Allah taala sahaja.

7.      Kita sebagai orang beriman mestilah yakin sepenuh hati dengan janji Allah dan memastikan setiap apa yang dilakukan dalam kehidupan seharian meliputi tutur kata, perbuatan, tindakan, keputusan dan sebagainya adalah merupakan amal soleh yang mendapat redha Allah. Malanglah nasib mereka yang engkar dan sombong dengan Allah dan Rasulnya.

No comments: