Friday, June 26, 2009

ISTERI BERGAJI TINGGI MENINGKAT

Itulah antara tajuk Berita Harian hari ini yang boleh kita renungkan bersama. Mungkin ada di kalangan kita yang gembira mendengar berita ini terutama golongan wanita. Tetapi marilah kita sama-sama melihat fenomena ini dari aspek Islam. Sila baca berita penuh di sini.



Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zulkiple Abd Ghani, berkata fenomena itu dijangka terus meningkat kerana lebih ramai pelajar perempuan menuntut di universiti atau kolej.

"Statistik kemasukan sesi Julai 2008 menunjukkan 243,378 pelajar perempuan memasuki IPTA berbanding 159,631 lelaki.

Berdasarkan statistik ini sudah semestilah golongan wanita akan mengisi jawatan dan pekerjaan yang lebih baik dari golongan lelaki.

Sudah ada suara-suara yang mengatakan kita perlu membuat perubahan kehidupan sosial selaras dengan arus kemodenan. Kaum lelaki mengurus rumahtangga dan Isteri keluar bekerja mencari nafkah keluarga. Sudah banyak perbincangan yang telah di adakan untuk menjurus kearah itu.

Pernahkah kita fikir adakah keadaan ini betul dan selaras dengan fitrah kejadian manusia yang telah diciptakan oleh Allah. Sebagai orang beriman kita wajib merujuk kepada manual atau panduan yang Allah berikan kepada kita.

Kita sudah mengetahui konsep pembahagian tugas dan peranan yang telah diterangkan dengan jelas dalam al Quran dan Sunnah. Kaum lelaki Allah telah ciptakan untuk memimpin dan memegang tangungjawab keatas kaum wanita. Al Quraan juga telah menetapkan konsep nafkah dan tanggungjawab ini dalam banyak ayat-ayatnya sehinggakan kaum lelaki mewarisi harta dua kali ganda dari kaum wanita kerana tanggungjawabnya yang banyak.

Apa yang berlaku sekarang ialah dalam kita melaung-laungkan slogan kembali kepada Islam, kita terlupa bahawa kita telah cuba mengubah sunnatullah iaitu pembahagian peranan dan tanggungjawab yang Allah tetapkan kepada kaum lelaki dan perempuan.

Adakah kita lebih bijak dari Allah yang telah mencipta manusia dan alam ini dengan mengatakan bahawa lelaki perlu berubah dan menerima hakikat bahawa wanita sudah menguasai banyak aspek dalam kehidupan. Gerakan Islam sendiri dilihat tidak dapat melawan arus ini dengan mengambil jalan asimilasi dan cuba menyesuaikan diri dengan arus semasa.

Pelanggaran kepada Sunnatullah dan fitrah kejadian manusia mendatangkan kesan yang amat buruk kepada kehidupan manusia itu sendiri. Di Malaysia ini kadang-kadang timbul persoalan. Islam sudah semakin di hayati. Banyak perubahan sudah berlaku. Syiar Islam semakin hebat. Masjid begitu makmur!Bahkan gerakan Islam pun sudah dapat sedikit kuasa politik. Tetapi kenapa kehidupan semakin tidak aman! Kecurian berlaku di mana-mana. Ragut berleluasa bahkan beraneka masalah sosial berlaku. Maksiat sudah menjadi kebiasaan malah keruntuhan rumahtangga juga sudah melanda golongan agamawan!.

Kenapa ini berlaku? Mungkin kerana kita hanya menganggap menegakkan Islam islam itu hanya pada politk dan undang-undang sahaja.. marilah kita sama-sama fikir

Membina Hubungan

Peristiwa satu

Pagi tadi ketika saya mengisi minyak di stesyen minyak Shell Seksyen 7 Kota Damansara tiba-tiba ..

“Assalamualaikum ustaz, Apa khabar?”

“Waalaikumussalam, alhamdulillah, Wah! Pergi kerja dengan motor besar begini bagus ni.. senang”

saya menjawab sambil menilik motor motor besarnya tetapi apa yang menjadi kelemahan saya iala saya tak dapat menyembunyi raut wajah terkejut saya. Ya lah saya tak cam siapa yang menegur saya dengan memakai topi keledar dan kaca mata hitam.

“Ustaz cam saya tak?, saya jemaah surau Ar Rafik”

Masya Allah, selepas mengimbau sekali lagi wajahnya barulah saya dapat cam sahabat ini. Malam tu kami berbual panjang pasal situasi di sabah, patutlah dia tegur saya dengan nada mesra macam dah biasa. Malam itu sahabat saya ni memakai jubah dan kopiah putih, tapi pagi ni naik motor berkuasa tinggi yang harganya lebih mahal dari kereta, bertopi kaledar dan berkaca mata hitam.

Peristiwa dua

Selepas solat jumaat di Masjid Kota Damansara saya dan anak saya bergegas meneruni tangga untuk balik tiba-tiba..

“Assalamualaikum Ustaz Abdullah! Ustaz tinggal di sini ke?”
“Waalaikumussalam. Ya. ha.ah saya tinggal sini di Seksyen 7” jawab saya tapi sekali lagi secara tak sedar saya tak dapat menyembunyi rasa terkejut.

“Saya ahli jemaah Surau Taman Desa Ria, Ustaz datang ceramah minggu lepas”

“Oh! Minta maaf, saya tak perasan tadi”

Masya Allah, dalam diam saya memarahi diri saya kerana tidak dapat mengingati orang yang telah berbual mesra dengan saya sebelum ini.

Peristiwa tiga

Sabtu lepas saya sekeluarga hadir di Kejohanan Bola sepak dan bola jaring Pasti peringkat kebangsaan di UNISEL. Ketika saya sedang berdiri di luar khemah kontijen Pasti Sabah tiba-tiba saya terpandang tiga orang memekai tshirt hijau dan topi 'cap' melintas di hadapan saya. Saya terpandang salah seorang daripadanya macam saya kenal dan pernah jumpa malah bersembang. Saya berfikir siapa ya?.

Menyedari ada mata yang merenung lantas dia mengangkat tangan kepada saya dan mengangguk kepala sambil tersenyum. Masya Allah! Baru saya perasan, Ust Nasruddin Tantawi rupanya, Ketua Pemuda Pas yang baru! Terus saya melambai tangan memanggilnya ke Khemah Kontinjen Sabah .


Ini adalah antara kelemahan ketara saya dalam membina hubungan. Saya lambat untuk mengingati wajah apatah lagi nama-nama orang yang baru dikenali. Bahkan nama-nama mereka sudah lama dikenali juga amat susah untuk diingati semula.

Ini adalah merupakan satu kelemahan yang mesti diatasi lebih-lebih lagi mereka yang ingin melibatkan diri dalam dakwah dan politik. Mengingati nama dan mengecam wajah adalah penting dalam membina hubungan sosial. Apa perasaan kita bila kita menegur seseorang yang kita kenali, tiba-tiba teguran kita disambut dingin malah dia tak ingat siapa kita! Begitu juga orang lain.

Pengasas Ikhwan Muslimin, Hassan Al Banna adalah seorang yang cepat mesra dengan mengingati nama dan wajah mereka yang pernah bersua dengannya. Bahkan dia dapat mengingat nama dan mengecam wajah dengan melihat kad pengenalan seseorang. Ini adalah antara resepi kejayaan dakwah Ihkwan Muslimin.

Bagi mereka yang ingin menjadi pendakwah perlu melatih diri untuk membina hubungan dengan setiap lapisan masyarakat sebagai mad'u. Kadang-kadang apa yang kita lihat segelintir dari kalangan kita masih tidak menguasai kemahiran ini. Akibatnya dakwah islam tidak berjalan dengan lancar dan masih tidak bersifat mesra alam.