Tuesday, December 16, 2025

TRAGEDI 1995 : DIANGGAP SEBAGAI PEMUNGUT SUMBANGAN

 Tiba di stesyen bas Irbid, saya dan Rafiq mengambil serfis atau teksi  putih untuk ke  Dawwar Naseem untuk keruma Ustaz Amin. Sampai dirumahnya kami lihat banyak kasut dan selipar diluar pintu rumah.

Mereka ni ada buat makan makan kah berkumpul ramai-ramai  pagi  Jumaat ini. Saya dan Rafiq membuat telahan. Boleh makan  sedap pagi ini.


Pintu sudah terbuka luas. Selepas  memberi salam  saya  mendengar laungan suara dari dalam menjemput kami masuk.

Melihat wajah  saya dan Rafiq seorang abang senior mengumumkan ketibaan kami.

“Weh.. sahabat Mafraq  datang pungut sumbangan ni. Awal mereka datang..”

“Sumbangan apa pula ni.. tak ada lah.  Kami datang jalan-jalan ja..” Jawab Rafiq dengan muka selamba.

“Tak apa lah . Kami  terus bagi ja lah sumbangan untuk ahli bayt enta dan sahabat-sahabatnya.”  Celah  Ustaz Amin. Dia ni memang  suka bergurau. Tapi kali ini wajahnya agak serius.

Memang pagi tu saya lihat abang abang senior semuanya berwajah suram. Mereka berkumpul ramai-ramai bukannya ada makan-makan pun.  Saya yang masih   tidak  tahu  pokok pangkal   pasal sumbangan tadi  bertanya semula.

“Kutip  sumpangan untuk apa ni. Kenapa abang-abang semua nampak serius ja pagi ni.” Saya    bersuara kerana sejak tadi hanya memerhatikan  Rafiq saja yang berbual.

“Enta tak pergi ke Aqabah ke pagi ni”? Tanya seorang lagi abang Senior dari terengganu.  Jarang saya lihat kelibat dia di rumah ini.

“Kenapa nak ke Aqabah?” Tanya saya sudah mula cuak.

“Eh enta tak tahu lagi kah? Sahabat ahli bayt enta meninggal malam tadi. Kemalangan kereta dalam perjalanan ke Aqabah. Semua sahabat dalam kereta tu meninggal.” Sorang lagi abang senior menyatakan situasi sebenar.

Saya dan Rafiq berpandangan satu sama lain. Teringat kisah Zuhdi pagi tadi yang datang ambil pasport sahabat kami berempat di rumah. Dia hanya bagitahu sabahat kami cedera. Langsung tak bercerita bahawa sahabat kami dah tidak ada. Mustahil dia melum tahu keadaan sebenar masa itu.

“Kami dapat berita mereka terlibat dengan eksiden sahaja. Di masukkan ke wad di Aqabah dan akan di dipindahkan ke Amman. Nanti petang nanti kami ke Amman ziarah mereka di hospital.”  Saya memaklumkan kepada mereka apa yang saya tahu.

“Mereka semua meninggal awal pagi tadi sekitar jam 2 pagi. Kereta mereka melanggar lori rosak yang tak sempat  dialih ke tepi jalan. Sekarang jenzah mereka masih di Aqabah dan akan dibawa ke Amman. Mungkin petang ini atau esok. Pihak kedutaan akan maklumkan kemudian.”

Saya dan Rafiq terduduk mendegar berita itu. Kami terdiam tanpa suara. Seorang abang senior datang memeluk saya menenangkan keadaan.

Sungguh tak sangka. Saya hanya menjangkakan sahabat kami cedera ringan saja. Rupa-rupanya sahabat kami pergi selama-lamanya. Kenapa ia disembunyikan dari pengetahuan kami.

Saya dan Rafiq minta izin untuk segera pulang ke Mafraq segera. Kami tidak mampu lagi untuk duduk di situ mendengar macam-macam cerita sedih keadaan kemalangan. Kesimpulannya mudah. Sahabat kami terlibat dengan kemalangan ngeri yang meragut nyawa mereka serta merta.

Sepanjang perjalanan dari Irbid dan Mafraq saya dan Rafiq membisu seribu bahasa. Masing-masing melayan fikiran. Hati masih tak percaya bahawa Surzaidy, Fahrun, Rashimi, Zainol dan Zikri sudah tiada. Saya masih terbayang-bayang kelibat Surzaidy dirumah menceriakan suasana.

Mulutnya yang mampu menuturkan

Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun…

Allahummaghfir lahum.. warhamhum.. wa aafihim wa’fu anhum…

Perjalanan terasa amat jauh. Tapi mata mampu lelap. Hanya mampu merenung keluar tingkap melihat rumput-rumput dan bunga-bunga kecil celahan batu ditepi jalan… 

Monday, December 15, 2025

TRAGEDI 1995: PASPORT UNTUK URUSAN HOSPITAL

Selepas solat subuh pagi Jumaat saya dan Rafiq berpakat untuk ke Irbid menziarahi abang senior di sana. Saya dan Rafiq selalu lepak di rumah Abang senior Amin (sudah pulang kerahmatullah) Zaki dan Fadhli di Duwar Nasim. Di sinilah tempat saya dan Rafiq memujuk hati menenangkan minda selepas jerih belajar di Mafraq.


Selepas bersiap-siap saya dan Rafiq keluar dari rumah untuk berjalan kaki ke mujamma’ Mafraq menaiki bas ke Irbid. Tiba-tiba dari jauh saya ternampak Zuhdi, Setiausaha agung Prisma sedang berjalan di hujung lorong menuju kerumah saya.

Selepas memberi salam dan bertukar tanya khabar dia memberi tujuannya.

“Saya nak minta pasport sahabat kita Rasyimi, Zainol, Zikri dan  Surzaidy.”Minta Zuhdi dengan wajah yang sedikit serius.

Saya sebagai ketua  biro perhubungan PRISMA bertanggungjawab menguruskan Visa pelajar Malaysia di Al Bayt.  Jadi semua pelajar perlu serahkan Pasport kepada saya untuk memudahkan urusan dengan  Jawazat (Bahagian visa). Kamal dan pelajar lain yang pulang bercuti ke Malaysia telah memohon Pasport lebih awal. Saya telah  utamakan untuk siapkan pembaharuan visa mereka lebih awal. Ini  memudahkan mereka untuk keluar dari Jordan. 

“Untuk urusan apa? Mereka  berempat ni ke Amman semalam. 3 orang itu hantar sahabat mereka Kamal balik Malaysia.”  Saya bertanya keperluang penggunaanpassport.

“Mereka terlibat dalam  kemalangan jalan raya  dalam perjalanan ke Aqabah. Surzaidy ikut sekali dari Mator Alia.” Terang Zuhdi.

Bagaimana dengan keadaan mereka? Teruk kah?”  Saya bertanya dengan  agak mendesak. Saya tidak  dimaklumkan apa-apa maklumat tentang  kejadian itu. Pada masa itu sumber maklumat dan berita  amat terhad. Komunikasi hanya melalui telefon biasa sahaja.

“Jangan risau.  Mereka sedang dirawat di hospital. Mereka perlu passport ini untuk  urusan rawatan hospital.” Jamin Zuhdi menenangkan saya dan Rafik.

Saya masuk semula ke rumah dan menyelongkar almari dan mengeluarkan pasport mereka berempat. Pasport telah disusun dengan rapi mengikut susunan nombor memudahkan urusan kerja saya memohon visa.  Urusan visa mereka dikemudiankan kerana mereka  tidak keluar dari Jordan dalam tempoh terdekat. Jawazat hanya mampu menyelesaikan bilangan visa yang terhad dalam masa seminggu.

Saya  membelek-belek passpot Fahrun, Rasyimi, Zainol, Zikri dan Zurzaidy memastikan tidak ada dokumen penting lain terselit. Saya kemudiannya menyerahkannya kepada Zuhdi.

“Boleh kami ikut sekali kah ke Amman menziarahi mereka?” Saya bertanya.

“Nanti dulu. Setakat ini mereka masih di Hospital Aqabah. Bila mereka dipindahkan ke Amman , ana bagi tahu.  Boleh  entum melawat. Saya hanya nak serahkan Pasport  ini kepada pihak kedutaan.” Terang Zuhdi panjang lebar.

Masa itu saya , Rafik, Itqan dan Shamsudin hanya menyangka mereka hanya terlibat kemalangan biasa dan cedera ringan sahaja. Tidak lebih dari itu. Sebelum ni kami selalu dengar cerita tentang pelajar Malaysia terlibat dengan kemalangan jalan raya. Tapi hanya sekadar cedera dan  dirawat di hospital. Itulah sangkaan kami.  Cuma, Aqabah itu amat jauh dari Mafraq untuk kami terus pergi menziarahi mereka di sana.

Zuhdi meminta izin untuk pergi kerana ia perlu segera ke Amman untuk serahkan passpot tersebut. Kami ahli rumah bersepakat untuk menungguh berita selanjutnya untuk   menziarahi  mereka di hospital.

Sumber berita ketika itu adalah amat terhad. Hanya bergantung kepada telefon tetap semata-mata. Henset ketika itu adalah sesuatu yang amat mahal dan mewah. Setahu saya hanya ada beberapa orang pelajar di Amman dan Irbid sahaja yang  memiliki telefon bimbit.  Itupun yang jenis bersaiz besar hanya boleh dibimbit  sentiasa dan tidak boleh dimasukkan  kedalam poket.

Dalam keadaan resah  mendengar berita sahabat kami terlibat dengan kemalangan, kami tidak senang duduk. Apa kerja tidak boleh dibuat.   Membaca pun tidak boleh fokus. Menonton  rancangan tv pun tidak menarik.     Nak tidur pun tak mampu lelapkan mata.

Kami hanya mampu berdoa agar urusan sahabat kami dipermudahkan Allah.

سهل الله أمورهم. شفاهم الله شفاء عاجلا

Semoga Allah mempermudahkan urusan mereka. Semoga Allah sembuhkan mereka segera.

Hanya itu yang kami mampu panjatkan pada Allah.

“Jom , kita ke Irbid lah”  Rafik memberi  cadangan mengajak saya meneruskan rancangan asal kami pagi tadi.

Saya menyahut saja cadangan Rafik kerana tidak betah lagi di rumah.   Hanya saya dan Rafik saja bergerak ke Irbid, Itqan dan Shamsudin ingin kekal berehat di rumah.   Saya dan Rafik   merancang untuk pulang terus petang nanti dan tidak bermalam di sana sebagaimana biasa.

Petang nanti kami   merancang untuk ke Amman untuk menziarahi sahabat kami yang terlibat kemalangan. Hanya menunggu maklumat terkini dari Zuhdi yang sudah ke Amman.


Tuesday, December 02, 2025

TRAGEDI 1995 : SIAPA MAHU ISI TEMPAT KOSONG?

 Usai solat Zohor di Masjid Abdul Rahman bin Auf di Sweileh, Hakiman kembali kerumah sewa abang Senior Universiti Jordan yang sentiasa jadi rumah persinggahannya di Sweileh. Rumah ini sentiasa menjadi  tumpuan adik adik senior dari  Mafraq kerana  rumah ini lah tempat transit pertama kami ketika sampai di Jordan dulu sebelum di hantar ke Mafraq. 

“Assalamualaikum..” Terdengar suara memberi salam dari  luar rumah.

Pintu terkuak dan satu wajah menjengah  masuk. Rupanya Surzaidi baru sampai dari Mafraq.

Setelah  bersalaman dengan abang  abang senior di dua rumah bersebelahan itu, Surzaidy datang duduk bersebelakah Hakiman sambil bertanya.

“Enta datang sorang? Ada nak pergi mana-manakah?”

Ana ingat nak ke Mator Queen Alia malam ni, mahu jumpa  sahabat JPA ana yang akan balik Malaysia malam ini.” Beritahu Hakiman.

“Ana nak pergi rumah   Ustaz Mad (bukan nama sebenar) ana nak beli Hi Fi Kenwood dia.    Jom ikut ana kerumah dia bayar harga Hi Fi lepas tu kita pergi Mator Queen Alia la, ana pun nak wada’ sahabat kita..” Surzaidy mencadangkan.

Hakiman bersetuju. Selesai urusan dirumah  Ust Mad. Waktu masih awal. Mereka berpakat untuk ke Sefeway dahulu. Safeway adalah satu satunya supermarket besar di Amman ketka itu.  Di sinilah kami pelajar Malaysia melepas rindu merasai suasana Supermarket di Malaysia seperti Parkson, Hankyu Jaya,Yaohan dan lain-lain.

Selepas membeli sebungkus mee Maggi Hakiman mengajak Surzaidy  ke beberapa  buah kedai sekitar untuk menjamu mata melihat barang seperti ke Arabella yang tersohor. Kemudian mereka menapak ke stesyen bas  yang berdekatan untuk ke mengambil bas terus ke Mator Alia.

Perjalanan  sekitar setengah jam ke Mator dirasakan panjang oleh mereka berdua . Lalu mereka bertukar pelbagai cerita dan kenangan seawal dari zaman kanak-kanak,  persekolahan, hidup di asrama,   kehidupan baru di  bumi Kinanah, hati dan perasaan, cinta dan kasih dan sebagainya.  Perjalanan  setengah jam itu  diisi dengan perkongsian dari hati  kehati.

“Ana adalah  harapan dalam keluarga. Ana anak sulung yang  bertanggungjawab memimpin  adik adik dan membantu abah dan  Ma.”

“Ana ada satu satunya adik perempuan yang ana sayangi. Adik beradik lain semua lelaki. Dialah buah hati pengarang jantung keluarga kami.”

“Abah dan Ma banyak berkorban untuk Ana, membesarkan dan mendidik ana  dengan hampir sempurna bagai menatang minyak yang penuh.”

“Ana berjanji akan buat yang terbaik, menuntut ilmu mencari pengalaman dan membina diri agar menjadi anak soleh yang berjasa  bukan hanya kepada Abah dan Ma, tetapi juga kepada agama, bangsa dan negara.”

“Ana mahu menjadi anak soleh sebagaimana nabi sebut  yang akan menjadi sumber pahala dan saham berterusan kepada Abah dan Ma di dunia hingga akhirat.”

Panjang luahan Surzaidy kepada Hakiman. Hakiman terkenal dengan kesantunan, kesabaran mendegar  dan mengiyakan.  Hakiman  seorang yang berjiwa empati,  berjiwa halus , mempu menyelami jiwa dan perasaan sahabat.

Sampai di Mator Alia, waktu sudah masuk Maghrib. Mereka berdua begegas ke surau  untuk menyelesaikan kewajipan utama. Rupanya ramai sahabat  pelajar Malaysia sudah bersedia untuk solat.  Mereka solat Maghrib dan isyak jamak  qasar takdim diimami oleh sahabat senior Mafraq, Nuryusri.

Usai solat, Hakiman dan Surzaidy  segera ke bahagian daftar masuk berjumpa dengan sahabat-sahabat yang akan pulang ke Malaysia. Mereka semua sudah selesai daftar masuk bagasi. Cuma hanya menunggu untuk masuk yang berbaki lagi hampir dua jam. Macam macam topik perbualan dikongsikan.

Kamal sudah bersedia dengan jaketnya untuk masuk. Fahrun dan rakan JPA lain Zainul, Zikri, Rasyimi dan Hakiman berlonggok di satu sudut. Surzaidy pun ada sekali. Walaupun hanya dia pelajar Tajaan KPM di situ, dia tidak kekok berbual mesra. Kebersamaan hidup di Mafraq sudah meruntuhkan benteng perbezaan walaupun sebenarnya kami kalangan pelajar Malaysia memandang bahawa pelajar JPA adalah lebih bijak dan lebih pandai dari pelajar tajaan KPM.

“EH.. balik nanti kereta ada seat kosong lah. Kamal dah balik. Siapa nak ganti ni. Lepas ni kami nak terus ke Aqabah.”  Tiba-tiba Fahrun bersuara memecah rancak perbualan mereka.

“Tadi, abang senior ada bagitahu,  lepas balik dari Mator Alia ni, mereka mahu terus ke Aqabah bercuti di sana. Kita ikut sekali lah. Kita pun belum pernah sampai lagi ke Aqabah. Kereta dah ada.”

“Wah.. seronok tu. Macam nak ikutlah.”  Hakiman bersuara menunjukkan minat.

“Biar kawe gi lah. Kawe lah ganti seat kosong tempat Kamal.”  Surzaidy tiba-tiba mencelah dengan yakin.

“Barang kawe ada belako dah ni..” Sambung Surzaidy Sambil menunjukkan bag sandang yang dijinjingnya.

“Ok.. boleh”  Fahrun menjawab. Rasyimi, Zainul dan Zikri hanya mengangguk kepala bersetuju.

Hakiman hanya tersengih. Dia terlambat membuat keputusan. Hatinya memang meruntun mahu ikut sama. Tetapi peluang dah terlepas. Surzaidy lebih mendahului.  Dia sebenarnya lebih rapat dengan mereka sebagai rakan sepenaja JPA berbanding Surzady. Tapi Hakiman hanya tersenyum. Sifat tenangnya mampu menyembunyikan  kekecewaanya.

Hakiman memujuk hatinya. Tempoh dia akan berada Jordan masih panjang. Ni baru tahun pertama. Banyak lagi peluang untuk ke Aqabah selepas ini. Sekarang bagi peluang dulu kepada Surzady yang teruja ingin ke Aqabah bersama sahabat-sabahat JPA.

Hakiman redha dengan keputusan yang ada. Hatinya kecilnya redha dengan ketentuan Allah. Tak perlu kecewa. Mungkin ada hikmah besar di sebaliknya.

Setelah semua urusan di Mator selesai. Semua bergerak pulang ke tempat masing-masing. Surzaidy sudah pergi bersama rakan JPA ke ke kereta dan terus langsung ke Aqabah bersama dua kereta senior yang lain.

Hakiman menumpang bas yang disewa khas oleh pelajar pelajar Yarmuk untuk pulang ke Irbid. Malam itu amat tenang. Hakiman hanya melayan tidur sepanjang perjalanan. Bermimpikan Malaysia dan Aqabah.