Tuesday, March 31, 2026

“ITU PERANAN USTAZ DAN USTAZAH LAH!”

 Dalam perjalanan pulang ke ibu kota selepas 10 hari beraya di Kelantan, saya sekeluarga singgah di sebuah masjid di Pahang untuk menunaikan solat Maghrib. Kali ini, saya memilih masjid yang sedikit jauh dari jalan utama. Masjid di tepi jalan besar kelihatan sesak dipenuhi para perantau yang turut singgah untuk solat dan berehat.

Selepas solat Maghrib, kami bersiap untuk makan malam dengan bekalan yang telah disediakan. Sebelum itu, saya sempat singgah membeli nasi dagang ikan aya di Kuala Krai bekalan istimewa untuk perjalanan jauh.

Di satu sudut masjid, saya terlihat ruang makan yang disediakan dengan begitu kemas. Ketika melangkah turun dari masjid, saya disapa oleh seorang jemaah yang mungkin terdengar perbualan saya dengan anak-anak.

“Dok kat sana tu… ada meja makan, semua lengkap. Air sirap dalam balang tu pun ada.”
“Pihak masjid memang sediakan untuk jemaah dan musafir yang singgah.”

Saya meninjau ruang tersebut. Masya-Allah, tersusun rapi. Ada sinki, rak pinggan mangkuk, bahkan dispenser air panas dan sejuk. Lengkap. Inilah antara kelebihan masjid-masjid di Pahang kebanyakannya sangat mesra musafir.

Saya meminta anak-anak mengambil makanan di kereta. Sementara menunggu, saya berbual dengan jemaah tadi. Dia bertanya tentang perjalanan kami, kemudian melirik ke arah kereta saya.

“Wah, besar kereta. Sesuai untuk anak ramai.”

Saya tersenyum.

“Memang besar… tapi kos ‘makan’ kereta pun besar juga sekarang. Diesel dah RM5.52 seliter. Berdenyut juga kepala setiap kali isi minyak.”

Dia mengangguk, lalu menyambung:

“Nak buat macam mana… krisis dunia. Perang sana sini. Semua negara terkesan. Kerajaan pun terpaksa naikkan harga.”

Perbualan santai mula bertukar kepada isu lebih besar—ekonomi dan masyarakat.

Saya cuba mengusik:

“Ramai juga kata pemimpin kita tak pandai urus… sebab itu harga minyak naik.”

Dia tersenyum sinis.

“Memanglah… orang kita ni ramai ‘bijak pandai’. Orang lain semua tak betul. Suka kutuk sana sini. Budaya mengata, mencela… macam dah jadi cara hilangkan stres.”

Dia berhenti sejenak, kemudian menyambung dengan nada lebih serius:

“Orang Islam sendiri pun kadang lupa… itu semua dosa. Tak tahu hujung pangkal, tapi berani mengata. Puasa baru lepas, tapi tak mendidik jiwa.”

Apabila dia mengetahui saya seorang pensyarah di institut pendidikan guru, nadanya berubah lebih tegas, lebih dalam.

“Inilah peranan ustaz dan ustazah… bina akhlak dan adab, bukan sekadar ilmu. Kena kuatkan aqidah kena tanam keyakinan tentang balasan akhirat.”

“Setiap kata kita dicatat malaikat. Kalau betul sekalipun apa yang dikata itu tetap ghibah. Kalau salah… itu fitnah, dosanya lebih berat.”

“Semua akan dibalas di akhirat. Ramai yang muflis sebab tak jaga lidah.”

Dia memandang saya tepat.

“Tuan kena didik pelajar betul-betul. Mereka bakal mendidik anak bangsa kita.”

“Kalau ustaz dan ustazah sendiri tak nampak akhirat… tak rasa pahala dan dosa… entahlah nak kata apa.”

Saya terdiam sejenak. Kata-katanya ringkas, tetapi sarat makna.

Saya kemudian meminta izin untuk beredar kerana keluarga sudah menunggu. Perjalanan kami masih jauh. Saya ucapkan terima kasih atas teguran dan nasihatnya—juga kepada pihak masjid yang menyediakan kemudahan untuk para musafir seperti kami.

Dalam hati, saya bermuhasabah.

Benarlah sabda Nabi :

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.”
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Dan firman Allah:

مَا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
“Tidak ada satu perkataan pun yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat yang sentiasa mencatat.”
(Surah Qaf: 18)

Semoga Allah memberkati ahli qaryah masjid tersebut, dan juga jemaah yang menegur saya dengan penuh hikmah.

Moga ia menjadi peringatan buat saya… dan buat semua para asatizah bahawa tugas kita bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membina jiwa yang hidup dengan akhirat.

No comments: