Monday, March 30, 2026

CABARAN PERANTAU BALIK RAYA KE KELANTAN

Perjalanan pulang ke Kelantan setiap kali musim Hari Raya Aidilfitri memang ada “kelas” yang tersendiri. Bagi perantau, ia bukan sekadar perjalanan, tetapi satu ujian kesabaran, perancangan dan juga keimanan. 

Tempoh perjalanan?
Boleh mencecah 10 hingga 20 jam. Kadang-kadang lebih.

Seperti biasa, saya dan keluarga akan merancang waktu terbaik agar perjalanan lebih lancar. Namun, perancangan manusia tetap tertakluk kepada aturan Allah.

Ketika berada di laluan CSR sebelum sampai ke Merapoh, aplikasi Waze mencadangkan kami keluar dari CSR dan  keuar melalui jalan lama Felda Kechau.
Namun kali ini, entah kenapa saya memilih untuk tidak mengikut cadangan tersebut. Saya mengambil laluan biasa kerana kelihatan lengang.

Keputusan yang nampak kecil… rupanya membawa ujian besar.

Saya merancang untuk solat Subuh di sekitar Gua Musang, seperti kebiasaan kami singgah di Masjid Buluh.

Namun, setelah beberapa kilometer memecut di jalan yang tenang, tiba-tiba saya perasan satu perkara:

Waze menunjukkan garisan merah pekat di hadapan.

Anggaran kesesakan: 45 minit.

Ketika itu, tiada lagi susur keluar.
Tiada ruang untuk berpatah balik.
Hanya satu pilihan: teruskan dan hadapi.

Apabila kenderaan mula bergerak perlahan, masuk waktu Subuh.
Sekeliling masih gelap.

Saya memerhati kawasan tepi jalan. Alhamdulillah, ada ruang yang agak selamat untuk berhenti.

Saya terus membuat keputusan:

“Jom, kita solat Subuh di sini.”
“Kalau teruskan perjalanan, kita akan terlepas waktu.”

Saya beri taklimat ringkas kepada anak-anak:

  • Gunakan air mineral sebagai wuduk
  • Ambil wuduk yang wajib sahaja
  • Fokus kepada rukun, bukan sunat

Alhamdulillah, mereka faham dan terus bersiap.

Kami menggunakan banner yang ada sebagai alas.
Di tepi jalan, dalam gelap pagi, kami mendirikan solat berjemaah.

Alhamdulillah, selepas kami solat kelihatan beberapa buah kereta juga berhenti untuk solat ditepi jalan seperti kami.

Solat Itu Tidak Boleh Ditangguh

Allah SWT berfirman:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
“Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditetapkan waktunya ke atas orang-orang beriman.” (Surah An-Nisa’, 4:103)

Solat bukan pilihan.
Ia bukan bergantung kepada keadaan.
Ia adalah kewajipan yang terikat dengan waktu.

Di Mana Bumi Allah, Di Situ Tempat Sujud

Rasulullah bersabda:

وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا
“Dijadikan untukku seluruh bumi ini sebagai tempat sujud dan alat bersuci.”
(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)

Islam tidak menyusahkan.
Tidak semestinya tunggu masjid.
Tidak perlu tunggu keadaan sempurna.

Di mana ada ruang, di situlah kita sujud kepada Allah.

Islam Itu Mudah, Bukan Menyulitkan

Dalam perjalanan ini, saya benar-benar merasai keindahan Islam.

Rukhsah (keringanan) itu wujud.

Rasulullah bersabda:

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ
“Sesungguhnya agama ini mudah.”
(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

Bahkan Allah juga menegaskan:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
“Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran.”
(Surah Al-Baqarah, 2:185)

Perjalanan ini bukan sekadar kisah jalan sesak.
Ia adalah madrasah kehidupan.

1. Rancang sebaik mungkin, tetapi bersedia menerima takdir Allah.
Kadang-kadang keputusan kecil membawa hikmah besar.

2. Jangan kompromi dengan solat walau dalam apa jua keadaan.
Solat adalah tanda hubungan kita dengan Allah.

3. Didik anak dengan praktikal, bukan teori semata-mata.
Mereka belajar lebih kuat melalui pengalaman sebenar.

4. Islam itu fleksibel tetapi tetap tegas pada perkara asas.
Rukun tidak boleh ditinggalkan, tetapi cara boleh dipermudahkan.

5. Musafir bukan alasan untuk lalai, tetapi peluang untuk lebih dekat dengan Allah.

Kadang kita kejar destinasi dunia — kampung halaman, keluarga, suasana raya.

Namun dalam perjalanan itu, jangan sampai kita hilang destinasi akhirat.

Kerana hakikatnya…
perjalanan hidup ini juga sedang menuju kepada Allah.

No comments: