Saya masih ingat satu peristiwa ketika saya balik bercuti di Kelantan ketika masih belajar di Jordan. Satu hari ketika saya singgah di sebuah gerai surat khabar di hadapan pertubuhan peladang di Lundang untuk membeli surat khabar berita harian. Memang menjadi minat dan amalan saya membaca akhbar setiap hari.
Saya lihat ada ramai orang berkerumun di tepi jalan melihat sesuatu. Saya mendengar suara kekecohan seorang sedang menengking dengan suara yang tinggi. Tapi tidak jelas perkataan dan isunya.
Saya menghampiri mereka
dan bertanya apa yang berlaku. Ada seorang memaklumkan kepada saya bahawa ada
seorang remaja terlanggar sebuah kereta dengan motosikalnya.
Saya lihat sorang lelaki separuh
abad berjubah putih dan berserban
memarahi sorang remaja.
“Kamu kena bayar semua
kos kerosakan yang kamu buat.”
“Kamu telah cuai langgar kereta saya. Naik motor mata
letak kat mana. Sebesar kereta saya pun tak nampak.”
“Kalau tak nak bayar saya bawa ke balai polis.”
Saya mendekati kereta
tersebut, tak ingat jenis apa cuma ia berwana putih. Saya melihat kesan
pelanggaran tersebut. Ingatkan kerosakan
teruk atau kemek yang dalam. Rupanya hanya tercalar sahaja. Bagi saya
calar tersebut boleh hilang jika digosok
dengan pengilat (polish). Calar begini pernah berlaku pada kereta ayah saya
dan bila digosok dengan teliti ia kembali
kelihatan seperti asal. Melainkan jika calarnya dalam hingga timbul warna hitam atau kemek yang perlu diketuk.
“Haji.. saya nampak calarnya sikit saja. Boleh hilang
jika digosok.”
Saya cuba menenangkan
lelaki tersebut.
“Mana boleh. Dia dah langgar kereta saya. Dia kena bayar.”
Dia menjawab dengan nada masih marah.
“Berapa haji nak minta dengan dia?”
Saya bertanya. Ramai orang di sekeliling memerhatikan perbincangan
tersebut.
“Saya minta RM500.”
Dia menyebut jumlah tersebut dengan muka yang mencuka. Terkejut saya mendengar jumlah
tersebut. Bagi saya kalau berlaku begini
saya tidak minta apa-apa bayaran pun. Calarnya sedikit. Kalau nak minta pun mungkin sedikit
lah.
“Banyak sangat tu
Haji.. saya rasa macam tidak adil lah.”
Saya tidak bersetuju.
Saya lihat remaja tadi diam dari tadi tidak mengeluarkan apa-apa kata. Langsung dia tidak
menjawab atau membalas kata-kata lelali
tersebut.
“Mung kena bayar. Kalau tak sir bayar aku bawa gi balai
polis. Mana lesen dan kad pengenalan mu. Bui
ko aku”.
Sekali lagi dia menengking remaja tersebut. Rupanya
perbualan saya tadi tidak menyejukkan suhu kemarahannya. Suaranya kuat sehingga
boleh didengari dengan jelas oleh orang sekeliling. Bagi saya tidak patut
dengan nada sebegitu. Lain lah kalau yang dilanggar itu mati atau cedera parah mungkin patut ditengking
sebegitu. Tapi hanya sedikit bekas calar.
Saya tak mampu berbuat apa-apa. Hilang kata-kata saya
melihat keadaan lelaki tersebut.
Saya hanya mampu berkata padanya
“Sabar Haji.. ini
takdir Allah. Tiada siapa yang sengaja melanggar
orang lain.”
Namun lelaki tersebut
masih berkeras dengan pendiriannya. Dia masih
mendesak remaja tadi menyerahkan kad pengenalan dan juga lesen. Saya mengundur diri dari situ dan kembali
gerai untuk memberi surat khabar berita
harian.
“Tu lah.. marah
betul orang tu. Tak padan dengan punah
kereta. Saya pun tak pehe bakpo dia marah sangat. Budak tu tak menjawab pun. Mungkin orang tu ada masalah
lain.”
Sempat penjual surat khabar
memberi ulasan ketika saya membayar .
Kita perlu mengawal emosi dan amarah kita bila berlaku peristiwa
sebegini. Kita sebagai orang beriman dan yakin pada qada
dan qadar perlu ingat bahawa semua yang berlaku pada kita dan didunia ini adalah diatur oleh Allah.
Tidak kira perkara baik atau buruk. Itu adalah ujian untuk kita.
Disinilah kita perlu menggunakan panduan Allah dan rasul
dalam menyelesaikan masalah yang di hadapi. Sepatutnya lelaki berjubah
tadi boleh menghayati ayat al Quran Surah
Ali Imran ayat 134
ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ
وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلْكَـٰظِمِينَ ٱلْغَيْظَ وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ
وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ
"Orang-orang yang berinfak, baik di waktu lapang maupun sempit, dan
orang-orang yang menahan amarahnya serta memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan
Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan."
Dan juga menghayati pesan junjungan nabi Muhammad yang
diriwayatkan oleh Al-Bukhari &
Muslim
لَيْسَ
الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ
الْغَضَبِ
"Orang yang kuat bukanlah yang pandai bergusti atau
berlawan, tetapi yang mampu mengawal dirinya ketika marah."
Marilah kita sama-sama kawal kemarahan kita. Ingatlah itu
adalah ujian dari Allah kepada kita. Panduan
yang Allah bekalkan dalam al Quran dan juga dan juga pesan nabi amat banyak yang boleh kita amalkan demi
menjamin kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.
No comments:
Post a Comment