Monday, April 14, 2025

KONGSI MAKANAN DALAM MULUT

 Ketika  kami di Jordan  hampir semua perkara baru bagi kami. Berada di Arab, negara yang tandus tanpa pokok adalah  sesuatu yang kami tidak dapat gambarkan sebelum ini. Begitu juga dengan budaya masyarakat tempatan yang amat unik bagi kami. Kita yang  membesar dengan budaya Melayu Islam  banyak berbeza nilai budaya  masyarakat Arab di Jordan. 


Ada beberapa budaya Arab yang bagi mereka amat baik tapi tidak dianggap baik oleh  masyakat kita malah ia  adalah jijik dan tidak boleh diterima. Antaranya ialah berkongsi makanan  yang kita sedang makan.

Satu hari saya   datang awal ke Universiti untuk berjumpa seorang pensyarah yang amat  kami hormati dan segani. Penampilannya yang berjubah dan berserban adalah pakaian hariannya kerana ia adalah dari keluarga ulamak besar di Iraq. Dia mengajar kami beberapa kursus bahasa Arab. Pada semester itu saya mengambi kursus Bayan Qurainie.

Saya ingin merujuk beberapa tajuk yang saya kurang jelas. Pintu biliknya  terbuka luas dan  saya lihat Dr Abdul Qadir sedang menelaah buku  sambil makan timun batang mentah. Memang  antara budaya Arab ialah mereka suka makan  timun batang dan tomato mentah seperti kita makan buah epal atau buah pear.

Saya memberi salam dan dia mempersilakan saya masuk.

“Tafaddhal ya Abdullah.  Sila duduk.” Dia mempersilakan saya duduk.

“Tafaddhal.. Khiyar..” dia menghulurkan timun batang yang dia sedang  makan kepada saya. Sudah  hampir separuh sudah dimakan. Saya menjadi serba salah kerana tidak biasa makan lebihan orang lain.  Lebih-lebih lagi jika dia bukan keluarga rapat kita. Kalau  bekas  gigitan ibu atau ayah kita mungkin tiada masalah.

Saya mengambilnya dan mengucapkan terima kasih. Saya hanya memegangnya saja. Dr Abdul Qadir meminta saya menghabiskan timun tersebut sambil dia menyelesaikan sedikit kerjanya. Saya menjadi serba salah. Oleh kerana atas dasar menghormatinya sebagai seorang guru dan saya terfikir tentang barakah guru dan ulamak, saya menghabiskan sisa timun tersebut. Perasaan jijik makan sisa makanan  orang lain dibuang jauh-jauh dari fikiran.

Selepas menghabiskan timun tersebut barulah kami meneruskan  perbincangan tentang topik yang  saya kurang jelas.

Peristiwa kedua berlaku ketika saya berkunjung ke rumah seroang kawan di Muktah. Ketika saya sampai tuan rumahnya sedang mengutip buat tomato di halaman rumahnya. Saya  menegurnya dengan mesra  dan dia menguhulurkan buat tomato yang sedang dimakannya kepada saya. Aduh.. saya tidak perasan bahawa dia sedang makan. Sebenarnya selepas peristiwa timun batang saya sudah berhati-hati ingin menegur mana-mana arab yang sedang  makan.

Kali ini terkena lagi. Saya menolaknya dengan baik dan menunjukkan buah tomato lain yang  sudah dipetik di dalam raganya.

“Makan yang ini.  Ini lebih sedap. Saya sudah rasa. Ia manis. Yang itu tak sedap. Warna dia lain sikit.” Dia terus mengunjuukkan tomato yang dimakannya dan menolak untuk memberi buah yang baru. Alasannya ialah yang dia sudah makan itu sedap.  Saya terpaksa mengambil buah tersebut demi menjaga  hati  tuan rumah tersebut.   Sebagaimana dulu saya  memujuk hati  saya dengan menganggap bahawa itu adalah buah baru dan makannya sampai habis.

Cuma pada peristiwa yang ketiga saya tidak sanggup makan   roti yang dikongsi pada saya. Ketika saya singgah di satu masjid d  pedalaman saya  terlihat beberapa orang  sedang duduk  bersila ditepi masjid.  Saya menegur mereka dengan mesra dan bertanya khabar. Rupanya mereka sedang makan roti dengan  mutabbal iaitu kacang kisar di campur dengan buah terung. Saya hanya melihat   mereka mengadap  bekas mutabbal saja dan tidak nampak di mana rotinya.

Dia mempersilakan saya duduk bersama  mereka dan mengulurukan  roti yang telah dicubit. Aduh.. rupanya  roti yang mereka sedang  makan itu dijadikan  lapik duduk masing-masing. Mereka  akan mencubit roti tersebut dari celah kangkang mereka kemudian dicicah dengan mutabbal dan  disuap kemulut. Roti itulah yang dihulurkan kepada saya.  Saya tak sanggup makan kali ini.

Saya menolak dengan baik dengan memberitahu saya terpaksa solat segera kerana sudah terlambat untuk meneruskan perjalanan.

Begitulah budaya Arab. Mereka amat baik dan menghormati tetamu. Bagi mereka makanan yang sedang dimakan dikongsi bersama. Itu tidak jijik bagi mereka bahkan itu adalah tanda mesra.

Saya masih bernasib baik. Kawan saya  bercerita ketika dia  bertemu sorang Sheikh yang amat dihormati. Sheikh tersebut sedang  menghisap gula-gula. Jadi sebagai  menghormati  anak muridnya yang sedang bertamu dia memberi gula-gula tersebut yang  berada dalam mulutnya untuk dihabiskan oleh kawan saya. 

Dia tidak dapat menolak lantaran segan dan hormat kepada gurunya.  Tidak dapat digambarkan perasaannya pada masa itu. Nasib baik ia tidak berlaku pada  saya. Setakat timun batang dan tomato masih lagi boleh diterima.

Itulah antara perbezaan nilai dan budaya antara masyarakat Arab  dengan budaya kita. Persoalan nilai ini adalah amat subjektif. Banyak lagi saya perhatikan perbezaan nilai yang ketara dalam menilai baik, buruk, hormat dan sebagainya dalam masyarakat Arab berbanding dengan budaya kita.

Jadi kita perlu pandai membawa diri bergaul dengan masyarakat  rentas budaya agar kita juga dihormati dan dilayan dengan baik.


No comments: