Friday, April 25, 2025

KRISS 5 : MOTOR USTAZ TUAN ROSLAN PULA DICURI

 Selepas hampir dua minggu dari peristiwa kecurian motorsikal Kriss saya, menjadi rutin setiap pagi  sahabat saya Ustaz Tuan Roslan yang akan   datang kerumah saya untuk  memboncengkan saya ke surau.  Jika waktu  maghrib dan Isyak dan saya tiada kuliah di masjid lain, saya hanya berjalan kaki ke Surau. Ketika pulang nanti  ramai yang boleh menghantar saya kerumah. Ustaz Kamaruddin, Ustaz Nasir yang  berdekatan  dengan rumah saya akan menumpangkan saya balik. 


Tazkirah dan kuliah saya masih menekannya tema  ‘Jaga Allah pastinya Allah jaga kita’.  Para jemaah Surau juga semakin meningkat. Surau semakin meriah. Kami golongan ustaz di Taman Fajar  bergilir menjadi imam solat berdasarkan jadual yang telah disusun.  Ustaz Kamarudin, Ustaz Nasir, Ustaz Tuan Roslan, Ustaz Mahadir , Ustaz Syukri dan saya sendiri.

Saya juga selalu memberi  penegasan bahawa jika kita menjaga perintah Allah seperti solat berjemaah,   banyak menginfaq dan berusaha  menjalankan kempen amar makruf nahi mungkar pastinya Allah akan  menjaga  kita. Allah akan memberi hidayah dan petunjuk untuk  menjadi lebih taat dan taqwa pada Allah. Allah juga akan menjaga keselamatan dan harta kita dari musibah dan ancaman lain.

Satu pagi ketika giliran Ustaz Tuan Roslan menjadi imam solat subuh. Para jamaah juga ramai pagi tu.  Usai  wirid dan tazkirah ringkas , kami semua bergegas untuk pulang kerana perlu  bersiap untuk ke sekolah.

Eh.. mana motor ana?

Ustaz tuan bertanya  kepada kami  sambil  melihat kiri kanan. Saya juga mencari kelibat motor Kriss biru Ustaz Tuan  yang  saya bonceng pagi tadi sebelum datang ke surau.

Memang saya letak sini tadi.  Saya pasti.”

Ustaz Tuan  menunjukkan tempat dia parkir motosikal. Saya juga mengiayakan. Saya juga yakin memang Ustaz Tuan parkir ditempat itu.

Para jemaah lain juga datang berkerumun  untuk melihat apa yang berlaku.  Ada sorang jemaah yang masbuk memberitahu dia terlihat ada seorang  lelaki menyorong motosikal berlalu dari arah surau. Dia tidak pasti  jenis motorsikal dan warnanya. Tapi mungkin itu adalah  motorsikal Kriss Tuan Roslan.

Memang sah motorsikal Ustaz Tuan  Roslan menjadi mangsa pagi ini. Sudah tiga motorsikal   Ustaz yang  menjadi mangsa curi. Motorsikal Ustaz Alias,  Motor saya dan terkini motorsikal Ustaz Tuan. Tetapi  apa yang menarik ialah semuanya motorsikal ustaz.  Ustaz yang bertugas sebagai Imam  surau yang boleh dikira  menjaga perintah Allah.

 Saya juga selalu memberi tazkirah  bahwa Allah akan menjaga keselamatan dan harta sesiapa  yang istiqamah menjaga perintah Allah.  Allah menguji   kami kali ini terutama saya sendiri. Peristiwa yang berlaku ini seolah bercanggah dengan apa  yang saya canangkan. Harta mereka yang tidak  ke surau selamat . Manakala  harta para ustaz yang menjaga solat , malah istiqamah solat jemaah di surau , malah bertugas sebagai imam   pula tidak selamat.

Pagi itu saya dan ustaz Tuan  Roslan dihantar oleh  Ustaz Nasir dan Ustaz Kamarudin pulang kerumah. Ustaz Tuan  akan  ke balai polis selepas waktu sekolah untuk membuat laporan polis.     Saya sendiri    amat terasa diuji kali ini.  Adakah apa yang saya sampaikan sebelum ini salah.  Saya tetap bertegas memujuk hati saya menganggap ini sebagai ujian Allah. Apa yang saya sampaikan sebelum ini tetap betul.

Saya tertanya-tanya, apakah mesej yang Allah mahu sampaikan kepada saya dan para ustaz dengan peristiwa ini. Itulah yang  sentiasa bermain di benak saya. Saya tidak pasti adakah hanya saya seorang yang terlintas   begitu difikiran.  Saya tidak pasti adakah orang lain juga terfikir begitu. Dalam hati , saya sentiasa berdoa agar Allah kuatkan hati saya agar yakin ini adalah ujian Allah kepada saya dan rakan yang lain.


No comments: