Pada hari pertama kejadian heboh satu Taman Fajar bahawa motorsikal Kriss Imam surau dicuri. Ramai yang bersimpati dan ingin membantu. Ketika di sekolah sekitar jam 9 pagi saya mendapat panggilan telefon dari seseorang. Saya tidak pernah kenal dia. Memperkenalkan diri dia sebagai Sarip dan tinggal di Taman Fajar juga namun jarang ke Surau katanya.
“Ustaz! Saya kenal seseroang yang boleh tahu di mana barang curi disimpan dan juga beleh tahu siapa pencuri tu.” Sarip memberitahu saya selepas memperkenalkan dirinya.
“Bagaimana caranya tu. Bagaimana dia boleh tahu?” Saya bertanya ingin mendapat maklumat lanjut. Pelik juga ni.
“Dia akan solat hajat dua rakaat mohon pada Allah. Dalam solat tu nanti dia akan dapat ilham kat mana barang curi itu disimpan. Kadang dia boleh tahu juga siapa pencurinya.” Sarip menceritakan kepada saya dengan penuh bersemangat.
“Eh.. betulkah begitu. Tak pernah saya tahu ada orang sehebat begitu. Dengan solat hajat 2 rakaan dapat petunjuk sebegitu. Macam pelik ja. Setahu kita tidak diberi ilmu oleh Allah untuk melihat perkara ghaib. Jangan-jangan dia tu pakai Jin tak?”. Saya bertanya kembali. Cuak juga saya mendengarnya.
“Kalau dia pakai Jin, saya tak mahulah. Jin ni kadang-kadang naik mainkan kita ja. Banyak yang tak boleh percaya. Lebih-lebih kalau sandarkan dengan solat begitu. Solat tu hanya nak kelirukan kita ja.” Saya menolak pelawaan Sarip nak membantu saya meminta orang sembahyang hajat melihat dimana motorsikal saya.
Saya bertanya lagi adakah orang itu ustaz atau perawat. Sarip mengatakan dia tidak pasti. Cuma orang itu orang biasa sahaja bukan ustaz pun. Maklumat ini menguatkan lagi tanggapan saya bahawa khidmat ini menggunakan bantuan Jin. Saya ambil keputusan untuk menolak khidmat solat hajat ini. Saya menolak dengan baik dan mengatakan bahawa saya serahkan kepada pihak polis untuk selesaikan kes kecurian motor Kriss saya.
Selang setengah jam, henset Nokia 3310 saya berbunyi lagi. Kedengaran suara Sarip dalam henset. “Ustaz! Motor Kriss ustas tu ada disimpan dalam belukar belakang surau.”
“Eh.. ya ka? Dah dapat kah?” Saya bertanya terkejut.
“Belum lagi. Saya minta juga kawan saya tu solat hajat minta petunjuk. Tak apa la Ustaz. Saya mahu tolong ustaz. Nanti saya dan beberapa orang akan pergi tengok dalam semak belakang surau tu. Saya yakin motor Kriss ustaz ada kat sana.” Bersemangat betul Sarip nak membantu saya. Saya hanya mengiyakan saja.
Sebenarnya saya tidak yakin dengan hasil solat hajat mencari barang hilang ini. Walaupun kadang kala ianya betul tapi ia hanya mainan jin yang nak merosakkan aqidah kita. Saya lebih rela tidak dapat kembali motor Kriss saya daripada menggadaikan aqidah saya dengan meminta bantuan jin. Tidak sekali. Sebab itu saya tidak teruja dengan maklumat Sarip tadi.
Selepas itu saya tidak menerima panggilan dari Sarip sehinggalah habis waktu persekolahan. Selepas solat Zohor saya pulang kerumah dan petang itu saya akan ke balai polis buat laporan.
Semasa melintas di hadapan surau saya lihat semak samun di belakang surau yang seluas hampir saiz padang bola sudah terang benderang dibersihkan. Mungkin ini kerja Sarip dan rakan-rakannya mencari motor Kriss saya yang dikatakan telah disembunyikan disitu.
Saya menefon Sarip bertanyakan hasil pencariannya.
“Nda ada Ustaz. Aku sudah cari setiap pelusuk semak tu. Nda ada juga. Mungkin pencuri itu tapuk di situ sekejap saja.. awal pagi dia terus ambil.” Lapor Sarip dengan nada kecewa.
Dengan maklumat ini saya lebih yakin bahawa orang itu hanya sekadar mencari makan dengan upah solat hajat saja. Saya tidak pasti Sarip membayar pengerasnya atau tidak.
Allah melarang kita menggunakan khidmat bantuan Jin walaupun kadang kadang ia membantu. Ini kerana ia boleh memberi implikasi kepada pegangan aqidah kita. Allah berpesan dalam surah al Jin ayat 6:
وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٞ مِّنَ ٱلۡإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٖ مِّنَ ٱلۡجِنِّ فَزَادُوهُمۡ رَهَقٗا
"Dan sesungguhnya ada beberapa orang lelaki di antara manusia memohon perlindungan kepada beberapa lelaki dari golongan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesesatan (keberanian/ketakutan yang luar biasa)."
(QS. Al-Jin: 6)
Kesimpulan yang saya pegang ialah meminta bantuan jin adalah dilarang dalam Islam.Ia termasuk dalam perbuatan mensyirikkan Allah, kerana bergantung kepada makhluk ghaib selain Allah. Islam memerintahkan hanya meminta perlindungan kepada Allah melalui doa dan zikir, bukan melalui dukun, bomoh, atau perantara jin.
Saya teringat beberapa pandangan ulamak yang mengulas isu meminta bantuan jin antaranya ialah Imam Nawawi yang mengatakan "Tidak halal bergantung kepada jin walaupun mereka Muslim. Ia boleh membawa kepada syirik tersembunyi (syirik khafi)."
Manakalan Ibn Qayyim mengatakan bahawa “Sesiapa yang meminta bantuan jin, maka dia telah membuka jalan untuk ditipu syaitan.”
Kecurian motor Kriss saya ini menguji saya banyak perkara. Semoga Allah kuatkan hati saya.
No comments:
Post a Comment