Sunday, March 30, 2025

KITA SOLAT SUNAT SUBUH DULU YA?

Itu antara cadangan atau permintaan salah seorang daripada musafir yang sedang menunggu waktu solat subuh di surau RnR Genting Sempah bersama kami selepas Azan subuh. Surau penuh sesak dengan musafir. Di luar surau ramai yang sedang beratur panjang untuk giliran berwuduk. Perjalanan pulang beraya pulang beraya kali ini amat meriah. Dari tol gombak ke RnR genting sempah mengambil masa 2 jam setengah. 


“Rasanya kita tak payah solat sunat dulu lah. Ramai sangat sedang beratur untuk solat di luar surau”.

Saya memberi cadangan. Semasa dalam kereta lagi saya mencadangkan kepada anak-anak saya agar mengambil wuduk di tandas sebelum ke surau. Saya sudah menjangkakan bahawa ramai akan beratur panjang untuk berwuduk.

Alhamdulillah tanggapan saya betul. Para musafir beratur panjang berlikar-likar di hadapan surau hanya untuk menunggu giliran mengambil wuduk. Saya yang sudah siap berwuduk terus masuk ke surau yang sudah dipenuhi dengan musafir. Tapi masih ada ruang luas dihadapan. Mereka hanya bersesak di belakang sahaja.

Saya lihat tiada yang bersuara menyokong lelaki tadi yang mencadangkan untuk solat sunat subuh dulu atau menyokong saya untuk terus solat Subuh. Semuanya saling melihat sesama sendiri. Nun di pintu surau terlihat ramai yang berhimpit-himpit untuk masuk ke surau.

“Qamat. Saya jadi Imam”.

Saya meminta seoang anak muda disebelah saya untuk qamat sambil saya maju kehadapan menghampar sejadah untuk mengimamkan solat. Melihat semua jemaah teragak-agak, risau juga jika ada yang mengimamkan solat nanti tidak faham situasi dan akan membaca ayat panjang dalam solat. Malah berwirid lagi selepas solat kerana mengejar pahala sunat tanpa melihat keutamaan semasa. Saya pernah ada pengalaman pahit di KLIA2 satu ketika dulu.

Saya mengampar sejadah betul-betul rapat ke dinding mihrab imam dan kemudia menarik sejadah saf pertama rapat dengan sejadah imam guna memberi ruang yang luas kepada musafir lain untuk menyusun saf di belakang. Kalau tidak diatur begitu ramai yang menjarakkan antara imam dan saf pertama mungkin untuk keselesaan. Alhamdulillah dengan cara ini saf lebih rapat dan memberi peluang lebih ramai untuk masuk kedalam surau dan solat berjemaah bersama-sama.

Dalam solat, saya hanya membaca surah lazim yang pendek sahaja dalam dua rakaat. Manakala selepas solat hanya membaca doa ringkas saja sekadar ‘Allahumma afuwwun karim.. dan rabbana Aatina fi al dunya..’ dan terus bangun memberi ruang solat untuk jemaah seterusnya.

Saya perhatikan ramai musafir yang baru masuk seolah bersedia untuk solat bersendirian. Saya mencuit seorang lelaki yang wajahnya agak meyakinkan dan mencadangkan dia untuk menjadi imam. Saya juga minta seorang kanak-kanak untuk qamat. Saya membantu memperbetulkan sejadah untuk lelaki tersebut menjadi imam.

Alhadulillah ramai yang berpusu-pusu memenuhi saf pertama dan membina saf yang kedua. Namun dalam tempoh qamat itu saya perhatikan sempat ada beberapa orang sudah mula solat sendirian. Mungkin mereka mahu cepat atau ada pengalaman pahit seperti yang saya pernah alami lantas mengambil keputusan solat sendirian walapun ada peluang mendapat pahala solat berjamaah.

Saya mendengar imam kedua juga bagus caranya mengimamkan solat dengan nyaring dan juga memilih surah pendek selepas fatihah. Ketika saya keluar ke surau saya terserempak dengan lelaki yang mencadangkan untuk solat sunat subuh tadi. Dia membisikan sesuatu pada saya.

“Ya Allah ramainya orang beratur kat luar menunggu giliran untuk solat”.

Ya. Sebab itu lah saya cadangkan kita terus solat subuh tadi. Nak bagi ruang kepada musafir lain untuk solat Subuh. Risau mereka tak sempat solat subuh dalam waktu. Ketika masuk tadi saya nak nampak begini”. Saya terangkan kepadanya situasi sebenar.

“Betul lah.. solat sunat boleh di qadak selepas ini. Ibadah sunat boleh ditangguhkan untuk memberi peluang kepada ibadah wajib dahulu.”

Sambung lelaki itu. Rupanya dia juga orang yang berilmu. Mungkin tadi dia tidak nampak suasana sebenar di luar surau kerana dia berada di dalam surau  lebih awal.

Sebenarnya kita juga perlu memberi penakanan tentang  fikh musafir bagi menjelaskan pelaksanaan ibadah solat di Surau Lapangan terbang, Stesen keretapi, stesyen bas dan juga RnR. Surau di tempat ini adalah untuk kemudahan para musafir yang perlu mengejar masa dan mematuhi jadual perjalanan yang kadang-kadang tidak boleh dikawal. Ramai juga yang mempunyai hajat lain dan perlu cepat bergerak. Ketika ini kita semua pandai membuat keutamaan dalam ibadah. Utamakan yang wajib dahulu dan prihatin dengan keaadaan sekeliling.

Pelbagai situasi yang kita masih lihat berlaku dalam masyarakat kita ketika bermusafir.

Ada yang mengambil wuduk dengan cara yang paling sempurna walaupun ramai yang beratur dibelakang.

Kadang kadang ada Imam solat membaca ayat panjang ketika solat di RnR dan juga Surau Lapangan terbang.

Selepas Azan ada yang solat sunat dahulu dibahagian depan sehinggakan menghalang orang lain untuk memulakan solat jemaah.

Imam yang berwirid dan berdoa yang panjang selepas solat walapun kelihatan ramai yang berdiri menuggu giliran untuk solat.

Ramai juga yang  masuk surau terus solat sendirian walaupun sudah ada solat jemaah sedang berlangsung.

Inilah yang perlu dijelaskan oleh ustaz dan ustazah ketika mengajar ilmu fadhu ain  dan juga kuliah agama di masjid dan surau ketika berbincang tentang ibadah solat. Semoga dengan memahami persoalan ini ibadah kita akan lebih sempurna dan diterima Allah.

 

 

No comments: