Tuesday, April 15, 2025

TERIMA KASIH TUN ABDULLAH CETUS PROJEK JQAF

 “Ustaz! Sekarang ni hanya ada 2 orang murid lagi yang belum pandai membaca al Quran di sekolah saya.”

Itulah luahan seorang pelajr j-Qaf saya yang mengajar SK Pulau Timbang, Sandakan. 


Semasa saya bertugas di SMK Elopura Sandakan, saya secara tidak terancang telah memohon untuk menjadi pensyarah IPG. Niat saya hanya ingin menemani 2 orang sahabat saya yang amat bersemangat untuk menjadi pensyarah.  Selepas beberapa bulan selepas itu saya mendapat jawapan ditawarkan sebagai pensyrah IPG Tawau.

Namun saya menolak. Selepas beberapa minggu saya menerima panggilan dari pengarah IPG Tawau sendiri Puan Hajah Masni Madat yang memujuk saya untuk menyertai warga IPG Tawau. Antara isi pujukannya ialah:

 “Tenaga dan kepakaran Ustaz di Perlukan untuk melatih guru j Qaf di IPG Tawau”.

“KPM telah memulakan projek jQaf melatih dan melantik guru agama ke sekolah di seluruh pelusuk Sabah.”

“Di sini ustaz akan melatih guru yang akan mendidik murid kita membaca al Quran dan Kafa.”

“Ianya tugas yang besar Ustaz!”

Pujukan ini yang menyebabkan saya kalah dan berjaya menukarkan pendirian asal saya.

Projek jQaf adalah merupakan projek Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah bin Ahmad Badawi. Dengan arahannya KPM melantik 30 ribu orang guru agama keseluruh pelusuk Malaysia termasuk ke ceruk pedalaman Sabah dan Serawak. Guru-guru jQaf membantu guru pendidikan Islam sedia memastikan semua murid mampu membaca al Quran dan menguasai PAFA sebelum dalam sesi persekolahan secara rasmi.

Projek ini saya lihat amat memberi kesan kepada penguasaan murid-murid dalam fardu Ain dan juga al Quran. Ketika saya di IPG Tawau saya juga memberi penekanan kepada pelajar-pelajar saya guru jQaf agar berperanan sebagai pembimbing agama kepada semua warga sekolah termasuk guru dan juga masyarakat kampung.

“Ketika waktu rasmi di sekolah KPM yang membayar gaji dan elaun kamu semua.”

“Di luar waktu persekolah usaha dakwah kamu dalam masyarakat akan di bayar oleh Allah Taala.”

Alhamdulillah, ramai yang memainkan peranan penting dalam masyarakat. Idea dan usaha yang telah dicetuskan oleh PM Tun Abdullah telah banyak melahirkan generasi yang celik agama ketika itu. Dengan cetusannya telah memberi peluang yang besar kepada perkembangan agama Islam ketika itu.

Bayangkan disekolah pelajar saya itu hanya 2 orang sahaja murid yang masih belum menguasai al Quran di sekolah pedalaman. Manakala yang lain sudah mencapai tahap yang telah mencapai tahap yang telah memuaskan. Keadaan ini boleh dikatakan berlaku di semua sekolah yang telah dihantar guru jQaf. Namun sekarang program ini sudah tiada lagi. Guru-guru jQaf sudah diserapkan sebagai guru pendidikan Islam.

Terima kasih Pak Lah. Banyak jasanya kepada perkembangan Islam di Malaysia. Ini adalah merupakan saham yang besar kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi. Hanya Allah yang mampu membalas jasamu. Semoga kita juga mampu mempunyai peluang membuat saham akhirat seumpamanya.

Monday, April 14, 2025

KONGSI MAKANAN DALAM MULUT

 Ketika  kami di Jordan  hampir semua perkara baru bagi kami. Berada di Arab, negara yang tandus tanpa pokok adalah  sesuatu yang kami tidak dapat gambarkan sebelum ini. Begitu juga dengan budaya masyarakat tempatan yang amat unik bagi kami. Kita yang  membesar dengan budaya Melayu Islam  banyak berbeza nilai budaya  masyarakat Arab di Jordan. 


Ada beberapa budaya Arab yang bagi mereka amat baik tapi tidak dianggap baik oleh  masyakat kita malah ia  adalah jijik dan tidak boleh diterima. Antaranya ialah berkongsi makanan  yang kita sedang makan.

Satu hari saya   datang awal ke Universiti untuk berjumpa seorang pensyarah yang amat  kami hormati dan segani. Penampilannya yang berjubah dan berserban adalah pakaian hariannya kerana ia adalah dari keluarga ulamak besar di Iraq. Dia mengajar kami beberapa kursus bahasa Arab. Pada semester itu saya mengambi kursus Bayan Qurainie.

Saya ingin merujuk beberapa tajuk yang saya kurang jelas. Pintu biliknya  terbuka luas dan  saya lihat Dr Abdul Qadir sedang menelaah buku  sambil makan timun batang mentah. Memang  antara budaya Arab ialah mereka suka makan  timun batang dan tomato mentah seperti kita makan buah epal atau buah pear.

Saya memberi salam dan dia mempersilakan saya masuk.

“Tafaddhal ya Abdullah.  Sila duduk.” Dia mempersilakan saya duduk.

“Tafaddhal.. Khiyar..” dia menghulurkan timun batang yang dia sedang  makan kepada saya. Sudah  hampir separuh sudah dimakan. Saya menjadi serba salah kerana tidak biasa makan lebihan orang lain.  Lebih-lebih lagi jika dia bukan keluarga rapat kita. Kalau  bekas  gigitan ibu atau ayah kita mungkin tiada masalah.

Saya mengambilnya dan mengucapkan terima kasih. Saya hanya memegangnya saja. Dr Abdul Qadir meminta saya menghabiskan timun tersebut sambil dia menyelesaikan sedikit kerjanya. Saya menjadi serba salah. Oleh kerana atas dasar menghormatinya sebagai seorang guru dan saya terfikir tentang barakah guru dan ulamak, saya menghabiskan sisa timun tersebut. Perasaan jijik makan sisa makanan  orang lain dibuang jauh-jauh dari fikiran.

Selepas menghabiskan timun tersebut barulah kami meneruskan  perbincangan tentang topik yang  saya kurang jelas.

Peristiwa kedua berlaku ketika saya berkunjung ke rumah seroang kawan di Muktah. Ketika saya sampai tuan rumahnya sedang mengutip buat tomato di halaman rumahnya. Saya  menegurnya dengan mesra  dan dia menguhulurkan buat tomato yang sedang dimakannya kepada saya. Aduh.. saya tidak perasan bahawa dia sedang makan. Sebenarnya selepas peristiwa timun batang saya sudah berhati-hati ingin menegur mana-mana arab yang sedang  makan.

Kali ini terkena lagi. Saya menolaknya dengan baik dan menunjukkan buah tomato lain yang  sudah dipetik di dalam raganya.

“Makan yang ini.  Ini lebih sedap. Saya sudah rasa. Ia manis. Yang itu tak sedap. Warna dia lain sikit.” Dia terus mengunjuukkan tomato yang dimakannya dan menolak untuk memberi buah yang baru. Alasannya ialah yang dia sudah makan itu sedap.  Saya terpaksa mengambil buah tersebut demi menjaga  hati  tuan rumah tersebut.   Sebagaimana dulu saya  memujuk hati  saya dengan menganggap bahawa itu adalah buah baru dan makannya sampai habis.

Cuma pada peristiwa yang ketiga saya tidak sanggup makan   roti yang dikongsi pada saya. Ketika saya singgah di satu masjid d  pedalaman saya  terlihat beberapa orang  sedang duduk  bersila ditepi masjid.  Saya menegur mereka dengan mesra dan bertanya khabar. Rupanya mereka sedang makan roti dengan  mutabbal iaitu kacang kisar di campur dengan buah terung. Saya hanya melihat   mereka mengadap  bekas mutabbal saja dan tidak nampak di mana rotinya.

Dia mempersilakan saya duduk bersama  mereka dan mengulurukan  roti yang telah dicubit. Aduh.. rupanya  roti yang mereka sedang  makan itu dijadikan  lapik duduk masing-masing. Mereka  akan mencubit roti tersebut dari celah kangkang mereka kemudian dicicah dengan mutabbal dan  disuap kemulut. Roti itulah yang dihulurkan kepada saya.  Saya tak sanggup makan kali ini.

Saya menolak dengan baik dengan memberitahu saya terpaksa solat segera kerana sudah terlambat untuk meneruskan perjalanan.

Begitulah budaya Arab. Mereka amat baik dan menghormati tetamu. Bagi mereka makanan yang sedang dimakan dikongsi bersama. Itu tidak jijik bagi mereka bahkan itu adalah tanda mesra.

Saya masih bernasib baik. Kawan saya  bercerita ketika dia  bertemu sorang Sheikh yang amat dihormati. Sheikh tersebut sedang  menghisap gula-gula. Jadi sebagai  menghormati  anak muridnya yang sedang bertamu dia memberi gula-gula tersebut yang  berada dalam mulutnya untuk dihabiskan oleh kawan saya. 

Dia tidak dapat menolak lantaran segan dan hormat kepada gurunya.  Tidak dapat digambarkan perasaannya pada masa itu. Nasib baik ia tidak berlaku pada  saya. Setakat timun batang dan tomato masih lagi boleh diterima.

Itulah antara perbezaan nilai dan budaya antara masyarakat Arab  dengan budaya kita. Persoalan nilai ini adalah amat subjektif. Banyak lagi saya perhatikan perbezaan nilai yang ketara dalam menilai baik, buruk, hormat dan sebagainya dalam masyarakat Arab berbanding dengan budaya kita.

Jadi kita perlu pandai membawa diri bergaul dengan masyarakat  rentas budaya agar kita juga dihormati dan dilayan dengan baik.


Friday, April 11, 2025

ALLAH MENGATUR REZEKI TANPA DIDUGA

Pada tahun 2012 kalau tak silap ingatan saya ketika dalam perjalanan kembali ke Bangi selepas cuti hari raya aidilfitri di Kelantan. Seperti biasa  pejalanan  akan sesak dengan kereta yang banyak. Itu memang tidak dapat dielakkan dan menjadi kebiasaan bagi kami  anak perantau. 


Ketika  kereta semua tak bergerak sebelum masuk pekan Bentong.   Kereta saya berada di kawasan berbukit dan saya mengangkat brek tangan  untuk  mengekalkan  kedudukan kereta agar tidak bergerak. Maklumlah kereta saya masa itu  jenis Avanza Manual.  Semua kereta tidak bergerak.

Tiba-tiba kereta di depan saya  mengelongsor terundur kebelakang. Saya menekan hon dengan kuat untuk menyedarkan pemandu tersebut. Tapi sudah terlambat.

Bammm!!. Kereta persona warna perak tersebut telah mengentam bahagian depan Avanza saya.   Anak- anak saya semua terkejut terbangun dari tidur. Habislah.. kata saya dalam hati. Jarak  asal kereta saya dengannya lebih kurang 2 meter. Kira agak jauh juga. Hentaman dengan jarak itu agak kuat   walaupun sekadar  terundur biasa.

Pemandu  persona menggerakkan keretanya kehadapan dan memberhentikan ditepi jalan dan keluar dari kereta.  Seorang anak muda dalam  akhir 20an atau awal 30an.  Saya juga keluar untuk melihat kesan hentaman tersebut.   Bumber Avanza saya kemek dan hampir tercabut. Terdapat sedikit koyakan pada  bumber sebelah kiri. Nasib baik  ia tidak menjejaskan radiator dan juga  bahagian lain yang penting. Kereta saya masih hidup dan boleh berjalan seperti biasa.

Kereta Persona  dia juga kemek bahagian bumper tapi tidak seteruk kereta saya. Juga masih boleh bergerak. Cuma  kos yang akan melayang  untuk baik pulih tu membebankan juga jika termasuk dengan kos baik pulih kereta saya.

“Abang.. saya minta maaf sangat-sangat saya tersilap tadi. Kereta saya manual. Tak sempat tarik brek tangan.”  Pemuda tadi mohon maaf sambil  mengulurkan tangan pada saya.

Saya sebenarnya hangat hati juga dengan apa yang berlaku. Perjalanan masih jauh. Kemudian  seorang gadis muda pula keluar dari keretanya. Mungkin isterinya .

“Bang.. kami minta maaf sangat-sangat.” Perempuan itu merayu.

“Saya mengaku salah bang..  Cuma saya tak mampu bayar sekarang. Saya baru je lepas  overhaul kereta saya ni. Banyak pakai duit.”

Pemuda itu merayu awal-awal lagi sebelum saya meminta  bayaran pun.

“Teruk juga rosak ni. Bumber dah koyak mesti kena  tukar.”  Saya     menyebut dengan  suara agak tegas tapi bukan dengan nada  marah.

“Ya . Saya tahu. Tapi saya betul-betul tak ada duit sekarang.”  Rayunya sambil mengeluarkan dompet dan membukanya menunjukkan isinya kepada saya. Hanya saya lihat ada beberapa keping duit note RM10  saja dalam dompetnya.

“Kami baru kahwin.  Memang   banyak pakai duit.  Saya bekerja di Pejabat Pos  Besar di sebelah bangunan Daya  Bumi  Kuala Lumpur. Nanti  bila dapat gaji kami bayar.”  Perempuan tadi mencelah  setelah  memerhatikan perbinancang saya dan suaminya.

Timbul simpati saya dalam hati dengan pasangan ini. Setelah melihat kembali kerosakan yang berlaku, saya menganggarkan tak sampai pun satu ribu kos baik pulih kereta  Avanza.  Saya mengambil  keputusan memaafkan sementara pemuda tersebut. Alhamdulillah saya dapat mengawal kemarahan saya.

Kami bertukar nombor telefon dan saya berjanji akan  menguhubungi mereka setelah siap membaik pulih kereta saya. Isterinya juga memberi nombor telefonnya dan mempelawa saya ke pejabatnya di Pejabat pos besar jika perlu.  Setelah saya membetulkan kedudukan bumber dengan mengikatnya dengan  tali  rapia  yang kebetulan ada dalam kereta, saya meneruskan perjalanan.

Dalam hati saya terdetik rasa simpati kepada pasangan tersebut. Saya   bercadang jika kos baik pulih bawah RM500 saya  hanya guna belanja saya sendiri dan tidak mahu menuntut dari pasangan tersebut. Saya  anggap ianya sedekah  saja kepada mereka berdua.

Pada hari Sabtu minggu berikutnya saya hadir kerumah kawan saya yang  membuat rumah terbuka sempena hari raya. Kereta Avanza saya masih belum dihantar kebengkel. Saya   masih mencari bengkel yang boleh siapkan baik pulih dalam segera dalam dua hari kerana saya juga memerlukan kereta  untuk  ketempat kerja.

Saya memakirkan  Avanza saya  disimpang  dalam taman tersebut. Seingat saya ianya tidak menghalang  lalu lintas . Kereta diparkir dengan elok.  Ketika sedang menikmati juadah raya yang sangat enak saya terdengar suara.

“Siapa  pemilik kereta Avanza  biru yang parkir kat simpang sana?”  Saya melihat sorang lelaki berbadan tegap berseluar jeans   berdiri  diluar  pagar rumah kawan saya.

Saya bangun dan mengaku bahawa itu kereta saya.

“Maaf . Saya terlanggar kereta tuan yang sedang pakir tu.” Dia memberi tahu saya.

Saya  keluar dan pergi kearah kereta saya bersamanya.  Dia memberitahu saya bahawa  ketika dia mengundurkan  Nissan Frontier  terkena kereta saya sedang parkir  bahagian depan hingga bumber   Avanza saya  kemek dan hampir tertanggal. Saya memberitahu dia bahawa bumber itu memang sudah asal kemek dan hampir tertanggal kerana telah dilanggar  oleh kereta persona  minggu lepas semasa pulang dari beraya.

Kerosakan bumber tu disebabkan oleh orang sebelum ini. Saya telah berjanji akan minta pampasan dari  pemandu persona tersebut.  Walaupun sudah diterangkan  oleh saya, Pemandu Nissan Frontier  masih bertegas mahu membayar kos ganti rugi kerana dia kata  juga bersalah.  Biar dia membayar  baik pulih kereta saya. Saya tak perlu tuntut dari pemandu kereta  Persona yang sebelum ini.

“Saya yang bayar kerosakan ini. Kalau  kereta ni elok pun dari asal akan rosak juga  bila saya langgar. Biar saya yang bayar.” Katanya dengan tegas.

Saya terharu  mendengar pendirian  pemandu  ini.  Hatinya amat baik dan mengambil  tanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan dia. Alangkan baiknya insan ini . Sikapnya patut dicontohi oleh  semua orang.

Saya bersetuju dengan pandangannya . Dia memberi nombor telefonnya pada saya  untuk saya  hubunginya tentang kos baik pulih nanti.  Dia  berlalu pergi selepas sekali lagi meminta maaf pada saya atas apa yang berlaku.

Petang itu juga saya hantar Avanza saya kebengkel. Kos baik pulih hanya Rm450 termasuk cat. Kerosakan tidak banyak kata pomen. Jadi saya  menghantar mesej kepada pemandu Nissan Frotier  memaklumkan kos baik pulih berserta nombor akaun bank saya. Tak sampai 5 minit saya sudah menerima mesej dari bank bahawa  RM450 sudah masuk ke akaun saya.

Alhamdulillah . Allah maha kaya mengatur segalanya.  Allah menghantar orang yang baik untuk membantu. Mungkin ini doa pemandu Persona yang  betul-betul tersepit   dengan masalah kewangan. Kesalahannya  dan beban baik pulih dibantu oleh pemandu Nissan Frontier. Duit saya juga terselamat dengan niat saya asalnya akan menggunakan duit sendiri juka kos baik pulih bawah Rm500. Allah  maha kaya. Niat yang baik dipermudahkan urusan oleh Allah.  Begitulah Allah mengatur rezeki  hambanya tanpa kita terfikir cara dan jalannya.

Apa yang penting kita jangan mudah marah dan  sentiasa bersangka baik dengan  sesiapa sahaja.


Thursday, April 10, 2025

YOU BAIKI KERETA YOU SAJA LAH

 Itulah jawapan dan penyelesesaian yang dicadangkan oleh pemilik kereta yang saya telah langgar. Dalam tahun 2009 ketika saya tinggal di Kota Damansara saya selalu berulang alik ke Universiti  Malaya hampir setiap hari untuk menyiapkan pengajian Master saya. Saya selalu menggunakan Lebuh raya Damasara kerana itu yang paling dekat walaupun jalan itu sibuk. 


Satu hari  semasa  balik dari  Universiti Malaya  dalam kesibukan jalan saya mungkin agar ralit sedikit  ketika memandu. Tiba-tiba saya terlanggar kereta di hadapan saya. Agak kuat juga hentaman. Saya tak  sedar adakah dia telah brek kecemasan atau saya yang cuai. Peristiwa itu berlaku tiba-tiba dan sekelip  mata.

Kereta  tersebut memeberhentikan keretanya kiri jalan  dan saya  pun ikut berhenti dibelakangnya. Jalan sangat sibuk ketika itu . Walau sudah berhenti di tepi jalan ia tetap mengganggu laluan sebelah kiri. Pemandunya keluar. Dia berbangsa  cina dalam umur sekita 40an. Kereta yang saya langgar  berwarna putih namun saya sudah lupa jenisnya. Mungkin  jenis Toyota  atau Suzuki. Apa yang saya ingat bukannya kereta mewah.

“Ayya.. You sudah langgar saya  ma.”  Dia   bersuara menegur saya. Tapi tidak bernada marah.

“Maaf boss. Saya  terlanggar kereta boss.  Mungkin saya ralit sikit tadi. Saya minta maaf”. Saya  menjawab.

Dia memerikasa keretanya. Bumber keretanya kemek masuk sedikit kedalam. Kereta saya juga begitu. Bumber depan kemek dan patah nombor plet. Banyak juga ni kena bayar . Saya bayar sajalah. Itu yang saya fikir. Memang sudah salah saya.

“Saya bayar semua boss. Saya  sudah salah. Bos baiki nanti saya bayar . Nak bayar dulu pun boleh.” Saya menawarkan penyelesaian.

Dia diam dan saya lihat dia  masih memeriksa keretanya sambil memicit bumber yang sudah kemek dan tercalar.

“Beginilah.. hari ni kita tak ada ong.. you pun tak ada ong.. benda sudah jadi.”

“Hari ni  kita tak ada luck lah. You pun bukan sengaja langgar saya.”

“You baiki kereta you saja lah. Saya baiki kereta saya. Kita sama-sama baikilah.”

Dia mencadangkan penyelesaian baru.  Saya terkejut mencengar cadangannya. Sedangkan saya yang bersalah.

“Jom lah kita jalan. Jalan sudah banyak jemlah… nanti susah orang lain .”

Katanya sambil mengulurkan tangan bersalaman dengan saya  dan masuk ke keretanya.

“Terima kasih Boss. Saya minta maaf sekali lagi.”

Tutur saya sebelum dia masuk kekeretanya. Ketika dalam kereta dia membuka cermin dan mengangkat tangan melambai-lambai pada saya dan terus jalan.

Penyelesaian petang itu amat cepat. Tak sampai  5 minit.  Saya terkejut dengan   apa yang berlaku.    Saya beruntung bertemu dengan orang baik. Tidak panas baran dan mudah bertolak ansur.

Dia bukan Islam. Tapi emosi amat stabil . Tidak melenting dan bercakap lembut dan tidak meminta  pampasan  walaupun sudah terang saya yang bersalah.  Jauh sekali mengambil kesempatan atas kesalahan orang lain.

Alangkah baiknya jika kita semua orang Islam bersikap sebegini.   Saya amat menghargainya walapun tidak sempat berkenalan dan berbual panjang. Saya doakan agar pemandu cina tersebut dipermudahkan segala urusannya dalam kehidupan . Semoga Allah bagi hidayah kepadanya untuk kembali kepada fitrah agar segala kebaikannya itu boleh dibalas dengan syurga di Akhirat nanti.


Wednesday, April 09, 2025

KAWAL LAH MARAH MU, APA YANG BERLAKU ADALAH TAKDIR ALLAH

Saya  masih ingat satu peristiwa ketika saya balik bercuti di Kelantan  ketika masih belajar di Jordan. Satu hari ketika saya singgah di sebuah gerai surat khabar di hadapan pertubuhan peladang di Lundang untuk membeli surat khabar berita harian. Memang  menjadi minat dan amalan saya membaca akhbar setiap hari.

Saya lihat ada  ramai orang berkerumun di tepi jalan melihat sesuatu. Saya mendengar suara kekecohan seorang sedang menengking dengan suara yang tinggi. Tapi tidak jelas  perkataan dan  isunya. 


Saya menghampiri  mereka dan  bertanya apa yang berlaku.  Ada seorang memaklumkan kepada saya bahawa ada seorang remaja   terlanggar sebuah kereta dengan motosikalnya. Saya lihat sorang  lelaki   separuh abad berjubah putih dan  berserban memarahi sorang remaja.

“Kamu kena  bayar semua kos kerosakan yang kamu buat.”

“Kamu telah cuai langgar kereta saya. Naik motor mata letak kat mana. Sebesar kereta saya pun tak nampak.”

“Kalau tak nak bayar saya bawa ke balai polis.”

Saya  mendekati kereta tersebut, tak ingat jenis apa cuma ia berwana putih. Saya melihat kesan pelanggaran tersebut. Ingatkan  kerosakan  teruk atau kemek yang dalam. Rupanya hanya tercalar sahaja. Bagi saya calar tersebut boleh hilang  jika digosok dengan  pengilat (polish).  Calar begini pernah berlaku pada kereta ayah saya dan bila digosok dengan teliti ia  kembali kelihatan seperti asal. Melainkan jika calarnya dalam  hingga timbul warna hitam atau  kemek yang perlu diketuk.

“Haji.. saya nampak calarnya sikit saja. Boleh hilang jika digosok.”

Saya cuba menenangkan  lelaki tersebut.

“Mana boleh. Dia dah langgar kereta saya. Dia kena bayar.” Dia  menjawab dengan nada masih marah.

“Berapa haji nak minta dengan dia?”

Saya bertanya. Ramai orang di sekeliling memerhatikan perbincangan tersebut.

“Saya  minta RM500.”

Dia menyebut jumlah tersebut dengan muka  yang mencuka. Terkejut saya mendengar jumlah tersebut. Bagi saya kalau  berlaku begini saya tidak minta apa-apa bayaran pun.  Calarnya sedikit. Kalau nak minta pun mungkin sedikit lah.

“Banyak sangat tu  Haji.. saya  rasa macam tidak  adil lah.”

Saya  tidak bersetuju.  Saya lihat remaja tadi  diam dari tadi tidak  mengeluarkan apa-apa kata. Langsung dia tidak menjawab atau membalas  kata-kata lelali tersebut.

“Mung kena bayar. Kalau tak sir bayar aku bawa gi balai polis. Mana lesen dan kad pengenalan mu. Bui  ko aku”.

Sekali lagi dia menengking remaja tersebut. Rupanya perbualan saya tadi tidak menyejukkan suhu kemarahannya. Suaranya kuat sehingga boleh didengari dengan jelas oleh orang sekeliling. Bagi saya tidak patut dengan nada sebegitu. Lain lah kalau yang dilanggar itu  mati atau cedera parah mungkin patut ditengking sebegitu. Tapi hanya sedikit bekas calar.

Saya tak mampu berbuat apa-apa. Hilang kata-kata saya melihat  keadaan lelaki tersebut. Saya  hanya mampu  berkata padanya

“Sabar Haji..  ini takdir Allah. Tiada siapa yang sengaja  melanggar  orang lain.”

Namun  lelaki tersebut masih berkeras  dengan pendiriannya. Dia masih mendesak remaja tadi menyerahkan kad pengenalan dan juga lesen.   Saya mengundur diri dari situ dan kembali gerai  untuk memberi surat khabar berita harian.

“Tu lah..  marah betul orang  tu. Tak padan dengan punah kereta. Saya pun tak pehe bakpo dia marah sangat. Budak tu  tak menjawab pun. Mungkin orang tu ada masalah lain.”

Sempat penjual surat khabar  memberi ulasan ketika saya membayar .

Kita perlu mengawal emosi dan amarah kita bila berlaku peristiwa  sebegini.  Kita sebagai orang beriman dan yakin pada qada dan qadar perlu ingat bahawa semua yang berlaku pada kita  dan didunia ini adalah diatur oleh Allah. Tidak kira perkara baik   atau buruk. Itu adalah ujian untuk kita.

Disinilah kita perlu menggunakan panduan Allah dan rasul dalam menyelesaikan masalah yang di hadapi. Sepatutnya lelaki berjubah tadi  boleh menghayati ayat al Quran Surah Ali Imran ayat 134


ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلْكَـٰظِمِينَ ٱلْغَيْظَ وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ
"Orang-orang yang berinfak, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya serta memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan."

Dan juga menghayati pesan junjungan nabi Muhammad yang diriwayatkan oleh  Al-Bukhari & Muslim

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

"Orang yang kuat bukanlah yang pandai bergusti atau berlawan, tetapi yang mampu mengawal dirinya ketika marah."

 

Marilah kita sama-sama kawal kemarahan kita. Ingatlah itu adalah ujian dari Allah kepada kita. Panduan  yang Allah bekalkan dalam al Quran dan juga dan juga pesan nabi  amat banyak yang boleh kita amalkan demi menjamin kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.


Sunday, March 30, 2025

KITA SOLAT SUNAT SUBUH DULU YA?

Itu antara cadangan atau permintaan salah seorang daripada musafir yang sedang menunggu waktu solat subuh di surau RnR Genting Sempah bersama kami selepas Azan subuh. Surau penuh sesak dengan musafir. Di luar surau ramai yang sedang beratur panjang untuk giliran berwuduk. Perjalanan pulang beraya pulang beraya kali ini amat meriah. Dari tol gombak ke RnR genting sempah mengambil masa 2 jam setengah. 


“Rasanya kita tak payah solat sunat dulu lah. Ramai sangat sedang beratur untuk solat di luar surau”.

Saya memberi cadangan. Semasa dalam kereta lagi saya mencadangkan kepada anak-anak saya agar mengambil wuduk di tandas sebelum ke surau. Saya sudah menjangkakan bahawa ramai akan beratur panjang untuk berwuduk.

Alhamdulillah tanggapan saya betul. Para musafir beratur panjang berlikar-likar di hadapan surau hanya untuk menunggu giliran mengambil wuduk. Saya yang sudah siap berwuduk terus masuk ke surau yang sudah dipenuhi dengan musafir. Tapi masih ada ruang luas dihadapan. Mereka hanya bersesak di belakang sahaja.

Saya lihat tiada yang bersuara menyokong lelaki tadi yang mencadangkan untuk solat sunat subuh dulu atau menyokong saya untuk terus solat Subuh. Semuanya saling melihat sesama sendiri. Nun di pintu surau terlihat ramai yang berhimpit-himpit untuk masuk ke surau.

“Qamat. Saya jadi Imam”.

Saya meminta seoang anak muda disebelah saya untuk qamat sambil saya maju kehadapan menghampar sejadah untuk mengimamkan solat. Melihat semua jemaah teragak-agak, risau juga jika ada yang mengimamkan solat nanti tidak faham situasi dan akan membaca ayat panjang dalam solat. Malah berwirid lagi selepas solat kerana mengejar pahala sunat tanpa melihat keutamaan semasa. Saya pernah ada pengalaman pahit di KLIA2 satu ketika dulu.

Saya mengampar sejadah betul-betul rapat ke dinding mihrab imam dan kemudia menarik sejadah saf pertama rapat dengan sejadah imam guna memberi ruang yang luas kepada musafir lain untuk menyusun saf di belakang. Kalau tidak diatur begitu ramai yang menjarakkan antara imam dan saf pertama mungkin untuk keselesaan. Alhamdulillah dengan cara ini saf lebih rapat dan memberi peluang lebih ramai untuk masuk kedalam surau dan solat berjemaah bersama-sama.

Dalam solat, saya hanya membaca surah lazim yang pendek sahaja dalam dua rakaat. Manakala selepas solat hanya membaca doa ringkas saja sekadar ‘Allahumma afuwwun karim.. dan rabbana Aatina fi al dunya..’ dan terus bangun memberi ruang solat untuk jemaah seterusnya.

Saya perhatikan ramai musafir yang baru masuk seolah bersedia untuk solat bersendirian. Saya mencuit seorang lelaki yang wajahnya agak meyakinkan dan mencadangkan dia untuk menjadi imam. Saya juga minta seorang kanak-kanak untuk qamat. Saya membantu memperbetulkan sejadah untuk lelaki tersebut menjadi imam.

Alhadulillah ramai yang berpusu-pusu memenuhi saf pertama dan membina saf yang kedua. Namun dalam tempoh qamat itu saya perhatikan sempat ada beberapa orang sudah mula solat sendirian. Mungkin mereka mahu cepat atau ada pengalaman pahit seperti yang saya pernah alami lantas mengambil keputusan solat sendirian walapun ada peluang mendapat pahala solat berjamaah.

Saya mendengar imam kedua juga bagus caranya mengimamkan solat dengan nyaring dan juga memilih surah pendek selepas fatihah. Ketika saya keluar ke surau saya terserempak dengan lelaki yang mencadangkan untuk solat sunat subuh tadi. Dia membisikan sesuatu pada saya.

“Ya Allah ramainya orang beratur kat luar menunggu giliran untuk solat”.

“Ya. Sebab itu lah saya cadangkan kita terus solat subuh tadi. Nak bagi ruang kepada musafir lain untuk solat Subuh. Risau mereka tak sempat solat subuh dalam waktu. Ketika masuk tadi saya nak nampak begini”. Saya terangkan kepadanya situasi sebenar.

“Betul lah.. solat sunat boleh di qadak selepas ini. Ibadah sunat boleh ditangguhkan untuk memberi peluang kepada ibadah wajib dahulu.”

Sambung lelaki itu. Rupanya dia juga orang yang berilmu. Mungkin tadi dia tidak nampak suasana sebenar di luar surau kerana dia berada di dalam surau  lebih awal.

Sebenarnya kita juga perlu memberi penakanan tentang  fikh musafir bagi menjelaskan pelaksanaan ibadah solat di Surau Lapangan terbang, Stesen keretapi, stesyen bas dan juga RnR. Surau di tempat ini adalah untuk kemudahan para musafir yang perlu mengejar masa dan mematuhi jadual perjalanan yang kadang-kadang tidak boleh dikawal. Ramai juga yang mempunyai hajat lain dan perlu cepat bergerak. Ketika ini kita semua pandai membuat keutamaan dalam ibadah. Utamakan yang wajib dahulu dan prihatin dengan keaadaan sekeliling.

Pelbagai situasi yang kita masih lihat berlaku dalam masyarakat kita ketika bermusafir.

Ada yang mengambil wuduk dengan cara yang paling sempurna walaupun ramai yang beratur dibelakang.

Kadang kadang ada Imam solat membaca ayat panjang ketika solat di RnR dan juga Surau Lapangan terbang.

Selepas Azan ada yang solat sunat dahulu dibahagian depan sehinggakan menghalang orang lain untuk memulakan solat jemaah.

Imam yang berwirid dan berdoa yang panjang selepas solat walapun kelihatan ramai yang berdiri menuggu giliran untuk solat.

Ramai juga yang  masuk surau terus solat sendirian walaupun sudah ada solat jemaah sedang berlangsung.

Inilah yang perlu dijelaskan oleh ustaz dan ustazah ketika mengajar ilmu fadhu ain  dan juga kuliah agama di masjid dan surau ketika berbincang tentang ibadah solat. Semoga dengan memahami persoalan ini ibadah kita akan lebih sempurna dan diterima Allah.

 

 

Monday, March 24, 2025

ADA NAMPAK APA-APA PERUBAHAN TAK?

 Itu  antara soalan yang saya minta para jemaah tanya kepada isteri masing-masing tentang perubahan dirinya sepanjang bulan Ramadan ini.

“Ada nampak perubahan tak pada diri abang dalam pada 10 akhir Ramadan ni?”

Kalau isteri jawab macam biasa ja.. tak ada perubahan apa-apa. Ini bermakna dia tidak buat apa-apa perubahan pun. Sebenarnya kita perlu jadikan Rasulullah dan para sahabat sebagai contoh ikutan dalam meraih keberkatan 10 akhir Ramadan ini. 


Rasulullah dan para sahabat dapat dilihat perubahan hidup mereka pada 10 akhir Ramadan. Mereka lebih fokus beribadah. Ummul Mukminin Aisya memberitahu bahawa Rasululullah ikat kain pelikatnya sebagai tanda semangat tidak tidur bersama isterinya kerana beriktikaf di masjid.

Dalam suara yang serak saya terpaksa sampaikan tazkirah terawih malam tadi. Saya teringat perbualan saya dengan pengerusi surau.

“Kami nak jemput ustaz tazkirah Ramadhan dan juga imam solat terawih ahad ini”.

Itu permintaan pengerusi Surau al Ukhuwwah di Petaling Jaya kepada saya minggu lepas. Pada awalnya saya menerima pelawaan tersebut. Namun pada hari sabtu sehari sebelum hari kejadian saya diuji dengan sakit tekak. Suara saya sudah mula berubah. Saya menghubungi pengerusi untuk menarik diri kerana kurang sihat.

Namun beliau amat berharap agar saya hadir dan memberi tazkirah walaupun sekadar 15 minit pun cukup. Solat terawih dipimpin oleh imam. Alhamdulillah selepas tidur sepanjang pagi Ahad suara saya semakin baik.  

Fokus tazkirah saya ialah manfaatkan sisa baki Ramadan yang ada.

“Kita amat bertuah dan perlu beryukur kerana diberi peluang berada di 10 akhir Ramadan. Ramai yang sudah dipanggil mendap pencipta”.

“Fokus kepada ibadah seperti qiamullail, iktikaf, tilawah al Quran, Sedeqah, doa dan zikir.”

“Kalau kita tidak mampu beriktikaf sebagaimana Rasulullah yang berada 24 jam dalam masjid, memadailah iktikaf sebahagian malam saja pun ok.”

“Pergi ke masjid jam 4 pagi untuk solat taubat dan tahajjud pun sudah memadai. Boleh solat taubat dan tahajjud 8 rakaat. Pada masa yang sama dapat pahala iktikaf”.

Saya mencadangkan jika tidak berkesempatan ke masjid, boleh saja mereka datang ke Surau al Ukhuwwah, memadailah iktikaf disurau walaupun ia  bukan bertaraf masjid. Insya Allah ada pahala lebih berbeza dari solat dirumah sahaja. Mungkin jika dibuat secara beramai-ramai di surau akan lebih bersemangat walaupun tahajjud dilakukan secara individu.

Bagi yang tidak berkesempatan ke masjid atau surau boleh tetapkan satu tempat dirumah untuk dijadikan tempat ibadah. Boleh diniatkan untuk beribadah. Insya Allah ada pahala khas juga dari Allah. Bagi kaum wanita mungkin ini adalah paling mudah untuk mereka yang berhalangan ke masjid atau surau.

Dalam solat tahajjud kita boleh gunakan henset untuk membaca al Quran. Ketika ini setiap orang boleh membaca al Quran sebanyak mana yang dia mahu. Bagi yang kuat bolehlah membaca setengah juzuk setiap rakaat. Ia boleh habiskan dua juzuk untuk 8 rakaat tahajjud. Jika rasanya dirinya kuat boleh membaca 1 juzuk untuk satu rakaat. Tapi jika tidak mampu boleh membaca satu lembar atau separuh lembar untuk satu rakaat.

Saya juga mencadangkan agar sebelum qiam agar membuat infaq melalui QR code yang telah dsediakan lebih awal. Qr Code boleh disiapkan awal dikumpulkan dari mana-mana masjid atau iklan derma yang telah dipilih. QR Code boleh dicetak awal agar senang untuk diimbas setiap malam. Mungkin boleh dilakukan sebelum atau selepas solat tahajjud.

Kadar infaq adalah mengikut kemampuan masing-masing. Jika sesiapa yang telah diluaskan rezeki oleh Allah, tidak salah kita tetapkan 1k semalam, atau RM100 semalam. Paling tidak mampu pun, bolehlah infak RM1. Infaq sekarang tidak perlu lagi ke masjid. Hanya sekadar menggunakan henset. Sangat mudah untuk dapat gandaan pahala 700 kali ganda setiap unit infaq. Jika terkena malam qadar ia diganda lebih lagi.

Para jamaah boleh fokus kepada 4 perkara ini. Iktikaf, qiam tahajjud 8 rakaat, baca al Quran dalam solat tahajjud sambil tengok henset dan infaq menggunakan QR Code. Jika 4 perkara ini dilakukan setiap malam pastinya salah satu malamnya akan terkena dengan malam al Qadar. Sudah pasti kita akan beruntung.

Allah maha kaya. Allah tertunggu untuk memberi pahala yang banyak kepada siapa yang sanggup bangun munajat kepadanya pada akhir malam terutama pada 10 akhir Ramadan ini. Yakinlah pada janji Allah. Kejarlah dan rebutlah harta kekayaan yang Allah telah sediakan untuk hambanya.

Itulah yang dimaksudkan dengan ‘Imaanan dan ihtisaaban’.

Rugilah bagi sesiapa yang membiarkan peluang ini terlepas begitu sahaja.

Friday, March 21, 2025

CENDOL PAKCIK PIE LEPAS TERAWIH

 Ketika zaman kanak-kanak, antara perkara yang meriah dalam bulan Ramadan ialah  solat terawih. Ketika itu umur saya sekitar darjah satu. Begitu juga rakan-rakan lain yang lebih kurang sebaya datang ke balaisah waktu isyak untuk solat dan seterusnya solat terawih.

Namun tarikan yang paling menarik bagi kami ialah bukan pada terawih. Tarikan kami ialah moreh selepas terawih.  Menu moreh pada ketika itu hanya cendol, kalau bernasib baik ada  menu istimewa chacho  macam lebih bubur gandum. Biasanya menu biasa setiap malam ialah cendol dengan air gula saja. Kadang kala ada   ada juga cendol dihidang bersama  santan. 


Oleh kerana solat terawih dilakukan sebanyak 20 rakaat. Kami golongan kanak-kanak terpaksa menunggu  solat terawih  baru kami dapat makan cendol tersebut bersama golongan dewasa.   Kami sebagai kanak-kanak tidak mampu untuk solat terawih  sebanyak 20 rakat.  Paling banyak kami solat pun dalam 4 rakaat sahaja. Selepas itu kami hanya bermain sekitar  balaisah.

Bila bila menyebut ‘Autiru wa majjidu” kami  akan bergegas naik ke Balaisah untuk sambung solat. Kami tahu solat sudah hampir habis  dan sejurus selepas itu dapat makan moreh cendol.

Satu hari ada sorang kawan kami yang tidak sabar. Ketika solat terawih dia telah  pergi kebahagian makanan dan membuka bekas makanan dengan niat hanya  ingin melihat melihat menu moreh malam tu. Entah bagaimana beliau tersilap langkah dan terpijak sesuatu  menyebabkan bekas itu terbalik dan semua moreh tumpah. Semua orang tak dapat makan moreh pada malam tersebut dan kawan saya itu dimarah teruk oleh ayahnya.  Di cubit telinga  sehingga  meraung-raung menangis.

“Jangan di marah budak tu. Dia tak sengaja.”

Pakcik Pie melarang .Dia  tinggal di sebelah balaisah, terkenal baik dengan kanak-kanak.

“Budak-budak tu lapar tak sabar dan  makan awal.”

Beliau mencadangkan agar kanak-kanak diberi makan awal sebelum  siap solat terawih. Beliau sanggup mengambil tanggungjawab menguruskan moreh untuk kanak-kanak.

“Tak  apa. Nanti saya uruskan. Nanti tak ada lagi kes curi makan moreh.”

Kami  suka dengan Pakcik Pie ni. Kebaikannya melayan kami  ketika zaman kanak-kanak diingat sampai sekarang. Kebaikannya itu menyebabkan kanak-kanak semakin ramai ke balaisah. Mereka dah tahu bahawa mereka tidak perli tunggu lama untuk makan. Jadi mereka datang awal. Solat insyak dan  terawih beberapa rakaat kemudian dapat makan.

Cara ini  mendidik  kanak-kanak untuk datang masjid dan solat jemaah Isyak. Ibu bapa pun ramai yang membawa anak-anak mereka  kerana sekarang sudah ada Pakcik Pie yang mengawal dan melayan kanak-kanak.  

Dari awal lagi Pakcik Pie  sudah asingkan cendol untuk kanak-kanak dan juga makanan untuk ahli jemaah dewasa. Jadi lepas saja solat   8 rakaat beliau  kebelakang dan hidangkan cendol yang sudah siap dicampur air gula.  Walaupun hanya sekadar cendol dengan air gula. Itu amat bermakna bagi kanak-kanak ketika itu. Jika bernasib baik cendol akan dicampur dengan sagu yang berwana merah berbentuk bulat kecil.   Rasanya hampir sama tetapi ia menyebabkan hidangan cendol semakin cantik berwarna warni.

Sikap Pakcik Pie menyantuni kanak-kanak sepanjang bulan  Ramadan amat dihargai oleh kanak-kanak. Beliaulah yang  menjadi daya penarik kanak-kanak datang ke Balaisah.  Sikapnya telah menjadikan Balaisah kampung saya menjadi mesra kanak-kanak ketika itu. Kanak-kanak berlarian pun sudah kurang berbanding sebelumnya.    Beliau mendidik dalam diam.   Kalau nak makan mesti  jangan bising dan duduk bersila secara beradab. Cara begini mampu mendidik kami ketika itu.

Alhamdulillah sekarang banyak masjid sudah menyediakan sudut dan petugas khas untuk menyantuni kanak-kanak.      DI samping mengurangkan gangguan kepada jemaah yang sedang bersolat ia juga  mendidik jiwa kanak-kanak lebih dekat dengan masjid.

Didiklah anak-anak untuk istiqamah solat..

Semoga Allah ampunkan segala dosa Pakcik Pie dan rohnya ditempatkan bersama  orang soleh seterusnya dimasukkan ke syurganya yang luas terbentang.


Thursday, March 20, 2025

DOA TERAWIH YANG MENGUJAKAN

 “Ustaz! Bagaimana solat terawih bulan ramadan nanti? Boleh Ustaz susun jadual giliran ustaz menjadi imam terawih untuk pelajar?”

Pengetua saya Cikgu Sani Sahwi  memberitahu saya beberapa minggu sebelum Ramadhan.

“Kalau buat jadual penggiliran tidak perlulah Ustaz datang setiap hari menjadi imam untuk pelajar”.

Guru agama di SMKE agak ramai juga. Kalau dibuat penggiliran, seorang hanya bertugas sekali sahaja untuk seminggu. Cuma kali ini saya mempunya idea baru. Melatih pelajar menjadi Imam.  Ia memberi pengalaman baru kepada pelajar itu sendiri agar lebih berani dan mampu menjadi imam solat ketika pulang kekampung mereka nanti. 


“Cikgu! Kali ini saya nak buat sedikit pembaharuan. Saya nak latih pelajar sendiri menjadi imam solat terawih. Insya Allah mereka mampu melaksanaka tugas dengan baik.”

Saya melatih pelajar senior meliputi pelajar tingkatan 6 dan juga tingkatan 5 sebagai imam . Manakala bilal dari pelabagai peringkat. Mereka perlu  memperdengar dulu bacaan ayat al Quran surah lazim sebelum lulus menjadi imam.

Alhamdulillah ramai yang  layak. Setiap orang hanya mempunyai peluang sekali atau dua kali sahaja sebagai imam.  Manakala bilal  perlu menghafal selawat antara solat terawih.     Tugas bilal lebih mudah kerana hanya menghafal selawat dan  boleh melihat kertas yang telah diliminate sebagai panduan.

Saya membuat keputusan agar doa terawih yang biasanya dibaca dalam bahasa Arab diterjemahkan dan dibaca dalam bahasa  Melayu . Saya menyusun semula doa tersebut dengan bahasa Melayu yang gramatis agar   lebih mudah menyentuh hati para pelajar.

Doa ini dibaca oleh bilal. Saya minta mereka  membaca doa ini dengan lantang menggunakan pembesar suara agar didengari dengan jelas oleh semua pelajar.  Apa yang berlaku  ialah pelajar mengaminkan doa selepas setiap ungkapan  ayat. Ia berlaku tanpa di ajar.

Kata mereka seronok  dengar doa dalam bahasa Melayu . Mereka tahu apa yang diminta.


 Ya Allah !  Jadikanlan kami   dari kalangan mereka yang sempurna imannya..

melaksakan segala tuntutan amalan yang telah difardhukan..

menunaikan solat dan melaksanakan solat dengan sempurna..

Membayar zakat sebagaimana yang telah diperintahkan

Mengejar apa saja kelebihan  pahala ganjaran   yang  Allah sediakan..

Sentiasa mengharap keampunan  segala dosa..

 

“Amiiiinnn” Suara ini  amat kuat bergema seluruh masjid apabila  ungkapan ini dibaca

Kahwinkan kami dengan bidadari putih melepak cantik jelita….

Tapi suara Amin ini hanya bergema di bahagian lelaki sahaja. Tidak dibahagian perempuan. Sesekali lucu juga mengenang keadaan ini.

Doa tersebut tidaklah ma’thur yang datang dari Rasulullah. Namun ia membawa makna yang baik   sebaiknya di baca dalam bahasa yang difahami agar boleh sampai kelubuk hati pembaca atau pendegar.  Semoga doa ini memeberi manfaat kepada pelajar dalam membentuk diri mereka.


Wednesday, March 19, 2025

KRONISME DAN RASULULLAH

 Satu ketika di bulan Ramadan saya singgah di satu masjid dalam daerah Kuala Lipis dalam  perjalanan dari  Kelantan balik ke Kota Damansara. Saya singgah untuk solat Zohor dan jamak taqdim bersama Asar.  Apabila sudah sampai ke masjid solat jemaah Zohor sudah selesai.  Ketika itu saya ada  anak kecil berumur 3 bulan yang perlu dijaga. Jadi saya bergilir dengan isteri saya untuk solat. 


Isteri saya solat dahulu sementara saya menjaga anak kecil saya  di bawah anjung tepi masjid. Sorang  Lelaki dalam umur 60an menegur saya apabila melihat saya mendukung bayi.
“Dari mana?”

“Dari Pasir Puteh.”

Kemudian kami  berkenalan dan berbual dengan lebih mesra bila sudah kenal antara satu sama lain. Dia seronok  bila mengetahui saya tinggal di Kota Damansara. Katanya dulu  dia juga tinggal di sana semasa dia bekerja di Kuala Lumpur. Ketika itu   Kawasan itu dikenali sebagai Bandar  Baru Sungai  Buloh belum lagi ditukar nama dengan Kota Damansara yang lebih gah.

En Hashim seorang bekas jurutera yang telah bekerja di sebuah syarikat perunding pembinaan yang terkenal di ibu kota ketika. Selepas bersara dia balik kampung di Kuala Lipis mengusahakan ladang sawit keluarganya.

Perbualan kami melarat ke isu politik hingga  ke isu kroni dan  nepotisme. Memang perbincangan politik ketika itu hangat dengan tuduhan kepada  pemimpin negara yang mengamalkan kronisme dan nepotisme.

“Dalam kita buat kerja atau melaksakan projek besar ni perlu kepada team. Kita perlu kepada orang yang kita kenal. Orang yang  pernah bersama kita dan memahami  prinsip dan  asas  perjuangan kita.”

“Ustaz ada pengalaman bekerja tak kat sekolah?”

“Ustaz cuba perhatikan.   Contohnya kelab guru mesti ada kat sekolah kan.  Mana lebih mudah bekerja    dengan ajk  kawan rapat kita dengan ajk yang  kita tidak kenal rapat?”

“Lebih lebih lagi jika ada projek besar yang nak dibuat.”

En Hashim  juga memberi contoh Rasulullah dan 4 khalifah selepas nabi.  Khalifah pertama dan kedua Saidina Abu Bakar  dan Saidina Umar adalah mentua Nabi. Khalifah ketiga dan keempat Saidina Usman dan Saidina Ali menantu  Rasulullah. Cuma mereka dilantik bukan dipilih dan diatur oleh Rasulullah.

Saya berhujah bahawa  Rasulullah tidak boleh dikaitkan dengan kronisme dan nepotisme kerana   mereka semua tidak dilantik dan dipilih oleh Rasulullah pun semunya dilantik berdasarkan persetujuan ramai.

Beliau bersetuju dengan pandangan saya. Cuma katanya tentang  asasnya begitulah yang ingin diberi tahu oleh Allah kepada kita.  Semua itu diatur oleh Allah yang  kita tidak boleh tolak.   Sesuatu perjuangan  itu akan disambung oleh ahli keluarga dan rakan terdekat yang  memahami  prinsip asal.

Cuma perkataan nepotisme itu  memberi keistimewaan dan peluang kepada ahli keluarga tanpa mengira merit dan kelayakan. Manakala kronisme  memberi keistimewaan dan   peluang kepada rakan baik tanpa mengira kelayakan dan merit. Keduanya konsep ini tidak boleh dikaitkan dengan  4  khalifah tersebut kerana mereka  dilantik keputusan majlis syura dan mereka layak dari segi merit.

En Hashim  bertegas mengatakan  bahawa  sejarah adalah guru terbaik kita dalam memberi panduan dan pengalaman dalam  organisasi dan membuat keputusan. Jangan kita melampau dalam menolak konsep kepentingan keluarga dan rakan baik dalam organisasi. Nanti terperangkap   dengan fakta sejarah. Lihatlah dalam tamadun lain pun   menceritakan hal  yang sama.

Sedang rancak berbual isteri saya keluar dari masjid dan  saya meminta izin dari en Hashim untuk solat. Saya berterima kasih kepadanya kerana sudi berbual berkongsi pandangan tentang politik dengan saya.


Monday, March 17, 2025

SEDIAKAN WANG KECIL UNTUK SEDEKAH

 “Duit hasil getah ni bagi duit besar atau duit kecil”.

Tanya Jah, Isteri peraih getah yang menguruskan hasil kebun ayah saya.

“Terpulang.   Boleh je mana mana kecil atau besar.” 


Saya  menjawab sambil  melihat keluar kedai. Ramai kanak-kanak dan juga orang tua di kedai seberang jalan.

“Biasanya ayah Lah  akan minta duit kecil   untuk di bahagikan kepada orang-orang tua dan juga  anak-anak kecil.”

Dia  menyambung    kata-katanya sambil menunjukkan kepada  anak-anak dan orang orang tua di kedai seberang jalan.

“Ayah Lah dulu suka  bersedekah. Kalau dia datang ambil duit hasil getah kat sini . Ramai orang akan  rasa hasilnya.” Sampuk suaminya Abe Jik yang sedang duduk  berbual bersama saya.

“Berapa dia bagi ?” Tanya saya  ingin tahu juga  kebiasaan ayah saya.

“Dia bagi tak banyak . Sorang dalam 10 Bath ja..tapi semua dapat lah.” Sambung Ab Jik.

“Mereka berkumpul tu sebab nampak  Lah datang ambil duit . Mereka tunggu lah tu.. sebagaimana biasa Ayah buat dulu.”

Mendengar keadaan itu, saya  terkesan dengan sikap ayah saya yang amat pemurah. Dia memang suka bersedekah dan tidak berkira dengan duit yang dia ada. Kadang-kadang dia sanggup  tidak makan demi orang  lain. Duitnya banyak habis untuk bersedekah dan menolong  orang susah.

Saya meminta duit kecil  10 bath sebanyak  50 keping. Kemudian saya keluar ke seberang jalan mengagihkan kepada  semua yang ada disana.   Mereka gembira mendapat bahagian masing masing.

Anak-anak kecil terus berlari masuk ke kedai Abe Jik untuk  berbelanja duit yang saya agihkan tadi. Manaka yang tua  semakin mesra dan berbual mesra bertanya khabar saya dan keluarga. Mereka bercerita tentang kebaikan ayah yang selalu membantu mereka.

Rata-rata masyarakat kampung di situ amat susah. Hanya bergantung kepada kerja menoreh getah. Duit sekecil  10 bath  itu amat bernilai buat mereka.

“Ayah Lah amat bagus.  Semua orang suka dia. Kalau dia datang sini. Orang kampung akan keluar menegurnya . Begitu juga kanak-kanak.  Sekarang dia sudah tiada.”  

Tidak habis-habis si Tauke Ajik memuji arwah ayah saya.

Ayah saya memang  seorang yang sangat pemurah dan amat prihatin dengan orang susah. Dia juga suka menggebirakan orang lain. Antaranya ialah dengan sedekah wang kecil ini.

Arwah ayah pernah bercerita pada saya agar sentiasa menyediakan wang kecil dalam dompet. Terutama duit seringgit, RM5 dan RM10.  Mudah untuk  untuk  bersedekah katanya. Kalau jumpa kanak-kanak yang kelihatannya dari  keluarga  susah kita bagikan mereka RM1.  Kalau orang dewasa mungkin boleh bagi RM5 atau RM10 mengikut kesesuaian.

Apa yang penting duit sentiasa sedia. Mudah untuk bersedekah bila ada  wujud situasi yang memerlukan.   Nasihat ayah saya ini saya amalkan sampai sekarang.  Semoga  didikan  dan ikutan ini menjadi amal jariah ayah saya di alam sana. Lebih-lebih lagi sedekah dibulan Ramadhan ini digandakan pahalanya berganda-ganda.


Friday, March 14, 2025

AMBIL BERKAH TETAMU DI BULAN RAMADHAN

 Saya dan rakan serumah, Nik Rafiq pernah dijemput untuk berbuka puasa  oleh tuan rumah sewa kami di Mafraq.  Bulan Ramadan di Jordan adalah satu pengalaman baru bagi kami yang  banyak berbeza dari Malaysia.

Kami telah sampai kerumahnya setengah jam sebelum maghrib. Tuan rumah Abu FIras dan seorang anak lelakinya menyambut kami dan mengalu-alukan kami masuk.



“Tafadhdhal.. Ahlan wasahlan”…

(Silakan.. Selamat datang)

Oleh kerana  bulan Ramadan, kami tidak disambut dengan Qahwah saadah (Kopi pahit tanpa gula) yang biasanya dihidangkan kepada tetamu sejurus selepas duduk. Kami hanya bertanya khabar tentang keluarga dan juga bertukar-tukar cerita.

Lebih kurang  5 minit sebelum berbuka anak lelakinya masuk kedapur dan mengeluarkan dua talam  nasi.  Satu talam di letak di hadapan saya dan Rafiq. Wah  nasi  penuh talam dengan 2 ekor ayam diatasnya.  Saya tak pasti apa jenis masakannya. Ia berwarna kemerah merahan.  Sekali imbas seperti ayam panggang. Nasi tersebut dihias dengan bawang  besar  dimayang nipis. Amat menyelerakan.

Kami terkejut kerana satu talam untuk kami berdua sahaja . Manakala talam satu lagi untuk tuan rumah dan anaknya hanya ada satu ekor ayam sahaja. Saya bertanyakan kepada tuan rumah.

“Adakah ini untuk saya berdua saja?”

“Kenapa talam tuan  hanya ada satu ekor ayam, sedangkan kami ada dua?”

Jawapan  tuan rumah Abu  Firas..

“Ini untuk tetamu kami. Kami gembira kerana ada tetamu yang datang berbuka membawa barakah kepada keluarga kami”.

Bila sudah masuk waktu.  Kami mula  makan kurma dan sekeping kuih ‘Qatayif’ dan terus makan nasi yang membukit itu.   Amat sedap.  Pandangan saya tersilau kepintu dapur yang tidak tertutup. Saya terlihat isterinya dan anak anak perempuannya juga sedang berbuka. Tetapi hanya memegang gelas. Tiada hidangan nasi di hadapan mereka.

Kami diruang tamu, saya, Rafiq, Abu Firas dan anaknya makan seperti biasa. Tapi saya lihat  mereka berdua makan agak laju dan tak sampai 10 minit anaknya mengangkat talam mereka kedapur. Talam bekas mereka makan itu diangkat kedapur dan diberikan kepada  isteri dan anak-anaknya.  Barulah mereka makan nasi tersebut.

Melihat keadaan ini saya  dan Rafiq rasa bersalah dan dapat  memahami keadaan sebenar.  Kami hanya menyentuh seekor sahaja ayam dalam talam tersebut dan makan nasi sebelah talam saja. Kami cuba makan dengan cepat  agar dapat selesai dengan cepat. Melihat keadaan ini Abu Firas menegur kami.

“Makan lagi… Makan sampai kenyang. Kami dah berhenti sebab nak bagi peluang anak saya makan pula.”

Mendengar perkataan itu menyebabkan kami tak sampai hati  dan mempercepatkan makan.

“Alhamdulillah . Saya dah kenyang.. Masya Allah.. terima kasih”.

Saya dan Rafiq berhenti makan dan menolak talam kami kepada Abu Firas. Terus anaknya mengambil talam kami dan dibawa kedapur.   Saya lihat anak-anak  Abu Faris berebut untuk makan dari talam kami yang  baru dibawa kedapur dan meninggalkan talam  pertama. Kami terkejut melihat keadaan ini. Mereka langsung tidak jijik makan bekas makanan kami.

“Abu Faris.. Mereka makan sisa makan kami kah?”

“Ya.. mereka ingin ambil berkat dari tetamu. Kami keluarkan semua makanan yang kami masak untuk tetamu.   Mereka akan tunggu baki  dan sisa makanan tetamu untuk makan.”

“Tetamu tidak akan habis makan tersebut.  Jadi kami sengaja buat begitu untuk dapat  merasai berkat sisa makanan tetamu.”

“Itu sudah jadi budaya kami”.

Kami terkejut mendengar penerangan tersebut. Satu kejutan dan pengalaman baru bagi kami. Nasib baik kami  hanya makan sebelah talam saja.  Tapi  ruapanya mereka mengharapkan kami makan setiap sudut talam dan merasai kedua-dua ekor ayam tersebut agar mereka dapat makan bekas kami.

Budaya ini tidak  akan  berlaku di Malasyisa. Masyarakat kita jijik untuk  makan sisa makanan orang lain. Kata Abu Firas….   Nabi sebut dalam hadis bahawa sisa makanan kucing lagikan halal dimakan inikan pula sisa tetamu Muslim.

Adakah kita boleh buat begitu di Malaysia?


Wednesday, March 12, 2025

KITA MULA SOLAT TERAWIH BESOK BUKAN HARI INI

 Itu antara kata-kata imam balaisah kampung saya yang saya masih ingat ketika ayah saya bertanya tentang  solat terawih.   Ketika itu saya masih kecil dan masih bersekolah rendah sekitar tahun 1980an.  Saya selalu mengikut ayah saya untuk solat di balaisah berdekatan dengan rumah saya. Balaisah adalah panggilan kami masyarakat Kelantan  bagi surau pada hari ini.  Masjid agak jauh dari rumah kami. Jadi kami hanya  solat berjemaah di Balaisah saja.



Ayah saya selalu bercerita kepada saya tentang beberapa pandangan yang dia kurang  bersetuju dengan beberapa ketetapan  segelintir masyarakat  Kelantan ketika itu, termasuk juga imam di balaisah kami.  Balaisah kami hanya memulakan solat terawih pada malam  2 Ramadhan.

Alasan  imam ialah:

“Kita kena puasa dulu baru boleh berterawih.”

“Ibadah terawih ini datang sekali dengan puasa.”

“Kalau belum puasa bagaimana kita nak berterawih.”

Saya pernah dengar ayah saya berbincang dengan Imam bahawa ibadah terawih ini  disunatkan  pada bulan Ramadhan dan bukannya diikat dengan puasa. Bulan Ramadhan telah masuk mulai dari  waktu maghrib lagi sebelum mula puasa esok harinya. Masjid-masjid di daerah lain pun ada yang sudah mulakan solat terawih.

Tapi Imam masih lagi  berpegang dengan pendapatnya.  Saya masih ingat  selepas solat isyak  kami balik kerumah dan solat terawih bersama keluarga pada malam pertama  Ramadhan. Ayah saya menyebut memang susah kita ingin mengubah kefahaman  masyarakat tentang sesuatu perkara. Ia memerlukan ilmu dan kefahaman. Namun kita tidak boleh terlampau keras dalam perbincangan dan perlu meraikan situasi semasa.

Selepas beberapa tahun  ada sedikit perubahan dengan Balaisah kami. Imam sudah mengubah fikiran dengan  memulakan solat terawih pada malam pertama Ramadhan . Tapi ia mula agak lewat sedikit sekita sejam selepas Isyak.   Hujahnya ialah menunggu  Mekah masuk bulan Ramadhan. Waktu Maghrib di Mekah lebih lewat berbanding  di Malaysia.

Kami hanya mengikut sahaja  ketetapan ini. Bagi  jamaah yang rumahnya berdekatan balaisah , mereka pulan dulu kerumah.  Saya dah ayah saya hanya menunggu saja di balaisah  kerana rumah kami agak jauh dan perlu berjalan kaki meredah hutan dalam kegelapan malam. Jadi lebih baik mengunggu saja. Ayah saya membaca al Quran dan saya bermain-main sekitar balaisah dengan kawan-kawan.

“Sebenarnya kita dah boleh solat terawih sejurus saja selepas Isyak.  Tidak perlu ikut waktu Mekah untuk solat terawih. Kalau ikut pandangan  yang dipegang oleh imam kita  kena puasa mula jam 10 pagi kalau begitu.”

“Berbuka pun kena lambat juga la. Tidak boleh berbuka waktu  Maghrib sebab waktu Mekah belum sampai.”  

Terang ayah saya sambil ketawa kecil ketika kami berjalan balik  kerumah selepas terawih.

Itulah yang dihadapi oleh kami dalam banyak perkara. Ayah saya banyak belajar di pondok juga.  Tapi beliau selalu mengambil jalan damai dan hanya mengikut saja  pandangan imam. Baginya hidup bermasyarakat itu lebih utama walaupun kadang-kadang  ada beberapa isu yang dia tidak bersetuju dengan imam dan juga masyarakat kampung.

Alhamdulillah selepas beberapa tahun  kemudian pandangan masyarakat kampung kami telah berubah. Mereka sudah boleh menerima faktor geografi dalam  isu solat terawih. Terawih sudah dimulai pada malam pertama.

Begitulah dinamiknya pandangan manusia.  Kita tidak perlu gelojoh dalam membuat perubahan. Ilmu, perbincangan dan kebersamaan adalah amat penting dalam hidup bermasyarakat.


Tuesday, March 04, 2025

SOLAT TERAWIH SATU AYAT SATU RAKAAT

 Pada tahun kedua kami  pelajar lelaki berpindah ke rumah sewa di pekan Mafraq.  Kami  ingin merasai suasana baru kehidupan dirumah sewa bergaul dengan masyarakat Arab tempatan. Pengalaman    baru menyambut Ramadhan di pekan Mafraq amat menarik juga.  Saya tinggal di tengah Hayyu Dhubbat di rumah Abu Safwan bersama beberapa rakan.

Kami solat terawih di masjid Anas berdekatan rumah sewa kami. Pada malam pertama sebagaimana biasa, masjid penuh melimpah dengan para jaamah. Sebagaimana pengalaman kami solat terawih di Masjid  Bilal  bin Rabah di Universiti,  solat terawih di masjid Anas juga sama. Tiada selawat antara selang solat. Kami sudah  biasa dengan budaya ini. 


Cuma ada kejutan baru bagi kami. Solat terawih amat ringkas. Setiap rakaat selepas membaca  surah al Fatihah imam hanya membaca satu ayat saya dari  surah pilihan. Saya masih ingat lagi ketika itu Imam membasa surah al Mulk.

“Tabaarakallazi…… ala  kulli syai’in qadir..” itu ayat itu saja dibaca oleh imam kemudian terus bertakbir untuk rukuk. Kami tergamam kerana tidak sempat selesai lagi membaca surah al Fatihah imam sudah rukuk. Begitu juga dengan rakaat kedua. Imam  membaca ayat kedua surah al Mulk

“Allazi  khalaqal mawta…… ghafur…” Kemudian terus rukuk. Hanya dua ayat sahaja dibaca untuk solat terawih rakaat pertama dan kedua. Kami pelajar malaysia ini yang berpegang kepada mazhab al Syafie wajib mengabiskan surah al Fatihah  sebelum rukuk kerana status kami sebagai muwafiq.  Bagi masyarakat tempatan pula tiada masalah bagi mereka kerana berpegang kepada mazhab Hanafi yang tidak memerlukan makmum  membaca surah al Fatihah kerana ia sudah memadai dengan mendengar bacaan imam sahaja.

Jadi, kelihatan secara jelaslah pelajar Malaysia yang tidak sempat rukuk bersama imam kerana perlu menghabiskan bacaan al Fatihah. Hal ini menyebabakan timbul persoalan dalam kalangan masyarakat tempatan. Bagi mereka  wajib ikut pergerakan imam dan  solat tidak sah  jika    kami tertinggal  dari pergerakan imam. Terpaksa kami terangkan kepada mereka perbezaan mazhab ini. Budaya Arab pula jenis suka menegur. Jenuh kami terangkan perbezaan ini.

“Esok kita solat terawih kat rumah sajalah. Tak ada nikmat solat terawih begini. Tercungap-cungap kita. “

“Selawat pun tak ada. Kalau solat kat rumah kita boleh buat solat terawih cara Malaysia.”

Beberapa orang rakan saya memberi cadangan.   Memang tersepit juga kami yang berpegang dengan mazhab Syafie  ni.  Ada juga cadangan supaya kami solat di masjid lain yang membaca surah lebih panjang sedikit. Iaitu di masjid besar Pekan Mafraq.

Besoknya saya solat  terawih di masjid pekan Mafraq. Masjid ini  menghabiskan satu juzuk setiap malam.  Tapi kami lebih selesa untuk solat dengan tenang. Cuma solat lambat  siaplah. Berbeza dengan masjid Anas  yang selesai solat  20 rakaat kurang dari setengah jam.

Ramai juga yang mengambil keputusan untuk solat terawih di rumah saja . Lebih selesa dan menggamit nostalgia dengan selawat  antara dua solat. Terpulang kepada  keselesaan masing-masing. Apa yang penting jangan kita lepaskan peluang ganjaran dan rahmat  bulan Ramadhan yang  mulia ini.


Monday, March 03, 2025

TERAWIH TANPA SELAWAT

 Menyambut Ramadhan kali pertama di negara asing adalah satu pengalaman yang amat mengujakan.  Malam pertama ramadhan kami  pelajar Malaysia yang tinggal di asrama Universiti al Albayt awal-awal lagi berkumpul di masjid Bilal bin Rabah untuk solat tarawih.  Masjid agak jauh juga dari asrama kami. Dalam kesejukan malam kami redah juga  kebun zaiton sebagai jalan pintas untuk ke masjid. 

Solat tarawih di Jordan dilaksanakan sebanyak 20 rakaat juga bukan sebagaimana yang saya dengar bahawa orang ada mengatakan solat sunat tarawih adalah 8 rakaat.  Selepas Isyak imam memulakan solat sunat tarawih. Dia membaca surah panjang al Quran bagi setiap rakaat, tapi tidak telalu panjang mungkin setengah muka atau kurang.

Apa yang baru  bagi kami ialah apabila selesai saja tahiyyat akhir dua rakaat solat sunat , imam terus  bangun mengangkat takbir untuk solat 2 rakaat seterusnya. Tiada selawat atau rehat sekejap. Saya kami pelajar Malaysia berpandangan sesama sendiri. Ini baru bagi kami.

Begitu juga selepas 2  rakaat kedua  pun sama. Tiada doa dipanjatkan oleh imam. Dia terus bangun untuk mengangkat takbir untuk solat  bagi rakaat ke lima dan enam.  Kami yang sudah biasa dengan budaya solat tarawih di Malaysia sedikit lelah kerana tiada rehat antara dua solat.  Masalah yang kedua  ialah kami perlu mengira  sudah berapa rakaat solat terawih.

“Sudah berapa rakaat kita solat?”   saya bertanyakan rakan arab sebelah saya.

“arbaah (empat)”.Dia menjawab  menunjukkan isyarat 4 jari sahaja kepada saya.

Selepas beberapa malam saya solat terawih, saya  hanya pasrah  kepada imam sahaja berapa rakaat  terawih. Saya  sudah tidak kesah berapa rakaat sudah selesai. Hanya    solat mengikut imam sahaja.  Walaupun solat terawih 20 rakaat   saya perhatikan  tiada mereka yang berpegang kepada solat terawih 8 rakaat.

Selepas    8 rakaat tiada ahli jamaah yang   bergerak keluar dari masjid melainkan beberapa orang pelajar Malaysia sahaja. Amat berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia.  Semua yang ada di Masjid akan menyelesaikan solat terawih sebanyak 20 rakaat termasuk 3 rakaat  witir.

Begitulah semangat masyarakat di sini solat terawih. Masyarakat arab betul-betul mengejar pahala  ibadah di bulan Ramadhan. Mereka membudayakan  membaca al Quran dan juga solat terawih 20 rakaat sepanjang malam bulan Ramadhan. Semangat mereka melebihi  masyarakat kita di Malaysia.

Dalam diam saya insaf dan juga kagum dengan masyarakat Arab  disini . Walaupun dalam keadaan serba serbi kekurangan  mereka masih kuat hubungan dengan Allah Talaa dan memeriahkan bulan Ramadhan dan mengejar pahala dan barakah yang Allah sediakan kepada hambanya.

Ramadhan Karim.

Sunday, March 02, 2025

SEMUA ORANG BACA AL QURAN

 Kali pertama saya menyambut bulan Ramadhan di Jordan ialah pada tahun 1995. Ketika itu saya  berada masih  menginap di asrama Universiti  al Albayt. Bulan pada masa itu  kalau tak silap saya  pada pengujung musim sejuk sekitar bulan Febuari. Cuaca  dan suhu masih lagi sejuk dan  sudah mula masuk pada musim bunga. 


Kali pertama berpuasa berjauhan dari keluarga  memberi pengalaman tersendiri. Hanya bersahur dan berbuka bersama rakan-rakan di asrama. Tiada lagi masakan dan kuih muih  tempatan seperti akok, cendol, nasi  kerabu dan sebagainya. Kami terpaksa membiasakan diri dengan makanan tempatan. Nasi maqlubah , nasi mandi dan juga kuih katayif yang tawar. Sudah terpaksa begitu dan  kami makan apa yang ada.

Cuma apa yang saya perhatikan perbezaan yang ketara budaya Arab ada bulan Ramadhan. Budaya membaca al Quran menjadi satu kelaziman pada masyarakat Arab. Kita boleh lihat orang membaca al Quran di mana-mana sahaja. Di masjid sebelum waktu solat dan diluar waktu solat  setiap orang memegang al Quran dan membacanya secara individu. Jika diluar masjid pun, ketika menunggu waktu kuliah pun ada yang membuka al Quran dan membacanya.

Ketika saya keluar kebandar Mafraq pun saya perhatikan ketika menunggu bas kita dapat lihat ramai yang membaca al Quran. Ketika dalam Bas pun ada yang membaca al Quran. Ketika di bandar  pun saya lihat peniaga membaca al Quran sambil menunggu pelanggan.   Semasa di Pasar untuk membeli buah pun penjual  membaca al Quran . Dia berhenti sekejap bila saya ingin  membeli buah. Selepas menimbang buah dan menerima bayaran  mereka kembali membaca al Quran.

Banyak kedai memasang kaset bacaan al Quran. Saya boleh mendengar bacaan al Quraan di mana-mana sahaja. Satu pengalaman baru bagi saya. Masyarakat  Arab betul-betul memeriahkan bulan Ramadhan dengan membaca al Quran.

Saya pertanya seorang pakcik  pekedai ketika saya membeli sedikit peralatan memasak.

“Ammu. Bagus ya . Saya ramai orang membaca al Quran  bulan Ramadhan ni. Suasana yang baru bagi saya”.

“Ya Ibni..  Ini Bulan Ramadhan. Bulan yang Allah muliakan dengan al Quran. Allah turunkan al Quran pada bulan mulia ini.  Allah minta kita perbanyakkan membaca al Quran di bulan ini.”

“DI Malaysia tak adakah orang baca al Quran begini?” Tanya Ammu tersebut pada saya selepas dia menerangkan kepada saya tentang  kaitan Ramadhan dan al Quran.

“Ada juga. Tapi tidak lah semeriah begini.   Tadarus al Quran  kat masjid saja.  Tapi budaya membaca a Quraan    tidak nampak dengan jelas.”.

“Ibni… (Anakku).. Kamu kena ambil peluang keberkatan bulan Ramadhan ini. Baca sebanyak mana al Quraan. Allah gandakan pahala kami berganda-ganda.  Kalau di bulan biasa membaca al Quran  satu huruf  diganjarkan 10 kebajikan. Dibulan mulia ini digandakan lagi sepuluh    jadi satu huruf jadi 100 kebajikan. Bayangkan kalau kamu baca al Quran  dua atau tiga juzuk sehari. Kamu jadi orang kaya nanti. Kaya di Akhirat lah”.

Panjang syarahan ammu penjual periuk pada saya.  Ya. Saya melihat budaya tilawah al Quran ini  menjadi sebati dalam masyarakat Arab di sini pada setiap peringkat umur.   Kita lihat ramai yang memegang al Quran kecil dengan ralit dengan al Quraan masing-masing.  Mereka dilihat kurang berbual-bual kosong sesama  mereka.

Budaya ini  amat bagus untuk dicontohi dan terapkan dalam diri kita.   Semasa di Masjid Bilal bin Rabah saya mendengar syarahan Imam Syeikh Ahmad  menghuraikan hadis  ‘ Sesiapa memakmur dan memeriahkan bulan Ramadhan dengan ibadah dengan keimanan  dan ihtisaban , Allah akan ampunkan dosanya yang lampau.

مَن قام رمضان إيمانًا واحتسابًا غُفر له ما تقدَّم من ذنبه

Lafaz ‘iimaanan’ bermaksud  yakin dengan janji Allah memberi ganjaran yang besar bagi mereka yang membuat amal soleh di bulan Ramadhan. Manakalan ‘Ihtisaban’ bermaksud mengejar , berebut,  mengira-ngira   amalan dan ganjaran pahala yang dia dapat sepanjang bulan  Ramadhan ini.   Sikap mengejar dan berusaha melakukan sebanyak mana mungkin ibadah dan amal soleh   akan  melayakkan seseorang itu  diampunkan segala dosanya yang lampau dan terkemudian.

Marilah kita sama-sama meriahkan bulan Ramadhan ini dengan merebut ganjaran besar yang Allah telah sediakan kepada kita. Banyakkan baca al Quran. Buatlah target individu. Satu Juzuk sehari atau lebih. Mungkin boleh kita usahakan sehingga 5 juzu sehari.  Kurangkan membaca Whatapps, Insta, X dan media sosial lain yang banyak melekakan kita .

Semoga Ramadhan kali ini berjaya mendidik diri kita yakin kepada janji Allah dan kita berjaya meraih ganjaran pahala dan rahmat dari Allah.