Friday, October 09, 2026

LEPAS SALAM TERUS BERGAMBAR!

 TRAVELOG MAGHRIBI | MASJID HASSAN II, CASABLANCA

Sebelum menunaikan solat Asar, Muaz sudah berbisik kepada saya.

“Baba, lepas salam nanti kita kena terus bergambar. Tak payah tunggu selesai wirid dan doa.”

Saya mengangguk sahaja walaupun agak kehairanan.

Pelik juga. Takkanlah baru lepas salam terus nak bergambar?

Namun, saya tidak banyak bertanya. Muaz sudah biasa dengan suasana masjid di Maghribi. Tentulah dia lebih mengetahui selok-beloknya berbanding saya yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Masjid Hassan II ini.

Sebaik sahaja imam memberi salam, Muaz terus mencuit saya. 


“Baba, jom! Kita pergi belakang.”

Kami segera bergerak ke bahagian belakang ruang solat. Kamera telefon bimbit mula memainkan peranannya.

Subhanallah!

Sungguh indah seni bina masjid ini. Ukiran halus pada dinding, tiang-tiang yang tersusun megah, siling yang tinggi dan hiasan bercirikan seni Islam Maghribi benar-benar memukau pandangan.

Ruang solatnya begitu luas. Rasanya kalau hendak meneliti setiap sudut dan keunikan seni binanya, satu jam pun belum tentu mencukupi.

Kami bergilir-gilir mengambil gambar. Sekejap Muaz menjadi jurugambar, sekejap saya pula mengambil gambarnya.

Namun, dalam keseronokan itu, hati saya tetap berasa sedikit janggal.

Jemaah lain masih duduk berwirid dan berdoa. Kami pula sibuk berjalan sambil mengambil gambar!

Macam kurang manis pula perbuatan kami ini.

Tetapi Muaz sudah mengingatkan saya lebih awal.

“Kalau tunggu habis doa, memang tak sempat, Baba. Nanti masjid terus tutup.”

Saya terpaksa mempercayainya.

Wirid dan doa selepas solat

Ada satu perkara menarik yang saya perhatikan sepanjang berada di dalam masjid ini.

Selepas solat, imam turut memimpin wirid dan doa. Amalan ini tidaklah terlalu asing bagi kita di Malaysia.

Cuma terdapat sedikit perbezaan dari segi pelaksanaannya.

Bacaan imam kedengaran perlahan. Saya tidak dapat mendengar dengan jelas keseluruhan wirid dan doanya. Para jemaah pula kelihatan berzikir dan berdoa dengan tenang.

Suasananya agak berbeza daripada kebiasaan di sebahagian masjid di Malaysia, apabila imam memimpin zikir dan doa menggunakan pembesar suara sehingga dapat didengari oleh seluruh jemaah.

Ada kalanya suara yang terlalu kuat boleh mengganggu mereka yang masih menyempurnakan solat, khususnya makmum masbuk.

Pada pandangan saya, kedua-dua suasana ini mengingatkan kita kepada pentingnya menjaga adab dan keselesaan orang lain ketika beribadah.

Zikir dan doa merupakan amalan yang sangat baik. Namun, pelaksanaannya juga perlu mengambil kira keadaan jemaah di sekeliling.

Rupa-rupanya Muaz betul!

Selesai sahaja doa, saya melihat para jemaah mula bangun dan bergerak menuju ke pintu keluar.

Tidak ada yang berlengah-lengah.

Maklumlah, selepas solat Asar tidak ada solat sunat ba'diah yang disyariatkan secara khusus sebagaimana selepas Zuhur, Maghrib dan Isyak.

Dalam beberapa ketika sahaja, ruang solat yang tadinya dipenuhi jemaah mula lengang.

Akhirnya, tinggal saya dan Muaz yang masih sibuk mengambil gambar.

Belum puas kami merakamkan keindahan masjid, pintu utama sudah pun ditutup!

Seorang petugas masjid datang menunjukkan kepada kami sebuah pintu kecil yang masih terbuka.

Melalui pintu itulah kami diarahkan keluar.

Barulah saya faham mengapa Muaz bersungguh-sungguh berpesan supaya kami bergambar sejurus selepas salam.

Nasib baik ikut cakap Muaz. Kalau tidak, satu gambar pun mungkin tak sempat diambil!

Walaupun begitu, hanya beberapa sudut masjid sahaja yang sempat kami rakamkan.

Saya masih belum puas menikmati keindahan ruang dalam Masjid Hassan II yang begitu mengagumkan.

Masjid ditutup selepas solat?

Sebaik sahaja keluar, Muaz menerangkan kepada saya tentang kebiasaan waktu pembukaan masjid yang diketahuinya sepanjang tinggal di Maghribi.

Menurutnya, banyak masjid di sini dibuka menjelang waktu solat fardu berjemaah dan ditutup semula tidak lama selepas jemaah selesai menunaikan solat.

Bagi waktu solat yang mempunyai sunat ba'diah, jemaah diberikan kesempatan untuk menyempurnakannya sebelum masjid ditutup.

Bagaimanapun, antara Maghrib dengan Isyak, sesetengah masjid dibuka lebih lama kerana jarak antara kedua-dua waktu solat itu agak dekat.

Masjid Hassan II yang kami kunjungi pada petang tersebut juga memperlihatkan amalan pengurusan waktu yang agak ketat.

Saya tertarik memikirkan perkara ini.

Di Malaysia, kita sudah biasa melihat masjid yang dibuka dalam tempoh panjang. Malah, terdapat masjid yang boleh dikunjungi sepanjang hari dan malam.

Sesiapa sahaja boleh singgah untuk solat, membaca al-Quran, beriktikaf atau sekadar berehat sebentar dalam perjalanan.

Sebaliknya, pengalaman saya pada hari itu memperlihatkan pendekatan pengurusan yang berbeza.

Sudah tentu tidak adil untuk mengatakan semua masjid di Maghribi mempunyai peraturan yang sama. Waktu pembukaan boleh berbeza mengikut tempat, pentadbiran dan fungsi sesebuah masjid.

Namun, pengalaman di Masjid Hassan II ini benar-benar membuka mata saya.

Mengapa masjid perlu dikunci?

Muaz turut menceritakan bahawa antara alasan yang pernah didengarnya berkaitan penutupan masjid di luar waktu solat ialah untuk mengelakkan ruang masjid digunakan sebagai tempat tidur atau perlindungan oleh mereka yang tidak mempunyai kediaman.

Saya tidak pasti sejauh mana alasan tersebut menjadi dasar rasmi pengurusan masjid di Maghribi.

Mungkin terdapat pertimbangan lain seperti keselamatan, kebersihan, penyelenggaraan dan kawalan pengunjung, lebih-lebih lagi bagi masjid besar yang menjadi tarikan pelancong seperti Masjid Hassan II.

Namun, cerita itu membuatkan saya berfikir.

Apakah sebenarnya fungsi sebuah masjid dalam kehidupan masyarakat Islam?

Adakah masjid sekadar tempat umat Islam datang menunaikan solat fardu berjemaah, kemudian pulang ke rumah masing-masing?

Atau masjid sepatutnya menjadi pusat kehidupan umat Islam yang lebih luas?

Terkenang suasana masjid di Malaysia

Saya teringat suasana masjid-masjid di tanah air.

Banyak masjid di Malaysia bukan sekadar menyediakan ruang untuk solat berjemaah.

Ada yang menyediakan air minuman percuma, ruang makan, kerusi rehat, tandas yang selesa dan tempat persinggahan untuk musafir.

Malah, terdapat masjid yang menyediakan kemudahan mandi, ruang berehat serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Masjid juga menjadi tempat berlangsungnya kuliah agama, kelas al-Quran, program kebajikan, majlis ilmu dan pertemuan masyarakat.

Sudah tentu tidak semua masjid dibuka 24 jam. Ada yang terpaksa dikunci pada waktu tertentu kerana masalah keselamatan, kecurian atau kekurangan petugas.

Namun, secara umumnya, usaha menjadikan masjid sebagai pusat ibadah dan kehidupan masyarakat merupakan sesuatu yang sangat baik dan wajar diperkasakan.

Saya teringat firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah, ayat 18:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk dalam kalangan orang yang mendapat petunjuk.”(Surah al-Taubah, 9:18)

Ayat ini mengingatkan kita bahawa memakmurkan masjid bukan sekadar membina bangunan yang besar, indah dan tersergam megah.

Memakmurkan masjid juga bermaksud menghidupkannya dengan keimanan, ibadah, ilmu dan pelbagai amalan kebaikan.

Masjid yang indah memang membanggakan.

Namun, masjid yang hidup dengan kehadiran manusia yang beribadah, menuntut ilmu dan saling membantu jauh lebih bermakna.

Masjid bukan sekadar bangunan

Saya tidak mengatakan pendekatan pengurusan masjid di Maghribi salah, manakala pendekatan di Malaysia semuanya betul.

Setiap negara mempunyai latar masyarakat, keperluan keselamatan dan kaedah pentadbiran yang tersendiri.

Masjid Hassan II pula merupakan sebuah monumen seni bina Islam yang sangat besar dan memerlukan pengurusan yang rapi.

Cuma, sebagai seorang Muslim, saya berharap agar masjid di mana-mana sahaja dapat menjadi tempat yang sentiasa dekat dengan kehidupan umat Islam.

Masjid bukan sekadar bangunan yang dibuka ketika azan dan dikunci selepas solat.

Masjid ialah tempat manusia mendekatkan diri kepada Allah, mencari ketenangan, menambah ilmu dan membina persaudaraan.

Bahkan, dalam sejarah Islam, Masjid Nabawi pada zaman Rasulullah SAW memainkan peranan yang sangat luas. Selain menjadi tempat solat, masjid juga merupakan pusat pendidikan, pertemuan masyarakat dan pelbagai urusan umat Islam.

Saya teringat pula kepada golongan Ahl al-Suffah, iaitu sebahagian sahabat Nabi SAW yang miskin dan tidak mempunyai kediaman tetap. Mereka mendapat tempat berlindung di kawasan berbumbung yang bersambung dengan Masjid Nabawi.

Sejarah ini memberikan pengajaran bahawa masjid mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan kebajikan dan keperluan masyarakat.

Sudah tentu pengurusan masjid pada zaman moden memerlukan peraturan yang sesuai. Namun, peraturan tersebut sewajarnya membantu masjid mencapai tujuan pengimarahan, bukan menjauhkannya daripada masyarakat.

Petang itu, saya meninggalkan Masjid Hassan II dengan dua perasaan.

Pertama, rasa kagum terhadap kehebatan seni bina Islam yang dipamerkan melalui masjid yang tersergam indah di pesisir Lautan Atlantik.

Kedua, rasa syukur kerana di Malaysia kita mempunyai banyak masjid yang bukan sahaja indah bangunannya, bahkan berusaha menyediakan pelbagai kemudahan kepada masyarakat.

Masjid yang hebat bukan hanya masjid yang indah dipandang, tetapi masjid yang sentiasa dirindui untuk dikunjungi.

No comments: