Monday, March 03, 2025

TERAWIH TANPA SELAWAT

 Menyambut Ramadhan kali pertama di negara asing adalah satu pengalaman yang amat mengujakan.  Malam pertama ramadhan kami  pelajar Malaysia yang tinggal di asrama Universiti al Albayt awal-awal lagi berkumpul di masjid Bilal bin Rabah untuk solat tarawih.  Masjid agak jauh juga dari asrama kami. Dalam kesejukan malam kami redah juga  kebun zaiton sebagai jalan pintas untuk ke masjid. 

Solat tarawih di Jordan dilaksanakan sebanyak 20 rakaat juga bukan sebagaimana yang saya dengar bahawa orang ada mengatakan solat sunat tarawih adalah 8 rakaat.  Selepas Isyak imam memulakan solat sunat tarawih. Dia membaca surah panjang al Quran bagi setiap rakaat, tapi tidak telalu panjang mungkin setengah muka atau kurang.

Apa yang baru  bagi kami ialah apabila selesai saja tahiyyat akhir dua rakaat solat sunat , imam terus  bangun mengangkat takbir untuk solat 2 rakaat seterusnya. Tiada selawat atau rehat sekejap. Saya kami pelajar Malaysia berpandangan sesama sendiri. Ini baru bagi kami.

Begitu juga selepas 2  rakaat kedua  pun sama. Tiada doa dipanjatkan oleh imam. Dia terus bangun untuk mengangkat takbir untuk solat  bagi rakaat ke lima dan enam.  Kami yang sudah biasa dengan budaya solat tarawih di Malaysia sedikit lelah kerana tiada rehat antara dua solat.  Masalah yang kedua  ialah kami perlu mengira  sudah berapa rakaat solat terawih.

“Sudah berapa rakaat kita solat?”   saya bertanyakan rakan arab sebelah saya.

“arbaah (empat)”.Dia menjawab  menunjukkan isyarat 4 jari sahaja kepada saya.

Selepas beberapa malam saya solat terawih, saya  hanya pasrah  kepada imam sahaja berapa rakaat  terawih. Saya  sudah tidak kesah berapa rakaat sudah selesai. Hanya    solat mengikut imam sahaja.  Walaupun solat terawih 20 rakaat   saya perhatikan  tiada mereka yang berpegang kepada solat terawih 8 rakaat.

Selepas    8 rakaat tiada ahli jamaah yang   bergerak keluar dari masjid melainkan beberapa orang pelajar Malaysia sahaja. Amat berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia.  Semua yang ada di Masjid akan menyelesaikan solat terawih sebanyak 20 rakaat termasuk 3 rakaat  witir.

Begitulah semangat masyarakat di sini solat terawih. Masyarakat arab betul-betul mengejar pahala  ibadah di bulan Ramadhan. Mereka membudayakan  membaca al Quran dan juga solat terawih 20 rakaat sepanjang malam bulan Ramadhan. Semangat mereka melebihi  masyarakat kita di Malaysia.

Dalam diam saya insaf dan juga kagum dengan masyarakat Arab  disini . Walaupun dalam keadaan serba serbi kekurangan  mereka masih kuat hubungan dengan Allah Talaa dan memeriahkan bulan Ramadhan dan mengejar pahala dan barakah yang Allah sediakan kepada hambanya.

Ramadhan Karim.

No comments: