Wednesday, July 16, 2025

SAYA MAHU BAYAR HUTANG

 "Abdullah!​ Boleh saya nak pinjam duit USD600."

Pinta Elnour, sahabat Rusia yang berkunjung ke rumah saya malam hari seorang diri. Biasanya mereka ni kalau datang kerumah saya akan berjmaah bersama rakan rakan yang lain. Rupanya kunjungannya malam ini mempunyai hajat tertentu yang mungkin dia malu jika diketahui oleh rakan yang lain. 


Rumah sewa di hujung Hayyu Dhubbat jauh terpencil dari rumah pelajar Malaysia yang lain. Saya tinggal dengan sahabat saya Nik Rafiq dan 3 sahabat lain. Asimm dari Macedonia, Ammar dari Kosova dan Zahir dari Jerman. Rumah saya sentiasa menjadi tempat berkumpul rakan rakan albayt dari pelbagai negara.

Ketika itu bermula musim panas. Semester musim panas singkat hanya 2 bulan sahaja.  Pengajian di semester ini adalah pilihan. Ramai pelajar yang balik ke negara masing masing melepas rindu kepada keluarga.

Rupanya Elnour tak dapat menahan rindu keluarganya. Beberapa rakan rakan serumahnya sudah pulang. Dia tidak tahan berseorangan di rumah sepanjang cuti musim panas ini.

"Nanti saya akan bayar bila balik ke sini nanti". Pujuknya penuh pengharapan.

Setahu saya dia dari keluarga miskin. Sebab itulah dia tidak pernah pulang bercuti. Keluarganya tak mampu sediakan tambang penerbangan ke Moscow dan kemudian ke wilayahnya. Perbelanjaan pengajiannya di Universiti al Albayt ditaja oleh kementerian waqaf Jordan.

Saya berbincang dengan rakan serumah saya Rafiq untuk membantu Elnour. Saya sebenarnya mampu memberi pinjam wang sebagaimana diminta. Saya baru ja keluarkan duit belanja dari Investment Bank di Amman dua minggu lepas untuk bekal untuk beberapa bulan.

Cuma dalah hati saya ada sedikit ragu, bolehkah Elnour ni membayar balik hutang saya. Sebelum ini dia meluahkan perasaan dia mengatakan dia tidak minat belajar Syariah ni. Dia meminati  bidang Profesional dan juga teknikal.  Mungkin bila balik nanti dan  tidak lagi datang balik ke Jordan.  Jadi bagaimana dengan hutang saya  tu. Jumlah agak besar juga.

Saya dan Rafiq bersepakat untuk berkongsi separuh seorang. Saya   mengeluarkan USD300 dan Rafik juga USD300. Jika dia  Elnour tidak kembali ke Jordan  tidaklah berat sangat hati kami untuk menghalalkannya.   Selalu ja rakan-rakan yang meminjam duit dari saya dan Rafiq. Kalau rakan Melayu kami ni agak susah untuk membayarnya. Ada juga juga yang terlupa terus.

Pengajian semester satu  pada bulan september sudah bermula. Saya tidak melihat kelibat Elnour. Saya bertanya khabar  kepada rakan Rusianya tentang Elnour. Mereka pun tidak pasti akan datang atau tidak.  Sampai akhir semester bulan  Disember pun dia tidak muncul. Saya dan Rafiq sudah pasrah dan kami niatkan sebagai sedeqah saja lah.

Seminggu sebeum semester dua bermula  dalam  sekitar dalam bulan Januari dan ketika itu  musim sejuk belum berakhir. Salji sudah berakhir namun suhu waktu malam masih boleh jatuh serendah -4  Selsius. Kami hanya banyak berada dalam rumah sahaja  terutama waktu malam.

Satu malam  ketika saya dan rafiq leka menonton tv  program lewat malam. Waktu itu jam sudah hampir jam 12. Tiba-tiba loceng rumah berbunyi. Lama juga ianya ditekan. Kami hairan  siapa yang   datang dalam keadaan cuaca sejuk sebegini. Boleh beku tangan dan telinga siapa yang keluar rumah pada waktu begini.

Saya bangun membuka pintu dan terlihat seorang pemuda     bertarbus menutup kepala dan berjaket  kulit tebal .

“Saya Elnour… datang nak bayar hutang.”

Dia memperkenalkan dirinya apabila melihat saya terkebil seolah tidak mengenalinya. Dia mengeluarkan duit dari poketnya dan mengiranya sekali lagi.

“Allah. .. Besok pun boleh bayar.  Tak perlu datang malam malam begini.”.

“Tak boleh. Saya mesti bayar hutang segera. Saya baru sampai ni. Dari Epot terus kesini. Saya tak boleh tidur kalau tak bayar hutang.”  Jawabnya sambil mengulurkan   6 keping duit  600 USD. Duit itu  masih baru , masih keras dan baru keluar dari bank.

Saya  menyarungkan jaket  dan  keluar menghantarnya ke halaman rumah.  Saya lihat ada teksi epot berwarna hitam sedang menunggu. Betul lah  dia terus kerumah saya dari epot semata-mata untuk membayar hutang dalam  kedinginan malam musim sejuk.

Saya amat kagum dengan prinsip Elnour yang  amat amanah dalam berhutang.  Kalaulah prinsip ini ada dalam kalangan rakan rakan Melayu kami  alangkah bahagianya. Tapi sayang seribu kalu sayang.


No comments: