Friday, July 25, 2025

JIWA MESTI KERAS SANGGUP PIJAK KEPALA ISTERI!

Petang Jumaat selepas makan tengah hari dirumah kawan di tengah Hayyu Dhubbat, saya berjalan kaki ke pasar mencari beberapa barang yang diperlukan. Oleh kerana saya tinggal berdua tidak ekonomik untuk memasak. Jadi hanya menumpang berkongsi memasak dengan rumah kawan kami yang ramai ahlinya. Lebih jimat dan menguntungkan.

Kali ini saya membeli banyak jenis buah sebagai santapan santai hujung minggu sambil menonton filem. Kawan serumah saya telah pinjam beberapa  tape video filem P. Ramlee dan Sitcom Pi mai Pi Mai Tang Tu dari senior kami di Amman. 


Penuh tangan saya membimbit buah ‘Durak, khukh, Inab hitam dan juga karaz. Kali ini banyak jenis buah dibeli. Mahu tenangkan fikiran dengan makan buah buahan.

Biasanya kalau tidak banyak barang, saya hanya balik kerumah berjalan kaki sahaja. Hari  ini banyak barang yang perlu di bawah. Saya  mengambil menaiki teksi atau pikup untuk balik kerumah di Hayy Dhubat.  Tambang pun murah saja. Hanya setengah dinar sahaja.

Saya menahan   teksi berwarna kuning yang kebetulan melintas di depan mata. Teksi kuning model Nissan Sentra  itu berhenti. Saya membuka pintu dan masuk dan pemandu terus menyapa saya..

“Ahlan akhi..… Apa khabar..?”

“Apa khabar keluarga kamu?”

“Bagaimana pengajian kamu?”

Begitulah budaya Arab..suka bermujamalah.. bertubi tubi soalan dihala kepada saya. Jawapannya mudah saja.

“Alhamdulillah… Khair…”

Mahmoud, pemandu teksi ini sudah mengenali saya. Banyak kali saya menggunakan khidmatnya . Beberapa kali juga dia menghantar saya ke Universiti bila saya terlewat dan ketinggalan bas. Pekan Mafraq ni kecil saja mudah nak mengenali Arab terutama yang baik dengan pelajar Malaysia.

Tanpa diberitahu, dia terus menuju kerumah saya.  Kami berbual bual kosong pelbagai topik.  Ketika sudah hampir kerumah saya. Saya membuka topik pasal kawin. Imad ni  baru beberapa tahun kawin dan mempunyai seorang anak perempuan kecil. Saya  bertanya pandangannya tentang  tentang tawaran Abu Raghib tersebut.

“Ha ha.. Ballah… An Jaad..  Aradh alaika bintah.?”

( Demi Allah.. Seriuskah? Dia tawarkan anak perempuan dia pada kamu?)

“Ini pelik. Amat jarang berlaku. Mungkin kamu  ni jejaka mulia , akhlak baik, bertaqwa. Dia percaya kepada kamu.  Biasanya nak lepaskan anak perempuan ke kabilah lain pun susah.  Inikan pula kepada  Malizi yang   jauh beribu batu.”

Teksi sudah sampai  hadapan rumah saya. Namun perbualan masih hangat. Kami terus berbual dalam kereta.

“Tapi aku lihat kamu Maliziy ni amat lembut dan beradab. Aku tidak pernah lihat Maliziy marah marah. Apatah lagi bertengkar. Amat berbeza dengan bangsa kami. Semua hal mahu bertelagah. Semua perkara mahu dibangkang.  Keras kepala.  Sama saja lelaki atau perempuan.”

Aku termanggu  mendengar Mahmoud  bercerita dengan penuh semangat.. macam berkhutbah.

“Berdasarkan pengalaman aku  yang sudah berkeluarga. Aku perhatikan kehidupan dan budaya masyarakat aku. Aku nampak macam  susah  serasi antara Maliziy dan Urduniy.”

“Saya pernah lihat lelaki Arab bergaduh. Kalau perempuan tidak pernah pula. Setakat saya lihat    perempuan atau gadis Arab juga lembut dan beradab. Sama ja dengan  Maliziy.” Saya mencelah.

“Ha ha.. kamu tak pernah lihat lagi.. Mereka tak bertengkar kat luar. Ha.. kalau dalam rumah  mahu kiamat la juga gayanya.”

“Hidup berumah tangga suami isteri ini bukan tiap hari senang.. ada hari juga berperang. Banyak kali. Aku rasa perempuan Malaysia bertengkar dengan suami lawan mulut saja..  kalau suami angkat suara sikit mereka diam.”

“Kami ni, kalau bertengkar, Isteri  lawan secara fizikal juga. Bukan sekadar mulut.  Teruk .  Golongan suami kena tegas dan keras. Kalau berlembut  memang tak selesai masalah.”

“Kalau kamu sanggup pijak kepala isteri kamu ketika bertengkar,  Kamu akan mampu  tundukkan isteri kamu. Begitu lah contoh mudah aku bagitahu kamu.”

“Aku bukan nak memburukkan bangsa aku. Aku bukan juga nak menakut nakutkan kamu. Tapi itulah realiti  budaya kami.  Kamu mampukah?”

“Aku rasa Abu Raghib tu dah fikir panjang untuk kepentingan anak dia. Dia  mahu anaknya selamat dan bahagia dengan Maliziy yang terkenal lembut dan sopan. Dia lebih percaya kamu dari bangsanya sendiri yang sudah terkenal kasar.”

“Hah satu lagi. Kamu pun lihatkan  falsafah kami. Lepas kawin perempuan mesti gemuk gedempol. Lelaki mesti ‘kirsy..”  (perut buncit) sebagai tanda bahagia. Isteri aku tu dulu cantik, ramping bak bidadari. Sekarang lepas dapat anak seorang  dah jadi   saiz beruang. Terima sajalah.” Ujar Imad sambil gelak panjang.

“Kerja aku sebagai pemandu teksi ni penat amat..  balik rumah dah malam. Aku nak rehat. Tapi, bukan dapat rehat pun. Kena paksa bagi nafkah batin pula. Kalau tak bagi, perang besar nanti.  Kadang kadang kalau aku letih sangat aku balik rumah keluarga aku dulu . Berehat dan tidur sepuas nya lepas itu baru balik rumah.”

Aku tergelak mendengar luahan Mahmoud. Lama juga kami berbual.  Saya  menghulurkan tambang setenga  dinar pada Mahmoud.

“Kamu tak lambat kah?.. kamu dah rugi berapa ramai pelanggan  kerana melayan  saya kat sini.”

“Ma alaisy ya akhi… nahki kalam jamil.. nasihah… lil ikhwah..” Dia menjawab sambil mengangkat kedua belah tangannya.

“Ingat tu…   hati kamu mesti keras sehingga sanggup pijak kepala isteri baru kamu layak kawin dengan Arab. Itu nasihat ikhlas dari aku.”

Mahmoud mengangkat tangannya kepadaku dan berlalu pergi meninggalkan aku menjinjing buah buahan tadi.

Adakah saya sanggup memijak kepada Dana nanti bila bertengkar nanti?. Tidak sanggup saya membayangkannya situasi itu.

Islam mengajar para suami berbuat baik dan berlembut dengan isteri. Konflik rumah tangga perlu diuruskan dengan baik dan bijaksana.  Saya teringat ayat al Quran Surah An-Nisa' ayat 19

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ

"Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang baik (ma'ruf).”

 Rasulullah juga berpesan dalam Hadis Riwayat al-Tirmizi & Ibn Majah

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ، وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

"Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku."

 Juga Hadis Aisyah RA – Riwayat al-Bukhari Aisyah berkata: “Tidak pernah sama sekali Rasulullah SAW memukul apa-apa dengan tangannya, tidak juga perempuan dan tidak juga khadam...”

Usahkan pijak kepala. Naik tangan pun tidak pernah dibuat oleh Rasulullah. Rasulullah adalah qudwah terbaik sebagai suami yang menyantuni ramai isterinya yang pelbagai wataknya.

Ketika  sedang menaiki tangga kerumah saya ditingkat atas, terlintas difikiran. Kalau  lah  si gadis manis  bertudung labuh yang saya lihat di perpustakaan tempoh hari tu jadi isteri. Tak perlu rasanya saya angkat  suara jika  berbalah. Pijak kepala jauh sekali. Itu bukan ajaran Islam, bukan juga budaya Melayu.


No comments: