Thursday, July 17, 2025

API NERAKA ITU PANAS

 Abu Ammar akan membisikkan kata kata ini ketika  mengejutkan saya  untuk solat subuh jika saya terlewat bangun untuk ke masjid. Abu Ammar ni adalah rakan serumah sewa saya di hujung Hayy Dhubbat, Mafraq.  

Abu Ammar ini  seorang muaalaf dari Kosova baru memeluk islam dalam setahun lebih kalau tak silap saya. Dia adalah antara pemuzik tersohor dinegaranya. Dia pernah menunjukkan video  ketika dia membuat persembahan konsert. Dia adalah pemain gitar utama kumpulannya. Gayanya rambutnya ala ala Amy Search.

Selepas dia memeluk Islam, dia datang ke Jordan untuk belajar agama Islam dan bahasa Arab. Sahabatnya Asim dari Macedonia meminta izin  dengan saya dan Rafiq untuk  Ammar tinggal bersama kami.

Memang bilik ketiga di rumah kami itu luas. Jadi kami  benarkan untuk mereka tinggal dengan kawan kawannya. Abu Ammar  seorang yang istiqamah dengan ibadah. Setiap hari membaca al Quran walaupun dengan  bacaaan  yang tidak lancar.

Dia juga istiqamah solat berjamaah di masjid. Masjid terdekat dengan rumah kami ialah di Hayy Sikkah dalam jarak 700 begitu terpaksa melintas jalan keretapi lama.  Dia akan keluar dari rumah  10 minit sebelum masuk waktu solat.  Begitu juga dengan solat subuh. Biasanya dia  akan keluar awal.

Saya dan Rafiq juga  sentiasa kemasjid. Namun pada musim sejuk cuaca amat mencabar. Bayangkan  dengan cuaca sejuk membeku suhu sekitar 0 selsius . Terpaksa berwudhuk dengan air panas. Selepas itu berjalan lagi ke masjid dengan  cuaca amat sejuk. Lebih sadis lagi jika cuaca  berangin.  Badan terasa hampir  beku  bila sampai ke masjid.

Namun Abu Ammar hampir tidak pernah tertinggal solat subuh berjamaah di masjid. Apabila dia melihat saya dan Rafiq banyak kali  terlepas solat berjamaah di masjid dia menegur kami.

“Kenapa banyak kali aku tengok kamu tak  ke masjid untuk solat subuh.”
“Besar pahala solat subuh di masjid. Kalau kamu tahu besar pahala kamu sanggup lawan sejuk dan merangkak kemasjid.”

Bukan alang-alang dia punya tazkirah. Saya minta dia kejutkan saya sebelum ke masjid setiap  pagi. Dan pastikan saya bangun sebelum dia keluar ke masjid. Namun untuk bagun pagi dalam keadaan sejuk ini amat mencabar.  Amat sukar mahu keluar dari selimut tebal battaniyah 5kg  itu.

Setiap pagi Abu Ammar akan ketuk pintu bilik saya untuk solat  ke masjid. Satu hari bila saya lambat bangun membuka pintu saya terdengar dia membisik dengan agak keras..

“Bangun Abdullah… Solat subuh di masjid. Ingatlah api neraka itu panas. Selamatkan diri dari neraka.”

Diulang-ulangnya kata kata ini beberapa kali sehinggalah saya bangun dan membuka pintu bilik. Beliau akan tunggu saya sekejap untuk ambil wuduk dan bersama sama ke masjid. Kami perlu ambil wudhuk di rumah kerana masjid tidak menyediakan air panas untuk berwudhuk.  Siksanya   hanya tuhan saja yang tahu jika terpaksa  berwuduk dengan air yang sejuk membeku.

Terima kasih Abu Ammar  memastikan kami istiqamah  solat berjamaah di masjid.



No comments: